Khutbah Jumaat Masjid Mukim Binjai 6 -4-2012:Hak Anak Yatim

Ikhwanil muslimin,
Pada kesempatan ini saya menyeru sidang Jumaat sekelian khususnya diri saya sendiri, marilah kita tingkatkan ketaatan kita kepada Allah swt kerana kemuliaan dan kejayaan yang sebenar benarnya hanya boleh dicapai dengan ketaqwaan dan ketaatan kepada Allah swt.

Ikhwanil muslimin,
Islam adalah agama rahmat bagi sekelian alam, ia membawa kesejahteraan keamanan dan kedamaian kepada semua. Di dalam Islam setiap insan mempunyai hak untuk hidup, hak untuk mendapat pekerjaan, keamanan perlindungan dan pembelaan yang sewajarnya, kerana itu seorang kanak kanak kecil sebaik sahaja berlaku kematian bapa atau kematian kedua dua orang tuanya hendaklah ditentukan  dengan segera orang yang bertanggungjawab memelihara dan mendidiknya daripada kalangan keluarganya yang diberi nama Wali Yatim.

Apabila Wali Yatim ini tidak mampu memelihara dan mendidiknya, maka hendaklah diserahkan kepada wali yang lain. Kalau tidak mampu juga bolehlah diserahkan anak yatim itu kepada mana mana individu muslim yang layak memeliharanya atau kepada mana mana  institusi penjagaan yang baik dan boleh diharapkan untuk memelihara dan mendidiknya.

Agama Islam telah mengarahkan umatnya supaya berbuat Ehsan dan berbuat pembelaan terhadap anak anak yatim, dimana bukan sedikit ayat ayat al Quran, al Hadis membicarakan tentang kewajipan berbuat ehsan terhadap anak anak yatim dan melarang daripada melakukan kezaliman terhadap mereka. Apakah sumbangan kita pada hari ini untuk mempertabatkan anak anak yatim ini?

Ikhwanil muslimin,
Apabila kita berada di dalam sebuah keluarga dimana terdapat di dalamnya anak yatim, maka janganlah kita abaikan tentang pendidikan dan penjagaan anak anak yatim itu. Ketahuilah berbuat ehsan atau kebajikan ke atas mereka adalah merupakan kerja kerja ibadat dan ketaatan kepada Allah dan Rasulnya yang sangat mulia, sangat bernilai dan sangat besar munafaat dan ganjarannya di dunia dan di akhirat.

Sebaliknya apabila kita mengabaikan hak hak anak anak yatim merupakan pembohongan terhadap ajaran Islam dan membuatkan hati menjadi keras, tidak ada keberkatan di dalam hidup dan tidak ditunaikan hajatnya.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud Sebaik baik rumah kediaman bagi kalangan orang orang Islam ialah rumah kediaman yang tinggal di dalamnya anak yatim yang dipelihara dengan baik. dan sejahat jahat rumah kediaman ialah rumah yang tinggal didalamnya anak yatim yang diperbuat jahat terhadapnya.

Ikhwanil muslimin,
Memelihara dan mendidik anak anak yatim merupakan benda besar yang dituntut dalam Islam bagi menyelamatkan manusia yang lemah dan membimbing mereka bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kerana itu ganjaran yang disediakan di akhirat ialah syurga.

Di sebalik kelebihan berbuat ehsan dan kebajikan kepada anak anak yatim dan menjaga anak anak yatim diingatkan bahawa mereka sedang memikul amanah Allah bagi berbuat kebajikan Islah, memberi perlindungan dan penjagaan terhadap hak anak yatim.

Ingatlah betapa besarnya akibat yang akan menimpa ke atas mereka yang melakukan kezaliman dan mengabaikan hak hak mereka. Di antara hak hak mereka ialah:

  1. Hak untuk mendapat penjagaan dan perlindungan diri, harta dan nama baiknya daripada diperlakukan kezaliman.
  2. Hak untuk mempelajari ilmu pengatahuan dan mendapat didikan ugama serta dapat menghayati ajarannya dengan sempurna.
  3. Hak untuk mengambil munafaat daripada hartanya secara betul
  4. Hak untuk memiliki hartanya apabila sampai umur dan boleh menguruskan diri dengan baik
  5. Hak untuk mengenal dan menghubungi keluarganya 
  6. Hak untuk mendapatkan pembelaan dan keadilan 
  7. Hak untuk memperoleh sandaran nama kepada bapanya yang hakiki
Ikwanil muslimin
Penjaga anak anak yatim tidak boleh melakukan sewenang wenangnya terhadap harta anak  yatim. Harta anak yatim itu adalah amanah Allah dibawah jagaannya. Ia mesti menguruskannya dengan cara terbaik dan tidak membawa kepada apa apa kerosakan.

