Khutbah Jumaat Masjid Mukim Binjai 13 -1-2012: Peraturan, Undang undang
dan Enekmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
Firman Allah swt yang bermaksud Wahai orang orang yang beriman hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang orang yang menegakkan keadilan kerana Allah dan menerangkan kebenaran. Dan janganlah sekali kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kepada sesiapa jua, kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesengguhnya Allah amat mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan.
Ikhwanil muslimin.
Marilah kita sama sama bersyukur ke hadrat Allah swt yang sentiasa melimpahkan rahmat , nikmat serta hidayat dan taufiqnya kepada bangsa kita. Kepada umat Islam berupa kehidupan damai, aman sejahtera dalam bimbingan Allah dan pancaran sinar keamanan dengan sifat taqwa kepada Allah swt dengan melaksanakan perintah perintahnya dan menjauhi segala larangannya secara ikhlas. Ingin mendapat redha dari Allah semata mata.
Hendaknya kita sentiasa sedar bahawa tanpa pertolongan, bimbingan dan perlindungan daripada Allah swt, maka bangsa kita umat Islam di Negara kita umumnya dan di negeri Kelantan khususnya tidak mungkin dapat mengatasi dan keluar dari pelbagai ujian, halangan, cabaran yang hebat hebat melanda bangsa mengancam kedudukan agama Islam. Perjalanan politik, perkembangan ekonomi dan roda roda pusingan sehingga menjadi stabil dan mantap .
Ikhwanil muslimin
Dengan berkekalkan semangat tahun baru hijrah dan masihi, atas dasar cintakan agama, bangsa dan Negara yang ditunjangi semangat jihat fisabilillah dengan rangsangan keimanan, marilah kita keluarkan semangat untuk membuat perubahan melakukan kemajuan yang berteraskan akhlak yang mulia.
Ingatlah untuk melakukan perubahan yang lebih baik, untuk memperjuangkan kemajuan agama kita, janganlah kita bersikap membabi buta tidak tahu dan tidak kenal siapa lawan dan siapa kawan yang sebenar. Kita perlu ingat bahawa tujuan kita untuk membuat perubahan untuk memajukan kedudukan agama kita bukan bererti kita perlu membanyakkan musuh musuh, menciptakan musuh, mempertajamkan sifat sifat permusuhan sesama kita.
Kita perlu jelas bahawa musuh yang sebenar benarnya ialah kebodohan, kejahilan, kemiskinan, keterampilan sosial dalam segenap lapisan masyarakat. Dalam usaha memajukan agama, bangsa dan Negara kita harus menjaga kemurnian agama itu sendiri kerana itulah janganlah perjuangan suci itu sampai dicemari, dikotori oleh tujuan tujuan yang menyimpan daripada ajaran agama.
Perjuangan menegakkan agama Islam yang suci tidak sepatutnya dikotori dengan hasutan, fitnah, perasaan benci membenci, dendam, dengki, irihati, kecewa dan sebagainya.
Ikhwanil muslimin.
Dalam usaha mengorak langkah ke depan bagi memajukan kemajuan agama, bangsa dan Negara khususnya negeri Kelantan Darul Naim ini, maka marilah kita menoleh ke belakang sebentar menelaah sejarah yang dilakar oleh pemimpin pemimpin agama di negeri ini untuk dijadikan iktibar dan pelajaran yang berguna dalam era kemajuan dan pembangunan agama, bangsa dan Negara.
Sebagai contoh sejarah penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan MAIK di tubuhkan pada 17 Safar 1334 bersamaan 24 September 1915. Istiadat perasmian bagi penubuhan Majlis Agama Islam telah disempurnakan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke IV dalam satu majlis yang gilang gemilang yang disaksikan oleh para pembesar pembesar negeri, orang orang kenamaan dan rakyat jelata.
Idea penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan MAIK ini adalah gagasan yang dicetuskan oleh 3 orang tokoh utama iaitu Tok Kenali, Haji Awang Muhammad Yusuf dan Perdana Menteri Paduka Raja Haji Nik Muhammad Ismail Dan Datuk Laksamana Haji Muhammad bin Taib. Mereka bergabung tenaga dan fikiran bagi mewujudkan sebuah badan khusus pentadbiran agama Islam di peringkat negeri Kelantan bagi mengimbangi pentadbiran umum yang terletak dibawah kuasa penasihat British ketika itu.
Perlu di akui bahawa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan MAIK ialah badan agama Islam tertubuh adalah badan agama Islam yang tertua di Malaysia. Penubuhannya lebih awal daripada Majlis Agama Islam Johor 1925, Majlis Agama Islam Kedah 1948, Majlis Agama Islam Patani 1945.
IKhwanil muslimin
Sesungguhnya sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan MAIK pada masyarakat umat Islam di negeri Kelantan cukup besar, cukup mahal nilainya. Apalagi dengan mengingatkan usianya di ambang 100 tahun Hijrah pada tahun hadapan.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan MAIK adalah badan agama yang boleh memenuhi perkembangan zaman dan memenuhi tuntutan semasa. Pada masa ini Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan MAIK menikmati kedudukan sebagai sebuah badan yang tertinggi agama pada peringkat negeri Kelantan menjadi badan induk kepada semua agensi agama yang ditubuhkan dalam negeri Kelantan ini seperti yang dinyatakan sebelum ini.
Penubuhan Majlis Agama Islam adalah hasil daripada satu pengalaman yang unik para pemimpin agama di negeri Kelantan ini dalam upaya mereka untuk menjaga kepentingan agama Islam dan inspirasi masyarakat dan ummah.
