PROFESOR DATO’ DR. OMAR OSMAN: BERSAMA UNTUK KECEMERLANGAN UNIVERSITI

BERSAMA UNTUK KECEMERLANGAN UNIVERSITI
(BUKU) 2012:
MENZAHIR KEJAYAAN
PROFESOR DATO’ DR. OMAR OSMAN
Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM)
Khamis, 5 Januari 2012, 9.30 pagi DTSP USM Pulau Pinang
Jumaat, 6 Januari, 9.30 pagi, Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan USM
Isnin, 9 Januari, 9.00 pagi, Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM

MUKADDIMAH
1. Terlebih dahulu saya, merafak setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana hari ini adalah hari yang  ke-101 hari saya mengambil alih kepimpinan Universiti daripada Y.Bhg. Profesor Tan Sri Dato’Dzulkifli Abdul Razak yang telah menerajui USM selama lebih 10 tahun. Kita terhutang budi kepada beliau, seorang pemikir, seorang ahli akademik dan seorang tokoh yang telah membawa USM sehingga dipilih untukmenjalani Program Pemacuan untuk Kecemerlangan atau APEX yang diumumkan oleh Y.B Menteri Pengajian Tinggi pada 3 September 2008 di Putrajaya dan keesokannya pada 4 September 2008 tatkala umat Islam menjalani ibadah Ramadhan telah mengunjungi USM dan mengumumkan sendiri kepada warga Universiti.

2. Hari ini, saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t atas segala rahmat-Nya. Saya amat terharu dan berterima kasih atas kesudian Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri
Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor Sharif yang sudi melapangkan masa untuk bersama sama berada dalam majlis ini dan nantinya akan menyaksikan Upacara Penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara Universiti Sains Malaysia dengan Dewan Bahasa dan Pustaka serta melancarkan buku-buku dalam bidang Sains Perubatan yang dihasilkan dalam Bahasa Malaysia oleh para pensyarah kita. Kehadiran Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan tentunya melambangkan keprihatinan terhadap pembangunan dan pembudayaan ilmu serta usaha memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu yang harus dipertahankan biar pun pada masa yang sama, kita berusaha untuk bersaing
di peringkat dunia tanpa sama sekali mengenepikan aspirasi perjuangan bangsa yang mempunyai jati diri dan kekuatan luar biasa untuk terus memimpin berteraskan ilmu pengetahuan dan kesimbangan antara pengukuhan penguasaan Sains dan Teknologi dan pemerkasaan Sastera, Kemanusiaan, Sains Kemasyarakatan serta Seni dan Budaya yang saling bersinergi untuk  pembangunan masyarakat dan dunia yang lestari.

Tuan-tuan, puan-puan, hadirin sekalian,
3. Sepanjang kira-kira 101 hari ini, saya berkesempatan mengadakan beberapa siri pertemuan yang melibatkan pihak pengurusan tertinggi khususnya Lembaga Gabenor Universiti, Ahli Senat, Dekan-dekan Pusat Pengajian, Ketua Jabatan dan Pentadbir untuk mendengar dan memahami keperluan warga kampus secara bersemuka. Pendekatan sebegini digunakan untuk menyelami hati nurani dan gendangan masyarakat kampus secara khusus untuk menyesuai dan meletakkan hala tuju dan tindakan universiti di landasan yang sesuai dengan cita rasa yang mampu dikongsi bersama. Saya bersyukur dan berterima kasih atas keikhlasan
semua pihak dalam memberikan maklum balas dan pandangan dan ingin membuat kesimpulan dari semua saranan yang diberi, bahawa apa jua komentar, pandangan, teguran malah saranan oleh semua yang saya temui secara perseorangan, kumpulan atau emel adalah kerana cintakan universiti kita ini, kerana ingin memberikan sumbangan dan sangat “passionate” kepada tugas dan amanah yang ada dan dengan hasrat yang jitu agar boleh melonjakkan nama USM ke tahap yang lebih tinggi. Syabas dan tahniah kepada semua.
Saya ingin nyatakan dan berikan kredit kepada semua termasuk yang datang menemui saya dari dalam kalangan kepimpinan tertinggi, para profesor dan ilmuan, para pentadbir termasuk staf sokongan, mahu pun yang temui saya di jalanan dan mereka yang membersihkan kampus kita saban hari dengan gigih dan bermandi peluh.

4. Masa terus berjalan tanpa menghiraukan orang-orang yang leka. Malah tahun 2011 menyaksikan ramai yang telah pergi meninggalkan kita, sahabat, rakan sekerja, saudara-mara, para pesara malah siswa-siswi kita. Mengikut rekod, pada tahun 2011, 13 orang sahabat kita di kampus induk dan 2 orang di Kampus
Kejuruteraan serta 10 orang di Kampus Kesihatan telah pergi menemui Tuhan, kembali ke alam yang abadi tidak termasuk sahabat-sahabat kita yang telah bersara yang juga telah pergi untuk selama-lamanya. Secara rasmi saya rakamkan rasa dukacita, takziah dan doa untuk semuanya.

5. Sepanjang usia 42 tahun penubuhannya, universiti kita telah mengeluarkan seramai 107,060 orang siswazah Ijazah Pertama dalam pelbagai bidang sejak tahun 1969. Sejarah universiti ini juga telah memperlihatkan, setiap zaman melahirkan barisan pemimpin yang berupaya memimpin ke arah hala tuju dan destinasi yang relevan mengikut masa masing-masing. Hari ini kita semua bertanggungjawab untuk memberikan sokongan dan memberikan sumbangan idea dan tenaga untuk mentransformasikan universiti dalam pelbagai bidang. Ramai di antara kita telah membuktikan bahawa USM benar-benar berupaya untuk maju ke hadapan dan cemerlang. Justeru, kita perlu menggandakan usaha dan pendekatan supaya proses pembangunan universiti yang ada pada hari ini mampu menyaingi dan berbeza daripada yang sebelumnya dan institusi lainnya. Paling utama ialah kita  perlu lebih yakin, bertindak dan berfikir dengan cara dan pendekatan yang inovatif.  Latar masa dan zaman telah jauh berubah. Justeru amanah yang tertanggung di bahu kita sangatlah mencabar.

BUKU 2012 - UNIVERSITI KITA BERSAMA

6. Mulai tahun ini, saya ingin menjenamakan semula Perutusan Naib Canselor yang dimulakan oleh Y.Bhg. Profesor Dato’ Ishak Tambi Kechik, Naib Canselor USM keempat sekitar tahun 1997, tatkala negara berhadapan dengan kegawatan ekonomi dan USM perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan melalui 
pengurusan kewangan yang sangat ketat. Ia diteruskan pada tahun-tahun berikutnya untuk membolehkan Naib Canselor berkongsi aspirasinya dengan seluruh warga Universiti dalam semua aspek pengurusan, pentadbiran dan ke mana hala tuju USM dengan memberikan penegasan terhadap apa yang perlu dikongsi 
dan dilakukan bersama antara kepimpinan dan warga Universiti seluruhnya.

7. Namun saya fikir, mulai tahun ini, saya ingin menegaskan lagi perkara ini, menjelaskan lagi maksudnya  bekerja sama  dan bekerja bersama-sama dalam pemajuan USM pada tahun ini dan tahun-tahun berikutnya. Saya fikir warga USM tidak harus bekerja secara  “silo” tetapi saling berkongsi kekuatan, saling bersinergi,
saling bahu membahu, saling berkongsi hasrat dan aspirasi untuk membangunkan masa depan, untuk mencapai kejayaan dan tentunya untuk menzahirkan kecemerlangan. Untuk mencapai kecemerlangan bermakna kita harus terlebih dahulu zahirkan pencapaian agar ia tampak kelihatan, berupaya diukur secara
kualitatif mahu pun kuantitatif, serta yang lebih penting dikongsi dan dirasai bersama oleh kita semua serta tampak (visible) dan turut dirasai oleh mereka di luar kampus termasuk masyarakat seluruhnya.

8. Melalui  BUKU 2012 saya ingin terjemahkan usaha untuk menggemblengkan  kira-kira  40,000 orang tenaga akademik, staf dan pelajar di lima kampus atau pusat di mana USM beroperasi sekaligus  berusaha bersama-sama, pemimpin dan yang dipimpin, pensyarah dan siswa-siswinya, para akademia dan para pentadbir, malah dalam kalangan sesiapa sahaja termasuk pemegang taruh (stake holders) dan orang ramai yang harus turut merasai kewujudan kita, merasai makna ilmu pengetahuan yang kita budayakan, erti penguasaan ilmu yang sering diperdebatkan dan tentunya memahami maksud transformasi yang sering kita
laungkan. Istilah transformasi yang terkandung dalam misi kita iaitu Mentransformasi Pengajian Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok bermakna ia bukan berlaku secara terasing atau bersendirian, tetapi  melibatkan semua pihak, di dalam, mahu pun di luar Universiti.  Bersama bermakna kita sedia untuk mendengar, sedia untuk
diberikan komen dan teguran, sedia untuk menerima pandangan dan pendapat baru, sedia untuk membuat pertimbangan dan sedia juga untuk melakukan apa yang terbaik untuk masa depan universiti.

9. Jenama BUKU ini, bukan milik Naib Canselor, bukan milik Dekan atau Pengarah atau sesiapa secara khusus, tetapi milik kita semua yang harus bekerja bersama-sama, memberikan sepenuh komitmen dan berusaha untuk menggalas amanah dan tanggungjawab ini bersama-sama dengan ikhlas dengan penuh  “passionate”terhadap apa yang kita persetujui bersama. BUKU seperti juga lambang keilmuan, harus sebati dengan jiwa kita bagi meneruskan citra pembangunan bangsa dan negara yang harus bermula di sini, dari dalam universiti ini, secara bersama-sama tanpa ada pengecualiannya.

10. Kerana itu juga, maka BUKU 2012 turut menghimpunkan pelbagai saranan dari pelbagai pihak dalam kampus yang mungkin tidak dapat saya petik sepenuhnya, tetapi memadai sebahagian daripada untuk kita kongsi bersama kerana ini adalah milik kita bersama, citra kita bersama dan isi hati nurani kita semua dalam mewarnai Menara Ilmu ini, dalam menjulang namanya, dalam menunaikan tugas berat yang terpikul di bahu kita bersama dan dalam memastikan bahawa kita sama-sama merasai perjalanan untuk mencapai kecemerlangan yang pastinya tidak akan mudah kita tuding jari kepada sesiapa, tetapi untuk kita terus bermuhasabah, merenung dan membaiki apa yang kurangnya dan memperkukuh serta memperkasa apa yang kita anggap sudah cukup bertenaga dan berupaya dilonjakkan menjadi mercu tanda ilmu yang difahami
dan dihargai bersama.

11. Universiti sudah pun menetapkan yang program pemajuan kecemerlangan masa hadapan (APEX) dengan menyatakan bahawa semua program di universiti iaitu pembiayaan perbelanjaan operasi, program dalam pembiayaan universiti penyelidikan, program pembiayaan APEX dan program pembiayaan dalaman
universiti berada dalam program pemacuan kecemerlangan universiti. Kesemua program pembiayaan ini perlulah dirancang bersama, berselari dan bersesuaian dengan kehendak universiti.

12. Sasaran universiti dengan tujahan kelestarian untuk menjadi universiti ternama dalam bidang kelestarian sejagat dengan memfokuskan kepada semua aspek penyelidikan, pembelajaran, pengajaran, pelebaran pengetahuan  yang  akan memberikan Bimpak kepada peningkatan dalam rantaian ekonomi dan
pembangunan komuniti menuntut satu pelaksanaan bersinergi untuk menzahirkan pelaksanaan yang mampu digarap semua pihak.

13. Dalam dua tahun ke hadapan, tatkala universiti akan dinilai pemacuan kecemerlangannya, adalah penting untuk semua pihak di universiti bekerjasama untuk mengurangkan lompongan, menuju ke satu tujuan dengan motivasi tinggi daripada tindakan universiti dan kerajaan untuk meningkatkan keupayaan menjana kecemerlangan.

14. Frasa patah sayap bertongkat paruh yang menuntut pengenalpastian kekangan, kekurangan yang bakal kita hadapi dan kita akan tetap bangkit untuk jalankan misi dan visi kita dan berjuang untuk mencapainya.  Walau pun ada dugaan dan rintangan namun tetap ada kekuatan berbekalkan niat yang ikhlas. Hasrat Universiti ialah semua kita, dengan asas keterangkuman dalam kelestarian akan dilibatkan bersama memacu kecemerlangan universiti. Universiti yakin tiada seorang pun ahli komunitinya yang tidak mahu dilibatkan dalam program universiti. Saya menyeru semua ketua jabatan, ketua projek, ketua pasukan petugas khas, ketua penyelidik pelbagai geran, ketua-ketua pentadbir, ketua-ketua projek pelajar, ketua projek khas universiti, ketua eksekutif anak syarikat, ketua-ketua projek pengkomersilan untuk memotivasikan staf dan pelajar untuk bersama kearah ini.

15. Fokus utama Universiti yang telah diletakkan dalam asasasas perancangan sebelum ini yang diterbitkan dalam buku dan dokumentasi penerbitan sebagai bahan rujukan dan juga komunikasi ialah seperti yang ditetapkan dan tidak akan diubah melalui perletakan objektif strategiknya.

16. Dengan itu pelaksanaan program untuk tahun 2012 dan seterusnya tahun hadapan nanti ialah untuk meningkatkan penyampaian dalam semua aspek yang telah dirancangkan dan tahun 2012 ialah tahun menzahirkan pengilhaman dan perancangan yang belum terlaksana, disamping mengkaji semula praktis sedia ada dan menetapkan semula pelaksanaan yang bermasalah atau yang belum tercapai disamping meneruskan strategi lautan biru mencari dan menerokai inovasi.

17. Universiti ingin menyatakan dengan jelasnya bahawa segala usaha yang telah dilaksanakan sebelum ini bermula daripada kepimpinankepimpinan terdahulu amatlah penting disemadikan dalam tinta sejarah universiti. Sejarah juga akan melihat bagaimana sebuah universiti muda sanggup seperti kita mengambil risiko menerokai
dan menerjah perkara baru yang boleh menimbulkan keresahan dan kesangsian setengah pihak, disamping terus membuktikan bahawa arah tuju yang diletakkan adalah untuk kepetingan pemajuan Negara bangsa dan pemajuan Negara tercinta yang tidak harus digadaikan oleh arus penaklukan alaf baru melalui penjajahan minda menerusi pendidikan yang berleluasa sekarang ini.

18. Universiti bertekad untuk terus memacu programnya untuk manfaat negara, bangsanya dan seterusnya masyarakat terkebawah di negara ini. Terkemudian dengan kecemerlangan melalui impak ini maka akan dipastikan nama universiti, stafnya dan pelajarnya akan terkenal dan dikenali di seluruh pelosok dunia dan pemetaan USM akan berterusan.

KAMI MEMIMPIN

19. BUKU 2012 juga menegaskan kembali usaha kita untuk memaknakan motto Kami Memimpin yang telah lama ada dalam jata Universiti seawal penubuhannya dahulu. “Kami” menggambarkan kita semua, dari dalam kalangan warga staf – para profesor, ahli akademik, pentadbir dalam pelbagai kelompok mahu pun siswa-siswi harus menerapkan perasaan dan keinginan untuk menjadi pemimpin.  Menjadi pemimpin atau melafazkan motto “Kami Memimpin” amat besar maknanya kerana ia melibatkan setiap individu yang harus
memimpin dalam kelompoknya tersendiri pada setiap strata yang ada.

