Khutbah Jumaat Masjid Mukim Binjai 30 -12-2011: Ummah Yang Satu

Ikhwanil muslimin
Saya menyeru diri saya dan sekelian sidang Jumaat agar kita dapat meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt sebagaimana firmannya dalam surah Al Imran yang bermaksud Wahai orang orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam menyerah diri kepada Allah swt. 

Bertaqwa kepada Allah dengan kita melakukan titah perintah dan suruhannya serta menjauhi segala tegahan dan larangan, mudah mudahan kita beroleh kebahagiaan sejati di dunia dan kemenangan hakihi di akhirat kelak. Allah swt berfirman dalam surah Al Baqarah yang bermaksud Pada mulanya manusia itu adalah umat yang satu, setelah mereka berselisih, maka Allah mengutuskan para nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan dan Allah menurunkan bersama mereka kitab kitab suci untuk menjalankan hukum di antara mereka mengenai apa yang mereka perselisihkan. Dan sebenarnya tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang orang yang telah diberi pada mereka kitab kitab suci iaitu setelah datang kepada mereka keterangan keterangan yang jelas lagi nyata. Mereka berselisih semata mata hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberi petunjuk kepada orang orang yang beriman kearah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka dengan izinnya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya ke jalan yang lurus 

Ikhwanil muslimin
Melihat kepada realiti umat Islam di serata negara, hari ini kita hampir hampir kehilangan peringatan dan perasaan ummah yang satu. Ummatan Waahidah yang merupakan pegangan dan dasar hidup ahli sunnah wal jemaah. Kehilangan perasaan ummah yang satu ini, telah melahirkan suasana perpecahan dan pertelingkahan yang amat ketara sekali.

Khutbah Jumaat pada hari ini, terpanggil untuk memberi penjelasan mengenai Ummatan Waahidah kepada masyarakat Islam agar pengertian ini jelas dan menjadi panduan dalam kehidupan bermasyarakat. Pada asalnya manusia ini adalah satu ummah yang hanya menerima dan mengikut ajaran Allah yang satu yang disam[aikan oleh Nabi Adam as, kemudian mereka berselisih dan banyak di antaranya yang menjadi kafir dan  sesat. Abu Abas ra ada menyebut Jarak masa di antara Nabi Adam as dan Nabi Nuh as adalah 10 abad, semua manusia di zaman itu beragama Islam yang dibawa oleh Nabi Adam as. Allah swt telah mengutuskan rasulnya seorang demi seorang sejak dari Nabi Adam as, Nabi Nuh as hinggalah kepada nabi terakhir yakni Nabi Muhammad saw untuk menyampaikan ajaran Allah dan memberi penjelasan berkaitan masalah perselisihan di antara sesama manusia melalui Al Kitab yang membawa kebenaran.

Berlakunya perselisihan di kalangan manusia bukanlah berpunca dari kejahilan mereka sahaja, tetapi kerana sedemikian yang menghalang kepada mereka daripada mendapat hidayat Allah dalam menerima kebenaran untuk menyelesaikan permasalahan. Sunnah Allah, perselisihan faham di antara manusia tetap akan berlaku tanpa adanya hukum yang tegas samada dalam bentuk denda maupun dalam bentuk seksaan yang wajar terhadap mereka yang berselisih di dunia. Itulah di antara sebab kebanyakan manusia leka dan lalai dengan kesesatan apalagi sekiranya kesesatan mereka itu dihiasi oleh syaitan sehingga nampak pada zahirnya benar dan betul.

Sekadar ilmu sekalipun benar, itu belum mencukupi untuk seseorang itu menerima kebenaran dalam hidup . Ia memerlukan hidayat Allah. Ingatlah hidayat Allah tidak mampu dicapai oleh orang yang berhasad dengki, kerana dengki itu adalah sifat zalim. Apalagi dikalangan orang yang berilmu. Firman Allah dalam surah Al Imran yang bermaksud Dan Allah tidak akan memberi hidayah kepada orang orang yang zalim.

Ikhwanil muslimin.
Memang manusia suka berselisih kecuali mereka yang dirahmati Allah. Firman Allah swt dalam surah Huud yang bermaksud Dan jika Tuhanmu menghendaki tentulah Dia menjadikan manusia ummah yang satu, tetapi Dia tidak berbuat demikian dan kerana itulah mereka terus menerus berselisih melainkan orang orang yang diberi rahmat oleh kamu supaya menerima Islam. Dan untuk perselisihan dan rahmat itulah Allah menjadikan manusia.

Berlakunya perselisihan di antara manusia yang menyebabkan lahirnya berbagai agama, aliran dan pegangan hidup. Hanya dengan rahmat Allah sahaja seseorang itu mendapat selamat dari perselisihan dan membawa kepada kesatuan ummah di atas jalan yang di redhai Allah swt. Itulah sunnah Allah, rahmat Allah mengeluar dan menyelamatkan seseorang dari kancah perselisihan manusia dan membawa penyatuan ummah di atas kebenaran iaitu Islam.

Ikhwanil Muslimin
Rahmat Allah ialah Islam sebagaimana yang dibawa oleh Junjungan Besar Rasulullah saw melalui risalahnya Al Quran dan Al Sunnah. Asas Islam ialah mengucap dua kalimah syahadah iaitu Allah Yang Paling/Maha Penyayang , Al Quran sebagai Rahmat. Firman Allah swt yang bermaksud Dan kami menurunkan sebahagian dari Al Quran itu sebagai penyembuh dan rahmat kepada orang orang yang beriman .

Manakala Rasulullah saw telah menyebar rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah swt yang bermaksud Dan tidaklah kami mengutuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat kepada sekelian alam. 


Itulah asas rahmat Islam yang merupakan sebab kepada kesatuan ummah. Itulah antara doa rahmat sejak awal kejadian manusia lagi. Firman Allah swt yang bermaksud Mereka berdua Adam dan Hawa berdoa ketika mereka mula sedar dari kesalahan, Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampunkan dosa dosa kami dan Engkau tidak punya rahmat kepada kami tentulah kami termasuk ke dalam golongan mereka yang zalim / mereka yang rugi.

Tabiat manusia memang suka menzalimi diri sendiri yang membawa kepada kerugian dunia dan akhirat. Sekiranya manusia tidak diampunkan dan di rahmat Allah swt, pasti mereka dalam kerugian yang nyata. Di sebabkan kedua duanya iaitu keampunan dan kerahmatan Allah sahajalah yang dapat mengeluarkan manusia dari kezaliman, kesesatan dan kerugian.

Orang orang yang zalim tiada baginya perlindungan dan pertolongan dari Allah swt, sebab zalim mereka sering kali menghalang diri mereka untuk menjadi Ummah Yang Satu. Mereka di akhirat kelak pasti akan ditanya tentang apa yang dilakukan. Apatah lagi perbuatan zalim mereka iaitu tindak tanduk yang tidak betul dengan kebenaran agama Allah khususnya mereka yang kezalimannya bukan sahaja menyekat di dalam dirinya tetapi menyekat pula jalan jalan orang lain menuju rahmat Allah dan kesatuan ummah.

Natijahnya mereka sentiasa meraba raba berselisih, berpuak puak, berpecah belah, berbalah dan bertelingkah. Firman Allah dam surah Al Ambia yang bermaksud Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu semua, agama yang satu dan Akulah Allah, maka beribadatlah kamu kepada Aku , tetapi kebanyakan manusia masih lagi berselisih dan berpecah belah dalam urusan agama mereka. Ingatlah mereka semua akan dikembalikan kepada kami untuk menerima pembalasan.

Wassalam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week