Memakan harta anak yatim tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak maka bererti ia telah memakan api neraka, kerana perbuatannya itu merupakan kezaliman terhadap anak yatim.

Firman Allah swt yang bermaksud Sesungguhnya orang orang yang memakan harta anak yatim secara zalim sebenarnya mereka itu memakan api neraka sepenuh perutnya dan mereka akan masuk kedalam api neraka yang menyala nyala

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud Jauhilah kamu 7 perkara yang membinasakan. Para sahabat bertanya Apakah dia ya Rasulullah. Jawab Rasulullah saw Mempersukutukan Allah, perbuatan sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan benar, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan peperangan menentang musuh pada jalan Allah dan menuduh melakukan perbuatan berzina terhadap wanita yang beriman yang tidak ada ingatan untuk melakukan kejahatan itu. 

Pada suatu hadis yang diriwayatkan oleh al Hakim, Rasulullah saw pernah mengingatkan bahawa Ada 4 jenis manusia yang menjadi hak kepada Allah swt tidak memasukkan mereka ke dalam syurga dan tidak merasakan nikmatnya. Mereka itu ialah penagih arak, pemakan riba, memakan harta anak yatim dengan cara yang tidak benar dan mendurhaka kepada ke dua ibu bapa.

Ikhwanil muslimin,
Seorang wali atau penjaga anak yatim yang miskin dibolehkan memakan harta anak yatim di bawah jagaannya . Penjaga anak anak yatim hendaklah sentiasa ingat bahawa harta harta anak yatim yang berada di bawah jagaan mereka itu adalah amanah Allah. Oleh itu apabila anak yatim yang berada di bawah jagaan mereka itu sudah sampai umur baligh kira kira 15 tahun atau memiliki tanda atau pandai mengurus hartanya sendiri dengan baik, maka hendaklah kamu menyerahkan harta mereka dengan  sempurna. 

Janganlah kamu menukar harta mereka yang baik dengan yang buruk, tetapi sebelum menyerahkan harta mereka untuk diurus sendiri, hendaklah diuji kemampuan mereka. Sekiranya  begitu baik urusan atau kerjanya maka layaklah untuk diserah kembali harta mereka itu. Kalau tidak maka jagalah dan tahanlah terlebih dahulu sehingga ia mampu dan pandai mengurusnya dengan sendiri. 

Firman Allah swt yang bermaksud Dan ujilah anak anak yatim itu sebelum baligh sehingga mereka cukup umur dewasa. Jika kamu nampak dari keadaan mereka tanda tanda yang telah menunjukkan bahawa mereka telah cerdik dan berkebolehan untuk menjaga harta mereka, serahkan kepada mereka harta mereka. Apabila kamu telah menyerahkan kepada mereka harta mereka, maka hendaklah kamu mengadakan saksi saksi yang menyaksikan penerimaan mereka. Cukuplah Allah swt sebagai pengawas ke atas apa yang telah kamu lakukan.

Penjaga ketika menyerahkan harta anak yatim disunatkan mengucapkan kata kata yang baik dan menyenangkan hati serta memohon maaf dan meminta dihalalkan sekiranya ada yang termakan dan yang terminum dan melakukan kesalahan.

Ikwanil muslimin
Akhir sekali kita menyeru kepada penjaga penjaga anak anak yatim secara individu dan pertubuhan pertubuhan, yayasan yayasan dan rumah rumah yang menjaga anak anak yatim supaya meningkatkan kualiti khidmat jagaan mereka. 

Sebenarnya menjaga anak anak yatim bukan sekadar menyediakan makan, minum, pakaian dan tempat tinggal semata mata, tetapi hendaklah terlebih dahulu utamakan tarbiah berorientasi ilmu secara amali dan menyediakan insan yang sihat jasmani dan rohani.

Penguasaan fardhu ain dan fardhu kifayah mestilah diutamakan di samping ilmu ilmu lain yang berfaedah. 

Alangkah bangganya keluarga dan masyarakat, apabila kembali seorang anak yatim kepangkuan keluarga pandai membaca Al Quran,  boleh menjadi imam sembahyang berakhlak mulia dan baik pergaulannya, apalagi sekiranya memiliki sijil pelajaran dan pelbagai kemahiran. 

Wallahualam

 

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week