Kuliah Maghrib 10-10-2012:Tafsir Surah As Sajadah
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".
Keterangan
Dan sekiranya Nabi Muhammad melihat ketika mana orang orang yang ingkar dan tidak taat kepada Allah swt, mereka tahu akan kekuasaan Allah swt seperti kaum musyikin Mekah walaupun mereka menyembah berhala dan sekiranya di tanya siapakah yang mencipta langit dan bumi meraka tidak menunjukkan kepada berhala yang mereka sembah tadi. Mereka aakan memberitahu yang menciptakan langit dan bumi tadi adalah Allah swt.
Dalam satu ayat Allah swt berfirman yang bermaksud Dan sekiranya kamu wahai Muhammad tanya orang orang kafir Quraish, siapakah yang menciptakan langit dan bumi, nescaya mereka akan kata yang menciptakan langit dan bumi adalah Allah swt.
Begitu juga kalau kita tanyakan kepada penganut penganut agama lain sekarang ini mereka akan menjawab yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta yang menciptanya dan sama sekali bukan tokong yang mereka sembah itu.
Penderhakaan mereka adalah dari segi beribadat, mereka tidak menyembah Allah swt yang mencipta mereka. Mereka menyembah selain daripada Allah.
Pengertian Ilah dan Rabb walaupun kedua duanya bermaksud Tuan tetapi dari segi makna adalah berlainan. Ilah ialah Tuhan yang di sembah dan Rabb ialah Tuhan yang mencipta. Kedua duanya adalah Allah swt bagi orang yang beriman kepada Allah.
Mereka akan tertunduk malu apabila mengadap Allah swt kerana di muka bumi ini mereka mengaku bahawa Allah adalah Rabb tetapi mereka tidak mengaku bahawa Ilah mereka ialah Allah.
Lalu mereka berdoa kepada Allah, Hari ini kami telah melihat yang mana kami dustakan semasa kami hidup dahulu tetapi pada hari ini kami telah lihat dan apa yang kami lihat pada hari ini ialah apa yang kami telah dengar semasa di atas muka bumi dahulu.
Hendaklah kita perbanyakkan berdoa kepada Allah swt semasa di dunia ini kerana doa semasa di akhirat tidak lagi berguna kerana ianya tidak diterima oleh Allah swt. Di antara waktu berdoa yang paling mustajab adalah sewaktu selesai solat
Mereka memohon dan berdoa kepada Allah swt Maka kembalikanlah kami semula ke dunia dengan utjuan untuk beramal soleh kerana pada hari ini kami telah yakin. Mereka yakin kerana mereka telah melihat dengan mata kepala mereka sendiri
Allah swt telah menghancurkan alam dunia ini dan telah di gantikan dengan alam akhirat kerana segala perbuatan manusia semasa di atas dunia ini akan diberi pembalasan semasa di akhirat.
Segala perbuatan baik dan ibadat yang dilakukan di dunia ini amat meletihkan umat manusia yang beriman, dari sudut fizikalnya tidak letih tetapi dari sudut iman adalah amat meletihkan kerana melawan dugaan syaitan dan tuntutan hawa nafsu. Dari sudut keduniaan kita tak dapat merasai atau melihat pahala yang dijanjikan Allah swt .
Firman Allah swt yang bermaksud Katakanlah wahai Muhammad apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dari keseronokan di muka bumi ini.
Allah berfirman
Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh),
Sehingga kamu masuk kubur.
Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!
Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!
Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui - (apa yang kamu akan hadapi) - dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).
(Ingatlah) demi sesungguhnya! - Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.
Selepas itu - demi sesungguhnya! - kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!
Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!
Keterangan
Orang yang beriman di dunia ini yakin bukanlah kerana mereka melihat, kerana kita belum pernah lagi melihat syurga atau neraka ataupun juga pahala yang dijanjikan Allah swt. Allah swt menyediakan semua ini di alam akhirat nanti. Kita orang yang beriman yakin dengan cara ilmu yang telah Allah swt anugerahkan kepada kita semua. Kita percaya kepada Allah swt kerana kita melihat akan tanda tanda kewujudan Allah. Pasti di suatu masa nanti yakni di alam akhirat kamu akan melihat neraka jahanam itu dengan mata kasar kamu sendiri. Pasti nanti kamu akan ditanya semula berkenaan dengan nikmat nikmat melimpah ruah yang kita telah kecapi semasa di dunia ini.
Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): "Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)".
Keterangan
Allah swt menjawap kepada mereka yang berdoa tadi. Kalaulah kami mahu nescaya kami akan beri kepada setiap orang petunjuk.
Allah swt boleh menjadikan atau memprogramkan kita semua patuh kepadaNya sebagai mana Allah swt telah buat kepada binatang binatang dan makhluk lain selain dari manusia. Kehidupan mereka sama sahaja dari dulu hingga kini. Tetapi kehidupan kita sentiasa berubah ubah dari dulu hingga kini disebabkan anugerah akal fikiran yang dikurniakan Allah swt kepada kita.
Sekiranya kehidupan kita hanya dikurniakan penglihatan dan pendengaran dan tidak akal fikiran, apakah yang terjadi kepada kita? Bagaimanakah cara hidup kita? Apabila tiada akal fikiran maka tidak bergunalah kita di muka bumi ini.
Manusia yang dikurniakan pendengaran, penglihatan dan yang paling penting sekali akal fikirannya mereka boleh merubah kehidupannya kerana dia boleh membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Bersama akal fikiran tadi Allah swt memberikan petunjuk. Sekiranya kita mengamalkan petunjuk tadi kita akan berjaya di dunia dan di akhirat. Manusia yang mengutamakan hawa nafsu mereka dan tidak mengunakan akal fikiran mereka , mereka akan menolak petunjuk Allah.
Disebabkan kepentingan peribadi atau kepentingan dunia, manusia ini menyimpan kebenaran didalam hatinya tetapi menyatakan dengan lidahnya kepalsuan.
Akan tetapi Allah telah menetapkan satu keputusan, pasti Aku akan pertemukan jahannam dari kalangan jin dan manusia yang tidak menggunakan akal fikiran
Wallahu alam
Tulisan ini adalah mengikut fahaman saya sendiri dan tidak boleh dijadikan rujukan
0 comments:
Post a Comment