20. Tugas ini amat berat, namun kita tidak boleh melarikan diri daripadanya. Seperti Sabda Junjungan Besar Rasulullah sallallahu’alaihiwassalam (s.a.w.), setiap kita adalah pemimpin terhadap apa yang kita pimpin.  Kita akan menjawab di hadapanNya nanti dan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kita pimpin. Saya fikir, saya harus memulakannya di sini, meletakkan satu asas perbincangan dan fokus untuk kita zahirkan pencapaian sebagai satu pertanggungjawaban sebagai seorang pemimpin yang tidak boleh sama sekali lari dari tanggungjawabnya. Sebagai pemimpin institusi ilmu, tanggungjawab ini amat berat kerana kayu pengukurnya kerap kali susah untuk difahami dengan idealisme ilmu dan akademik yang kini bertukar pula menjadi mekanisma penjajahan baru dan melihat apa sahaja dalam konteks budaya dan kepentingan sesetengah pihak dengan nilai-nilainya yang menyebabkan kita sering rasa rendah diri, kecil dan kerdil dalam dogma penarafan dan ranking serta lain-lainnya.

PENCAPAIAN USM

21. Apakah yang sebenarnya ingin dicapai oleh USM apabila dipilih menjalani Program Pemacuan untuk Kecemerlangan atau APEX? Pada asasnya USM ingin mentranformasi pemikiran terhadap pengajian tinggi. USM ingin mengubah lanskap ilmu pengetahuan dan universiti dari hanya menjadi seumpama kilang yang mengeluarkan sumber manusia yang mengikut piawaian tertentu (menggunakan ISO dan ukuran kualiti lainnya) kepada sebuah institusi ilmu yang dapat melahirkan mereka yang boleh berfikir, boleh melahirkan mereka yang mempunyai ilmu dapat dikongsi bersama masyarakat, boleh melahirkan ahli-ahli akademik yang
dapat berkongsi pula ilmunya dengan masyarakat termasuk industri malah berhasrat untuk lahirkan manusia yang mempunyai jiwa kemanusiannya yang kental, menjaga alam dan manusianya dan pada masa yang sama menjaga jiwa dan kerohaniannya yang berteraskan agama dan prinsip-prinsip hidup yang dapat meneruskan kelangsungan hidup manusia dan alam seluruhnya pada masa depan.  Bolehkah ini dicapai dan dicapai dengan cepat? Hanya kita yang mampu menjawabnya dan melaksanakannya dengan penuh keazaman dan kekentalan minda.

22. Kerana itu USM telah menekankan kepada usaha-usaha sedemikian dalam apa jua yang dilakukannya sama ada dalam kalangan ahli-ahli akademik melalui usaha Penyelidikan dan Inovasinya, penerbitan, pembangunan akademik, hubungan antara institusi, malah juga dalam pembangunan sumber manusia, pengurusan bakat atau talent, pembangunan siswa-siswi, usaha sama komuniti atau community engangement, usaha sama industri dan lain-lainnya.

23. Yang agak ketara misalnya ialah dengan kejayaan mewartakan Perlembagaan baru USM pada Julai 2011 dan kini dalam proses pelaksanaan sepenuhnya perubahan yang dibuat selaras dengan program APEX.  Ini termasuklah proses memilih ahli senat melalui pengundian, mempunyai wakil Senat dalam Lembaga Gabenor,
Perubahan nama Lembaga Pengarah Universiti kepada Lembaga Gabenor, penubuhan secara rasmi Jawatankuasa Pengurusan Universiti untuk menasihati Naib Canselor dalam Pengurusan, penubuhan Pejabat Ombudsman untuk warga Universiti menyampaikan aduan mereka, kejayaan persidangan Dewan Perundingan Pelajar (Parlimen Mahasiswa) yang dicadangkan juga penubuhannya di IPT lain dan pelbagai kejayaan lain yang ditempa.  Saya tidak berhasrat untuk menyatakan secara terperinci apa yang telah kita capai, terutamanya di peringkat PTJ kerana sebahagian besarnya boleh kita saksikan di luar Dewan ini nanti,
tetapi yang jelasnya kita sedia maklum betapa USM telah mencapai dan merintis pelbagai perkara yang boleh kita banggakan dalam usaha penyelidikan dan inovasinya, pembangunan akademik dan antarabangsa, pembangunan pelajar dan meletakkan tanda aras dalam jaringan industri dan masyarakat.

PENILAIAN-PENILAIAN YANG DILALUI UNIVERSITI

24. Sejak 2008 Universiti telah melalui beberapa proses penilaian melalui pelbagai program termasuk audit-audit yang dilakukan oleh pelbagai pihak seperti pada Lampiran A.  Proses ini bertujuan untuk memastikan Universiti berada di landasan yang sesuai dan tepat dalam konteks perancangan pembangunan pendidikan tinggi yang dicerna melalui strategi Kementerian Pengajian Tinggi dan juga program-program kecemerlangan universiti. Pencapaian dalam setiap audit yang dilakukan itu adalah seperti yang diharapkan dan proses menuju kecemerlangan diteruskan secara berterusan. Universiti sentiasa mengambil maklum terhadap laporan penilaian yang dilakukan, malah mengambil tindakantindakan yang berterusan untuk penambahbaikan dalam setiap penilaian yang dibuat oleh pelbagai agensi dan bidang kepakaran.

25. Di antara audit berimpak tinggi ialah penilaian  Universiti Good Governance Index, SETARA  dan MQA Review - Criteria for SelfAccreditation serta  Akreditasi CEC.  Di samping itu penanda arasaan di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bentuk telah meletakkan universiti dalam kategori diiktiraf di tahap antarabangsa, sama ada dalam penarafan institusi atau bidang tujahan. Kemenangankemenangan oleh
pensyarah dan pelajar dalam pertandingan di peringkat antarabangsa juga adalah membanggakan.

26. Pastinya Universiti akan terus mempergiatkan usahanya untuk dikenali dan diiktiraf di peringkat antarabangsa sejajar dengan penetapan bahawa penarafan (ranking) dan penandaarasan tidak akan menjadikan universiti berubah arah dan haluannya dan universiti berhak untuk menentukan ketetapannya dalam hal penarafan dengan meletakkan kepentingan nilai-nilai dan jati diri, kepentingan agama, bangsa  dan negara sebagai yang terkehadapan, mempertahankan “knowledge wisdom”, keutuhan dan kepentingan untuk kita meletakkan tanda aras dalam bidang-bidang tujahan dan kekuatan yang perlu dibangunkan secara berterusan dalam ruang keupayaan sendiri dengan membawanya ke hadapan sebagai kebanggaan untuk diketengahkan dan dimajukan secara berterusan. Sudah sampai masanya untuk kita berusaha gigih meletakkan satu mercu tanda dalam acuan kita sendiri untuk bersaing di pentas dunia. Jika kita percaya kepada makna dan nilai kemerdekaan setelah lebih 50 tahun negara secara rasmi berdiri sendiri, kita juga harus berani untuk menunjukkan keupayaan kita memimpin dan berada berada di hadapan dalam acuan dan kekuatan kita sendiri.

27. Misalnya, dalam Laporan Penilaian Audit Susulan Swaakreditasi yang dilakukan oleh sekumpulan penilai di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualilifications Agency) dalam suratnya bertarikh 14 November 2011 USM yang telah dinilai berdasarkan  kepada 15 kriteria dengan mencapai 14 daripadanya manakala 1 kriteria lagi tidak dinyatakan pencapaiannya kerana tiada tanda aras (lautan biru) iaitu dalam hal yang berkaitan dengan kepimpinan pelajar. Ini adalah kerana program seperti Dewan Perundingan
Pelajar atau lebih dikenali sebagai Parlimen Mahasiswa belum ditentukan tanda arasnya. Kriteria-kriteria tersebut  ialah seperti dalam Carta 1.

Carta 1: Kriteria Penilaian MQA
No Kriteria
Kriteria
Dipenuhi

Kriteria 1- Profound Understanding of What an APEX Universiti means and what it takes to realize the Expectations./

Kriteria 2 Criterion of Service to Community and Humanity based on the Understanding that “the empires of the future are the Empires of the Mind”-Empires of Knowledge and Received Wisdom and Preparedness for the Future./

Kriteria 3 Involvement and participation of Students with things which Matter as they transform their lives and embark in the pursuit of knowledge and Character./

Kriteria 4 Systematically Implementing the National Higher Education Quality Agenda./

Kriteria 5 Sustainability of Lineage of Exemplary Leadership. /

Kriteria 6 Honing on the Uniqueness of the Universiti and fostering its Distinctiveness./

Kriteria 7 Building Creative Culture and Honing Innovation. /

Kriteria 8 Developing Research Excellence: Centres of Excellence. /

Kriteria 9
Education for All: Changing the Demographic profiles of
Learners to Learners and Researches across the Life-span.
/
Kriteria 10 Gathering and Utilizing robust data and Information: of Knowledge Management System./

Kriteria 11 Harnessing the Power of the Alumni. /

Kriteria 12 Understanding Ecology of Human and Institutional Development: National, Regional, Global/

Kriteria 13 Addressing the Learning needs of Special Groups-Minorities. /

Kriteria 14 Governance, Administration and Leadership: Students and Staff in Decision-Making as Autonomous agenda/

Kriteria 15 Building Intellectual Character. /

PEMANTAPAN PROGRAM PEMAJUAN KECEMERLANGAN UNIVERSITI (APEX)

28. Pada bulan Disember lalu, satu bengkel untuk memantapkan Program Pemacuan untuk Kecemerlangan yang melibatkan pegawai tertinggi Universiti dan beberapa pihak lain telah dilakukan sebagai sebahagian dari proses menilai semula dan memantapkan Program Pemajuan untuk Kecemerlangan (APEX) sebagai kesinambungan usaha yang dilakukan sejak pertengahan 2011. Beberapa siri perbincangan dengan pengurusan tertinggi universiti, bengkel dengan ketua-ketua jabatan dan pengurusan dan perbincangan di peringkat Lembaga Gabenor Universiti juga telah dilaksanakan.   Malah sejak empat bulan ke belakang ini, saya berusaha memahami dengan lebih jelas segala isu melalui pertemuan-pertemuan rasmi, perjumpaan tidak rasmi mahu pun siri jelajah PTJ yang akan berjalan terus.

29. Malah tujuh (7) siri  Jayerawara APEX atau APEX Roadshow telah dilaksanakan oleh Pejabat Komunikasi Strategik (S.Comm) yang ditubuhkan khas. Jayerawara ini adalah untuk mendapatkan
maklum balas pelaksanaan APEX dari seluruh warga USM di kampus induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan. Program ini telah menampakkan hasil yang diharapkan oleh Pengurusan Universiti melalui pelbagai sesi perbincangan dengan ketua jabatan dan beberapa pemegang taruh termasuklah ahli Lembaga Gabenor Universiti.

30. Bahagian Pembangunan Institusi juga menganjurkan program penilaian semula Program APEX di samping menguruskan semula proses pemeriksaan bajet 2012, satu pendekatan menyeluruh untuk memastikan keseimbangan agihan bajet kepada pusat-pusat dan program universiti dilaksanakan dengan lebih terbuka, telus dan seimbang mengikut keperluan dalam hasrat untuk mencapai matlamat APEX.  Penstrukturan semula agihan bajet akan digiatkan pada tahun ini.

31. Secara jelas dan nyata, skop penilaian kemajuan APEX ini termasuklah menilai semula segala janji yang termaktub dalam  dokumen rasmi yang dikemukakan kepada Panel APEX Kementerian Pengajian Tinggi untuk USM yang dikenali sebagai buku hitam, Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow yang perlu terus dijadikan rujukan terhadap pencapaian USM. Usaha yang dibuat ini berfokus kepada “apa yang telah dilaksanakan”, “apa yang tidak dilaksanakan” dan jika ada,  “kenapa tidak tercapai”.
Lalu atas semangat musyawarah dan persepakatan, kita kembali menjawab persoalan “apakah haluan ke hadapan dan tugas setiap daripada pasukan yang diberikan tanggungjawab untuk mencapai kecemerlangan”.

32. Kanvas-kanvas Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy - BOS) yang menjadi janji dan asas pencapaian APEX dilihat secara menyeluruh sepenuhnya dan berusaha menjawab secara objektif agar sentiasa menjadi teras dalam melonjakkan Universiti mengikut ketetapan yang telah dibuat di samping mencari penegasan baru untuk dicapai. Sepanjang proses menilai semula ini semangat kerja berpasukan dan persetujuan yang amat ketara walau pun terdapat perbezaan pendapat namun kata sepakat dan penyelesaian dibuat dalam semangat keserakanan yang tinggi. Perincian kepada laporan kemajuan APEX 2011 akan diterbitkan dalam masa empat bulan lagi.

ISU-ISU DAN SARANAN WARGA

33. Pada masa yang sama, saya juga terus berusaha untuk mendengar dan mendapatkan pandangan dari pelbagai pihak. Malah, seperti yang saya janjikan dalam banyak forum perjumpaan dengan pelbagai pihak, BUKU 2012 harus turut merangkumkan beberapa pandangan yang saya kira diberikan dengan ikhlas untuk tujuan pemajuan Universiti kita ini tanpa perlu saya sebutkan sumbernya secara rasmi di sini.

34. Saya ingin mulakan dengan memetik pandangan dari seorang profesor tersohor kita yang meminta agar USM terus memelihara kemanusiaan, sastera dan budaya seiring dengan pengukuhan Sains dan Teknologi. USM harus terus berada pada landasan ini dengan memperkukuhkan dan memperkasakan kedua-duanya
secara seimbang untuk melahirkan manusia yang tinggi jiwa kemanusiaannya yang hebat penguasaan Sains dan Teknologinya namun jiwa seni, sastera dan budayanya juga utuh dalam mempertahankan jati diri dalam kehidupan sehariannya.

35. Kata Profesor berkenaan, “Pintu kebanggaan bahasa dan bangsa jarang dibuka besar di Malaysia. Sejak ratusan tahun pintu ini ditutup oleh kolonialisme, modenisme dan kini oleh globalisme.  Namun begitu beberapa bulan yang lalu Kementerian Pengajian Tinggi telah membuka ke dua-dua daun pintu bangsa dan ilmu kita seluas-luasnya. Kita diajak  untuk kembali kepada bahasa tua kita, yang pernah dan sedang menjadi alat ucapan dan pemikiran tidak kurang daripada 250,000,000 manusia, daripada 5 negara - ini pun tidak termasuk penutur yang berada di Eropah, Afrika Selatan dan juga Amerika Selatan dan Asia Selatan.  Bahasa besar ini telah dibesarkan oleh leluhur kita, dan sejak 500 tahun kebelakangan ini dilengkapkan dengan pinjaman dari dalam dan luar batas negara Asia Tenggara, yakni berpuluh-puluh bahasa, untuk menjadikannya
bahasa pentadbiran dan perdagangan Sriwijaya, Pasai, Melaka dan Johor sebagai negeri-negeri kosmopolitan dan pelabuhannya sebagai persinggahan pedagang dan pengunjung dari Timur dan Barat. Sejak 1957  bahasa ini diberikan rupa dan jiwa yang  lebih moden dan  serba-boleh. Kini ribuan tesis dan disertasi dalam semua bidang telah ditulis dengan menggunakan bahasa ini. Pada tahun 2012 sudah sampai tanggungjawab sejarah dan moral ke atas bahu kita untuk meneruskan perkembangannya dengan kecanggihan dan  ruang-penerokaan abad kedua puluh satu.

