Kuliah Maghrib 3-10-2012: Tafsir Surah As Sajadah
Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.
Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani;
Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;
Keterangan:
Allah swt menceritakan kepada kita berkenaan dengan asal usul kejadian manusia . Mula mula Allah swt jelaskan asal keturunan kita adalah dari keturunan Nabi Adam as yang telah diciptakan betul betul daripada tanah. Kemudian Allah swt ceritakan berkenaan dengan kejadian kita sendiri yakni daripada air yang lemah yang mana pada ketika itu kita amatlah lemah dan tak mampu untuk berbuat apa apa. Sekarang ini kita mampu berbuat segala sesuatu dengan keupayaan kita atas keizinan Allah swt kerana Allah swt berikan kekuatan dan kelebikan kepada kita.
Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang;
Keterangan
Begitulah kejadian kita dari air yang lemah kepada segumpal darah, kemudian kepada seketul daging dan kemudiannya menjadi sebentuk tulang kemudian Allah swt mencantikkan rupa bentuk kita namun kita masih lagi dalam keadaan yang lemah dari segala segi.
Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.
Keterangan
Allah swt menjadikan manusia dengan 3 bukti kukuh anugerah Allah swt yang diberikan kepada manusia yang boleh membuat kesimpulan akan kekuasaan Allah swt.
Yang Pertama adalah Pendengaran di mana manusia akan jadi baik apabila sentiasa mendengar taskirah, ceramah berkenaan keEsaan dan kehebatan Allah swt.
Yang Kedua adalah penglihatan di mana manusia menggunakan penglihatannya untuk melihat tanda tanda kebesaran Allah swt. Nikmat penglihatan bukan hanya untuk menikmati kecantikan ciptaan Allah swt sahaja tetapi apa yang dilihat adalah kebesaran Allah swt. Apa yang dilihat adalah bukti kepada kekuasaan Allah swt.
Yang Ketiga yakni yang paling penting sekali buat manusia untuk dibezakah dengan haiwan dan makhluk lain ialah anugerah Allah swt yang paling besar sekali iaitu boleh buat penilaian yang mana satu baik dan buruk. Nikmat akal fikiran yang boleh memikir dan membuat penilaian sebelum membuat sesuatu keputusan.
Sesungguhnya Allah swt telah memuliakan anak anak Adam dengan anugerah akal fikiran
Dan mereka (yang kafir) itu berkata: "Adakah apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah, kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu? Betulkah demikian? " (Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya.
Keterangan:
Allah swt menceritakan semua ini supaya kita nampak akan kekuasaannya yakni dia mampu pada suatu masa nanti semasa kita akan kembali menjadi lemah dan seterusnya meninggal dunia. Perkara ini juga diyakini oleh orang orang kafir yang satu hari nanti mereka akan mati. Tetapi adakah mereka percaya setelah mereka mati mereka akan hidup kembali dan segala amalan amalan yang dibuat semasa hidup ini akan dihisab di hari akhirat nanti. Namun perkara ini menjadi keraguan buat mereka.
Mereka orang orang kafir tidak mempercayai akan kekuasaan Allah swt untuk mengembalikan tubuh badan manusia yang telah hancur lebur kembali ke bentuk asal. Mereka menggunakan logik akal fikiran mereka. Sedangkan sebelum itu Allah swt telah sebutkan tanda tanda kekuasaanNya, tetapi mereka engkar dan tidak mahu berfikir dengan waras.
Orang orang kafir telah menolak mentah mentah tanda kekuasaan Allah swt dengan menggunakan logik dan akal mereka, sedangkan Allah swt menceritakan tanda kekuasaannya dengan logik akal juga. Allah menjelaskan yang asal kejadian manusia ini adalah daripada air kemudian menjadi darah, kemudian menjadi daging, kemudian menjadi tulang. Semua kejadian ini yang begitu tersusun mestilah mempunyai pengatur yang Maha Kuasa di mana manusia sendiri tidak dapat membuatnya kerana ada juga dikalangan manusia yang mandul yang mana dia tidak dapat melahirkan anak dan tiada baka daripadanya walaupun berbagai usaha telah dilakukannya. Ini semua adalah kerja dan kemahuan Allah swt semata mata.
