Showing posts with label As Sajadah. Show all posts
Showing posts with label As Sajadah. Show all posts

Kuliah Maghrib 10-10-2012:Tafsir Surah As Sajadah

A012
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".

Keterangan
Dan sekiranya Nabi Muhammad melihat ketika mana orang orang yang ingkar dan tidak taat kepada Allah swt,  mereka tahu akan kekuasaan Allah swt seperti kaum musyikin Mekah walaupun mereka menyembah berhala dan sekiranya di tanya siapakah yang mencipta langit dan bumi meraka tidak menunjukkan kepada berhala yang mereka sembah tadi. Mereka aakan memberitahu yang menciptakan langit dan bumi tadi adalah Allah swt.

Dalam satu ayat Allah swt berfirman yang bermaksud Dan sekiranya kamu wahai Muhammad tanya orang orang kafir Quraish, siapakah yang menciptakan langit dan bumi, nescaya mereka akan kata yang menciptakan langit dan bumi adalah Allah swt.

Begitu juga kalau kita tanyakan kepada penganut penganut agama lain sekarang ini mereka akan menjawab yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta yang menciptanya dan sama sekali bukan tokong yang mereka sembah itu.

Penderhakaan mereka adalah dari segi beribadat, mereka tidak menyembah Allah swt yang mencipta mereka. Mereka menyembah selain daripada Allah.

Pengertian Ilah dan  Rabb walaupun kedua duanya bermaksud Tuan tetapi dari segi makna adalah berlainan. Ilah ialah Tuhan yang di sembah dan Rabb ialah Tuhan yang mencipta. Kedua duanya adalah Allah swt bagi orang yang beriman kepada Allah.

Mereka akan tertunduk malu apabila mengadap Allah swt kerana di muka bumi ini mereka mengaku bahawa Allah adalah Rabb tetapi mereka tidak mengaku bahawa Ilah mereka ialah Allah.  

Lalu mereka berdoa kepada Allah, Hari ini kami telah melihat yang mana kami dustakan semasa kami hidup dahulu tetapi pada hari ini kami telah lihat dan apa yang kami lihat pada hari ini ialah apa yang kami telah  dengar semasa di atas muka bumi dahulu.

Hendaklah kita perbanyakkan berdoa kepada Allah swt semasa di dunia ini kerana doa semasa di akhirat tidak lagi berguna kerana ianya tidak diterima oleh Allah swt. Di antara waktu berdoa yang paling mustajab adalah sewaktu selesai solat 

Mereka memohon dan berdoa kepada Allah swt Maka kembalikanlah kami semula ke dunia dengan utjuan untuk beramal soleh kerana pada hari ini kami telah yakin. Mereka yakin kerana mereka telah melihat dengan mata kepala mereka sendiri 

Allah swt telah menghancurkan alam dunia ini dan telah di gantikan dengan alam akhirat kerana segala perbuatan manusia semasa di atas dunia ini akan diberi pembalasan semasa di akhirat. 

Segala perbuatan baik dan ibadat yang dilakukan di dunia ini amat meletihkan umat manusia yang beriman, dari sudut fizikalnya tidak letih tetapi dari sudut iman adalah amat meletihkan kerana melawan dugaan syaitan dan tuntutan hawa nafsu. Dari sudut keduniaan kita tak dapat merasai atau melihat pahala yang dijanjikan Allah swt .

Firman Allah swt yang bermaksud Katakanlah wahai Muhammad apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dari keseronokan di muka bumi ini

Allah berfirman
Bismillah
A001
Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), 

A002
Sehingga kamu masuk kubur.
A003
Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!
A004
Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!

A005
Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui - (apa yang kamu akan hadapi) - dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).

A006
(Ingatlah) demi sesungguhnya! - Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.

A007
Selepas itu - demi sesungguhnya! - kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!

A008
Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!