36. Tambahnya lagi, bahasa pula ialah inti jati diri bangsa Malaysia dan tanpa bahasa jati diri kita hanyalah sesalut kulit atau bedak yang dipinjam dan dipakai. Bukan yang tumbuh segar dari akar pertama.
Bangsa besar harus mempunyai  wajah dan pemikirannya sendiri. Kita di USM harus menjadi pemuka dan pendahulu dalam gerakan ini kerana sebuah Universiti ialah juga pemegang amanah untuk bangsanya. Sebagai sumbangan yang dapat dijalankan dalam kadar yang agak segera, dicadangkan agar setiap disiplin menghidupkan semula jawatankuasa istilah dalam setiap satu bidang itu, atau pun sekiranya belum dimulakan, diadakannya secepat mungkin. USM harus juga menjadi peneraju peristilahan baru untuk ilmu baru yang sedang pesat berkembangan di mana-mana.

37. Kita juga ingin mengajak semua bidang-bidang yang dikelompokkan dalam bidang sastera dan sains sosial, termasuk seni bina, seni halus, agama, sejarah, sastera, linguistik dan bahasa-bahasa dan juga antropologi, sosiologi, komunikasi, sains politik dsb. untuk terus maju ke depan dengan dinamisme baru – kerana bidang bidang ini ialah denyut nadi ilmu dan pengalaman tempatan yang dapat mentakrif dan memerikan bangsa kita, dan oleh itu juga menegaskan sumbangan kita kepada dunia dan manusia sejagat.

38. Malangnya, beberapa dekad ini telah menyaksikan suatu penurunan tekanan terhadap bidang-bidang ini. Hal ini sangat menyedihkan kerana ilmu dalam bidang-bidang inilah yang dapat membuat lukisan unik bangsa kita, menyatakan pengalaman dan ilmu yang dikutip khusus di bawah matahari khatulistiwa dan dibasuh oleh laut-laut Asia Tenggara.

39. Tambahnya lagi, USM harus maju dengan kesedaran ilmu-ilmu sastera ini seiring dengan kekuatan penguasaan bahasa-bahasa lain dan tentunya penguasaan Sains dan Teknologi (serta juga memperkasa kreativiti dan inovasi), memandang ke kiri dan ke kanan – juga kepada ilmu yang dikenali sebagai kearifan tempatan, atau di Indonesia kearifan lokal atau di dalam bahasa Inggerisnya, local knowledge. Kita dapat ilmu ini sebagai sebahagian daripada strategi laut biru kita, di mana pantainya masih bersih, dan yang ada di lautnya belum pernah diterokai oleh orang  lain, melainkan penduduknya sahaja. Inilah modal bersih dan suci kita untuk kita kaji dan kutip manfaat daripadanya.

40. Di USM tiada perselisihan dan pemisah di antara sains dan sastera. Dalam konsep ilmu sebenar setiap satunya ialah pelengkap yang lainnya, satunya, walaupun menawarkan perspektif tersendiri, tetapi dalam kenyataannya memperkayakan yang lainnya. Projekprojek yang menggabung dua bidang ini selalunya lebih kreatif dan inovatif dan lebih luas jangkauannya. USM juga ingin mencontohi kebijaksanaan ini.

41. USM, dan saya percaya seluruh bangsa Malaysia, tidak harus meringankan peranan sains atau sastera. Kita juga tidak ingin suatu perkembangan yang miring kepada suatu arah hanya, kerana itu 16 PBbukan perkembangan yang sihat atau wajar atau akan membawa kita kepada ilmu yang lebih lengkap dan dapat  membantu mencipta kehidupan yang lebih saksama di antara jagat  manusia ini.

42. Oleh itu saya berharap semua bidang-bidang sastera ini akan merancang projek-projek yang sesuai dengan keperluan terbaru Malaysia, dan kalau mungkin juga di luar sempadan Malaysia dan dunia. Dengan cara demikian kita dapat bukan saja memberi tempat kepada sarjana di dalam negara tetapi juga di luar sempadan negara.  Kembalilah kepada tugas dan kecemerlangan sastera yang pernah dialami pada tahun 1970an dulu, dan USM akan sekali lagi menjadi pemikir untuk negara kita.

43. Sementara itu, seorang pemimpin dalam kalangan warga USM mempunyai pandangan yang menarik tentang keperluan dan masa depan Universiti ini. Selaras dengan strategi dan pelan transformasi negara yang menekankan kepada keperluan untuk menguasai inovasi termaju untuk meningkatkan pencapaian melalui formulasi strategi yang berupaya dicapai  dan memafaatkan hala tuju pencapaian strategik, maka USM perlu mempunyai “bakat yang tepat”, penggerak yang dapat melonjakkan pencapaian berlandaskan sikap yang betul, tidak mudah mengalah yang berupaya pula membawa USM mencapai segenap impiannya dan meyakini apa yang dianggap mustahil.

44. Pemimpin ini mencadangkan agar USM dapat mengetengahkan bakat-bakat muda melalui program-program tertentu yang khusus untuk melihat APEX dengan pandangan yang lebih segar yang pada akhirnya dapat sama-sama membangunkan satu jaringan strategik untuk membawa USM ke pentas dunia dan diiktiraf nantinya sebagai sebuah universiti yang berkelas dunia. Tonggaknya terletak kepada strategi perancangan dan pelaksanaan yang jelas dan mengenal pasti bidang-bidang kekuatan yang selaras dengan pembangunan ilmu pengetahuan dan mengoptimumkan usaha memanfaatkan setiap bakat atau talent yang ada.

45. Juga usaha harus dibuat agar dapat dijalinkan kerjasama pintar di antara USM dengan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dengan universiti yang sering melawat ke kampus agar layanan yang baik dipupuk dan dipelihara, agar menimbulkan kesan ingatan yang mendalam dan membangunkan persepsi kecekapan yang ada. Disarankan juga agar usaha dibuat untuk memantapkan para pentadbir dengan segala kepakaran dan maklumat sebagai tempat rujukan.

46. Sementara itu, saya turut diperingatkan tentang peranan setiap warga Universiti dalam hasrat untuk memanfaatkan teknologi hijau.  Apatah lagi USM bersama 10 IPTA yang lain telah membuat akujanji kepada KPT/KeTTHA untuk  melaksanakan program Pengurusan Tenaga Elektrik di IPTA masing-masing. CETREE sebagai “focal point” program tersebut telah mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tenaga Kampus Induk, Kejuruteraan dan Kesihatan, bagi mencapai sasaran penjimatan elektrik sebanyak 3% seperti
yang ditetapkan oleh KeTTHA menerusi Majlis Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Berdasarkan maklumat yang ada, bil elektrik Kampus Induk, Kampus
Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan adalah tinggi.

47. USM juga menerima pakai cadangan Majlis Teknologi Hijau supaya dilaksanakan 2 aktiviti tanpa kos bagi mencapai sasaran penjimatan 3%, iaitu memastikan suhu “ambient” hawa dingin ditetapkan ke 24 darjah C dan merancang keperluan penggunaan hawa dingin dan mengenalpasti pencahayaan tidak cekap tenaga dan
merancang keperluan pencahayaan.  CETREE telah mencadangkan kepada semua PTJ bagi mewujudkan JK Kelestarian masing masing bagi memastikan isi penggunaan elektrik dapat ditangani. Selain daripada itu JK ini juga boleh berfungsi bagi memastikan isi kelestarian lain juga boleh ditangani, seperti air, bangunan, kesihatan pekerja, 3R dan lain-lain.

48. Dalam hal yang berkaitan dengan meningkatkan usaha dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang pada masa ini lebih menekankan kepada pendekatan “teacher-centered” yang dikatakan sukar untuk menghasilkan siswa-siswi dan akhirnya siswazah yang holistik yang hanya menguasai ilmu pengetahuan tetapi tidak dapat bersikap lebih “flexible” dan “adaptable”. Universiti sewajarnya mengintegrasikan kandungan dengan penggunaan dan peningkatan teknologi dalam pembelajaran yang disokong oleh pendekatan pedagogi.  

49. Malah dicadangkan juga agar Universiti menekankan kepada kepentingan pembangunan diri dan profesional yang berterusan jika benar-benar inginkan berlaku peningkatan dalam kualiti dan impak dalam penyelidikan dan pengajaran dan membangunkan CPD untuk tujuan ini.  Turut dibangkitkan ialah tentang bagaimana Universiti mengiktiraf usaha pengajaran yang menimbulkan tanda tanya dan agaknya kebimbangan terhadap “teaching track” seseorang pensyarah yang juga pendidik yang tentunya bukan sekadar diiktiraf dalam Anugerah Sanggar Sanjung tetapi melebihi jangkauan yang ada.

50. Selain dari itu, saya turut diperingatkan agar terus memperkasakan program pendidikan sepanjang hayat USM, bukan sahaja dalam bentuk seperti pendidikan jarak jauh tetapi program-program yang memberi peluang kepada lebih ramai rakyat negara ini menguasai ilmu. USM didokumenkan dalam  Blueprint Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat Malaysia untuk tahun 2011 hingga 2020, Kementerian Pengajian Tinggi sebagai institusi yang memulakan program pengajian jarak jauh di Malaysia. Tentunya dalam usia penawaran pengajian jarak jauh USM yang menjangkau lebih 40 tahun, kita bukan sekadar boleh berbangga tetapi juga melihat dengan jelas kedudukan kita berbanding dengan para pesaing dan peranan kita keseluruhannya.  Perkongsian kemudahan yang ada, perkembangan pusat-pusat wilayah dengan kemudahan yang lebih bersesuaian dan bagaimana pusat-pusat pengajian dapat menyokong usaha ini secara berterusan.  Seperti juga dalam usahausaha lain, bagi menjayakan usaha seperti ini, kita tidak boleh lagi bergerak secara “silo” dan bersendirian tanpa melibatkan pihakpihak lain sekitar kita.

51. Dalam usaha memantapkan pentadbiran universiti dan birokrasi  banyak pandangan diberikan oleh pelbagai pihak. Seorang pensyarah muda memberikan beberapa perhatian yang boleh kita fikirkan bersama. Karenah birokrasi dan pelbagai ‘red tape’ yang mengekang perjalanan universiti akan dapat diatasi melalui
pelaksanaan beberapa mekanisme terbaru bagi meningkatkan kewibawaan dan berupaya menjadi  anjakan paradigma dalam  era pendidikan bertaraf dunia. Usaha melaksanakan transformasi ini adalah faktor kejayaan kritikal kepada universiti kita. Kehidupan masa kini lebih ‘menghargai’ sesuatu yang mudah, ringkas dan cepat. Zaman serba kecanggihan ini seolah-olah telah memendekkan masa setiap individu sehinggakan dalam segala perkara dan urusan. Transformasi yang dilakukan perlu bermatlamat untuk melakukan perubahan dalam kalangan staf universiti untuk mencapai kecemerlangan dan  bertujuan untuk melakukan perubahan pada pola pemikiran, budaya kerja dan perilaku seseorang. Proses perubahan dan pembaharuan ini haruslah dilakukan secara berperingkat.

52. Malangnya menurut pengamatan pensyarah ini, masih wujud karenah birokrasi yang tidak menyumbang kepada pencapaian misi yang ada dalam kalangan pengurusan di universiti kita. Sikap sambil lewa, melengah-lengah dalam membuat keputusan dan melaksanakan tugas, pilih kasih dan menangguhkan kerja seolaholahsebati dengan staf bukan saja menunjukkan kelemahan pentadbiran malahan menjejaskan mutu perkhidmatan universiti kita secara keseluruhan. Pada umumnya, fokus utama kita adalah menzahirkan pencapaian secara objektif dan realistik. Karenah birokrasi akan membezakan seseorang yang celik teknologi maklumat dan yang tidak celik teknologi maklumat. Maka, staf yang tidak celik teknologi maklumat akan terus ketinggalan dalam mencapai indeks prestasi yang sepatutnya dicapai.

53. Satu pendekatan yang berkesan perlu difikirkan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak akan kepentingan sistemsistem yang diwujudkan secara talian mahu pun kaedah lainnya. Pada masa yang sama birokrasi tadbir urus perlu dikurangkan dan pihak pengurusan bertindak sebagai pemudah cara kepada penyelidik. Satu perkara yang dikhuatiri akan berlaku ialah halangan birokrasi yang akan mempengaruhi pula kelancaran pelaksanaan aktiviti misalnya dalam usaha penyelidikan dan inovasi. Pengurangan karenah birokrasi pada peringkat universiti bukan sahaja akan memudahkan semua pihak  menyahut seruan melestari perkhidmatan kelas pertama, tetapi juga mampu meningkatkan keupayaan kita dari segi mudah urusnya pengurusan dan pentadbiran serta  meningkatkan produktiviti individu.

54. Saya amat menghargai semua pandangan yang diberi termasuk yang saya sebutkan di atas dan ada sebahagian lain yang tidak dapat saya masukkan di sini. Namun saya harus menegaskan bahawa, saya amat mengalu-alukan segala pandangan yang diberi sama ada dalam kalangan warga staf mahu pun dalam kalangan siswa-siswi kita. Kerana itu, kita masih sedang bergelut untuk melancarkan segera portal khas IDEAS@USM yang akan memberi ruang dan peluang kepada seluruh warga universiti mengetengahkan pendapat dan pandangan mereka. Malah saya sedang meneliti beberapa penulisan yang dibuat oleh siswa-siswi kita dalam satu forum tentang dasar luar negara yang diadakan di USM baru-baru ini. IDEAS@USM lahir dari keinginan saya secara peribadi untuk melihat lebih ramai orang memberikan maklum balas, pendapat dan pandangan malah cadangan-cadangan tentang bagaimana kita dapat membawa USM ke hadapan kerana Universiti ini adalah milik kita bersama. Hanya dengan cara ini kita dapat bersama-sama menggerakkan usaha untuk melonjakkannya dalam mencapai APEX atau apa sahaja program yang dapat meletakkan Menara Ilmu ini ke mercu.  Kita mungkin berbeza pendapat tentang pelbagai perkara tetapi kepelbagaian itulah yang menjadikan kita sebagai satu kesatuan yang sangat menarik, yang pada akhirnya berupaya menjadi satu bangsa yang hebat. IDEAS@USM diuruskan  terus melalui jawatankuasa di bawah Pejabat Naib Canselor.

CABARAN DALAM PEMAJUAN KECEMERLANGAN

55. Universiti berhadapan dengan pelbagai cabaran yang perlu diberi perhatian yang serius yang boleh dirumuskan seperti berikut:
55.1. Mendapatkan pengiktirafan daripada pelbagai pihak terhadap kejayaan universiti.
55.2. Keperluan mengukuhkan transformasi dalaman.
55.3. Pelaksanaan keputusan dan pemantauannya yang berterusan.
55.4 Pemahaman hala tuju yang berbeza daripada apa yang dihasratkan.
55.5. Interpretasi negatif  terhadap apa yang dihasratkan oleh universiti.
55.6. Strategi untuk meningkatkan sumber pendapatan dan mempelbagaikannya yang memerlukan perundingan yang lebih menyeluruh.
55.7. Isu-isu implementasi transformasi dan mengukur pencapaian serta memantau pelaksanaan.
55.8. Salah faham dan ketidakfahaman terhadap APEX.
55.9. Produktiviti staf yang berjurang tinggi.
56. Kerana itu, Universiti  telah mengenal pasti usaha-usaha yang boleh dilaksanakan untuk menguruskan cabaran-cabaran yang ada sepanjang 2012, memantaunya secara berterusan dan di mana yang boleh akan membuat penambahbaikan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

STRATEGI INSTITUSI 2012
57. Beberapa asas untuk melaksanakan program APEX ditetapkan melalui pewujudan beberapa pelantar transformasi. Pemacuan kepada program kecemerlangan telah dilaksanakan melalui lapan (8) pelantar transformasi dan sembilan (9) pasukan petugas seperti tersenarai yang mengambil kira pelantar berikut.
• Pelantar Bakat
• Pelantar Sumber
• Pelantar Governan
• Pelantar Penyelidikan
• Pelantar Perkhidmatan dan Luaran
• Pelantar Pembangunan Pelajar
• Pelantar Pasca Siswazah
• Pelantar Pembelajaran dan Pemupukan

58. Semua pelantar ini digerakkan dengan perancangan dan perlaksanaan yang mengambil kira peruntukan kewangan yang mencukupi.  Walaubagaimanapun seperti yang tersedia maklum tidak semua yang dirancang dapat dilaksanakan dan tidak semua staf dan pusat tanggungjawab terlibat secara langsung dalam pelaksaan program di Universiti.

