Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 27 April 2012: Iman dan Taqwa


Saudara kaum muslimin, sidang Jumaat yang dihormati dan di kasihi sekelian,
Bersama samalah kita bertaqwa kepada Allah swt, kerana taqwa itu adalah tunjang agama yang sekaligus menjadi asas kebudayaan. Sesuatu kebudayaan itu dikira baik dan makruf ialah apabila ianya diasaskan kepada taqwa dan kerana di sana letaknya nilai agama dan syariat yang luhur yang menentukan laluan halatuju ke mana budaya manusia itu akan dituju dan disembunyikan. Tanpa taqwa dan iman maka kebudayaan akan lahir berdasarkan budaya nafsu manusia yang tidak bersopan.

Saudara kaum muslimin
Kita semua menyedari bahawa umat Islam tidak seharusnya semata mata berbangga kerana ianya telah Islam, atau dipanggil seorang muslim kerana berbangga dengan kenal Islam sahaja dalam keadaan buta hati dan buta mata daripada melakukan amalan yang dibenarkan kepada Allah swt adalah tidak akan memberikan apa apa makna, atau nilai di sisi Allah swt. Bahkan ianya tidak lebih daripada fitnah kepada diri sendiri dan kepada masyarakat.

Sebagaimana sabda Rasulullah saw  diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud Sesungguhnya Allah swt tidak melihat kepada rupa paras kamu dan tidak juga kepada tubuh badan kamu, tetapi Allah melihat kepada kandungan hati kamu.

Saudara kaum muslimin
Rupa paras yang cantik, tubuh badan yang tampan dan kacak, tidak boleh dibentuk dan dilakukan dengan kepura puraan, tetapi hati yang diresapi oleh iman  akan menentukan kedudukan muslim yang sebenar. Inilah sebabnya hari yang buta dari iman itu tidak akan menentukan hala laluan untuk seseorang berjalan ke jalan yang benar.

Oleh itu seseorang yang bersyukur dengan keislamannya serta hati yang padat dengan pengajaran Ilahi seharusnya mempunyai tiga sifat yang penting:

  1. Ia hendaklah berani menyuruh dan memimpin manusia kepada yang benar dan makruf yang dikehendaki oleh Allah swt tanpa terlebih dahulu menghitungkan kepentingan dirinya, kerana diperingkat itulah tugas hidup yang sebenarnya. Hidup tanpa tugas tugas inilah samalah dengan hidup makhluk haiwan yang semata mata untuk makan dan minum.
  2. Hendaklah ia berani melarang yang mungkar serta berusaha untuk mencegahnya kerana inilah tanda keberkesanan imam yang ada pada diri seseorang. Sekiranya ia tidak mahu melarang atau mencegah, apatah lagi jika dia turut pula sama sama melakukan yang mungkar itu, ataupun dia memberikan sokongan dan membantu orang yang mengerjakan mungkar itu. Maka tentulah kemungkaran itu akan menghapuskan iman, lebih buruk lagi keadaannya apabila orang orang yang turut memberikan sokongan atau bantuan itu terdiri dari orang orang yang arif yang dianggap berpengetahuan tinggi dalam Islam.
  3. Hendaklah seseorang muslim itu menumpahkan taat setianya dan kesyukurannya hanya semata mata kepada Allah swt. Memang di dalam Islam tidak ada syukur lain kepada Allah swt. Di sinilah letaknya permulaan, kebiasaan jiwa seseorang itu dari belenggu kongkongan telunjuk hawa nafsu dan pujuk rayu syaitan serta kuncu kuncunya.
Firman Allah swt yang bermaksud Kamu wahai umat Muhammad adalah sebaik baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia dan hendaklah kamu menyuruh berbuat perkara yang baik dan melarang dari melakukan perkara yang salah, buruk dan keji. Serta kamu pula beriman kepada Allah dengan sebenar benar iman dan jika ahli kitab yakni yahudi dan nasrani itu beriman sebagaimana yang semestinya tentulah iman itu menjadi baik bagi mereka, tetapi diantara mereka ada yang beriman dan kebanyakan dari mereka orang orang yang fasik.

Wallahualam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week