Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 4-5-2012: Membangun Jiwa Yang Kosong
Firman Allah swt dalam Surah Al Imran ayat 110 yang bermaksud
Kamu adalah sebaik baik umat yang dilahirkan untuk kebaikan umat manusia, kamu bertugas untuk melaksanakan, menyuruh berbuat perkara yang baik dan melarang dari perkara yang salah, kamu beriman kepada Allah dan jika ahli kitab semuanya beriman, nescaya itu adalah baik bagi mereka. Tetapi sebahagian dari mereka yang beriman dan sebahagian besar dari mereka adalah orang orang yang fasik.
Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dikasihi dan dirahmati sekelian
Kita dapati suasana tidak aman dan kehuruharaan yang berlaku di atas muka bumi ini disebabkan segolongan manusia yang melakukan perbuatan mungkar. Jiwa umat manusia itu kosong dari amal maaruf yakni menyuruh berbuat baik. Inilah sebabnya dunia rata rata sibuk dengan bencana dan huru hara.
Kekosongan jiwa dari Amal Maaruf ini boleh membawa manusia melaksanakan larangan dan tegahan Allah swt yang seterusnya membawa kepada kemurkaan Allah swt dengan pelbagai bala bencana yang menimpa manusia itu sendiri.
Inilah akibatnya bila jiwa manusia kosong dari cahaya keimanan kepada Allah swt, sebagaimana Allah swt menegaskan dalam Al Quran dalam surah Al An'am ayat 44 yang bermaksud
Kemudian apabila mereka melupai apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, kami bukakan kepada mereka pintu pintu segala kemewahan dan kesenangan. Sehingga apabila mereka gembira dan bersukaria dengan nikmat nikmat yang dikurniakan kepada mereka, kami timpakan mereka secara mengejut dengan bala bencana yang membinasakan. Maka merekapun berputus asa.
Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang berbahagia
Nabi kita Muhammad saw dibangkitkan untuk membangun satu umat yang baru dan tugasnya selama 23 tahun sahaja baginda telah sempurnakan membangun umat yang berjiwa terang lagi cemerlang dengan sinaran iman suci lagi teguh kepercayaan. Kemudian barulah baginda mengisi jiwa umat manusia itu dengan tugas tugas hidup di dunia ini sehingga sempurna dan ketika kewafatan baginda hampir tiba, Allah swt telah menurunkan wahyu dalam surah Al Maaidah ayat 3 yang bermaksud
Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redha agama Islam itu menjadi agama untuk kamu.
Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang berbahagia
Walaupun terdapat bilangan umat yang dibangunkan oleh Baginda, termasuk bilangan jumlah yang sedikit sewaktu kewafatannya, namun sepeninggalannya bilangan umat bertambah dengan cepat ke beberapa buah negara. Pertumbuhan ini hingga ke abad sekarang. Keadaan selalu menunjukkah pertambahan walaupun terdapat usaha usaha dari musuh Islam tidak berhenti henti berikhtiar untuk mengecilkan bilangannya.
Saudara kaum muslimin
Kalau dihalusi dengan perhatinya yang teliti, sekarang inipun boleh didapati keperibadian umat Islam yang bangunkan oleh Baginda Nabi Muhammad saw dan berkat pengajaran yang ditinggalkan inilah umat warisan Muhammad pengajarannya mengembang dan membangun di bawah panji panji tauhid bagi kepentingan dan kemuslihatan manusia untuk kebaikan manusia itu sendiri.
Saudara kaum muslimin
Dunialah yang kan memikirkan dan menilai baik atau tidak umat warisan baginda Rasulullah saw ini serta menafaatkan pengajarannya bagi memakmurkan alam dalam ertikata yang sebenar.
Firman Allah swt yang bermaksud
Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman maka sesungguhnya kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka akan pahala mereka dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.
Wassalam
0 comments:
Post a Comment