60. Disamping itu Sembilan (9) pasukan petugas ditubuhkan:
• Pasukan Petugas Governan dan Birokrasi
• Pasukan Petugas Kualiti dan Penarafan
• Pasukan Petugas Jurang Sumber
• Pasukan Petugas Masa Hadapan
• Pasukan Petugas Kesejagatan
• Pasukan Petugas Kelestarian
• Pasukan Petugas People-led Local Solution
• Pasukan Petugas Ombudsman
• Pasukan Petugas Strategi Lautan Biru

61. Kesemua pasukan pelantar dan pasukan petugas telah menjalankan tugas masing mengikut keupayaan yang ada dalam kekangan yang ada. Semuanya melakukan dengan gigih dalam pasukan yang ada dan
bekerjasama untuk mencapainya walaupun terdapat sesetengah saranan dapat dilaksanakan atau pun dilaksanakan dalam konteks yang berbeza misalnya cadangan Skim Perkhidmatan Khas APEX  yang kini telah diterjemahkan sebahagian dari hasratnya melalui skim SBPA. Universiti ingin mengucapkan terima kasih kepada semua, termasuklah mereka yang telah tiada lagi, yang bersara, yang telah dipinjamkan ke insititusi lain atau yang tidak lagi terlibat dalam usaha-usaha ini.

STRATEGI 2012-2013

62. Keempat-empat objektif strategik yang di bawah ini bersama rasionalisasinya dan sasaran pencapaiannya yang dikekalkan.  Begitu juga sasaran pencapaian untuk prestasi universiti penyelidikan. Beberapa strategi dan inisiatif baru akan dilaksanakan.

63. Antaranya ialah dengan menetapkan tiga petunjuk utama untuk  digunakan bagi mengukur pencapaian pusat-pusat pengajian dan kecemerlangan dan institut iaitu pencapaian APEX, Universiti Penyelidikan dan PSPTN dengan menggunakan pengukuran pencapaian yang dianggap relevan.

64. Untuk Pusat Perkhidmatan dan Pentadbiran universiti, petunjuk prestasi yang dicadangkan ialah cabutan daripada petunjuk ketiga di atas  yang relevan dan ditambah dengan petunjuk jabatannya sendiri yang akan diasaskan mengikut  ‘kanvas lautan birunya’ yang perlu dihantar untuk kelulusan Universiti.Lampiran B, Lampiran C dan Lampiran D ialah sasaran untuk tahun 2012 dan 2013.

OBJEKTIF STRATEGIK DAN PENCAPAIAN PETUNJUK UTAMA

65. USM telah  menetapkan sasaran utama untuk menjadi universiti  bertaraf dunia pada tahun 2025, dengan sasaran universiti penyelidikan lestari dalam tahun 2016 dan menjadi universti berintensifkan penyelidikan ke arah kelestarian pada tahun 2013 (Lampiran E).

66. Dalam usaha  mencapai sasaran  2013, empat objektif strategik telah ditetapkan iaitu:
66.1 Menggerakkan usaha menjadi universiti penyelidikan bertaraf dunia dengan tujahan dalam bidang kelestarian sejagat. (To move towards world class research universiti with emphasis on sustainability).
66.2 Berusaha menjadi universiti penyelidikan terpimpin dalam kelestarian dalam semua perkara yang diterajuinya. (To be a sustainability-led RU).
66.3 Berusaha menjadi pemimpin dalam libatsama masyarakat di rantau Asia Pasifik.  (To be the leader in community engagement in the asia-pacific region).
66.4 Pengurusan Transformasi Sumber, Bakat dan Urus Tadbir USM bagi mencapai hasrat transformasi pengajian tinggi. (Change management of resources, talent and governance of
USM).
67. Rasional di sebalik keempat-empat objektif strategik ini ialah terdapatnya keperluan mewujud dan memupuk pasukan penyelidikan mengikut  konsep baru penyelidikan berpasukan dalam pengeluaran  output penyelidikan bertaraf antarabangsa, keperluan untuk menetap dan memberikan fokus kepada aspek sosio-ekonomi golongan terkebawah berasaskan prinsip pembangunan lestari, untuk bergerak menjadi sebuah universiti terkemuka  dalam bidang kelestarian pada tahun 2016 untuk menyelesaikan isu-isu ekonomi, sosio-budaya, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan dan isu persekitaraan yang mempengaruhi golongan terkebawah dan proses melebarluaskan prinsip kelestarian dan pengurusan perubahan sebagai proses pengukuhan dalaman yang memasukkan keseluruhan eko-sistem universiti yang menyokong objektif strategik yang lain.

68. Strategi dan tindakan yang akan dilaksanakan adalah seperti berikut:
68.1. Ke arah Sebuah Universiti Penyelidikan Bertaraf Dunia berteraskan kelestarian:  Hasrat USM untuk muncul sebagai sebuah universiti penyelidikan bertaraf dunia dengan tujahan dalam bidang kelestarian sejagat melibatkan beberapa aktiviti penting yang meliputi usaha menyemai, mendorong dan memperkukuh inisiatif penyelidikan pelbagai disiplin untuk menangani dan membantu dalam  penyelesaian pelbagai masalah, mengurangkan jurang perbezaan serta meningkat kualiti hidup masyarakat.  Selain dari itu, kemudahan penyelidikan perlu diperkasakan termasuk membangunkan makmal bertaraf dunia dan pada masa yang sama meningkatkan kualiti penerbitan dan memajukan usaha dan aktiviti pengkomersilan produk penyelidikan.
68.2  Ke arah sebuah universiti penyelidikan terpimpin dalam kelestarian: Untuk memperjuangkan prinsip-prinsip kelestarian, USM sendiri perlu menjadi “showcase” kampus yang lestari dan “role model” dalam usaha ini. Asas-asas kelestarian perlu diterapkan dalam pelbagai bentuk termasuk melalui kursus-kursus universiti selain dari menjadikannya suatu keutamaan dalam pemohonan geran-geran universiti. Dalam konteks ini, pihak CGSS telah diberi mandat untuk melaksanakan audit lestari di seluruh kampus bagi mengukur sejauh manakah prinsip-prinsip lestari diabadikan dan dilaksanakan sepenuhnya di kampuskampus USM.  Ukuranini seterusnya akan ditanda-araskan dengan universiti-universiti lain di dunia sebagai ukur tanda pencapaian USM sebagai sebuah universiti APEX.
68.3. Sebagai pemimpin dalam libatsama masyarakat di rantau Asia Pasifik:  Selari dengan hasrat yang terkandung dalam Model Ekonomi Baru, USM akan terus menyemai nilainilai murni penglibatan masyarakat dalam projek-projek komuniti dengan berpaksikan kepada prinsip-prinsip keterangkuman dalam menangani isu-isu golongan yang kurang bernasib-baik serta terpinggir. Universiti juga melihat perlunya diwujudkan UCEC iaitu satu sekretariat Pelopor Libatsama Masyarakat di peringkat universiti. Selain itu, kita akan menggalakkan pihak industri dan swasta untuk samasama melibatkan diri dalam projek-projek yang kita terajui di peringkat tempatan, termasuk menerusi jaringan alumni kita.
68.4. Pengurusan Transformasi Sumber, Bakat dan Urustadbir USM ke arah transformasi pengajian tinggi: Sehingga kini, USM telah memperkenalkan pelbagai inisiatif  dalam usaha mendapatkan bakat yang terbaik dalam kalangan warganya, baik staf mahu pun dalam kalangan siswa-siswinya,  mengekalkan mereka dalam eko-sistem universiti, serta memperkasarayakan mereka pada tahap yang lebih baik.  Kita telah dan akan terus memperkenalkan pelbagai pendekatan baru untuk meningkatkan kualiti warganya.  Program MyCPD yang tertumpu kepada staf dan MyCSD yang dikhaskan kepada peningkatan skil dalam kalangan siswasiswiadalah contoh terbaik yang dihasilkan oleh kita. Sistem kenaikan pangkat, HCMS merupakan satu lagi daya usaha bersepadu pihak Pengurusan Bakat untuk menghasilkan suatu proses yang jelas dalam kenaikan pangkat. Selain dari itu, pihak IPS juga turut sama memperkenalkan
Pembangunan Personal dan Professional untuk caloncalon lepasan ijazah untuk melengkapkan mereka dengan
kemahiran insaniah (soft-skill) yang amat penting bagi menghasilkan graduan-graduan yang berdaya-saing.

69. Objektif strategik ini juga turut melibatkan usaha untuk meningkatkan sumber-sumber kewangan universiti yang lestari pada masa depan. Selain itu pelbagai inisiatif pengajaran dan pembelajaran terus ditekankan khususnya untuk menzahirkan graduan yang yang mampu menjiwai nilai-nilai kelestarian. Usaha bersepadu untuk mempromosikan projek-projek khas USM di persada antarabangsa juga akan dipergiatkan.

SASARAN TUMPUAN 2012

70 . Sasaran tumpuan untuk mencapai prestasi yang diletakkan ini adalah berteraskan kepada duabelas (12) objektif tumpuan dan lebih kurang seratus (100) penzahiran di pelbagai peringkat
universiti seperti yang dijelaskan dibawah dan diringkaskan di Lampiran E.

TUMPUAN 2012

71. Sebanyak duabelas (12) tumpuan diberikan sepanjang tahun 2012 ialah:
Tumpuan 1:  Meningkatkan Prestasi Universiti
Tumpuan 2:  Strategi Menjayakan Universiti Penyelidikan Bertaraf Tinggi
Tumpuan 3:  Melaksanakan Sistem Kelestarian
Tumpuan 4:  Mendapatkan pengiktirafan dalam bidang libatsama komuniti di Asia Pasifik
Tumpuan 5:  Penstrukturan Semula Struktur dan Sistem Pentadbiran Universiti
Tumpuan 6:  Melestarikan Bakat Pelajar dan Staf
Tumpuan 7:  Menggerakkan Universiti Mencapai Kelestarian Kewangan
Tumpuan 8:  Proses Pengukuhan Dalaman
Tumpuan 9:  Mentrasformasikan Universiti
Tumpuan 10:  Penandaarasan Governan
Tumpuan 11:  Meningkatkan Produktiviti
Tumpuan 12: Meningkatkan Pendapatan Universiti

OBJEKTIF TUMPUAN 2012
72. Tumpuan 1: Meningkatkan Prestasi Universiti Penyelidikan
72.1. Kita akan bersama-sama berusaha untuk meningkatkan prestasi penyelidikan universiti dengan menjenamakan “Dynamic Research System” yang menekankan kepada  beberapa insiatif baru. Tahun 2012 ini juga akan memperlihatkan beberapa inisiatif sedia ada dilonjakkan dengan tumpuan kepada pencapaian kecemerlangan melalui program “ToPs@USM”.
72.2. Untuk meningkatkan prestasi penyelidikan, sebuah Pusat Inkubator yang bernilai 51 juta akan dibina dalam SAINS@USM di Bukit Jambul yang bertujuan untuk menyediakan pelantar mengkormersilan produk-produk USM. Ia akan menempatkan pelbagai fasiliti guna sama, ruang makmal dan pejabat untuk “spin-off” yang akan membangunkan hasil penyelidikan universiti untuk pasaran. Anak-anak syarikat USM, Sanggar SAINS Sdn Bhd dan USAINS Holding Sdn Bhd, dengan bantuan agensi-agensi swasta dan kerajaan, akan
menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk membantu “spin-off” dan usahawan yang terlibat akan didorong  untuk mencapai kejayaan. Ia akan memberi tumpuan kepada harta intelektual yang berasaskan bioteknologi dan sains hayat. Proses pembangunan sudah pun dimulakan dan blok pertama ini dijangka siap pada pertengahan tahun 2013.
72.3. Disamping itu SAINS@USM akan terus digemblengkan untuk terus ke hadapan dengan penstrukturan semula Sanggar Sains Sdn. Bhd. dan IXC Bhd yang akan memberikan nilai tambah kepada usaha ini.  Sebuah pusat perkhidmatan yang baru juga akan beroperasi di SAINS@USM iaitu CEE (Centre for Engineering Excellence) yang ditubuhkan  sebagai pusat yang akan memberikan perkhidmatan kepada CREST (Centre of Research Engineering and Science and Technology)  yang akan memusatkan kepada kecemerlangan perkhidmatan kejuruteraan.
72.4. Di samping itu satu lagi pusat perkhidmatan akan diwujudkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) iaitu Pusat Kecemerlangan  Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains, Universiti Sains Malaysia yang berpotensi menjadi pusat perkhidmatan untuk sains neuro di Kampus Kesihatan dengan peruntukan geran one-off yang dijanjikan sebanyak  RM2 juta. Pusat ini akan berupaya mengangkat citra dan martabat APEX USM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang terkenal dan terkehadapan dalam bidang perkhidmatan kecemerlangan dan penyelidikan Neurosains yang turut menggabungkan bidang sains perubatan, sains kesihatan, kejuruteraan dan sastera di Malaysia dan di dunia.
72.5. Untuk memastikan urus tadbir penyelidikan dan pengkomersilan berada pada tahap tinggi tanda arasnya
seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan USM, penubuhan Lembaga Bersama LGU dan Senat, yang dipengerusikan oleh Naib Canselor akan ditubuhkan untuk bertanggungjawab menguruskan penyelidikan, pengkomersilan, pelaburan dan kepelbagaian penjanaan pendapatan untuk melonjakkan USM. Lembaga Bersama ini boleh dinamakan RICE Board (Research Investment Commercerlisation Enterprise Board).    
72.6. Hal ini akan diikuti oleh penilaian yang bersesuaian untuk mewujudkan satu sistem pengurusan kluster
penyelidikan dalam kelompok-kelompok tertentu yang akan menginstitusikan dekan-dekan penyelidikan kepada pengarah-pengarah pengurusan penyelidikan untuk kluster dan kelompoknya.  Penubuhan institut berasaskan beberapa kluster adalah satu pendekatan yang boleh dizahirkan dengan mengambil pendekatan penubuhan Institut Penyelidikan Sains Sosial dan Kemanusiaan, Institut Penyelidikan untuk Sains Fundamental dan Institut Penyelidikan Sains Farmasi. Penilaian ini adalah bersesuaian dengan beberapa penilaian lain yang akan turut diadakan antaranya ialah penilaian perancanan strategik semua pusatpusat kecemerlangan penyelidikan USM yang diluluskan oleh senat atau pun pusat yang beroperasi sebagai sebuah
pusat kecemerlangan.