Beroperasi dan dinaungi sepenuhnya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan atas kedudukannya sebagai bukan sebuah jabatan kerajaan maka Majlis Agama Islam menikmati kedudukan yang bebas daripada pengaruh dan campurtangan mana mana pihak.
Majlis Agama Islam menjadi pihak berkuasa dalam semua urusan keagamaan di negeri Kelantan yang merangkumi fatwa fatwa, zakat harta, zakat fitrah, harta wakaf, baitul mal, wasiat, nazar, penentuan puasa dan hari raya, imam imam mukim jumaat, pentadbiran masjid masjid Bandar, kepala jajahan dan masjid masjid mukim.
Selain itu Majlis Agama Islam juga berperanan dalam kebajikan pendidikan ilmuan melayu, persekolahan agama, sekolah Inggeris, penerbitan dan dakwah.
Ikhwanil muslimin
Berbagai aktiviti dakwah dilancarkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan yang merangkumi kegiatan keilmuan dan halakah pengajian yang berjalan secara harian, mingguan dan bulanan.
Guru guru agama majlis dilantik untuk mengajar di seluruh masjid dalam negeri ini, disamping itu segenap keliling masjid masjid bandar dalam negeri Kelantan di perkenalkan. Selain itu dilancarkan gerakan dakwah kepada orang orang asli. Pendekatan dakwah secara bijaksana dan hikmah digerakkan oleh pegawai dakwah bagi mendekati orang orang asli seperti di Sungai Rawai, Padang Tip, Dohai, Pasir Linggai dan lain lain.
Ikhwanil muslimin
Sebagai sebuah badan yang ditubuhkan secara sah mengikut undang undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan perkara 6 (1) Maka Majlis Agama Islam Kelantan tidak dapat tidak mesti mempunyai undang undang tubuh sendiri untuk dijadikan garis panduan di dalam menjalani aktiviti dan gerak kerja di samping memantapkan taraf, fungsi dan bidang kuasa menurut undang undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
Setakat ini Majlis Agama Islam Kelantan telah 5 buah undang undang iaitu
- Undang undang nombor 14 tahun 1916
- Undang undang nombor 23 tahun 1938
- Undang undang nombor 1 tahun 1953
- Undang undang nombor 2 tahun 1966
- Enekmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan tahun 1994
Enekmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan undang undang sebelumnya telah diluluskan oleh Dewan undangan negeri atau badan bertanggung jawab menukar undang undang.
Di bawah penguasaan undang undang majlis dengan jelas menyatakan bahawa selain dari Kebawah Duli Yang Mulia Al Sultan dan Majlis Agama Islam Kelantan tidak ada pihak ke tiga lain yang dibenarkan campur tangan atau membuat apa apa keputusan yang berkaitan dengan perkara perkara yang termaktub dalam Enekmen Majlis Agama Islam Kelantan. Seperti perkara perkara yang berkaitan dengan Baitul mal, harta zakat, perlantikan para imam, urusan masjid, wakaf, fatwa dan lain lain.
Ikhwanil muslimin
Enekmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan seksyen 117 sebagai contoh dengan nyata dijelaskan bahawa tiada siapa yang boleh mengajar atau menyampaikan suatu pengajaran agama Islam tanpa tauliah kecuali kepada ahli keluarga dalam kediamannya.
Mengajar atau menyampaikan suatu pengajaran agama tanpa tauliah adalah satu kesalahan menurut hukum syarak dan enekmen kerana setiap orang Islam wajib patuh dan taat kepada pemerintah dan perintah yang dibuat oleh ulul Amri sebagaimana Allah swt berfirman dalam surah An Nisa’ ayat 59 yang bermaksud Wahai orang orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah , Rasulullah dan juga Ulul Amri dari kalangan kamu.
Rasulullah saw juga menegaskan melalui sabdanya yang bermaksud Mendengar patuh dan taat itu wajib ke atas setiap orang Islam dalam hal yang disenangi dan tidak disukai selagi ia tidak disuruh melakukan perkara perkara maksiat , dari itu apabila disuruh untuk melakukan maksiat maka tidak boleh patuh dan taat.
Ikhwanil muslin
Persoalan tauliah mengajar agama dan peraturan peraturan lain yang termaktub dalam undang undang dan enekmen yang diluluskan oleh dewan undangan negeri yang telah dibincangkan oleh wakil wakil rakyat yang kita semua telah memberi mandat, yang kita pilih mereka maka undang undang atau enekmen itu adalah undang undang kita semua, peraturan kita semua yang dibuat oleh wakil wakil kita. Maka adalah tidak kena jika kita tidak hormat, kalau kita tidak patuh dan tidak hormat kepada peraturan peraturan, undang undang atau enekmen enekmen yang kita sendiri buat.
Peraturan peraturan, undang undang atau enekmen enekmen yang dibuat adah bertujuan untuk menjaga kesejahteraan umum jadi kita tidak wajar menentang tidak patut ingkar peraturan peraturan, undang undang atau enekmen enekmen yang kita sendiri buat melalui wakil wakil kita.
Untuk memandu di jalanraya, laut dan udara ada peraturannya, ada undang undang, perlu ada lesen memandu demikian juga untuk mengajar agama ada peraturan ada undang undang yang memerlukan tauliah. Mereka yang tidak patuh kepada peraturan yang dibuat adalah tergolong dalam kalangan mereka yang bercelaru.
Kita boleh bayangkan betapa haru birunya kehidupan bila peraturan atau undang undang kita semua mengambil sikap tidak hormat
Wassalam
0 comments:
Post a Comment