Keterangan
Orang yang beriman di dunia ini yakin bukanlah kerana mereka melihat, kerana kita belum pernah lagi melihat syurga atau neraka ataupun juga pahala yang dijanjikan Allah swt. Allah swt menyediakan semua ini di alam akhirat nanti. Kita orang yang beriman yakin dengan cara ilmu yang telah Allah swt anugerahkan kepada kita semua. Kita percaya kepada Allah swt kerana kita melihat akan tanda tanda kewujudan Allah.  Pasti di suatu masa nanti yakni di alam akhirat kamu akan melihat neraka jahanam itu dengan mata kasar kamu sendiri. Pasti nanti kamu akan ditanya semula berkenaan dengan nikmat nikmat melimpah ruah yang kita telah kecapi semasa di dunia ini.



A013
Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): "Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)".

Keterangan
Allah swt menjawap kepada mereka yang berdoa tadi. Kalaulah kami mahu nescaya kami akan beri kepada setiap orang petunjuk. 

Allah swt boleh menjadikan atau memprogramkan kita semua patuh kepadaNya sebagai mana Allah swt telah buat kepada binatang binatang dan makhluk lain selain dari manusia. Kehidupan mereka sama sahaja dari dulu hingga kini. Tetapi kehidupan kita sentiasa berubah ubah dari dulu hingga kini disebabkan anugerah akal fikiran yang dikurniakan Allah swt kepada kita.

Sekiranya kehidupan kita hanya dikurniakan penglihatan dan pendengaran dan tidak akal fikiran, apakah yang terjadi kepada kita? Bagaimanakah cara hidup kita? Apabila tiada akal fikiran maka tidak bergunalah kita di muka bumi ini.

Manusia yang dikurniakan pendengaran, penglihatan dan yang paling penting sekali akal fikirannya mereka boleh merubah kehidupannya kerana dia boleh membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Bersama  akal fikiran tadi Allah swt memberikan petunjuk. Sekiranya kita mengamalkan petunjuk tadi kita akan berjaya di dunia dan di akhirat. Manusia yang mengutamakan hawa nafsu mereka dan tidak mengunakan akal fikiran mereka , mereka akan menolak petunjuk Allah. 

Disebabkan kepentingan peribadi atau kepentingan dunia, manusia ini menyimpan kebenaran didalam hatinya tetapi menyatakan dengan lidahnya kepalsuan.

Akan tetapi Allah telah menetapkan satu keputusan, pasti Aku akan pertemukan jahannam dari kalangan jin dan manusia yang tidak menggunakan akal fikiran

Wallahu alam
Tulisan ini adalah mengikut fahaman saya sendiri dan tidak boleh dijadikan rujukan

Kuliah Maghrib 3-10-2012: Tafsir Surah As Sajadah


A005
Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.

A006
Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani;

A007
Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;

Keterangan:
Allah swt menceritakan kepada kita berkenaan dengan asal usul kejadian manusia . Mula mula Allah swt jelaskan asal keturunan kita adalah dari keturunan Nabi Adam as yang telah diciptakan betul betul daripada tanah. Kemudian Allah swt ceritakan berkenaan dengan kejadian kita sendiri yakni daripada air yang lemah yang mana pada ketika itu kita amatlah lemah dan tak mampu untuk berbuat apa apa. Sekarang ini kita mampu berbuat segala sesuatu dengan keupayaan kita atas keizinan Allah swt kerana Allah swt berikan kekuatan dan kelebikan kepada kita.


A008
Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang;

Keterangan
Begitulah kejadian kita dari air yang lemah kepada segumpal darah, kemudian kepada seketul daging dan kemudiannya menjadi sebentuk tulang kemudian Allah swt mencantikkan rupa bentuk kita namun kita masih lagi dalam keadaan yang lemah dari segala segi. 

A009
Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

Keterangan
Allah swt menjadikan manusia dengan 3 bukti kukuh anugerah Allah swt yang diberikan kepada manusia  yang boleh membuat kesimpulan akan kekuasaan Allah swt. 

Yang Pertama adalah Pendengaran di mana manusia akan jadi baik apabila sentiasa mendengar taskirah, ceramah berkenaan keEsaan dan kehebatan Allah swt.