73. Tumpuan 2: Strategi Menjayakan Universiti Penyelidikan Bertaraf Tinggi  
73.1 Pencapaian universiti sebagai sebuah universiti penyelidikan dijangka akan dapat ditingkatkan lagi melalui beberapa strategi utama penyelidikan yang akan diperkasakan. Output dan impak penyelidikan harus diketengahkan untuk menjana pendapatan, memberi impak kepada komuniti atau golongan yang disasarkan. Penyelidik akan dibudayakan untuk melihat lebih jauh daripada  output pengukuran semasa yang amat kecil skop dan impaknya.  
73.2. Selain dari itu, usaha perlu dibuat untuk mendapatkan lebih banyak geran penyelidikan. Universiti akan terus berusaha menggerakkan pusat-pusat penyelidikan untuk meningkatkan prestasinya. Untuk meningkatkan  prestasi universiti ke taraf yang lebih tinggi, projek-projek khas dalam APEX  akan diteruskan selepas penilaian outputnya dan impak yang bakal dijananya. Projek khas APEX yang ada sekarang ialah seperti Lampiran F. Projek ini akan dillebarkan lagi dalam tahun 2012 dengan memasukkan
juga projek-projek baru untuk dilaksanakan untuk dua tahun yang akan datang. Projek-projek khas APEX dalam kategori penyampaian kecemerlangan juga dijangka akan dapat dihasilkan pada tahun 2012. Penilaian semula kepada projek-projek yang kurang berimpak sudah selesai dan akan di strategikan semula mengikut keperluannya. Sebanyak 17 projek khas APEX juga sudah dikenal pasti seperti yang tersenarai untuk diusahakan melalui pembiayaan menggunakan pelbagai kaedah seperti dalam Lampiran G.
73.3. Universiti juga sudah mengenal pasti bidang tumpuan berstrategi penyelidikan dalam bidang tujahan (niche) universiti, bidang strategik Negara serta bidang baru pengetahuan dan bidang kelestarian. Begitu juga dengan aktiviti dalam pra-pengkomersilan yang akan turut ditingkatkan. Sudah tentu juga untuk menjana pendapatan yang lebih melalui pengkomersilan “Program Innovator” yang telah dijalankan sejak dua tahun yang lalu telah mengenalpasti lebih daripada 20 hasil penyelidikan yang berpotensi untuk dikomersilkan (daripada 120 projek penyelidikan yang dinilai) serta menghasilkan 5 “spin-off” dalam tahun 2011, akan diteruskan dan dipertingkatkan lagi. Selain dari usaha membangunkan hasil penyelidikan berpotensi yang telah dikenalpasti sebelum ini ke arah pengkomersilan, penilaian hasil penyelidikan untuk mengenalpasti produk yang mempunyai nilai komersil akan diteruskan lagi dan dipertingkatkan dengan sasaran antara
50-100 lagi projek disasar dalam tahun 2012 tertakluk kepada dana yang ada.
73.4. Dalam tahun 2012 juga, melalui kerjasama dengan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dan Northern Corridor Implementation Agency (NCIA), USM berharap akan mengkomersilkan sekurang-kurangnya 10 lagi harta intelek universiti. Usaha ini sudah pun dimulakan dengan mengenal pasti 40 orang siswazah alumni  USM dan universiti lain yang sudah pun memulakan program latihan dan bimbingan selama 3 tahun untuk membangunkan mereka sebagai usahawan generasi baru yang akan membawa 10 harta intelek USM ke pasaran.  Usaha untuk membangunkan dua “spin-off” syarikat yang akan menghasilkan vaksin-vaksin halal untuk pasaran di Asia, dan yang akan menghasilkan beberapa kit diagnosis untuk penyakit tropika hasil daripada penyelidikan USM akan turut dilaksanakan dan dimajukan.
73.5. Sebagai strategi bersama penyelidik, dekan pelantar dan pihak RCMO dan Bahagian P&I peningkatan dalam geran penyelidikan agensi luar dan daripada luar negara akan ditingkatkan sekurang-kurangnya 10%.
73.6. Gerakan untuk mempelbagaikan hubungan dan libat sama dengan industri untuk tujuan mendapatkan lebih banyak geran luar akan diteruskan malah akan dipereratkan lagi. Sepanjang 2010 USM mempunyai hubungan akrab dengan kira-kira 1,376 syarikat dan organisasi yang bertambah sebanyak 7.6% kepada 1,480 dalam tahun 2011 dan dijangka terus meningkat sebanyak 10% dalam tahun 2012. Malah bilangan negara, bilangan universiti dan institutusi yang USM atau warganya terlibat di peringkat antarabangsa akan ditingkatkan untuk memastikan program pengantarabangsaan akan dicapai melalui projek “USMLinks” agar pemetaan USM akan lebih tampak dan ketara. Universiti juga bersedia memberikan geran ‘matching’
untuk kerjasama dan usaha sama dengan makmal di luar dan di dalam Negara yang program dan projeknya diiktiraf oleh Universiti. Geran prototaip  yang dinamakan sebagai Dana Inovasi Awal (Innovation Seed Fund) akan diberikan maksimum RM50,000 tertakluk kepada kedudukan kewangan universiti dan kelulusan projek tersebut.

74. Tumpuan 3: Melaksanakan Sistem Kelestarian universiti
74.1. Universiti sedang bergerak untuk mengadaptasi secara menyeluruh sasaran untuk menjadi universiti yang
berteraskan kelestarian dalam pelbagai bidang. Beberapa inisiatif baru dirancang dan akan dilaksanakan untuk
mencapai hasrat tersebut. Antaranya ialah perolehan hijau yang menekankan kepada pengurangan penggunaan bahan-bahan tidak mesra alam dan tidak cekap tenaga. Ini merangkumi perolehan bahan habis guna pejabat seperti kertas dan dakwat dari sumber hijau, perolehan aset yang cekap tenaga elektrik seperti penghawa dingin, lampu pencahayaan, komputer, peralatan saintifik makmal, dan juga aset kenderaan yang lebih hijau berasaskan enjin hibrid dan NGV. Sebut harga bagi peralatan perlu tegas menyatakan bahawa pembekal mesti membuktikan bekalan adalah hijau, sama ada dari segi sumber penghasilan dan proses pembikinan atau prestasi produk akhir yang dibekalkan.
74.2. Universiti juga menetapkan sasaran pencapaian indeks kelestarian universiti dan sebagai satu langkah untuk meningkatkan asas kelestarian iaitu keterangkuman, maka kemudahan untuk penyelidikan akan dilancarkan di kampus kejuruteraan yang dinamakan SERC (Science and Engineering Research Centre). Ini ialah contoh kelestarian dalam aplikasi iaitu mengoptimumkan penggunaan sumber dengan perkongsian bijak seperti makmal bersepadu.
74.3. Salah satu tumpuan utama dalam penyelidikan kelestarian akan mula digerakkan di CGSS untuk mencapai matlamat yang diharapkan. Di samping program pasca siwazah mod campuran yang dinamakan Sarjana Program Pembangunan atau  Masters Development Programme dengan kerjasama Earth Institute akan mula dirangka di GSB dan akan ditawarkan pada masa yang bersesuaian.
74.4. Untuk melebar luaskan asas kelestarian semua pusat tanggung jawab akan mula diaudit untuk mendapatkan penanda arasan yang sesuai dan kemudiannya nanti program intervensi dan penambahbaikan akan dilaksanakan oleh Universiti. Untuk memastikan tanda aras kelestrian ini dicapai, maka penubuhan dan penstrukturan semula Pejabat Kampus Sejahtera untuk berfungsi sebagai pejabat kelestarian akan dilaksanakan pada tahun ini.
75. Tumpuan 4: Mendapatkan Pengiktirafan dalam Bidang Libat Sama Komuniti, Jaringan di Asia Pasifik dan Antarabangsa  
75.1. Proses untuk mendapatkan pengiktirafan dalam bidang baru iaitu libat sama komuniti memerlukan pemahaman dan penglibatan tenaga kerja yang bersinergi dengan tujuan dan tumpuan universiti. Di antara tindakan yang akan dilaksanakan ialah meningkatkan bilangan projek libat sama komuniti di pelbagai peringkat dan komuniti seluruh Malaysia.  Sebanyak 171 projek berdasarkan konsep libatsama universiti-komuniti yang merangkumi aspek kesihatan, pendidikan, persekitaran, sosio-budaya, ekonomi dan pemuliharaan telah dilaksanakan oleh Universiti.  Projek-projek ini bertujuan untuk membantu menangani
masalah atau cabaran yang dihadapi oleh masyarakat, serta membimbing dan memimpin masyarakat ke arah pembangunan, kemajuan dan transformasi lestari selaras dengan tanggungjawab sosial Universiti untuk menyumbang kepakaran, ilmu, kemahiran, sumber dan kemudahan yang ada kepada masyarakat. Bilangan ini dijangka meningkat pada tahun 2012. Program Perpindahan Ilmu juga akan menjadi modaliti tambahan untuk libat sama industri dan komuniti berfokuskan kepada bidang keberhasilan utamanya.  Sehingga kini 20 projek sudah dibiayai gerannya dan dijangka bertambah tahun ini.
75.2. USM juga telah mempelopori dan menerajui  penubuhan  “the Asia-Pacific University–Community Network” (APUCEN) yang meletakkan nama kita di peta dunia dalam bidang libat sama universiti-komuniti. Rangkaian APUCEN yang dilancarkan pada tahun 2011 merupakan satu rangkaian libat sama universiti-komuniti yang pertama ditubuhkan di rantau Asia-Pasifik dengan keahlian 44 ahli institusi dari 10 buah negara. Dijangkakan USM akan berupaya menggembleng lebih banyak institusi dari negara-negara lain yang belum terlibat untuk menganggotai APUCEN dengan sasaran sekitar 10% dari bilangan yang sedia ada. APUCEN bertujuan untuk mempromosi dan memupuk konsep libat sama universiti-komuniti kepada warga IPT, 34 PB
sebagai medan perkongsian pengalaman, maklumat dan ilmu pengetahuan dalam kalangan  IPT dan melaksanakan projek-projek “flagship” bersama dengan IPT serantau. Malah USM juga telah mengambil inisiatif menganjurkan University-Community Engagement Conference yang bermula di Pulau Pinang pada tahun 2009 dan akan diadakan untuk kali kedua sebagai kesinambungan dari usaha ini pada 9–12 Januari 2012 di Chiangmai, Thailand dengan Thailand sebagai tuan rumahnya.
75.3. Universiti juga akan menjadi tuan rumah kepada sekritariat baru  Global Higher Education Network (GHEN) sebagai tunjang  kepada  Global Higher Education Forum (GHEF)  yang dilaksanakan bersama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia  sejak 6 tahun lalu.  Sehingga kini sudah ada 21 orang ahli dalam GHEN yang baru sahaja sebulan dilancarkan.  75.4. Saya percaya pusat-pusat pengajian dan PTJ juga berusaha keras untuk menjana pendapatan dari usaha sama dengan pelbagai institusi dan organisasi di dalam dan di luar negara.  Terkini misalnya, Pusat Pengajian Pengurusan telah  berjaya mendapatkan kontrak untuk melatih pegawaipegawai kanan kerajaan Brunei Darussalam dalam bidang Pengurusan Sumber manusia, Pengurusan Ilmu serta Etika dan Tadbir Uruis Korporat.  Kejayaan ini diharapkan dapat merangsang lebih banyak PTJ akan berbuat demikian tanpa mengenepikan fokus utama terhadap amanah yang sedia ada dalam penyampaian ilmu dan pembangunan holistik siswa-siswi mahu pun yang lainnya.

76. Tumpuan 5: Penstrukturan Semula Struktur dan Sistem Pentadbiran Universiti
76.1. Universiti juga akan melaksanakan proses pengukuhan dalaman (internalisation) melalui proses penstrukturan semula sistem dan pentadiran universiti untuk meningkatkan produktiviti dan keberkesanan pentadbiran dengan mengoptimumkan penggunaan sumber dan memperkayakan bakat. Antaranya ialah pengukuhan pusat pentadbiran/tangunggjawab termasuklah penubuhan 35 PBpusat baru dan pemisahan atau penggabungan semula entiti dalaman. Fungsi yang boleh dikonsolodilasi dan dibuat “multi-tasking” akan dikenal pasti oleh satu pasukan petugas khas termasuklah melihat kepada sumber staf  yang boleh dapat dikongsi dan digunasama misalnya dalam kalangan pereka, pegawai penyelidik, pegawai sains dan sebagainya.  Tujuan utamanya ialah untuk mengoptimumkan penggunaan sumber yang sedia ada bagi tujuan tersebut.
76.2. Fungsi dua pejabat yang sedia ada iaitu Bahagian Pembangunan Insitusi dan Pejabat Komunikasi Strategik akan dibantu oleh Pejabat Transformasi untuk menggiatkan proses transformasi dalaman dan luaran universiti agar dapat diperkemas dan diperkasakan.
76.3. Untuk menjayakan lagi proses pengkomersilan dan penjanaan kewangan universiti, penstrukturan semula syarikat dan anak syarikat universiti termasuk menubuhkan syarikat holding dan juga yayasan akan diteliti dengan mendalam.
76.4. Universiti sedang berhadapan dengan pelbagai risiko dalam usaha menerjah alam baru yang tidak menjadi kebiasaannya di samping menerokai inovasi proses dan pengurusan sedia ada. Dengan itu pengurusan risiko universiti akan mula dilaksanakan dengan perlantikan pengurus risiko universiti melalui penggubalan kerangka risiko yang dapat menasihatkan universiti dalam kepelbagaian tindakan kehadapannya.
76.5. Tiga lagi pejabat baru sedang dikaji penubuhannya dan penstrukturan fungsinya iaitu penstrukturan semula Unit Perhubungan Alumni, Pusat Kualiti dan Pusat Akademik dan Pemupukan  Pembelajaran.

