Khutbah Jumaat Masjid Mukim Binjai 27 -1-2012: Perkahwinan, Anak Anak dan Tanggungjawab

Ikhwanil muslimin
Marilah kita sama sama mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan mengerjakan suruhan dan mengerjakan segala larangannya. Mudah mudahan kita mendapat keredhaannya di dunia dan akhirat.

Firman Allah swt yang bermaksud Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan pasangan isteri dan dijadikan dari kamu dan pasangan kamu anak anak dan cucu cucu serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal. Maka patutkah mereka yang engkar itu percaya kepada perkara yang salah, penyembahan berhala dan mereka kufur pula akan nikmat Allah.

Ikhwanil muslimin,
Allah swt telah menjadikan umat manusia dari keturunan Adam dan Hawa kemudian keturunan manusia itu berbahagia menerusi perkahwinan dan percaturan antara lelaki dan perempuan. Kemudian Allah menciptakan lagi zuriat keturunan manusia sehingga kekal keturunan itu sambung menyambung dari satu generasi ke satu generasi silih berganti.

Dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud Berkahwinanlah kamu dengan perempuan perempuan yang penyanyang dan mampu melahirkan ramai anak, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya  kamu pada hari kiamat.

Menerusi gambaran Alquran dan hadis yang dibaca tadi dapatlah difahami bahawa Islam menggalakkan umatnya supaya berkahwin, kerana melalui perkahwinan itulah akan melunas dan membuahkan limpahan rahmat mawaddah dan kasih sayang yang datang daripada Allah kemudian dijelmakan dalam bentuk seorang anak kecil yang perlu dibelai, dijaga dan kelak akan menjadi pelapis dan penyambung hidup ibubapa.
Lantaran itu kehidupan sesebuah keluarga tidak akan pupus dan berakhir atau terputus baqa dan zuriat keturunan mereka apabila mati orang tuanya.

Ikhwanil muslimin,
Anak merupakan anugerah Allah swt kepada sesebuah keluarga dan anak itu juga merupakan hiasan hidup kepada ibubapa sebagaimana dijelaskan dalam Al Quran yang bermaksud Harta dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia dan amal amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik disisi Tuhan sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. 

Anak anak juga adalah amanah Allah swt yang diserah untuk dijaga dilindungi dan di pelihara buat sementara waktu, kemudian ia akan diambil balik oleh pemiliknya iaitu Allah swt.

Penyair ada mengatakan yang bermaksud Nyatalah harta dan anak pinak itu laksana barang amalan atau simpanan maka sudah tentu di satu hari nanti barang amalan itu akan dikembalikan kepada empunya iaitu Allah swt.

Allah swt menetapkan kewajipan memelihara dan melindungi anak anak di atas bahu ibubapa sebagai orang yang paling bertanggungjawab secara langsung di atas kelahiran dan kehadiran mereka, Sesungguhnya tidak ada orang yang paling dekat dan rapat yang diharapkan untuk melayani dan memelihara anak anak secara menyeluruh kecuali ibibapanya sendiri.

Namun atas sebab sebab keuzuran ibubapa maka tugas untuk memelihara dan melindungi anak anak tadi akan berpindah kepada walinya, atau kepada saudara mara sebagai ibubapa angkat. Amanah menjaga dan melindungi hak kanak kanak dalam Islam adalah mencakupi jagaan dan perlindungan seperti berikut;

  1. Melatih supaya mereka bergaul dan mengambil contoh teladan daripada orang orang yang cekal menghadapi cabaran hidup dan orang yang tinggi hemahnya. Sebagaimana kata penyair Bergaul dengan orang orang yang berazam tinggi akan timbul keazamannya, bercampur dengan orang yang murah hati akan menimbulkan sifat kemurahannya. Orang yang berjiwa kecil akan memandang perkara kecil itu besar, manakala orang yang berjiwa tinggi akan melihat pada yang besar itu kecil. 
  2. Menyediakan makan minum dari sumber yang halal lagi baik. 
  3. Menjaga dan mengawasi keselamatan serta maruah diri anak anak dari sebarang ancaman dan bahaya.
  4. Memenuhi keperluan rohani menerusi bekalan ilmu dan makrifat yang secukupnya.
  5. Ibubapa hendaklah sentiasa memberi teguran dan nasihat membina terhadap perlakuan buruk atau negatif anak anak agar perbezaan erti mendidik atau mendera difahami betul betul oleh ibubapa. Jangan kita sekali sikali menyalahkan psikologi mendidik kononnya sikap bermanja manja atau berdiam tidak menegur anak anak sebagai satu penyelesaian akhir, sedangkan keburukan yang mereka lakukan amat berat dan bahaya. 
Ikhwanil muslimin
Perbuatan mendera dan menzalimi anak anak yang masih kecil dengan menggunakan benda benda tajam dan alat alat bahaya seperti putung rokok, sterika panas, lebih lebih lagi mencabul kehormatan kanak kanak adalah jenayah keji dan kejam. Ama;lan kolot ini dan kezaliman sedemikian tidak sepatutnya berlaku dan dilakukan oleh seorang yang bernama bapa atau atuk, seorang yang bernama ibu atau nenek, seorang yang bergelar bapa atau ibu tiri, bapa atau ibu angkat kerana perbuatan seperti itu tidak boleh diterima oleh akal fikiran yang waras. 

Perbuatan sedemikian adalah dianggap zalim dan terkutuk di sisi Allah swt dan juga manusia. Sesungguhnya orang yang masih ada sifat peri kemaknusian tidak akan tergamak dan sanggup menganyanyai anak anak yang  tidak ada daya dan upaya untuk mempertahankan diri. Sebaliknya orang orang yang sanggup menzalimi anak anak adalah orang yang sudah ketandusan jiwa, orang yang sudah tidak berhati perut dan sehingga sanggup mendera anaknya sendiri. 

Ingatlah bahawa kenakalan terkawal dan kelincahan anak anak itu adalah satu perkembangan mental dan perkembangan akal yang baik dan daya kreatif mereka akan berkembang selari dengan kesihatan diri mereka. 

Perhatikan kepada haiwan haiwan pun tidak seganas manusia, hatta haiwan yang dikatakan ganas, buas pun masih mempunyai perasaan kasih sayang sanggup bertanggung jawab terhadap anak anak mereka dan bersedia untuk menyelamatkan anak mereka dari mara bahaya.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud Allah swt telah menjadikan rahmat kesihan belas sebanyak 100 bahagian , yang 99 bahagian itu dipegang disisinya dan hanya satu bahagian sahaja diturunkan ke dunia ini. Maka dengan satu bahagian itulah semua makhluk dapat berkasih sayang sehingga haiwan pun sanggup mengangkat tapak kakinya kerana bimbang akan terpijak anaknya.

Ikhwanil muslimin
Marilah kita sama sama menginsafi dan sedar akan tanggungjawab kita kepada anak anak lebih lebih lagi anak yang masih kecil kerana ianya merupakan amanah daripada Allah swt kepada ibubapa. Mencari nafkah yang halal untuk menyara hidup anak anak merupakan jihat,  memelihara, melayani dan melindungi akan menambahkan keberkatan hidup kepada ibubapa. 

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud Sesungguhnya Tuhan kamu mempunyai hak ke atas kamu dan diri kamu mempunyai hak ke atas kamu dan juga keluarga kamu mempunyai hak ke atas kamu, maka hendaklah kamu menunaikan hak hak itu kepada yang empunyanya.

Sekian

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week