Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 25-05-2012: Al Quran dan Pengajarannya
Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dihormati lagi dikasihi sekelian
Firman Allah swt yang bermaksud Ini adalah sebuat kitab yang kami turunkan kepada kamu, penuh dengan berkat supaya mereka perhatikan ayat ayatnya dan supaya mendapat pelajaran bagi orang orang yang mempunyai fikiran.
Saudara kaum muslimin
Al Quran adalah kitab Allah yang diturunkan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw untuk menjadi panduan dan pegangan kaum muslimin, di dalamnya mengandungi berbagai ilmu, petunjuk, contoh dan sebagainya. Segala sesuatu boleh didapati di dalam Al Quran. Masalah dan problem kaum muslimin tidak akan menjadi buntu dan akan dapat diselesaikan dengan mudah melalui al Quran.
Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud
Tidak kami lupakan sesuatupun di dalam kitab.
Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang berbahagia
Seorang sahabat Rasulullah saw iaitu Abdullah bin Abas ra pernah berkata yang bermaksud " Kalau sesungguhnya tali unta hilang daripadaku, nescaya aku akan dapatkannya di dalam Al Quran"
Dalam satu risalah Shafie yang bermaksud " Setiap peristiwa yang terjadi bagi seseorang muslim pasti akan didapati dalil , alasan, petunjuk di dalam Al Quran untuk penyelesaiannya.
Manakala Iman Al Ghazali pula berkata dalam kitabnya " Segala macam ilmu pengetahuan baik yang terdahulu atau yang sekarang dan yang akan datang, semuanya berpunca dari Al Quran."
Oleh kerana Al Quran adalah sumber utama agama Islam, maka setiap orang mengaku bahawa agama Islam mengandungi ajaran yang paling sempurna yang boleh menjamin dan menyelesaikan semua persoalan dan permasalahan yang timbul dalam segala bidang.
Saudara kaum muslimin.
Inilah Al Quran dan inilah kalam dan wahyu Allah swt yang diwariskan oleh Rasulullah saw kepada kaum muslimin untuk diikuti dan dipatuhi sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud
"Telah aku tinggalkan kepada mu dua perkara yang apabila kamu tetap berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selama lamanya iaitu kitab yakni Al Quran dan sunnah Rasul".
Saudara kaum muslimin
Sayangnya umat Islam sekarang di mana pun mereka berada telah memisah diri dari Al Quran, ini berikutan peristiwa negara Islam dijajah oleh barat. Maka fikiran umat Islam yang negaranya dijajah juga telah dijajah. Penjajah barat kristian telah berusaha bersungguh sungguh supaya umat Islam melupakan Al Quran dan pengajaran Al Quran melalui berbagai program dan rancangan.
Sebenarnya ilmu ilmu itu mereka perolehi dari negara negara Islam yang telah mereka jajah dahulu. Kemudiannya ilmu ilmu ini dibawa balik ke negara mereka di barat dan di sana ilmu ilmu tadi dikaji dan diuji, diproses dan dilahirkan semula. Hasilnya wujudlah ia sebagai ilmu ilmu dari barat yang kemudiannya dibawa kemerata dunia termasuklah ke negara negara Islam itu sendiri. Ia lansung diterima oleh umat Islam iaitu umat muslimin yang dijajah sebagai ilmu ilmu yang baru.
Berikutan dengan itu pandangan dan tumpuan kaum muslimin pula mulai berubah sedikit demi sedikit, mereka mula menjauhi diri dari Al Quran akibatnya pengajaran dan pembelajaran Al Quran menjadi tidak penting dan diabaikan.
Saudara kaum muslimin
Masalah yang ada dihadapan kita sekarang ini bukan lagi masalah penerimaan dan penolakan ajaran Al Quran oleh orang orang bukan Islam tetapi ialah sikap dan penerimaan Al Quran oleh orang orang Islam itu sendiri. Masalah ini patut diberi perhatian yang lebih berat. Lebih tepat lagi ialah salah faham orang Islam ataupun kurang faham orang orang Islam tentang kebesaran dan kemuliaan Al Quran hendaklah diperbetulkan. Kerana salah faham atau kurang faham itulah maka kebudayaan barat dianggap sesuai dengan Islam dan politik atau pemerintahan yang tidak bersandar langsung kepada Al Quran pun dianggap tidak bertentangan dengan Islam.