77. Tumpuan 6: Melestarikan Bakat  Pelajar
77.1. Pemupukan bakat pelajar di peringkat siswazah dan pasca siswazah akan diteruskan secara berstruktur. Keluaran siswazah Universiti dalam program APEX akan bermula pada 2012 di peringkat siswazah dan pasca siswazah.  Universiti menyeru semua pihak di pusat pengajian, Bahagian HalEhwal dan Pembangunan Pelajar, Institut Pengajian Siswazah malah siswa-siswi sendiri untuk meningkatkan kemahiran
dan daya saing mereka untuk bersedia bergraduat dan menghadapi dunia luar. Program berterusan untuk penambahbaikan seperti PIMPIN SISWA, NRIC, Pesta Hoki dan Pesta Bola Jaring, Program Keusahawanan seperti SEDIA dan program penambahbaikan kualiti akademik seperti SIAP perlu diteruskan dan dilakukan penambahbaikan secara berterusan. Usaha USM dalam meneraju pemupukan bakat pelajar amatlah ketara melalui pelbagai program yang telah dilaksanakan di peringkat siwazah dan pasca siswazah
sejak APEX dimulakan.  
77.2. Inisiatif seperti Dasar Pembangunan Siswa, PIMPIN SISWA, SEDIA, Dewan Perundingan Pelajar atau Parlimen Mahasiswa adalah tanda aras lautan biru yang setakat ini tiada tandingan. Walaupun begitu kecemerlangan keseluruhan bakat pelajar masih menjadi asas utama pemacuan ini dan universiti akan terus berusaha ke arah itu. Pemupukan bakat dan kelestariannya amat penting. Dengan itu tindakan kepada proses ini perlu diteruskan antaranya ialah mensasarkan untuk mengurangkan nisbah staf: pelajar, mengurangkan “mismatch” atau meningkatkan potensi bakat, memprofil kemahiran bakal graduan dan  meningkatkan e-learning. Antara projek yang boleh digemblengkan ialah “Talent Repository” yang memerlukan kerjasama dengan industri. Projek pemupukan bakat peringkat inovasi boleh diteruskan melalui lebih banyak ‘students initiated project’ yang telah menjadi “flagship” projek-projek yang menjadi ikutan pelajar di IPT lain.
77.3. Di samping aspek pengembangan dan pemantapan program akademik melalui usaha seperti menawarkan program ijazah bersama (berkembar) serta menambah bilangan program ijazah yang mendapat pengiktirafan luar negara perlu turut menjadi sasaran utama.
77.4. Kekosongan kursi profesor yang mempunyai pembiayaan yang cukup juga akan diisi melalui proses pengiklanan dan pemilihan. Usaha juga akan dijalan menambah bilangan kursi profesor, mengkaji nilai keberhasilan kos kepada program ASTS dan zamalah lainnya.
77.5. Aspek pemupukan bakat akademia amatlah penting untuk diusahakan dan perancangan pelan penggantian akademia akan mula diusahakan selepas perbincangan teliti dijalankan.  
77.6. Usaha pemasaran jenama USM turut melibatkan pengenalan USM Global Fellowships-suatu bentuk zamalah khas yang diwujudkan dalam bilangan yang terhad dan berprestij, yang akan diiklankan di seluruh dunia, demi menarik ramai pelajar-pelajar yang cemerlang untuk menyambung pengajiannya di peringkat Phd di sini.
77.7. Antara program berterusan lain ialah untuk meningkatkan kualiti pengambilan pelajar dari segi kelulusan akademik, ko-kurikulum dan penilaian MunSYI. Penekanan kepada meningkatkan kualiti output pelajar di peringkat siswazah dan pasca siswazah juga perlu diberi perhatian serius oleh pusat pengajian. Pusat Pengajian juga perlulah meningkatkan kualiti program anjuran untuk pelajar, anjuran pelajar dan meningkatkan penyertaan dalam program. Majlis Perwakilan Pelajar pula boleh menggerakkan pewujudan Parlimen Global Pelajar Universiti (Global University Student Parliament).
77.8. Di samping itu usaha meningkatkan pembelajaran atas talian (on-line learning) perlu diperkukuhkan di samping  meningkatkan kursus kelestarian atau memasukkan elemen kelestarian dalam kursus-kursus di Universiti serta memberi fokus kepada keluaran siswazah keusahawanan.

78. Tumpuan 7: Menggerakkan Universiti Mencapai Kelestarian Kewangan
78.1. Universiti bertaraf antarabangsa akan hanya dapat dicapai jika kedudukan kewangannya dapat dimantap dan dilestarikan.  Lopongan kepada pengurusan kewangan yang lestari amatlah ketara dan satu usaha untuk memastikan aspek-aspek ke arah mengkoskan dan menjadikan programprogram di universiti
sebagai berdaya maju amatlah penting.  Program-program di universiti  perlulah dirancang untuk
tujuan tertentu dengan strategi pembiayaan yang khusus atau tersendiri. Penerusan penjanaan kewangan dalam program dan projek yang mendatangkan hasil perlulah dianalisis supaya kosnya itu adalah kos sebenarnya yang ditanggung dan supaya beban kos tidak langsung kepada universiti dapat dikurangkan dan elemen pulangan kos dapat dimasukkan.  Satu program khas kelestarian kewangan akan dimulakan.
78.2. Dengan itu juga tindakan-tindakan akan dimulakan dengan  mewujudkan  “USMKL  Venture”  yang  perlu berdaya maju dari segi kewangannya. Juga akan dilakukan untuk
mengkorporatkan atau mewujudkan unit perniagaan khusus untuk menjana kewangan di beberapa pusat tanggung jawab seperti desasiswa, Pejabat Perhubungan Alumni, pangsapuri usm, Dewan Budaya dan lain-lain.  Rasionalisasi kos untuk program-program penting universiti ke arah bajet berasaskan outcome akan dibuat. Malah Universiti akan turut membuat perancangan Strategik HUSM dan IPPT termasuk memanfaatkan pelancongan perubatan yang banyak dilaksanakan sekarang ini dengan lebih cekap dan
berkesan, apatah lagi dengan kedudukan kedua-duanya di kawasan yang agak strategik. PPPJJ perlu mempunyai perancangan strategik yang bersesuaian dengan konsep pulangan atau imbangan kosnya. Kesemua perancangan berstrategi dalam lima tahun akan datang diharap akan membantu universiti dalam aspek kelestarian kewangan.

79. Tumpuan 8: Proses Pengukuhan Dalaman USM
79.1. Dalam melonjakkan USM ke peringkat global dan juga dengan penggunaan konsep “empowering” USM, pengukuhan dalaman dari segi pentadbiran, produktiviti staf, proses yang efisen dan pengurangan birokrasi dan konflik amatlah penting. Universiti berpendapat lonjakan kepada kecemerlangan USM akan dicapai dengan pengukuhan dalam penggunaan sumber dan pengasahan bakat dan keberkesanan pengurusan melalui penghakupayaan. Oleh itu tindakan akan diambil untuk mengkaji dan menstrukturkan semula latihan untuk staf universiti dalam memastikan tonggak utama universiti dalam bidang pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan dirancang dengan baik.  Ini termasuklah mengukuhkan perancangan penggantian dan pembangunan kerjaya staf merupakan antara kaedah yang akan digunakan oleh Universiti.  Disamping itu usaha-usaha menterjemahkan Skim Baru Pekhidmatan Awam (SBPA)
sebagai asas pengukuhan dalaman juga akan dilaksanakan. Satu pasukan akan ditubuhkan untuk mengkaji pengurangan birokrasi dan proses kerja di universiti.  
79.2. Kajian kepada penyahpusatan pengurusan sumber manusia dan usaha meningkatkan keberkesanannya akan dilaksanakan secara berterusan. Universiti amat prihatin terhadap potensi meningkatkan produktiviti staf dan memastikan keseimbangan penilaian tahunan mereka dapat dibuat.  Profil untuk staf bagi meningkatkan perancangan latihan akan dibangunkan segera. Satu usaha untuk membangunkan model perancangan pelan penggantian untuk pentadbir dan akademik juga akan dilakukan pada tahun 2012.
79.3. Antara perkara-perkara lain yang akan dikaji dalam proses pengukuhan dalaman ialah kriteria kenaikan pangkat, proses kenaikan pangkat, meningkatkan produktiviti staf pengurusan dan pelaksana, membangunkan pelan pembangunan sumber manusia, mengaudit dengan menyeluruh penggunaan sumber manusia di universiti dan  menambahbaikan HCMS. Akhirnya usaha-usaha berterusan mentransformasikan pengurusan sumber manusia universiti akan diteruskan termasuklah mengoptimumkan jadual kerja untuk mengurangkan kerja lebih masa.

80. Tumpuan 9: Mentransformasikan Universiti dalam Program Rasionalisasi
80.1 Usaha mentransformasikan universiti akan dapat dicapai dengan menggunakan pendekatan kos rasionalisasi, activity-based budgeting  dan outcome based budgeting.  Kaedah perbelanjaan universiti akan dikaji untuk melihat keberkesanan kos dan output program.  Satu pasukan kerja khas akan ditubuhkan untuk tujuan ini. Sebagai langkah awal program universiti yang dilaksanakan melalui kaedah lama akan dikaji semula dan perubahan dalam prinsip dan kaedah akan dilaksanakan dengan tujuan mengoptimumkan kos, meningkatkan output dan mengurangkan pembaziran.   Antaranya ialah mengurangkan penggunaan bahan pakai habis, perbelanjaan acara-acara di luar universiti, perbelanjaan makanan dan barang pakai habis, penerbitan bahan cetak melebihi keperluan, melaksanakan  e-print, mengurangkan penggunaan baju-baju khas acara dan beberapa perbelanjaan lain.
80.2. Satu program penanda arasan proses perolehan universiti oleh pasukan petugas khas akan juga dijalankan untuk mendapatkan keberkesanan kos dan juga melicinkan proses berulang yang mungkin tidak produktif.  Pengurusan program penjimatan tenaga juga dijangka dapat mengurangkan kos penggunaan tenaga. Program pengurangan proses birokrasi oleh pasukan petugas khas juga akan dijalankan secara berperingkat.

81. Tumpuan  10. Penandaarasan
81.1. Urus tadbir dan penanda arasannya amatlah penting kepada program kecemerlangan masa hadapan universiti.  Keutuhan universiti di peringkat nasional dan antarabangsa akan dapat capai dengan baik jika tumpuan kepada penanda arasan diperhebatkan.  Antaranya ialah bersedia untuk akta APEX yang baru, memasukkan elemen pengurusan risiko dalam proses pengurusan,  menubuhkan dan mengukuhkan
operasi pejabat Ombudsman.
81.2. Untuk siswa-siswi pula pengasingan kuasa displin pelajar akan dilaksanakan. Untuk urus tadbir pengukuhan prosedur pemilihan ketua pusat tanggungjawab yang diperuntukkan dalam perlembagaan universiti akan dilaksanakan.  Bagi urus tadbir entiti dalaman universiti, usaha untuk
mewartakan statut baru dan mengubahsuai statut lama akan juga dilaksanakan.
81.3. Di samping itu penglibatan pemegang taruh dalam jawatankuasa di peringkat pusat tanggung jawab untuk keputusan-keputusan yang dibuat termasuk dalam hal yang berkaitan siswa-siswi, staf akademik dan staf pengurusan dan pelaksana digalakkan untuk diwujudkan.      Penubuhan pasukan inspektorat dalaman pelbagai pihak untuk memantau proses supaya urus tadbir di peringkat praktis yang baik juga akan dimulakan. Audit ruang untuk Penyelidikan dan ruang pengurusan di semua kampus akan dijalankan di samping  audit peralatan makmal yang digunakan untuk program akademik, penyelidikan, kontrak perundingan dan penggunaan hybrid. Pembudayaan budaya urus tadbir terbaik untuk semua ketua pusat tanggung jawab akan dijalankan melalui sesi latihan dan bengkelbengkel khas.

82. Tumpuan  11: Meningkatkan Produktiviti
82.1. Produktiviti adalah tonggak kepada kecemerlangan sesebuah institusi. Hakikatnya majoriti staf adalah
produktif dan hanya segelintir yang kurang produktif. Walau bagaimana pun wujud lompongan dalam pencapaian produktiviti yang optimum. Oleh itu selari dengan SBPA universiti telah bersetuju untuk bergerak bersama PKAPUSM dan KKAUSM untuk merangcangkan strategi meningkatkan produktiviti.
82.2. Antaranya ialah dengan meningkatkan peratus ahli akademik menjadi penyelia utama dijangka dapat ditingkatkan 10 peratus daripada tahun sebelumnya, meningkatkan outputPhDs/Doktor Perniagaan/Pendidikan kepada 350 orang, meningkatkan pembiayaan kepada pasca siswazah dan siswazah dari pelbagai pihak  seperti program pembiayaan industrial PhDs, menseimbangkan pelajar tempatan dan
antarabangsa serta menggerakkan lebih ramai staf aktif di peringkat pusat tanggung jawab program-program khasnya.  Di samping itu program intervensi untuk membantu staf mefokus kepada tugas dan tanggungjawab serta membantu mereka yang bermasalah akan dimulakan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia secara berstruktur dan berfokus.

83. Tumpuan 12: Meningkatkan Pendapatan Universiti
83.1. Salah satu kriteria universiti cemerlang juga ialah keupayaannya untuk menjana kewangan selain daripada geran peruntukan kerajaan yang didapati menerusi penawaran program ijazah sarjana muda dan sedikit bantuan daripada kerajaan untuk melaksanakan program ijazah pasca siswazah. Dana Universiti Penyelidikan dan Dana APEX juga tidak harus menjadi sumber tunggal kecemerlangan universiti selamanya.
83.2. Adalah menjadi hasrat universiti meneruskan usaha meningkatkan sumber pendapatan ini selain daripada yuran untuk pelajar yang boleh digunakan untuk menambahkan keupayaan universiti menguruskan program baru atau yang mendapatkan nilai tambah. Di samping itu tumpuan perlu diberi kepada usaha menstrukturkan semula portfolio pelaburan pendapatan/simpanan universiti.   Turut dirancang ialah untuk menawarkan program pasca siswazah dengan “harga pasaran” di luar Pulau Pinang, meningkatkan pemberian dan endowment kepada USM; 5% kos daripada emolumen dalam perbelanjaan biasa universiti dan mengagihkan penjimatan ini kepada aktiviti pusat tanggungjawab serta berusaha untuk menstrategikan
pembiayaan aktiviti universiti dalam pelbagai bentuk.  Cadangan juga dibuat untuk mewujudkan Tabung Kekal Hidup yang baru dan Tabung Waqaf yang baru.

