Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 20-07-2012: Amalan Di Bulan Ramadhan

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati lagi dikasihi Allah sekelian,
Saya mengingatkan diri saya dan seluruh muslimin sekelian, marilah kita sama sama bertaqwa kepada Allah swt dengan sebenar benar taqwa. Kita laksanakan perintah perintah Allah dan meninggalkan semua larangannya.

Saudara kaum muslimin
Kita sekarang berada dalam suasana menyambut kedatangan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah swt. Umat Islam di seluruh dunia sudah pasti menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan, sikap dan perasaan inilah yang patut hadir dalam setiap umat Islam yang benar benar beriman dan bertaqwa kepada Allah swt.

Hadirnya Ramadhan amat bermakna buat diri kita semua kerana pada bulan itu Allah swt telah menjanjikan berbagai bonus, keistimewaan dan ganjaran berlipat kali ganda semata mata untuk memberi peluang kepada hambanya meraih pahala yang disediakan serta mendapat janji pengampunan dari segala dosa.

Sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al Baqarah menegaskan tentang tujuan puasa

A183
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Al-Baqarah 2:183)

Saudara kaum muslimin
Di dalam ayat ini Allah swt menyebut tujuan utama puasa ialah untuk memantapkan ketaqwaan ke atas Allah swt. Oleh yang demikian kita seharusnya membuat persediaan yang sebaik mungkin supaya kita dapat digolongkan oleh Allah swt sebagai insan yang bertaqwa kerana paras ketaqwaan yang dijanjikan oleh Allah swt tidak akan terhasil sekiranya kita tidak membuat persediaan bagi mencapainya.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang berbahagia
Dalam kita menyambut kedatangan Ramadhan esok hari, ada beberapa perkara yang kita perlu beri perhatian dan keutamaan antaranya:

Perkara yang pertama adalah kita perlu menyambut kedatangan dengan rasa gembira dan syukur serta mengisinya dengan ibadat ibadat yang boleh meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt lantaran keinginan untuk bersuara dengan Ramadhan maka Rasulullah saw kerap kali berdoa setiap kali datang bulan Rejab dengan doanya yang berbunyi "Wahai Tuhan kami, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan".


Dalam mempersiapkan diri kita mengisi Ramadhan kita perlu menjaga diri kita agar sentiasa sihat supaya dapat melakukan ibadat ibadat dalam bulan Ramadhan dengan selesa baik dan sempurna.


Selain daripada itu setiap individu muslim dituntut supaya mengulangkaji segala persoalan feqah yang berkaitan dengan ibadat puasa samada mengenai rukun, syarat, sunata, adab adab, munafaat, hikmah dan sebagainya. Ini penting supaya ibadat puasa yang kita lakukan adalah berdasarkan fahaman yang jelas dan benar benar menepatapi syariat dan kehendak Allah swt.


Dalam kontek ini juga kita perlu membersih jiwa kita dari segala kekotoran dengan melakukan taubat atas dosa dosa yang lalu. Keadaan ini penting kerana jiwa yang bersih sahaja akan bersedia untuk menjalani ibadat dalam bulan Ramadhan dengan lebih baik.

Saudara kaum muslimin
Persiapan yang ke dua ialah menghidupkan Ramadhan dengan aktiviti aktiviti yang dapat menghampirkan diri kita kepada Allah swt. Ibadat puasa adalah merupakan ibadat pokok terutama yang telah difardhukan oleh Allah swt kepada seluruh umat Islam didalam bulan Ramadhan.

Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana keimanan dan keikhlasan kepada Allah nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu. sesiapa yang menghidupkan malam Ramadhan   dengan solat Terawikh kerana keimanan dan keikhlasannya kepada Alllah nescaya diampunkannya dosa yang telah lalu. Sesiapa yang menghidupkan Lailatul khadar kerana keimanan dan keikhlasannnya kepada Allah nescaya akan diampunkanNya dosanya yang telah lalu".

Saudara kaum muslimin yang dirahmati Allah sekelian
Dalam kita menjalani ibadat puasa ini seseorang itu hendaklah melakukannya dengan sebaik mungkin kerana matlamat puasa yang sebenarnya bukan sekadar meninggalkan makan dan minum tetapi menahan diri dari segala keinginan hawa nafsu dan penyakit penyakit rohani seperti mengumpat, dengki, sombong, dendam dan sebagainya.

Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan kotor dan beramal dengannya maka Allah tidak berhajat kepadanya daripada meninggalkan makan dan minumnya Allah tidak memandang puasanya" Riwayat Al Bukhari.

Saudara kaum muslimin
Seiringan dengan ibadat puasa ini juga setiap individu muslim seharusnya memperbanyakkan amalan amalan sunat yang lain seperti sembahyang Terawikh, Witir, Tahajjut, tadarul Al Quran, iktikad pada 10 malam terakhir Ramadhan, memperbanyakkan berzikir, beristigfar, bertaubat dan juga bersedekah, menolong fakir miskin dan memberi makan kepada orang orang yang berpuasa serta menunaikan zakat fitrah.

Saudara kaum muslimin
Marilah kita menyambut Ramadhan kali ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran, berazam melipat gandakan amalan dan kebajikan.

Wassalam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week