Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 29-6-2012: Kehidupan Selepas Mati
Saudara kaum muslimin yang dihormati lagi dikasihi sekelian,
Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan saya menyeru kepada sidang Jumaat sekelian marilah sama sama kita bertaqwa kepada Allah swt deng sebenar benar taqwa serta melaksanakan perintahnya dan menjauhi segala larangannya.
Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, begitu jugalah dengan manusia tiada seseorangpun yang boleh lari dari ajalnya yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Apabila ajal seseorang itu telah sampai Malaikat Izrail tetap akan mencabut nyawanya tidak kira di mana seseorang itu berada sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al Jumu'ah
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".
Saudara kaum muslimin sidang Jumaat sekelian
Begitulah apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya maka tinggallah segala apa yang dimiliki samada ahli keluarga, anak anak, sanak saudara mara, pangkat, harta benda dan sebagainya. Jasad yang terbujur kaku akan diurus dan dihantar ke kubur untuk dikebumikan. Pada saat itu terpisahlah dia ke alam yang lain iaitu alam kubur atau alam barzah sementara menunggu hari hisab dan pembalasan di akhirat.
Saudara kaum muslimin
Menurut kamus, Alam kubur adalah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum kita di himpunkan di padang mahsyar daripada waktu mati hinggalah di bangkitkan atau juga dia bermakna dinding pemisah antara dua alam sejak dari waktu kematian seseorang hinggalah waktu dia dibangkitkan.
Sesiapa yang mati bermakna dia memasuki alam barzah atau alam kubur. Alam kubur juga adalah tempat permulaan seseorang manusia itu dihukum berdasarkan amalannya semasa hidup di dunia ini.
Firman Allah swt dalam surah Al An'aam
Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira - Penghitung
Saudara kaum muslimin sidang jumaat yang berbahagia,
Ketika berada di alam kubur, seseorang itu akan dapat menjangkakan samada dia akan mendapatkan kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat nanti.
Perkara ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Iman Attirmizi, Rasulullah saw bersabda sebagaimana maksudnya
Sesungguhnya kubur itu adalah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari siksaannya maka apa yang akan datang kemudiannya adalah lebih mudah lagi. Dan seandainya seseorang itu tidak terlepas yakni terkandar daripada siksaannya maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar dan keras.
Saudara kaum muslimin
Bagi orang yang beriman, kehidupan mereka di alam kubur penuh dengan segala macam kenikmatan kurniaan Allah swt, Sebaliknya bagi orang yang syirik, orang yang kufur, orang yang ingkar terhadap suruhan dan perintah Allah, sudah pasti siksaan dan azab kubur diterima sepertimana tanda hukuman yang akan diterima di akhirat kelak.
Sahabat Nabi saw yang bernama Ubai pernah berkata Setiap mayat yang hendak meninggal pasti liang lahat di mana mayat itu akan dikuburkan memanggilnya Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri, jika waktu hidupmu engkau taat kepada Allah swt maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu manakala jika engkau derhaka maka hari ini aku akan menjadi siksa bagimu.
Sesiapa yang memasukinya dengan taat akan keluar dengan bahagia dan sesiapa masuk dengan derhaka dia akan keluar dengan penuk penyesalan.
Saudara kaum muslimin
Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita percayai dan diyakini kewujudannya kerana ia dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt.
Saudara kaum muslimin
Berdasarkan kepada pemerhatian, ramai umat manusia pada hari ini melupai hakikat sebenar kehidupan dengan gagal mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian dan menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur.
Ramai di antara kita leka dengan kehidupan dunia, jika ada di antara kita yang mengingati kematian itu pun, hanya dilakukan dengan sambil lewa tanpa merasa takut dan gerun tentang kedahsyatan alam kubur itu.
Saudara kaum muslimin
Mengapakah ini berlaku? Hal ini berbunca disebabkan hati kita yang terlalu cinta dan terlalu sibuk dengan hal dunia sehingga menyebabkan hati kita keras dan gelap gelita.
Saudara kaum muslimin
Ingatlah bahawa jalan Allah swt tidak dapat kita tempuhi dengan tapak kaki tetapi ia ditempuhi dengan kekuatan dan kesucian hati.
Saudara kaum muslimin
Jika kita merasakan hati kita keras dan tepu, rawatilah dengan melaksanakan beberapa perkara seperti berikut:
- Gunakanlah masa yang berkualiti ini dengan membaca Al Quran dan berzikir
- Bersikap tawadduk dan sentiasa merendahkan diri di hadapan Allah swt
- Menghadiri majlis majlis ilmu, semakin tinggi ilmu agama seseorang itu akan semakin takut ia kepada Allah swt. Elakkan diri dari menghadiri majlis majlis yang tidak berfaedah dan membuang masa.
- Mengingati mati, seseorang yang sentiasa ingat akan kematian menyebabkan hatinya tertumpu ke Alam Akhirat sekali gus meringankan dunia dan tidak panjang angan angannya.
- Menziarahi kubur, jika hati kita tidak dapat dilembutkan dengan cara yang sebelum ini, maka inilah cara yang paling berkesan untuk mengubati hati yang keras.
Saudara kaum muslimin.
Sebagai mengakhiri khutbah pada kali ini marilah sama sama kita menghitung diri kita bagaimana nasib kita di alam kubur nanti. Adakah kita sebahagian dari umat yang akan dirahmati atau akan diazab oleh Allah swt. Renungilah kehidupan kita selama ini, Adakah kita sudah bersedia untuk meninggalkan alam dunia ini?, bagaimanakah dengan amalan kita? Adakah sudah mencukupi untuk bertemu dengan Allah swt di akhirat nanti?
Ingatlah segala amalan kita akan diperhitungkan samada ia berpahala atau berdosa dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah swt.
Firman Allah swt dalam Surah Al Zalzalah
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)
Wassalam
0 comments:
Post a Comment