84. PENJENAMAAN USM DAN STRATEGI
84.1. Memperkukuhkan Penjenamaan dan pemasaran USM.  Jenama USM telah pun dikenali di peringkat nasional namun kita kini harus melangkaui batas negara untuk memasarkan serta memposisikan jenama USM di peringkat antarabangsa.  Usaha untuk memperkukuhkan lagi imej USM sebagai sebuah universiti ternama akan dilaksanakan dengan mempamerkan keupayaan serta pencapaian kita yang sebenar sebagai sebuah universiti. Untuk memantapkan proses pemasaran USM, beberapa konsep “branding” akan digunakan untuk melonjak dan menyesuaikan hasil penyelidikan, pengkomersilan, projek kreatif dan inovatif dan usaha baik yang kita lakukan selama ini akan dijadikan contoh menzahirkan objektif ini. Beberapa inisiatif baru
akan diberi tumpuan pada 2012 ini.  Antaranya termasuklah USMLinks, Tops@USM, Projek Rising Excellence, Ideas@USM, Dynamic Research System, Sustaining USM, Empowering@USM, USM@Outreach, USM@Innovate dan GPS@USM.
84.2. Dynamic Research Ecosystem:  Kita akan berjaya menarik bakat yang terbaik dari seluruh dunia dengan menghasilkan produk-produk penyelidikan yang inovatif. Eko-sistem penyelidikan yang dinamik di USM telah terbukti dengan terhasilnya lebih banyak paten dan IP sejak tahun 2008. Kita harus akui bahawa sistem penyelidikan kita yang dilengkapi dengan struktur pelantar telah dijadikan model kepada universiti-universiti lain. Budaya dan eko-sistem yang kita bina telah berjaya memupuk dan membentuk kumpulan dan kluster penyelidikan yang baru yang suatu hari nanti diharapkan dapat berkembang menjadi HiCoe. Namun begitu, prasarana penyelidikan yang sedia ada perlu diperkemaskan untuk terus menghasilkan hasil
yang bermutu tinggi. Ia juga penting untuk menarik lebih ramai calon-calon siswazah yang berkualiti menyambung pengajiannya di USM di samping calon-calon Lepasan Kedoktoran (Post-Doctoral) untuk melakukan penyelidikan mereka. Bagi menjamin kelestarian kita sebagai sebuah universiti penyelidikan, tumpuan seterusnya adalah untuk menggiatkan usaha meneroka peluang-peluang bagi mendapatkan dana-dana dari industri dan sektor swasta serta dari tabung-tabung penyelidikan di peringkat antarabangsa.
84.3 Empowering@USM: Pendekatan untuk memupuk perasaan kekitaan (sense of belonging) terhadap USM disamping menyemai komuniti USM dengan nilai-nilai yang murni dan beretika perlu dilakukan secara berterusan. Penghakupayaan (empowering) ialah konsep mengambil tanggung jawab untuk melakukan sesuatu yang positif dan berkongsi tanggung jawab sesama sendiri.
84.4 Kelestarian@USM: Untuk  memastikan kelestarian USM dari sudut perbendaharaan, pendekatan ini diambil dengan memberi tumpuan kepada peningkatan usaha menjana sendiri lebih 30% dari belanja operasi. Antara strategi yang perlu dirangka termasuklah usaha meningkatkan sumbangan pemegang taruh dalam bentuk endowment, meningkat kontrak penyelidikan, paten, pengkomersilan produk penyelidikan dan inovasi. Selain dari itu, bilangan pelajar-pelajar siswazah yang dibiayai sendiri dan juga
pembiayaan oleh zamalah luar juga harus dipertingkatkan.  
84.5. Q@USM  (Quality@USM): Warga USM harus mengubah persepsi dan amalan kualiti dari hanya melihat dan mendapatkan dari sudut bilangan malah Q@USM lebih menumpukan  kepada kualiti dari segi bilangan makmal yang diberi akreditasi, kualiti dari segi calon-calon siswazah
yang diterima masuk dan digraduatkan serta kualiti dari segi penerbitan yang lebih tinggi sitasinya (Highly cited).
84.6.    Innovate@USM: Pendekatan ini adalah untuk menghasilkan ‘pioneering mindset’ dalam kalangan komuniti USM, khususnya para penyelidik dan pelajar. Antara projek yang dicadangkan adalah “USM Grand Challenge Projects” untuk membina bakat dan minda yang mampu mencari penyelesaian yang lestari kepada masalah hari esok.
84.7  Glocal Positioning Strategy (GPS@USM): Projek  GPS@USM (Glocal Positioning Strategy) bertujuan untuk meningkatkan lagi visibiliti USM di peringkat tempatan dan antarabangsa. Ia termasuk usaha kearah pengukuhan jenama USM serta usaha promosi hasil-hasil universiti dalam bidang penyelidikan,
inovasi, sumbangan sosial dan lain-lain. GPS@USM juga melibatkan promosi kumpulan-kumpulan penyelidik yang berpotensi cemerlang dan sedang meningkat naik. Ia memberi tumpuan ke arah menghasilkan lebih banyak ARIs (Advanced Research Initiatives) dalam kalangan kita. Saya ingin memohon kerjasama semua PTJ dan pelantarpelantar penyelidikan agar terus memupuk lebih banyak kumpulan-kumpulan penyelidik dari pelbagai bidang, yang akhirnya mampu muncul sebagai sebuah HiCoE di universiti ini dengan hasil penyelidikan yang mampu memberi impak terhadap sains, ekonomi, alam sekitar dan juga masyarakat
secara amnya.
84.8. USM-Outreach: Perancangan dan jaringan yang strategik akan diperkukuhkan dengan pelbagai inisiatif baru seperti USM-Outreach. Selari dengan aspirasi projek Jangkauan Global yang diperkenalkan oleh KPT, USM-Outreach akan mempergiatkan lagi usaha murni USM untuk membawa kepakaran, inovasi dan pengetahuan warga kita untuk membantu golongan marhaen di negara ini khususnya serta di negara-negara membangun yang memerlukan bantuan melalui misi-misi khas seperti yang dilaksanakan Mercy Malaysia untuk membantu penderita sumbing bibir di Malaysia, Indonesia dan juga di Bangladesh.  Kita ingin
membina usaha sama yang berkesan dalam bidang-bidang yang strategik, menggunakan kepakaran dan kekuatan yang ada dengan berlandaskan prinsip sama-sama menang (winwin solution).  Contoh terbaru adalah usaha yang dijalankan oleh USM  di Kurdistan, Kemboja , selatan Thailand, Indonesia dan selatan Filipina. Ia berupaya untuk menggembleng tenaga pakar, para pensyarah, penyelidik malah siswa-siswi
USM untuk menimba pengalaman sambil berbakti kepada masyarakat di mana sahaja di dunia ini.46 PB
84.9. USMLINKS. Bagi merealisasikan positioning USM yang lebih berkesan, suatu projek yang diberi nama USMLINKS telah dimulakan oleh Universiti.  Projek yang sedang giat berjalan ini mengukur hubungan semua PTJ dengan rakan-rakan di dunia luar menerusi MoU dan MoA yang ditandatangani, serta juga mengukur hubungan antarabangsa seluruh staf USM dengan dunia luar dalam bidang-bidang seperti
penyelidikan, projek bersama, hubungan akademik, industri dan juga komuniti. Projek  USMLINKS bukan
akan menjadi tanda ukur untuk menilai sejauh mana kita telah melangkaui sempadan, tetapi juga mampu memberi gambaran hubungan kita selama ini ke arah membantu kita meneroka lembah-lembah hijau serta bidang-bidang yang tertentu selari dengan pendekatan Lautan Biru  (the Blue Ocean Strategy). Sehingga kini USM mempunyai jaringan di 94 buah Negara dengan 3,027 buah universiti di seluruh dunia. (Lihat Lampiran H).
84.10. Projek Rising Excellence merupakan  sebahagian dari usaha untuk memupuk bakat (talents) serta meningkatkan kapasiti USM sebagai sebuah universiti APEX. Projek ini memberi tumpuan terhadap mencari dan menarik bakat dari kalangan penyelidik yang prolifik peringkat pertengahan (Middle tier).  Usaha ini amat penting untuk meningkatkan lagi bilangan penyelidik/penyelia baru, disamping mengekalkan bakat yang sedia ada dengan pelbagai insentif yang menarik. Sehingga kini terdapat 14 projek yang pada asalnya dikategorikan sebagai projek Delivering Excellence, yang akan dijenamakan semula kerana sesetengah projek belum dapat dilaksanakan dengan jayanya.
84.11. Tops@USM merupakan pendekatan untuk mengenalpasti individu, PTJ, inisiatif dan projek yang memberi impak kepada sains, ekonomi dan kemanusian serta berpotensi untuk menjulang nama USM ke persada yang lebih tinggi. Ia termasuk mengenal pasti individu dan PTJ yang berdaya saing dan produktif membawa masuk pendapatan kepada universiti menerusi produk dan perkhidmatan yang
dihasilkan serta individu dan PTJ yang tersohor di peringkat dunia. Meskipun tidak menyertai mana-mana ranking dan hal ini telah diterima oleh Kementerian Pengajian Tinggi, itu bukan bermakna kita tidak berusaha untuk menjadi yang terbaik di dunia. Rakan-rakan akademik yang tersohor sumbangannya dari segi penulisan jurnal, penyelidikan dan inovasi, mahupun dari sudut sumbangan seni dan kemanusian akan digembleng bersama untuk tujuan ini.  
84.12. Universiti turut memberi perhatian dan menyokong beberapa projek khas yang menunjukkan potensinya untuk memberi kesan yang nyata kepada sains, ekonomi dan juga kemanusian. Penemuan artifak purba di Bukit Bunuh membawa kita di ambang penulisan semula sejarah dunia dengan mencabar teori migrasi yang telah diterima buat sekian lama. Teknologi mudah alih teleradiologi yang kita hasilkan membuka akses pesakit di pedalaman kepada kemudahan pakar menerusi sistem mudahalih pelbagai pelantar. Kita juga mengajak penanam-penanam tembakau untuk beralih kepada penanaman cendawan sebagai komoditi alternatif. Malah, kita terus meluaskan jangkauan global sambil meningkat kapasiti dengan memberi latihan
untuk menghasilkan pakar-pakar IPv6 di seluruh pelosok dunia. Saya percaya, ramai lagi dan banyak lagi usaha-usaha murni dan cemerlang yang kita mungkin terlepas pandang atau pun sesuatu yang kita anggap sebagai suatu rutin seharian kita di USM tanpa menyedari apa yang kita buat itu adalah suatu yang mampu membawa perubahan.
84.13. Ini termasuklah bidang penyelidikan yang mempunyai impak yang besar dan berpotensi untuk mencapai taraf dunia dalam bidang-bidang seperti nanoteknologi,  “rapid diagnostics”, teknologi membran, kluster haji, akuakultur, pembelajaran mobil, parmakogenomik, “Electroceramics:” “TB vaccine and meninggococcal vaccine”, arkeologi, kolagen dan diagnostik halal, bahanbio, bioteknologi, bioteknologi
dan teknologi enzim,  Ceramics Bio-conjugates, Underwater robotics technology, Drug Evaluation Research, Brain Science and Neuroscience, Material science, Mechanisms of breast cancer, Genomics of Rubber,  Tele-radiology and Imaging, Biodegradable plastics, Sustainable Tourism, Solar energy, River and water management, Teknologi Hijau dan Perumahan yang lestari dan Penyelidikan dalam isu-isu Pendidikan.
84.15. Knowledge@USM adalah satu projek khas dibawah seliaan Naib Canselor untuk terus mempromosikan dan menggiatkan projek khas yang memerlukan perhatian dan peruntukan khas yang tidak mungkin dapat diukur dari aspek ‘tangibilitynya’ dan memberikan impak yang kepada komuniti dan masyarakat dalam konteks percambahan ilmu. Ini termasuklah projek kearifan tempatan, projek Diaspora Melayu, projek penyelidikan Haji dan projek Khas Perpindahan Ilmu.
84.16. Ideas@USM dicadangkan diwujudkan sebagai portal dibawah projek khas APEX untuk menjana dan mencetuskan pemikiran dan idea baru untuk sebarang projek yang tidak terhad kepada mana-mana kerangka.  Ideas@USM bertujuan menjana idea-idea kreatif yang boleh dinilai dan dikembangkan kepada realiti, sama ada untuk penyelidikan, kerja-kerja libat sama komuniti dan sebagainya. Pemberi idea akan dipastikan, hak kepada ideanya dengan syarat tidaklah diambil dari mana-mana IP dan sebagainya dan jika
diambil perlulah diiktiraf punca asalnya.

85. Sumbangan kita haruslah selari dengan peranan USM sebagai sebuah universiti penyelidikan. Kita ingin bentuk kapasiti masyarakat agar mampu menyiapkan jorannya sendiri dan tahu cara-cara untuk mencari ikannya. Kita pasti usaha sebegini bukan sahaja selari dengan aspirasi APEX, tetapi ia juga mampu menaikkan nama baik kita di persada dunia.

RUMUSAN
86. Kita semua mempunyai peranan yang sangat besar untuk memastikan kejayaan yang dicapai hari ini dapat diurus dan terus dikekalkan. Tanpa usaha yang berterusan, kejayaan hari ini tidak akan dapat menjamin kejayaan di masa hadapan.  Sekarang bukan masanya untuk terus leka dan hanyut dibuai mimpi kejayaan
semalam kerana apa yang menanti di depan kita penuh dengan ketidakpastian. Malah kita tidak mampu lagi beretorik dalam menunaikan amanah dan janji yang telah dibuat. Kita juga harus bezakan antara falsafah, pemikiran, retorika dan penzahiran. Kesemuanya wujud bersinergi tetapi kepentingan penzahiran menjadi keutamaan universiti tahun ini dan tahun-tahun ke hadapan. Sekarang adalah masa untuk kita bekerja bersama-sama, berganding bahu dan saling mengukuhkan antara satu sama lain. Seluruh warga universiti perlu memiliki kefahaman mengenai sumbangan yang boleh diberikannya kepada universiti dan memiliki
keazaman untuk terus berusaha membantu dan bekerja keras bagi meningkatkan lagi kejayaan-kejayaan yang telah diperolehi kepada satu tahap yang lebih tinggi. Saya akan memberikan sokongan yang berterusan supaya program penyelidikan dan inovasi dengan memberi keutamaan kepada  program pemindahan ilmu.

87. Pada masa yang sama kehidupan kita perlu diseimbangkan dan keluar seketika daripada makmal dan dewan kuliah dan bilik bengkel. Penglibatan dan pencapaian dalam pertandingan sukan, kebudayaan, debat, pantun dan lain-lain pertandingan perlu ditingkatkan semua komuniti universiti. Proses pengkayaan bakat
siswa-siswi perlu diperkasakan melalui aktiviti kepimpinan, keupayaan bekerja dalam pasukan, daya keusahawanan, memperkayakan etika moral dan meningkatkan kemahiran komunikasi dalam bahasa Inggeris. Semua ini akan dijadikan fokus utama pembangunan pelajar melalui ‘Dasar Pembangunan Siswa’ yang ada dan boleh dikaji semula. Universiti juga telah membuka ruang kepada pemimpin mahasiswa untuk memainkan
peranan membangunkan universiti ini melalui penghakupayaan dalam urusan penting merangka dasar, membuat keputusan dan memberikan pandangan dalam jawatankuasa di peringkat universiti, PTJ dan sebagainya. Sumbangan yang aktif dan suara pelajar akan terus didengari melalui saluran yang berhemah dan berkesan dalam Dewan Perundingan Pelajar atau Parlimen Mahasiswa.

88. Kepimpinan mahasiswa diharap memahami harapan dan pengiktirafan masyarakat kepada siswa-siswi dan perlu bersedia melengkapkan diri menghayati isu-isu dan cabaran semasa serta mendatang dalam membentuk kekuatan dan keupayaan untuk menghadapi segala bentuk perubahan serta hambatan untuk
memastikan kejayaan dicapai seperti yang dirancang. Malaysia akan 50 PBmenjadi negara maju menjelang tahun 2020. Baki masa yang ada hanyalah 9 tahun dari sekarang untuk saudara-saudari membuat
persiapan memasuki alam pekerjaan sebagai orang muda yang bakal mencorakkan negara. Sudah pasti cabaran dan masa depan kepimpinan mahasiswa hari ini sangat berbeza dengan abang atau kakak saudara-saudari yang telah meninggalkan universiti ini. Saudara-saudari tidak mempunyai pilihan selain dari meletakkan
kecemerlangan sebagai satu matlamat yang besar serta  berusaha keras mempersiapkan diri bagi mengganti kepimpinan semasa untuk mencapai wawasan ini. Universiti ini juga tidak punya banyak pilihan untuk memastikan agenda negara mentransformasikan pengajian tinggi untuk kelestarian hari esok dapat kita capai
bersama. Sudah pasti kita semua perlu bersatu idea dan tenaga, bertindak seiring dan sejalan berkongsi kesatuan tekad, semangat dan daya juang serta menghayati aspirasi universiti dan negara.

89. Dalam mengenalpasti isu-isu kepimpinan pelajar masa kini dan relevannya pada masa hadapan serta mengatur strategi untuk mengekalkan kejayaan atau kemenangan yang diperolehi, pengetahuan, ilmu dan kemahiran kepimpinan dan pengurusan organisasi sahaja tidak mencukupi bagi menjamin prestasi tersebut. Beberapa tindakan pragmatik perlu dilaksana bersama dan perlu diutamakan iaitu
(i) melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara amanah, jujur, cekap dan adil;
(ii) kebijaksanaan dan menentukan urutan keutamaan dalam kehidupan;
(iii) membahagikan komitmen di antara akademik, berpersatuan, beriadah, ibadah dan bersosial; dan
(iv) mengenalpasti kekuatan sebenar yang dimiliki, memperbaiki kelemahan yang ada, menetapkan matlamat yang hendak dijayakan dan susun strategi dan tindakan untuk mencapai apa yang diingini.