Yang Kedua adalah penglihatan di mana manusia menggunakan penglihatannya untuk melihat tanda tanda kebesaran Allah swt. Nikmat penglihatan bukan hanya untuk menikmati kecantikan ciptaan Allah swt sahaja tetapi apa yang dilihat adalah kebesaran Allah swt. Apa yang dilihat adalah bukti kepada kekuasaan Allah swt.

Yang Ketiga yakni yang paling penting sekali buat manusia untuk dibezakah dengan haiwan dan makhluk lain ialah anugerah Allah swt yang paling besar sekali iaitu boleh buat penilaian yang mana satu baik dan buruk. Nikmat akal fikiran yang boleh memikir dan membuat penilaian sebelum membuat sesuatu keputusan.

Sesungguhnya Allah swt telah memuliakan anak anak Adam dengan anugerah akal fikiran


A010
Dan mereka (yang kafir) itu berkata: "Adakah apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah, kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu? Betulkah demikian? " (Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya.

Keterangan:
Allah swt menceritakan semua ini supaya kita nampak akan kekuasaannya yakni dia mampu pada suatu masa nanti semasa kita akan kembali menjadi lemah dan seterusnya meninggal dunia. Perkara ini juga diyakini oleh orang orang kafir yang satu hari nanti mereka akan mati. Tetapi adakah mereka percaya setelah mereka mati mereka akan hidup kembali dan segala amalan amalan yang dibuat semasa hidup ini akan dihisab di hari akhirat nanti. Namun perkara ini menjadi keraguan buat mereka.

Mereka orang orang kafir tidak mempercayai akan kekuasaan Allah swt untuk mengembalikan tubuh badan manusia yang telah hancur lebur kembali ke bentuk asal. Mereka menggunakan logik akal fikiran mereka. Sedangkan sebelum itu Allah swt telah sebutkan tanda tanda kekuasaanNya, tetapi mereka engkar dan tidak mahu berfikir dengan waras. 

Orang orang kafir telah menolak mentah mentah tanda kekuasaan Allah swt dengan menggunakan logik dan akal mereka, sedangkan Allah swt menceritakan tanda kekuasaannya dengan logik akal juga. Allah menjelaskan yang asal kejadian manusia ini adalah daripada air kemudian menjadi darah, kemudian menjadi daging, kemudian menjadi tulang. Semua kejadian ini yang begitu tersusun mestilah mempunyai pengatur yang Maha Kuasa di mana manusia sendiri tidak dapat membuatnya kerana ada juga dikalangan manusia yang mandul yang mana dia tidak dapat melahirkan anak dan tiada baka daripadanya walaupun berbagai usaha telah dilakukannya. Ini semua adalah kerja dan kemahuan Allah swt semata mata.

Jawapan yang orang orang kafir berikan ini menunjukkan mereka kufur kepada Allah swt 

A011
Katakanlah (wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)".

Keterangan
Allah swt memerintahkan Nabi Muhammad menjawab kenyataan orang orang kafir ini dengan cara yang tidak dapat dicapai oleh akal fikiran mereka. Satu masa nanti kamu akan dimatikan oleh malaikat maut yakni Izrail yang diwakilkan untuk mencabut nyawa kamu. Kemudian selepas nyawa kamu tercabut kamu akan mengadap Tuhan kamu yakni Allah swt yang mengurus, mentadbir dan mengatur segala urusan di dunia ini. Ayat ini berupa peringatan kepada orang orang kafir tadi.

Walaupun makhlukNya ini telah ingkar kepada Allah swt tetapi mereka ini tetap akan kembali kepadaNya. Berbeza dengan sifat manusia yang mana apabila kita tidak menyukai kepada seseorang kita tidak akan menerima mereka semula. 

Tempat tinggal atau tempat kembali bagi orang yang beriman ialah Syurga manakala tempat tinggal atau tempat kembali bagi orang yang kufur ialah Neraka. 