Jawapan yang orang orang kafir berikan ini menunjukkan mereka kufur kepada Allah swt
Katakanlah (wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)".
Keterangan
Allah swt memerintahkan Nabi Muhammad menjawab kenyataan orang orang kafir ini dengan cara yang tidak dapat dicapai oleh akal fikiran mereka. Satu masa nanti kamu akan dimatikan oleh malaikat maut yakni Izrail yang diwakilkan untuk mencabut nyawa kamu. Kemudian selepas nyawa kamu tercabut kamu akan mengadap Tuhan kamu yakni Allah swt yang mengurus, mentadbir dan mengatur segala urusan di dunia ini. Ayat ini berupa peringatan kepada orang orang kafir tadi.
Walaupun makhlukNya ini telah ingkar kepada Allah swt tetapi mereka ini tetap akan kembali kepadaNya. Berbeza dengan sifat manusia yang mana apabila kita tidak menyukai kepada seseorang kita tidak akan menerima mereka semula.
Tempat tinggal atau tempat kembali bagi orang yang beriman ialah Syurga manakala tempat tinggal atau tempat kembali bagi orang yang kufur ialah Neraka.
Ia menjelaskan bahawa kita ini datang daripada Allah dan berada buat sementara di atas dunia dan kemudiannya akan kembali kepadanya samada di Syurga atau di Neraka
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin"
Keterangan
Dalam ayat ke 12 ini Allah swt menceritakan kepada kita melalui Junjungan Besar Nabi Muhammad saw samada kepada yang beriman maupun yang belum beriman sebagai peringatan daripada Allah swt berkenaan cerita cerita yang akan berlaku di negeri akhirat nanti.
Awal awal lagi di dunia ini Allah swt telah memberitahu kita mudah mudahan kita mengambil peringatan agar kita tidak menjadi dikalangan makhluk yang rugi apabila berada di akhirat kelak.
Dan sekiranya kamu melihat (Allah swt menujukan kepada Nabi Muhammad saw khususnya dan umumnya kepada kita semua. Allah swt menceritakan berkenaan orang orang yang menyesal di Akhirat nanti, berkenaan dengan kata kata mereka bila mereka menyesal) ketika mana orang orang yang Mujrimun (Allah swt tak menyabut orang orang kafir, atau orang orang musrikin, atau orang orang munafik) yakni orang Islam yang telah melakukan jenayah dalam ajaran agama Islam. Mereka ini adalah orang Islam yang mengucap dua kalimah syahadat tetapi tidak taat kepada Allah swt.
Di Akhirat kelak mereka ini di anggap sebagai penjenayah kerana tidak taat kepada Allah swt. Golongan mujrimun ini tertunduk malu ketika mana mereka mengadap Allah swt. dalam jiwa mereka ini sangat sangat menyesal dan malu sehinggakan tidak terkata tetapi dalam perasaan mereka ingin menyebut sebegini "Wahai Tuhan kami apa yang kami dengar dahulu (semasa di dunia) kami telah melihatnya pada hari ini (di akhirat)".
Lalu mereka memohon / berdoa kepada Allah swt ( Doa semasa di akhirat walaupun sampai keluar airmata darah sekalipun tidak ada makna lagi kerana ianya tidak diterima oleh Allah swt. Jadi penuhilah kehidupan di dunia ini dengan sentiasa berdoa kepada Allah swt ) " Ya Allah kembalikanlah kami ke dunia, kami akan sentiasa beribadat dan taat kepada Mu, sesungguhnya pada hari ini kami telah yakin" ( Mereka yakin kerana mereka telah melihat syurga, neraka, titian sirat dan segalannya di akhirat )
Keyakinan yang sebenar akan hadir apabila kita boleh melihat dengan mata kasar sendiri iaitu semasa kita mati, ketika itu kita dapat melihat segala galanya.
Wallahualam
0 comments:
Post a Comment