Khutbah Jumaat Masjid Mukim Binjai 20 -1-2012:Alam Barzah, Adakah Kita Sudah Bersedia?

Ikhwanil muslimin,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekelian. Marilah kita sama sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan bersungguh sungguh melaksanakan perintah perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah swt di dunia dan di akhirat.

Ikhwanil muslimin
Sebagai seorang islam yang berpegang kepada Al Quran dan Hadis, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib di lalui oleh sekelian manusia. Dalam peringkat kehidupan kita di dunia, jarang umur manusia melebihi 100 tahun, tetapi puratanya berumur di antara 60 - 80 tahun. Umur pendek atau panjang tidak menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati.

Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kayanya, namun manusia pasti mati, dan meninggalkan dunia fana ini. Malahan Rasul yakni manusia yang paling dekat dengan Tuhannya, bahkan manusia yang menjadi kekasih Allah swt pun tidak dapat lari dari kematian.

Menghadapi Alam Barzah dan hari penghakiman di Padang Mahsyar: Firman Allah swt dalam surah An Nisa' ayat 78 yang bermaksud Di mana sahaja kamu berada pasti mati mendatangi kamu sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat. 

Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal dari tanah. Maka pastilah ia kembali menjadi tanah agar menjadi peringatan kepada manusia yang lain.

Persoaalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian kejadian yang tidak dapat dielakkan  bila seseorang manusia itu mati ia dikatakan kiamat kecil berlaku kepada diri manusia itu kerana jasadnya menjadi busuk dimakan cacing, tulang menjadi hancur lebur kembali menjadi tanah dan ruh telah keluar dari badan manusia. Ruh lah yang menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.

Ikhwanil muslimin,
Kubur atau Alam Barzah adalah sebagai tempat permulaan Alam Akhirat. Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak sakaratul maut, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran siksaan kubur di alam barzah.

Sebaik sahaja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengebumikan dan dalam perjalanan pulang ke rumah, maka dalam suasana yang gelap gelita 2 malaikat  iaitu Mungkar dan Nakir datang menghapiri dan mendudukkan jenazah. Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal soleh dan ketaqwaan yang unggul, maka Alam Barzah adalah sata alam kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang engkar sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah swt, maka Alam Barzah adalah episod ngeri yang dipenuhi oleh gelombang azab sengsara sehingga datangnya hari kiamat. Mereka berkeadaan seperti orang yang lemas dalam air dan meraung meminta pertolongan.

Khutbah ingin mengingatkan ahli jemaah dan umat Islam sekelian bahawa pada akhir zaman ini semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, Alam Barzah dan Alam Mahsyar kerana manusia sedang sibuk dengan pembangunan kerjaya  dan kelazatan kehidupan dunia. Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrail datang dan terus mencabut nyawanya.

Saidina Ali pernah berkata bahawa manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru ia terjaga dari tidurnya. demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur ia akan terkejut apabila kematian datang secara mendadak.

Kesibukan mencari keseronokan da kelazatan dunia adalah merupakan penyumbang terbesar kepada kelalaian manusia untuk mengingati mati dan membuat persedian untuk menghadapi kematian. Sebagai contoh  mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti penagih dadah sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat ubat jalanan yang mengandungi dadah yang merbahaya dan bahan bahan terlarang yang tidak diluluskan oleh kementerian kesihatan bagi menambah lagi nikmat keseronokan. Perbuatan ini seolah olah menggali lubang kubur sendiri. Mereka ini akan menanggung kesiksaan hidup dengan penyakit penyakit kronik yang akhirnya akan membawa kepada kehancuran dan kematian.

Ikhwanil muslimin
Persoalan tentang perkara ghaib misyalnya  mengenai kematian, Alam Barzah, Hari Kiamat, Syurga, Neraka da sebagainya adalah hak Allah swt yang sama sekali tidak boleh dicerobohi oleh manusia atau malaikat. Islam menetapkan dasar akidah dan perkara ghaib adalah bersandarkan kepada dalil Al Quran dan hadis hadis sahih. Dasar akidah yang bersumber kias, ilham manusia atau ramalan kosong seperti yang diamalkan oleh penegak amalan sesat adalah salah. Para nabi dan para malaikat yang mulia hanya dapat mengetahui sesetengah perkara ghaib adalah setakat yang diizinkan oleh Allah swt sahaja.

Firman Allah swt yang bermaksud Hanya Tuhan sahajalah yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapa pun melainkan kepada sesiapa yang diredhaiNya dan RasulNya, maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang mereka malaikat yang menjaganya 


Ikhwanil muslimin
Mengakhiri khutbah pada minggu ini saya menyeru supaya insaflah dan sedarlah bahawa kematian adalah merupakan perjalanan hidup yang tidak akan kembali lagi kedunia yang fana ini. Kita sering bercakap tentang kematian sahabat dan rakan kita yang telah kembali menyahut panggilan Ilahi. Bagaimanapun sayang sekali apakah kematian rakan rakan kita itu telah menimbuilkan keinsafan dan kesedaran untuk kita membuat persiapan serta menyediakan bekalan yang mencukupi bagi menghadapi kematian yang pasti datang itu.

Ingatlah dan sedarlah bahawa Alam Barzah sentiasa menanti nanti kehadiran kita dan sentiasa membuka pintunya untuk kita.  Tidak kira di mana kita berada atau bila masanya kematian pasti mendatang dan menjemput diri kita. Cuma persoalannya adakah kita sudah bersedia menghadapi kematian.

Sebagai renungan marilah kita sama sama  menghayati Firman Allah swt dalam surah Al Imran ayat 144 yang bermaksud Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun di dahului oleh beberapa orang Rasul, apakah kalau Dia mati atau terbunuh kamu berpaling ke belakang murtad dan sesiapa yang berpaling ke belakang maka ia tidak akan mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun walau sedikitpun dan sebaliknya Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu 

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week