Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 22 Jun 2012: Solat Tiang Agama

Firman Allah swt yang bermaksud Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang mancuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu dengan melakukan maksiat, maka mereka akan menghadapi azab dalam neraka kecuali mereka yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka akan masuk ke dalam syurga dan mereka pula tidak dikurangkan pahala walau sedikit pun.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dihormati lagi dikasihi sekelian
Hari ini kita berada di 2 haribulan Syaaban, yang mana bulan Rejab telah meninggalkan kita di mana sebulan di bulan Rejab kita mendengar ceramah ceramah agama berkenaan dengan Israq dan Mikraj dan kita mendengar forum forum dan kuliah kuliah berkenaan dengan Israq dan Mikraj. Tetapi sejauh manakah yang kita mengambil pengajaran atau iktibar dari peristiwa Israq dan Mikraj.

Yang mana di sini ingin saya menyebut di antara perkara perkara yang penting walaupun kesemuanya adalah penting tetapi yang lebih penting ialah di dalam peristiwa Israq dan Mikraj itu Allah swt telah menfardhukan sembahyang kepada Nabi Muhammad saw dan juga umatnya yakni kita semua.

Saudara kaum muslimin
Marilah sama sama kita bertaqwa kepada Allah swt dengan mengerjakan suruhannya dan meninggalkan semua larangannya, mudah mudahan kita diberi kejayaan oleh Allah swt di dunia dan juga di akhirat kelak.

Saudara kaum muslimin
Ketahuilah bahawa perintah mengerjakan solat itu sdalah satu perintah yang agong di dalam agama Islam kerana kebesaran itulah orang yang mengerjakannya di panggil Ahli Kiblat dan Ahli Solat. Semua ini adalah kerana kebesaran solat dalam agama Islam.

Kewajipan mengerjakan solat ini tidak gugur dari seorang mukallaf walaupun berada di medan peperangan selama ia memiliki ingatan kecuali wanita ketika haid dan nifas.

Sembahyang adalah tiang agama sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud Bermula sembahyang itu adalah sebagai tiang agama, barang siapa yang mendirikan sembahyang bererti ia mendirikan agama dan barang siapa yang meninggalkan sembahyang bererti dia meruntuhkan agama. 

Di mana diwajibkan kepada kita 5 kali sehari semalam dan diikhlankan seruannya setiap fardhu 5 kali sehari dengan suara Azan.

Ibnu Abbas menceritakan: Aku bertanya Rasulullah saw tentang maksud mereka yang lalai dalam solat. Jawab Baginda Rasulullah saw Mereka itu ialah orang yang mentakhirkan sembahyang daripada waktunya, mereka dinamakan orang yang bersembahyang  sedangkan mereka mempersendakan sembahyang. Akibatnya mereka akan dimasukkan oleh Allah swt ke dalam neraka jahannam yang kepanasannya mencairkan bukit bukau di dunia ini dan itulah tempat mereka yang mempermainkan sembahyang.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang berbahagia.
Perlu diingatkan bahawa, amalan pertama yang akan dihisab di alhirat kelak ialah sembahyangnya. Sekiranya ini berjaya maka yang selepasnya akan mudah dan berjaya. Sekiranya gagal maka yang selepasnya akan rugi  dan binasa.

Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Apakah yang menyebabkan kamu masuk neraka maka jawabnya orang yang meninggalkan sembahyang kerana kami tidak mendirikan solat.

Saudara kaum muslimin
Di sana terdapat terlalu banyak amalan daripada Allah swt tentang mereka yang tidak mengerjakan sembahyang.

Di antaranya sabda Rasulullah saw yang bermaksud Perbezaan seorang muslim dengan orang kafir adalah meninggalkan sembahyang.

Sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka terlepaslah dia dari jaminan atau naungan Allah swt.

Sesiapa yang meninggalkan sembahyang Asar maka gugurlah amalannya

Saudara kaum muslimin
Ibnu Omar Al Khattab ra berkata Tidak ada bahagian dalam Islam bagi mereka yang meninggalkan sembahyang.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang berbahagia
Allah swt telah meletakkan martabat seorang manusia di tempat yang tinggi. Ketinggian dan keagongan darjat seseorang itu bergantung kepada setinggi mana ia mengagongkan kebesaran Allah swt.. Di zaman kita ini banyak syiar Islam diabaikan tetapi dengan kelebihan dan kebesaran Allah swt masih kekal bersama kita beberapa ibadat syiar yang diketuai oleh ibadat sembahyang, kerana kelebihan ibadat sembahyang itulah  maka kita tidak boleh walau seorangpun mengabaikannya.