Saudara kaum muslimin'
Oleh kerana itu wujudnya berbagai bagai masalah dalam kehidupan masyarakat, berikutan ajaran Al Quran tidak diambil berat oleh umat Islam, maka kehidupan mereka meraba raba di tengah cahaya petunjuk Al Quran. Genarasi muda semacam tidak ada haluan hidup. Mereka terjebak dalam perangkap dadah, tidak menghormati orang tua dan mengabaikan ibu bapa.
Ingatan pengabadian diri terhadap Allah swt langsung tidak ada. Yang ada pada mereka ialah melayan kepuasan hidup.
Saudara kaum muslimin.
Sebab itulah umat Islam sekarang menjadi permainan orang yang bukan Islam dan sebab itulah umat Islam menjadi mangsa keganasan hawa nafsu. Ada yang dibunuh, ada yang disembelih hidup hidup dan dihalau dari negeri tumpah darah mereka sendiri.
Pertolongan Allah swt tidak datang oleh kerana mereka sebenarnya sudah lama hanyut dalam kemewahan hidup yang sudah melupakan pengajaran Al Quran.
Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud
Sesiapa yang berpaling dari mengingati Aku maka baginya hidup yang terbiar terumbang ambing.
Saudara kaum muslimin
Inilah yang kita takut dalam hidup ini sehingga Allah tidak peduli lagi terhadap kita lalu hidup kita jadi terbiar diancam, ditindas dan dimusnah oleh orang orang kafir kerana kekuatan sudah tidak ada pada kita. Lebih malang lagi mala petaka itu berlaku adalah akibat dari perbuatan buruk dan fasik orang orang Islam itu sendiri.
Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud
Berlakunya perkara buruk di bumi dan di laut adalah akibat perbuatan manusia supaya mereka merasai balasan setengah daripada apa yang telah mereka kerjakan.
Saudara kaum muslimin
Kita wajib bersyukur kepada Allah swt kerana dengan sifat pemurahnya kita tidak dibiarkan hidup bersendirian dan kita tidak dilepas hidup tanpa panduan. Kita dibekalkan oleh Allah swt dengan kitab suci Al Quran untuk membimbing dan memandu kita dalam menghadapi hidup di muka bumi ini.
Kita dijadikan dan diwujudkan oleh Allah swt di muka bumi ini adalah untuk bekerja dan beramal mengikut panduan dan pengajaran yang diberikan oleh Al Quran. Allah swt juga yang memerhati dan menilai segala perbuatan kita ini.
Kita sendiri tidak mempunyai kuasa untuk menilai perbuatan kita dan kita juga tidak diberi kuasa untuk membalas perbuatan kita sendiri. Kerana itulah kepatuhan terhadap Al Quran itu adalah amat penting dalam kehidupan kita. Bukan sahaja untuk kebaikan hidup di dunia malah lebih penting dan amat mustahak ialah untuk kebaikan hidup kita di Akhirat nanti.
Saudara kaum muslimin.
Oleh itu, marilah sama sama kita mempelajari Al Quran, menadah dan membaca makna dan pengajaran Al Quran dan seterusnya beramal dan bekerja mengikut Al Quran kerana Al Quran adalah panduan hidup kita.
Oleh itu, kita perlu ada jadual dan program khusus untuk pembelajaran dan pembacaan Al Quran dengan menetapkan masa dan waktu dan jangkamasa yang tertentu. Sementara anak anak kita pula perlu dibimbing dan di ajar membaca dan menghormati Al Quran. Didik dan asuh supaya mereka benar benar mengasihi Al Quran. Semoga hidup kita dan hidup anak anak kita benar benar mendapat rahmat daripada Allah swt.
Wassalam
0 comments:
Post a Comment