90. Selain dari itu, saudara-saudari juga perlu berusaha untuk memupuk semangat kerja berpasukan termasuk berada dalam  masyarakat untuk memastikan kejayaan kita, organisasi kita dan universiti kita. Segala kejayaan yang dicapai dan kegagalan yang dialami merupakan satu tanggungjawab bersama. Tidak guna jika kita bercakap tanpa pelaksanaan dan tidak guna juga pelaksanaan tanpa idea permulaan, pratikal adalah pendekatan terbaik. Untuk itu, saya berpesan kepada mahasiswa, pilihlah jalan yang paling berhemah terbaik dan berwaspadalah dalam 51 PBsegala yang dilakukan. Jika bicara tanpa ilmu, umpama menyuap tangan yang kosong ke dalam mulut sendiri. Takkan kenyang perut yang berharap dan rohani yang dahaga. Pada hemat saya, bagi membantu mencapai hasrat tersebut, setiap daripada kepimpinan mahasiswa perlu merentasi halangan minda yang mempunyai tanggapan bahawa keupayaan dan kemampuan kita adalah terhad. Kita perlu membina asas keyakinan bahawa isu dan cabaran di hadapan itu boleh diselesaikan dan kegagalan yang lalu menjadi ikhtibar untuk merangka strategi kejayaan masa hadapan. Keadaan ini memerlukan satu perubahan minda bagi perbaharuan dari segi perancangan, strategi, program, dan mekanisma perlaksanaan disamping pemantauan kejayaan atau kegagalan. Kita bina kejayaan dan lakarkan kecemerlangan bermula dari saat ini untuk masa depan yang menjanjikan kegemilangan. Bersama-samalah dengan Universiti Sains Malaysia ini bagi menjayakan usaha mentransformasikan pengajian tinggi ke persada tertinggi.

91. Saya pernah menimba ilmu pengetahuan di pedalaman dan menimba pengalaman awal, membina cita-cita di institusi yang tidak terkenal tetapi menetapkan satu matlamat untuk kejayaan pada masa depan, menjadikan saya memegang  amanah untuk menerajui sebuah universiti, meneruskan citra pembangunan ilmu untuk satu tamadun ummah yang dihormati, namun saya masih merasa amat kecil dan kerdil berdiri dan berada dalam kalangan hadirin yang saya sangat sanjung tinggi yang memberikan saya peluang untuk  menerajui USM, yang menjadi kebanggaan kita bersama selama ini.

92. Saya amat percaya peranan para pensyarah amat penting dalam membentuk persepsi dan pandangan dunia atau world-view seseorang siswa. Peranan pensyarah sebagai pendidik, fasilitator dan rakan kepada siswa berupaya meyakinkan seseorang siswa  terhadap masa depannya dan apa yang akan membentuk kehidupannya selepas ini. Jika siswa diberikan keyakinan diri, diberikan kepercayaan dan diberikan sokongan untuk berfikiran positif tentang dirinya dan masa depannya, maka laluan yang ada akan menjadi lebih mudah. Tetapi jika siswa ini sering diperlekeh dan dipandang rendah, maka kita akan menjadikannya seorang
yang sangat lemah dan sukar menghadapi cabaran hidup pada masa depan.  Di sinilah sebenarnya yang kita cari dalam pemupukan bakat pensyarah; penyuluh, pengemudi dan mentor kepada pencari ilimu dengan tindakan bersahaja tanpa mendabik dada berbekal ilmu kita yang sebenarnya hanya sebesar zarah di padang pasir Sahara atau sekelompok buih kecil di lautan meluas.

93. Saya sebutkan perkara ini kerana ramai daripada kita tanpa dorongan dan sikap positif yang dibina di sekolah dan seterusnya di universiti, amat payahlah untuk kita bangun dan menjadi apa yang capai sehingga kini. pensyarah-pensyarahlah juga yang memainkan peranan penting yang tentunya juga perlukan sokongan ibu bapa dan keluarga, namun sudut pandangan seorang pensyarahlah yang sebenarnya banyak mempengaruhi kehidupan kita. Saya tidak pernah bayangkan yang saya berupaya dan berani keluar
dari segala rasa rendah diri dan kekurangan, apatah lagi berada dalam kalangan kumpulan elit yang menjadi sebahagian dari warga universiti ini berprestij tanpa dorongan dan sudut pandangan dunia tersendiri yang dibangunkan oleh guru-guru dan  pensyarahpensyarah.

94. Namun, pada masa yang sama, saya fikir siswa-siswi sendiri harus bijak menggunakan peluang yang ada. Kita harus bijak mendapatkan maklumat dan paling penting berminat dengan ilmu pengetahuan untuk melihat dunia masa depan yang luas terbentang. Keberanian kita untuk mencabar kebolehan dan kemampuan
dan kekuatan kita untuk berperang dengan segala pengaruh dan keinginan negatif yang berlandaskan keseronokan jangka pendek, khayal dalam impian remaja terhadap pelbagai pengaruh yang ada, sama ada rakan sebaya mahu pun media, akan membolehkan kita terus mencapai kejayaan demi kejayaan. Saya fikir, apa yang kita capai hasil dari proses pembelajaran di sekolah dan seterusnya di universiti, sama ada di sini mahu pun sebelum dan selepasnya  bergantung sebahagian besarnya kepada hasrat untuk mencabar diri dan menjadi yang terbaik dalam apa yang inginkan dalam kehidupan.

95.  Tentu sahaja, yang terbaik hanya dapat diperolehi melalui kerja keras, fokus dan berdoa ke hadrat Allah s.w.t untuk memberikan bimbingan dan kekuatan untuk saya berjaya. Tentunya yang terbaik hanya dapat dicapai melalui usaha berterusan memanfaatkan apa yang terbaik yang ada di hadapan kita.  Tentunya juga yang terbaik dapat diperolehi, apabila kita mendapat sokongan yang padu dan terbaik dari keluarga kita tanpa perlu perdulikan sangat segala kekurangan yang kita ada.  Kekurangan bukannya alasan untuk kita
tidak boleh mencapai cita-cita dan menjadi yang terbaik. Malah ia adalah cabaran untuk kita baiki diri dan capai apa yang kita inginkan dalam hidup kita ini.

96. Itulah sebenarnya yang saya percaya dan yakini selama ini, bahawa kita boleh berjaya selagi kita berusaha. Sejarah institusi pengajian tidak akan mampu mengubah kita dan masa depan yang bakal kita
tempuhi, jika kita sendiri tidak berusaha untuk mengubahnya.  Saya fikir universiti ini bukan sahaja bertunjangkan kepada kekuatan sejarah dan kecemerlangan masa lalunya, tetapi bergantung kepada komitmen dan jiwa manusia yang berada di dalamnya untuk mengukir kejayaan yang diingini. Pengalaman hidup telah mengajar saya untuk membangunkan jiwa kemanusiaan saya (yang belum saya pasti benar-benar berjaya), mencari jiwa dan roh ilmu untuk membantu diri dan membangunkan manusia dan dunia seluruhnya yang lebih sejahtera dan untuk mencapainya kita perlukan satu sinergi yang berlandaskan keikhlasan dan keinginan untuk menjadi lebih baik pada masa depan.

97. Untuk menjadi lebih baik pada masa depan, ia harus bermula dari komitmen setiap kita, iaitu komitmen dan penghormatan yang tinggi kepada institusi ilmu dan keilmuannya. Komitmen dan penghormatan yang tinggi dari warga pensyarah dan pendidik yang ada. Komitmen dan penghormatan yang tinggi para pensyarah dan
pendidik kepada pelajar. Komitmen dan penghormatan yang tinggi pelajar kepada ilmu dan kepada pensyarah serta pendidiknya. Saling hormat menghormati, saling menyayangi dan saling berganding bahu untuk mencapai yang lebih baik untuk masa depan semua.  Sinergi ini jika dibangunkan bersekali dengan libat sama atau “engangement” yang melibatkan alumni dan kepakaran yang ada di sekeliling kita, maka institusi pendidikan akan terus berjaya dan dihormati dalam acuan kita sendiri. Orang luar akan melihat dan menghormatinya, malah menyanjunginya bukan hanya kita yang melihat orang luar dan mencontohi mereka. Malangnya, kita sering melihat kejayaan di luar, kagum dan cuba contohinya kerana fikir  itulah yang terbaik, sedangkan kita lupa, barangkali kita ada nilai-nilai yang lebih baik untuk dicontohi dan dikagumi oleh orang lain di luar sana, apatah lagi dalam konteks ilmu dan keilmuan kita.

98. Di samping menzahirkan segala pencapaian yang saya sebutkan di atas, keutamaan kita tentunya masih lagi kepada kesejahteraan warga universiti, kesejahteraan masyakat sekitar dan kesejahteraan
semua pihak. Kerana itu juga, saya  berhasrat untuk terus memantapkan Pejabat Warga Sejahtera yang terletak di  Pusat Sejahtera.  Kita harus perkasakan segala aspek kesejahteraan yang ada daripada pengaliran maklumat tentang musibah atau dugaan yang dihadapi oleh warga kita, hinggalah kepada usaha membantu
dan menanganinya. Kerapkali maklumat yang kita terima agak lambat, tetapi saya mohon agar semua kitalah yang harus berusaha memastikan sikap ambil berat ini akan dapat diamalkan.  Kita harus permudahklan segala urusan yang berkaitan dengan kebajikan warga kita, bukan sahaja siswa-siswi tetapi juga sraf kita pada semua peringkat. Majlis kita pada pagi ini kita akan berjalan sempurna tanpa gabungan semua warga kita termasuk mereka yang menjaga tempat letak kereta, menyediakan pokok hiasan,
mengangkat kerusi, menjaga kebersihatan Dewan dan sebagainya. Lalu hal ini harus menjadi keutamaan kita bersama.

99. Malah, inisiatif telah mula diambil untuk menggerakkan siswasiswi dan staf yang secara sukarela bersedia membantu mereka yang memerlukan khidmat bakti. Bukan sahaja tatkala banjir dan bencana, tetapi juga menziarahi malah memandikan, menyuap makan dan menjaga saudara-saudara kita, mereka yang telah bersara atau sesiapa sahaja sekitar kita dengan menggalakkan lebih ramai staf mengambil bahagian semasa ada kelapangan.

100. Lebih banyak kerja sukarela boleh digemblengkan bersama. Saya pernah lontarkan cadangan agar persatuan dan pertubuhan sukarela staf termasuk PKAPUSM, KKAUSM, PWUSM, PSIUSM, KSSUSM dan banyak lagi yang lain untuk bergabung misalnya mengadakan Hari Warga Staf atau hari-hari kebesaran lain termasuk Sambutan hari Raya, Sambutan tahun baru Cina, Deepavali, Krismas dan sebagainya tanpa bergantung sepenuhnya kepada Universiti. Aktiviti kesukarelaan untuk membantu anak-anak yatim, sekolah-sekolah dan sebagainya boleh digerakkan melalui usaha memanfaatkan kepakaran dan semangat saling menolong dan membantu sesama insane dalam kalangan warga USM.

101. Secara rasmi, saya ingin isytiharkan juga bahawa mulai tahun 2012 ini, setiap Sabtu pertama pada setiap bulan adalah hari Bersama Keluarga bagi warga USM kecuali terdapat hal-hal yang tidak dapat dielakkan atas tujuan rasmi yang tertentu.Seboleh mungkin hari tersebut harus dimanfaatkan oleh kita untuk bersama keluarga, apatah lagi saya faham kita semua begitu sibuk dan komited dengan pelbagai aktiviti termasuk pada
hari cuti.  Malah saya juga telah mendapat persetujuan Usains Holding yang sebelum ini diamanahkan untuk menguruskan Rumah Tetamu untuk menyerahkan kembali Blok B008 untuk dijadikan tempat rehat persinggahan menggunakan konsep loungeyang sedang diubahsuai untuk digunakan oleh rakan-rakan dari
Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan ketika menjalankan tugas rasmi di Kampus Induk. Rumah ini akan dilengkapi dengan kemudahan asas yang boleh digunakan antara jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam yang akan diuruskan terus melalui Pejabat Naib Canselor. Insya-Allah, kita jangkakan dalam penghujung Januari 2012, hal ini dapat menjadi kenyataan.

102. Saya berbangga dan izinkan juga saya untuk mengucapkan terima kasih kepada semua warga USM, kepada universiti ini yang memberikan saya peluang untuk berdiri dan melangkah jauh dan saya berdoa agar USM akan menjadi pemangkin untuk membangunkan manusia dan kemanusiaan melalui pembangunan ilmu dan sahsiah yang tinggi demi melahirkan generasi Malaysia yang berdaya saing, berkelulusan dan berilmu tinggi, dihormati dan disegani serta pada masa yang sama memastikannya berdiri dalam acuan sendiri, dalam kerangka budaya dan hidup sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa Malaysia, menghormati kepelbagaian dan
berbangga menjadi rakyat di negara yang bertuah ini.

103. Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan bantuan yang memudahkan saya untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan USM ini.  Saya ingin berterima kasih kepada Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Gabenor Universiti, ahli-ahli Senat, Timbalan-timbalan Naib  Canselor yang mempunyai pemikiran besar, komited dan begitu passionate dengan tanggungjawab masing-masing dan memberikan pelbagai idea dan saranan dalam melaksanakan tugas berat ini.

104. Sekali lagi, saya ingin rakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan penghormatan kepada Tuan Yang Terutama Tun dan yang Amat Berbahagia Toh Puan yang sudi melapangkan masa pada pagi ini. Saya amat terhutang budi, malah Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan merupakan antara yang pertama sudi menerima saya untuk berjumpa secara peribadi bagi mendapat restu menjalankan amanah ini selain dari perkenaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku
Raja Perempuan Perlis.

105. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang  secara simboliknya bersedia bersamasama USM untuk meneruskan usaha murni ini, apatah lagi dengan penandatanganan Memorandum Persefahaman dan pelancaran buku-buku yang ditulis oleh para pensyarah Sains Perubatan USM yang menunjukkan betapa kita mampu menterjemahkan segala ilmu dalam bahasa yang mudah difaham oleh orang ramai, sebagai bahasa ilmu yang dimanfaatkan oleh seluruh anggota  masyarakat di negara ini, bukan terbatas kepada golongan tertentu sahaja.

106. Akhir sekali tentunya saya berterima kasih kepada semua, terutamanya isteri dan anak-anak saya serta keluarga melalui perutusan pertama ini. Ini adalah tugas berat, amanah yang kita sama-sama pikul, tanggungjawab yang sama-sama kita junjung dan harus dilaksanakan bersama oleh kita semua. Bersama Untuk Kecemerlangan Universiti (BUKU 2012) adalah kita semua, adalah milik setiap mereka yang cintakan ilmu yang harus sama-sama berjuang menegakkan apa yang kita yakini, yang jika berjaya, adalah kejayaan kita semua, begitujuga sebaliknya. Tidak ada apa yang boleh menghalang untuk menzahirkan kejayaan dan
kecemerlangan jika kita ikhlas dan kita sama-sama bertolak ansur, saling ingat mengingati dan bahu membahu. Itulah juga yang diajar oleh agama kita, yang terkandung dalam adat dan adab bangsa yang
mulia serta keyakinan yang harus kita genggam bersama. Insya-Allah, Dia bersama kita dan merestuinya selagi kita berada di jalan yang benar, menegakkan kalimah mulianya dalam membangunkan tamadun untuk kelestarian hari esok.

107. Sebagai renungan bersama dua frasa yang saya pinjam boleh dijadikan panduan; “Apabila membina pasukan saya mencari mereka yang cintakan kemenangan. Jika saya tidak menjumpai mereka, saya akan mencari mereka yang menang.” …….“buatlah sesuatu supaya kita beri orang suka, buatlah sesuatu supaya kita beri orang gembira dan buatlah sesuatu supaya kita beri orang mudah.”

108. Akhirnya, mari kita sama-sama renungi firman Allah s.w.t dari Surah Luqman Ayat 33, maksudnya: “Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.”

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week