Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dihormati lagi dikasihi sekelian
Bertaqwalah kepada Allah dan bersegeralah menuntut keampunan daripadanya, ketahuilah bahawa Allah swt telah menjadikan kita untuk melaksanakan satu tugas yang besar iaitu mengenalinya dan mengabdikan diri kepadanya tidak kepada yang lain. Allah swt menyuruh kita mentauhidkannya dan mentaatinya dengan melakukan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya
Saudara kaum muslimin
Kita sedia maklum dan menyaksikan bahawa dunia pada hari ini terdapat berbagai bagai perlumbaan di antara haq dan bathil, di antara kebaikan dan kejahatan, di antara taat dan maksiat dan juga diantara huru hara dan keamanan. Sedangkan kita semua diperintahkan oleh Allah swt supaya menyuruh manusia supaya berbuat baik dan melarang manusia dari melakukan kejaharan dan kemungkaran. Mereka yang menjalankan tugas ini iaitu tugas Al amru bil makruf wainna anil mungkar ialah mereka yang akan mendapat kemenangan dan akan terselamat daripada kemurkaan Allah swt. Sesiapa yang melihat kemungkaran yang dilakukan oleh manusia khasnya mereka yang beragama Islam sedangkan dia berkemampuan dan berkuasa untuk memberhentikannya tetapi dia tidak mahu merobohkan mungkar yang dilakukan itu maka dia adalah seorang yang durhaka kepada Allah swt. Terdedah kepada siksa dan kemurkaan Allah swt. Apabila lahir sesuatu perkara mungkar dilakukan oleh seorang yang durhaka dan tidak mahu pula merobohkannya, tidak mahu pula mencegahnya nescaya azab Allah akan menimpanya, menimpa kepada mereka yang mengerjakannya dan juga menimpa kepada mereka yang tidak mahu merobohkannya. Dalam soal ini Allah swt memberi peringatan di dalam Al Quran dalam surah Al Anfal ayat 25 yang bermaksud Takutlah kamu akan fitnah yakni azab Allah yang tidak akan mengenai orang orang hanya di kalangan kamu sahaja sekiranya akhlak orang orang Islam runtuh dan perkara maksiat berkembang biak di sana sini
Saudara kaum muslimin
Adalah menjadi tanggungjawab kita semua mencari jalan yang wajar bagi menghapuskan segala kegiatan maksiat yang sedang dilakukan di masa ini. Setiap orang yang mengaku dirinya sebagai seorang Islam hendaklah sedar dengan tanggung jawab masing masing dan hendaklah terlebih dahulu menanam didalam diri masing masing perasaan dan keazaman mahu memperbaiki diri kita sendiri, anak anak isteri kita, kaum kerabat dan jiran tetangga seterusnya jiran sekampung supaya benar benar menjadi keluarga Islam, masyarakat Islam, ummat Islam sebagaimana yang di kehendaki oleh Allah swt. Dengan yang demikian keagungan Islam dan keindahannya akan menjadi kenyataan semula dan akan terasalah kesucian Islam dan kebaikan pimpanan Islam oleh manusia manusia yang mahu memahami hakikatnya dan akan sembuhlah penyakit keraguan yang telah menimpa umat Islam khasnya angkatan baru yang tidak mendalami ajaran Islam terhadap kebenaran dan ketinggian Islam. Timbulnya keraguan keraguan ini adalah berpunca dari keadaan yang tidak menyenangkan yang terdapat di kalangan kaum muslimin sendiri atau pun yang datang dari lua.
Saudara kaum muslimin
Sebenarnya kemunduran dan kelemahan yang di alami oleh orang orang Islam baik di mana sahaja mereka berada adalah berpunca dari membelakangkan dan tidak mengamalkan prinsip prinsip dan ajaran Islam. Di samping itu tidak pula menjalankan Al amru bil makruf wainna anil mungkar. Atau dalam lain perkataan Mereka tidak mahu menjalankan dakwah Islamiah dengan bersungguh sungguh.
Saudara kaum muslimin siang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian.
Setelah kita semua mengetahui bahawa Al amru bil makruf wainna anil mungkar menjadi kewajipan bersama maka sebelum kita bangun menjalankan tugas tugas tersebut itu hendaklah terlebih dahulu kita melengkapkan atau membekalkan diri kita dengan beberapa perkara:
- Dengan Ilmu pengetahuan, kerana orang yang tidak ada ilmu pengetahuan tak dapat menjalankan tugas ini dengan sempurna.
- Dilakukan dengan jujur dan ikhlas semata mata kerana Allah swt
- Menyuruh dan melarang itu adalah dengan cara yang lembut, sopan santun dan penuh timbang rasa. Jangan sekali kali menggunakan cara yang keras, kasar, maki hamun dan suka menyalahkan orang lain kerana cara yang seperti ituakan meliarkan dan bukan menjinakkan, meruntuhkan dan bukan membangun dan merosakkan dan bukan memperbaiki. Allah swt berfirman kepada Nabi Musa dan Nabi Harun tatkala diutus mereka berdua kepada Maharaja Firaun dalam surah Taha yang bermaksud Pergilah kamu berdua kepada Firaun kerana dia telah menderhakai, berkatalah kamu berdua dengan perkataan yang lemah lembut semoga dia sedar dan takut..
- Dengan sabar, hanya dengan sabar kita akan dapat mencapai kejayaan dalam soal apa sekalipun lebih lebih lagi dalam soal atau pun dalam bidang dakwah islamiah.
- Beramal dengan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang supaya tidak termasuk kedalam golongan yang difirmankan oleh Allah swt yang bermaksud Adakah kamu menyuruh orang lain dengan membuat kebajikan, membuat kebaikan sedangkan diri kamu sendiri kamu lupakan, padahal kamu membaca al kitab. Tidak berakalkah kamu, jika orang lain sahaja yang disuruh, diri sendiri tidak. Maka orang yang seperti itu pendakwah palsu namanya.
Saudara kaum muslimin
Sekiranya perintah Allah swt dan Rasulnya dijunjung, suruh menyuruh, ajak mengajak untuk membuat kebaikan, cegah mencegah dari kemungkaran dilaksanakan. Membimbing tangan si jahil dari kegelapan kepada cahaya pengetahuan, nasihat menasihati, pesan memesan dengan benar. nasihat menasihati dengan sabar dan taqwa diamalkan, maka kemenangan dan kebahagiaan akan kita dapati. Kebajikan, keberkatan dan rahmat keatas kita dicucuri oleh Allah swt. Tetapi jika sebaliknya yang berlaku maka kesengsaraan akan dirasai. Allah tidak akan menzalimi sesiapa jua, cuma manusialah yang menzalimi dirinya sendiri. Allah berfirman dalam Surah Al Maedah ayat 78 dan 79 yang bermaksud Dikutuk akan orang orang kafir dari bani Israel di atas lidah Daud dan Isa ibni Maryam yang demikian dengan sebab mereka durhaka kepada tuhan, melampaui batasan mereka tidak cegah mencegahi daripada perbuatan mungkar yang telah mereka lakukan sesungguhnya perkara jahat telah diperbuat oleh mereka itu.
Sekian
Wassalam