Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 13-7-2012: Kedatangan Bulan Ramadhan
Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang di hormati lagi dikasihi sekelian
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa
Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekelian marilah sama sama kita bertaqwa kepada Allah swt dengan sebenar benar taqwa mudah mudahan kita semua terselamat daripada siksaan Allah swt di akhirat nanti.
Saudara kaum muslimin
Sebagaimana yang telah kita maklum bahawa bulan Ramadhan adalah nama bagi bulan yang ke sembilan tahun Hijrah. Ramadhan bererti terlalu panas, sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat jahiliah mereka memanaskan senjata senjata dengan menjemurkan senjata senjata itu di bawah panas terik matahari sebagai persediaan untuk menghadapi peperangan di bulan Syawal sebelum masuk bulan haram. Itulah Ramadhan menurut pengertian bahasa.
Saudara kaum muslimin
Sesungguhnya bulan Ramadhan sudah menghampiri kita dan bulan ini banyak berlaku peristiwa penting di antaranya peperangan Badar berlaku pada tahun ke dua Hijrah, penurunan ayat suci Al Quran nil karim yang menjadi kitab perlembagaan bagi umat Islam berlaku pada 17 Ramadhan. Seterusnya difardhukan ke atas muslimin dan muslimat supaya berpuasa selama sebulan juga di bulan Ramadhan.
Saudara kaum muslimin
Mudah mudahan dengan kedatangan bulan Ramadhan pada tahun ini yang menjadi tetamu agong akan membawa banyak kelebihan, keberkatan dan keistimewaannya. Oleh sebab itu ketibaan dan kedatangannya memang dinanti nanti oleh muslimin muslimat yang faham dan mengerti dengan penuh debaran dan senang hari.
Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud Telah datang kepada mu Ramadhan, penghulu bagi sekelian bulan maka hendaklah kita mengucapkan selamat datang kepadanya, telah datang bulan puasa ianya membawa banyak keberkatan maka hendaklah memuliakan tetamu yang datang itu.
Saudara kaum muslimin
Sungguh berbahagia sekali mereka yang bergembira dengan kedatangan Ramadhan lalu mereka bersedia menyiapkan diri dengan ilmu dan mengulangkaji pelajaran mengenai puasa, adab adab berpuasa, berterawikh, perkara perkaya yang boleh merosakkan puasa serta berharap akan mengerjakan ibadat puasa pada tahun ini semata mata kerana Allah swt.
Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud Sesiapa yang bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan nescaya Allah swt akan melindunginya daripada siksa api neraka.
Dalam satu hadis yang lain Rasulullah saw bersabda yang bermaksud Apabila datang awal Ramadhan lalu Allah swt berfirman Sesiapa mencintai Aku maka Aku akan mencintainya, sesiapa yang meminta ampun kepada Aku maka Aku memberikan keampunan kepadanya sebagai penghormatan bagi bulan Ramadhan, kemudian memerintahkan kepada malaikat pencatit supaya mencatit amal kebajikan yang dilakukan oleh orang orang yang berpuasa tetapi tidak menulis kejahatan kejahatan yang berlaku ke atas mereka dan Allah menghapuskan dosa dosa mereka yang telah lalu.
Saudara kaum muslimin,
Diriwayatkan apabila anak bulan terbit yang menunjukkan awal Ramadhan maka berteriaklah Arash/Kursi, malaikat dan selainnya seraya berkata Berbahagialah umat Muhammad saw kerana telah diberikan penghormatan oleh Allah swt kepadanya. Matahari bahkan bintang, burung yang ada di udara serta ikan ikan yang ada di air dan kesemua yang bernyawa di permukaan bumi ini memohon keampunan bagi umat Muhammad saw kecuali syaitan yang terkutuk. Tidak ada seorang pun yang terluput dan terlepas dari keampunan Allah swt.
Dan Allah berfirman kepada para malaikat Jadilah selawatmu dan tasbihmu pada bulan Ramadhan ini untuk umat Muhammad, sekiranya umat Muhammad mengetahui akan keutamaan dan keagongan bulan Ramadhan ini sedah pasti mereka mahu menjadikan bulan Ramadhan ini sepanjang tahun.
Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud Seandainya umat ku ini tahu tentang keutamaan dan keagongan bulan Ramadhan pasti mereka mahu menjadi sepanjang tahun bulan Ramadhan semuanya kerana kebajikan dan ketaatan semua terkumpul dan diterima serta dosa dosa di ampun dan syurga merindui mereka.
Saudara kaum muslimin
Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini marilah sama sama kita merenung pada satu hadis yang bermaksud Setiap satu amalan baik yang dilakukan oleh anak Adam di bulan Ramadhan akan digandakan pahala dengan 10 gandaan sehingga kepada 700 gandaan.
Firman Allah swt yang bermaksud Melainkan puasa, maka sesungguhnya bagiKu dan Aku lah yang akan membalasnya.
Saudara kaum muslimin,
Kita memohon kepada Allah swt semoga dipanjangkan umur kita supaya kita dapat melaksanakan Ramadhan pada tahun ini dengan lebih baik dan lebih berkesan lagi kepada kita. Semoga kita mendapat keampunan daripada Allah swt.
Wassalam
0 comments:
Post a Comment