Saudara kaum muslimin
Alangkah ruginya seorang hamba yang tidak rukuk dan tidak sujud. Orang yang mengerjakan sembahyang walaupun ada melakukan kesalahan adalah lebih baik dari orang yang tidak mengerjakan sembahyang. Kerana ulamak berkata Mereka yang memelihara solat hampir kepada rahmat Allah azzawajalla berbanding dengan mereka yang tidak mengerjakan sembahyang.

Seorang yang tidak mengerjakan sembahyang hukumnya terlalu berat dan sentiasa terdedah kepada kemungkaran Allah swt.

Para ulamak tidak berselisih pendapat bahawa orang yang meninggalkan sembahyang fardhu dengan sengaja telah melakukan dosa yang sangat besar dan dosanya di sisi Allah lebih besar dari membunuh seorang manusia, merompak harta, berzina, mencuri, minum arak  dan terdedah kepada balasan Allah swt dan kemurkaannya di dunia dan juga di akhirat kelak.

Saudara kaum muslimin
Ulamak tidak berselisih pendapat bahawa seseorang meninggalkan sembahyang adalah fasik, jahat dan berhak mendapat hukuman Allah swt. Para ulamak mengakui akan orang yang meninggalkan sembahyang sedangkan dia mengetahui hukumnya sehingga keluar waktunya maka dia adalah orang yang fasik. Orang yang jahat, tidak boleh diterima kesaksiannya, tidak boleh menjadi saksi dan berhak mendapat siksaan Allah swt.

Al Amam Ibnu Nasab berkata Tidak ada perselisihan dikalangan ulamak Islam bahawa orang yang meninggalkan sembahyang adalah fasik, tetapi mereka berselisih pendapat untuk mengkafirkan orang yang meninggalkan sembahyang tanpa mengingkari kewajipannya.

Saudara kaum muslimin
Ketahuilah bahawa orang yang meninggalkan sembahyang ini ada beberapa perkara:

  1. Meninggalkan sembahyang dengan mengingkarinya, ini dihukumkan kafir oleh ulamak tanpa khilaf. 
  2. Meninggalkan sembahyang dengan terlupa, pelakunya tidak kafir dan tidak fasik dengan ithjimak ulamak dan mewajibkannya Qada' dengan segera 
  3. Meninggalkan dengan sengaja tetapi tidak mengingkari wajibnya. Inilah yang paling banyak dibahas  dan diperselisih oleh ulamak, Adakah menjadi kafir atau tidak?. Imam Shafie dan beberapa ulamak lain mengatakan bahawa mereka tidak kafir selama mana tidak mengingkari kewajipannya, Tetapi mereka dituntut agar bertaubat dalam masa 3 hari, 
Saudara kaum muslimin
Allah swt memerintahkan kita mengerjakan solat kerana dia mempunyai faedah yang sangat besar dalam kehidupan manusia sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Dan peliharalah kamu akan sembahyang, (semua sembahyang} terutamanya sembahyang wusta ( Sembahyang Asar) dan berdirilah kerana Allah di dalam solat kamu dengan taat dan khusuk. 

Solat sebenarnya adalah munajat seorang hamba kepada Allah swt dengan penuh khusyuk dan tawadduk yang hasilnya akan dikurniakan oleh Allah swt ketenanyan dan kerehatan jiwa lebih lebih lagi jika sembahyang itu dikerjakan secara berjemaah.

Saudara kaum muslimin
Sayugia bagi kita semua dan sebagai seorang muslim bersyukur dan berterima kasih kita kepada Allah swt dengan taufiknya kita dapat mengerjakan dan menjaga sembahyang serta tidak mencuaikannya. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Sesungguhnya manusia dijadikan resah gelisah lagi bakhil dan kedekut apabila dia di timpa kesusahan dia sangat resah gelisah dan apabila dia beroleh kesenangan dia sangat bakhil dan kedekut kecuali orang yang mengerjakan sembahyang



Wassalam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week