Ia menjelaskan bahawa kita ini datang daripada Allah dan berada buat sementara di atas dunia dan kemudiannya akan kembali kepadanya samada di Syurga atau di Neraka


A012
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin"


Keterangan
Dalam ayat ke 12 ini Allah swt menceritakan kepada kita melalui Junjungan Besar Nabi Muhammad saw samada kepada yang beriman maupun yang belum beriman sebagai peringatan daripada Allah swt berkenaan cerita cerita yang akan berlaku di negeri akhirat nanti.

Awal awal lagi di dunia ini Allah swt telah memberitahu kita mudah mudahan kita mengambil peringatan agar kita tidak menjadi dikalangan makhluk yang rugi apabila berada di akhirat kelak. 

Dan sekiranya kamu melihat (Allah swt menujukan kepada Nabi Muhammad saw khususnya dan umumnya kepada kita semua. Allah swt menceritakan berkenaan orang orang yang menyesal di Akhirat nanti, berkenaan dengan kata kata mereka bila mereka menyesal) ketika mana orang orang yang Mujrimun (Allah swt tak menyabut orang orang kafir, atau orang orang musrikin, atau orang orang munafik) yakni orang Islam yang telah melakukan jenayah dalam ajaran agama Islam. Mereka ini adalah orang Islam yang mengucap dua kalimah syahadat tetapi tidak taat kepada Allah swt.

Di Akhirat kelak mereka ini di anggap sebagai penjenayah kerana tidak taat kepada Allah swt. Golongan mujrimun ini tertunduk malu ketika mana mereka mengadap Allah swt. dalam jiwa mereka ini sangat sangat menyesal dan malu sehinggakan tidak terkata tetapi dalam perasaan mereka ingin menyebut sebegini "Wahai Tuhan kami apa yang kami dengar dahulu (semasa di dunia) kami telah melihatnya pada hari ini (di akhirat)".

Lalu mereka memohon / berdoa kepada Allah swt ( Doa semasa di akhirat walaupun sampai keluar airmata darah sekalipun tidak ada makna lagi kerana ianya tidak diterima oleh Allah swt. Jadi penuhilah kehidupan di dunia ini dengan sentiasa berdoa kepada Allah swt ) " Ya Allah kembalikanlah kami ke dunia, kami akan sentiasa beribadat dan taat kepada Mu, sesungguhnya pada hari ini kami telah yakin" ( Mereka yakin kerana mereka telah melihat syurga, neraka, titian sirat dan segalannya di akhirat )

Keyakinan yang sebenar akan hadir apabila kita boleh melihat dengan mata kasar sendiri iaitu semasa kita mati, ketika itu kita dapat melihat segala galanya. 

Wallahualam

Kuliah Maghrib 27-06-2012

Sambungan ulasan ayat 4 Surah As Sajadah


A004
Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)

Keterangan,
Hakikat Apabila bita kembali kepada Allah swt iaitu ketika dihimpunkan di Padang Mahsyar, kita tidak akan mendapat pertolongan dari sesiapa pun selain dari Allah swt.

Penentu kepada kejayaan kita ialah dengan cara hidup kita semasa di dunia ini.

Sabda Rasulullah saw Manusia apabila bangun dari tidur, 2 perkara akan dilakukannya iaitu samada membawa dirinya kepada api neraka atau menyelamatkan dirinya dari api neraka

Apabila bangun dari tidur, kita bersyukur kepada Allah swt, kemudian ke masjid 

Firman Allah swt: Pada hari tersebut iaitu di Padang Mahsyar dari Nabi Adam hinggalah kepada manusia yang terakhir semasa kiamat, tidak ada yang dapat memberi syafaat melainkan orang yang Allah izinkan kepadanya untuk memberikan syafaat iaitu Nabi Muhammad saw.

