Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 6-7-2012: Kelebihan Bulan Syaaban

Saudara kaum muslimin yang dihormati lagi dikasihi sekelian
Saya berpesan kepada tuan tuan sidang Jumaat sekelian dan juga kepada diri saya sendiri, marilah kita sama sama bertaqwa kepada Allah swt dengan memperkukuhkan pengabdian diri kita kepada Allah swt dengan melaksanakan segala perintah  dan meninggalkan segala larangannya.Mudah mudahan pada hari yang berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan juga di akhirat nanti.

Saudara kaum muslimin
Allah swt menjadikan setiap detik waktu dan masa adalah membolehkan manusia menguruskan hidupnya bagi meraih keredhaannya. Kini kita berada di satu bulan yang mulia lagi berkat. Bulan yang mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan iaitu bulan Syaaban. Yang mana di bulan ini adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin. Latihan dan persediaan untuk kita menghadapi bulan Ramadhan yang tidak berapa lama lagi. Ia merupakan medan ibadat bagi umat Islam.

Dalam sebuah hadis Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud "Keutamaan bulan Syaaban diatas semua bulan itu seperti keutamaan aku ke atas semua nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu keatas semua bulan ibarat keutamaan Allah swt". Bulan Syaaban adalah bulan Rasulullah dan bagi kita sebagai umatnya berbagai ganjaran yang disediakan untuk setiap amalan bagi persediaan kita menghadapi bulan Ramadhan.

Saudara kaum muslimin
Banyak hadis yang menceritakan kelebihan bulan Syaaban ini, antaranya sebagaimana hadis yang diriwayatkan Aisyah ra yang bermaksud "Maka tidaklah aku melihat Baginda saw berpuasa selama sebulan melainkan pada bulan Ramadhan dan tidaklah aku melihat Baginda Rasulullah saw memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban" Riwayat Al Bukhari.

Saudara kaum muslimin
Antara amalan yang digalakkan untuk dilakukan pada bulan ini adalah ibadat puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu ibadat yang agak sukar kerana ia benar benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun ini adalah amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud "Barang siapa yang berpuasa sehari dalam bulan Syaaban diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka, dia akan menjadi rakan taulan kepada Nabi Allah Yusuf di dalam syurga, diberi pahala oleh Allah swt seperti  pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud. Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan ini dimudakkan Allah akan saat matinya dan terlepas dari kegelapan alam kubur. Bebas dari huru hara Mungkar dan Nakir. Ditutup Allah akan aibnya dan diwajibkan syurga ke atasnya".

Pada bulan Syaaban terdapat satu malam yang dinanti nantikan oleh umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban. Ini adalah kerana pada malam tersebut Allah swt memberikan kelebihan kepada hamba hambanya dan memberi keampunan kepada meraka kecuali kepada yang syirik kepada Allah swt.

Sebagaimana Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah yang bermaksud "Allah swt melihat kepada makhluk makhluknya pada malam Nisfu Syaaban lalu mengampuni makhluk makhluknya kecuali orang yang mushrik dan orang yang bermusuh musuhan".

Saudara kaum muslimin
Untuk mencapai keredhaan pada bulan ini maka umat Islam dianjurkan berbagai ibadat antaranya melakukan ibadat puasa sunat dan qiamullai. Inilah ibadat yang paling diutamakan oleh Rasulullah saw pada bulan yang mulia ini. Rasulullah saw memperbanyakkan ibadat sunat pada 15 terakhir bulan Syaaban. Ambillah peluang ini untuk membiasakan diri kita  dengan ibadat ibadat seperti puasa supaya ianya tidak menjadi keberatan apabila tibanya bulan Ramadhan nanti.

Melakukan solat sunat tahajjut dan solat sunat taubat amatlah ditekankan terutama pada malam Nisfu Syaaban yang lepas. Inilah masa yang sesuai untuk diperbanyakkan berdoa memohon supaya diberi keampunan dan kerahmatan dari Allah swt.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud "Apabila tiba malam Nisfu Syaaban lalu berqiamullai pada malamnya dan berpuasa di siangnya maka sesungguhnya Allah swt turun kelangit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman Adakah di sana orang yang memohon keampunan lalu Aku mengampunkan dia, Adakah disana orang yang memohon rezeki lalu aku memberikannya rezeki, Adakah disana orang yang diberi ujian (bala bencana) lalu aku mensejahterakannya, Adakah disana sehingga terbit fajar". Riwayat Ibunu Majjah.

Saudara kaum muslimin
Dan yang kedua memperkukuhkan tali silaturrahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia adalah amat penting kerana ianya bersangkutan antara hubungan manusia dengan Allah swt. Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaaf maafan kerana Allah swt tidak akan mengampunkan dosa manusia selagi mana mereka tidak saling bermaafan. Sucikan diri dari perasaan dendam dan dengki sesama muslim sebelum tibanya Ramadhan supaya amal ibadat dalam bulan yang berkat ini dapat dirasai kemanisannya

Dan Yang ketiga.Beristiqamah dalam melaksanakan amal ibadat dan kebajikan. Amal ibadat yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan jiwa kita sentiasa melakukan amal ibadat tersebut
tiap tiap hari walaupun hanya sedikit atau sekejap masa yang diambil untuk melaksanakannya.

Dan yang keempat.  Memperbanyakkan memohon keampunan kepada Allah swt. ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan segala dosa yang dilakukan semakin hari semakin bertambah terutamanya dosa dosa kecil datang dari perbuatan manusia samada melalui percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan. Semua dosa ini sebenarnya telah menjadi titik hitam dalam hati yang menyebabkan hati kita menjadi semakin keras. Lebih membimbangkan hati akan jauh dari petunjukkan Allah swt.

Perbanyakkan berdoa dan memohon ampun daripada Allah swt selagi pintu keampunan itu masih terbuka. Allah swt berfirman dalam surah Hud ayat 3

A003
Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya)

Wallahualam



0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week