Siapakah yang akan dapat syafaat dari Nabi? 
Dalam satu hadis yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah, Abu Hurairah bertanya Nabi saw Siapakah manusia yang paling gembira di negeri akhirat kelak kerana mendapat syafaat mu wahai Rasulullah?  Rasulullah saw bersabda Wahai Abu Hurairah soalan yang kamu tanyakan ini tidak pernah ditanya oleh orang lain. Manusia yang paling bahagia kerana mendapat Syafaat aku di negeri Akhirat kelak ialah orang yang mengucap kalimah Laila haillallah dengan benar benar ikhlas dari hatinya. Sahabat bertanya lagi Apakah yang dikatakan sebagai ikhlas apabila menyebut Laila haillallah? Rasulullah swt bersabda Tanda orang yang ikhlas orang yang sentiasa berusaha untuk menghalang dirinya dari melakukan perkara yang di haramkan oleh Allah swt.

Firman Allah swt Sesungguhnya pasti akan berjaya orang yang menyucikan dirinya, dan banyak menyebut nama tuhannya dengan sebutan bukan sekadar di mulut. Ketika disebut nama Allah hatinya hidup dan khusuk. Tetapi kamu lebih mengutamakan kehidupan dunia.

Syafaat Nabi Muhammad saw ada 6

1. Syafaat Al Qubra ( Syafaat yang besar )
Semasa di Padang Mahsyar ketika semua makhluk dari Nabi Adam hingga manusia yang terakhir sebelum kiamat berada dalam keadaan huru hara dan derita. Segolongan manusia berjumpa dengan nabi nabi supaya memohon kepada Allah untuk disegerakan proses hisab. Mereka berjumpa dengan Nabi Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa. Namun mereka semua tidak mampu dan tidak sanggup. Akhirnya mereka berjumpa dengan Nabi Muhammad saw. Nabi Muhammad saw pergi ke bawah Arash, sujud dan berdoa kepada Allah untuk disegerakan hisab.

2. Syafaat untuk orang masuk syurga tanpa hisab
Syarat untuk golongan yang mendapat syafaat ini adalah dari umat Nabi Muhammad.

3. Syafaat Nabi Muhammad kepada segolongan manusia yang melakukan maksiat.
Walaupun dengan amalan mereka semasa hidup yang sepatutnya dimasukan ke dalam neraka tetapi dengan syafaat Nabi Muhammad mereka terlepas daripada neraka. Golongan ini berkemungkinan dari golongan yang sangat ikhlas ketika berselawat kepada Nabi, begitu terharu dan sedih apabila teringat kepada Rasulullah saw.Dengan syarat mereka mati dengan Lailahaillah, iaitu mati dalam iman.

4. Syafaat Nabi Muhammad kepada orang yang telah masuk neraka 
Dengan syafaat Nabi saw membolehkan golongan ini keluar dari neraka dan seterusnya masuk ke dalam syurga. Mereka ini juga adalah dari golongan yang beriman tetapi melakukan dosa semasa hidup. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud dari Anas bin Malik Aku pernah dengar Nabi bersabda Aku ( Nabi Muhammad saw ) keluar dari syurga untuk memberi syafaat kepada ahli neraka kemudian memasukkan ahli neraka tadi ke dalam syurga Allah swt. 

Syarat untuk golongan yang boleh keluar dari neraka tadi adalah bukan dari golongan yang kekal dalam neraka. Golongan yang kekal dalam neraka adalah golongan yang kufur yang tidak mengucap dua kalimah syahadat yang menolak terus Allah swt. 

5. Syafaat Nabi Muhammad kepada ahli syurga 
Syafaat untuk dinaikkan darjat syurga ke darjat yang lebih tinggi lagi

6. Syafaat Nabi Muhammad kepada orang kafir
Orang yang mati dalam kekafiran yang menolak kalimah Lailahaillalah. Golongan ini akan diringankan azab ketika dalam neraka. Antara yang mendapat syafaat ini adalah bapa saudara nabi iaitu Abu Talib dan juga golongan orang kafir yang tinggalkan dunia ini dengan banyak amalan kebajikan yang memberi munafaat kepada orang ramai. 

Mudah mudahan kita tergolong dari golongan yang ke 2, 3 dan ke 5 dan dijauhi dari golongan yang ke 4 dan ke 6. Insyaallah....

Wallahualam


Kuliah Maghrib 13-6-12: Tafsir Surah As Sajadah

Bismillah
A001
A002
Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

A003
(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian) bahkan mereka mengatakan: "Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya". (Dakwaan mereka itu tidaklah benar) bahkan Al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi ingatan dan amaran sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah 

Keterangan
Tanggung jawab Rasulullah saw ialah supaya menyampaikan kepada sekelian umat manusia berkenaan dengan peringatan Allah yang disebut di dalam Al Quran. Begitu juga dengan tanggung jawab orang yang menyambung kerja buat Nabi iaitu menyampaikan ajaran Islam hanya dengan sekadar memberitahu.

Manusia tidak mampu untuk mengubah pendirian seseorang itu. Kita hanya mampu menyampaikan sahaja dan mengharapkan didalam hati agar mereka mendapat petunjuk dari Allah swt. 

Nabi Muhammad saw tidak pernah putus asa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat Quraish termasuk kepada bapa saudaranya Abu Talib.

Peringatan yang perlu kita sampaikan adalah pada ayat seterusnya


A004
Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?

Keterangan
1. Kita semua / makhluk ini adalah diciptakan oleh Allah swt termasuk semua yang di langit dan semua yang di bumi.
2. Kita hendaklah sentiasa bersyukur kepada Allah swt
3. Sifat bersyukur adalah sifat fitrah semula jadi manusia seperti menghargai seseorang yang telah menolong kita dengan ucapan terima kasih.
4. Semua yang kita miliki dan guna di atas muka bumi ini semua adalah hak Allah swt
5. Perlu sentiasa ada sikap mengharapkan bantuan dan pertolongan daripada Allah swt dengan itu kita hendaklah sentiasa mengingatiNya.
6. Semoga segala pemberian / anugerah daripada kita datang beserta dengan rahmatnya.

Dalam ayat ini juga Allah swt menceritakan tempoh masa kejadian langit dan bumi. Tempoh masa tersebut adalah selama 6 hari. Ada ulamak berpendapat 6 hari bersamaan dengan 6 hari di dunia, dan ada yang berpendapat 6 hari bersamaan dengan 6000 tahun. 

Pengajaran dari kejadian bumi ini yang dijadikan dalam tempoh masa yang tertentu adalah untuk mengajar kita supaya apabila hendak melakukan sesuatu kerja yang besar ia hendaklah dibuat dengan teliti dan dengan perancangan yang rapi. Ia bukan menunjukkan Allah swt itu lemah kerana mengambil satu jangkamasa untuk menjadikan langit dan bumi ini kerana dalam surah Yaa Sin yang bermaksud "Antara kekuasaan Allah swt apabila Dia ingin melakukan sesuatu perkara Dia akan sebut Kun, maka jadilah ia serta merta". 

Orang yang terburu buru dalam melakukan sesuatu pekerjaan adalah merupakan perlakuan dari syaitan. Oleh itu kita kena berhati hati, teliti dan membuat perancangan yang rapi apabila hendak melakukan sesuatu perkara.

Tempat untuk kita meminta pertolongan dan syafaaf hanyalah kepada Allah swt sahaja walaupun benda atau perkara yang kita hajati itu adalah sekecil kecil perkara kita kena minta kepada Allah swt. 

Apabila kita benar benar menghajati sesuatu perkara kita perlu membuat solat hajat meminta kepada Allah swt dan apabila ianya telah dimakbulkan oleh Allah swt kita kena bersyukur berbanyak banyak. Sebaik baiknya kita sekali lagi melakukan solah hajat agar perkara yang kita perolehi itu diberkati oleh Allah swt. Dan berkat dari hajat yang kita telah perolehi tadi akan mendekatkan diri kita kepada Allah swt

Hendaklah kita mengambil iktibar ke atas apa yang telah berlaku

A005
Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa

Keterangan
Allah swt menciptakan kita dan seterusnya Dia mentadbir kehidupan kita adalah di antara tanda tanda yang Allah swt adalah amat menyayangi kita. Dia tidak meninggalkan kita sendirian. Kejadian siang dan malam yang silih berganti adalah di bawah pentadbiran dan pengurusan Allah swt.

Wassalam





Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week