Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 8-6-2012: Pengajaran Dari Israk Mikraj
Saudara kaum muslimin yang di hormati lagi dikasihi sekelian,
Pada kesempatan yang mulia ini saya berwasiat kepada sidang Jumaat sekelian dan juga kepada diri saya sendiri, marilah sama sama kita bertaqwa, meningkatkan ketaatan kita kepada Allah swt dengan melaksanakan perintah perintah Allah dan menjauhi segala larangannya.
Marilah kita laksanakan perintah perintah Allah swt baik yang bersifat wajib, mau pun yang bersifat sunat, kita jauhi larangan Allah baik yang bersifat haram atau pun yang bersifat makruh. Semua itu adalah gambaran cermin kesempurnaan iman kita. Iman kita yang tertanam dalam hati yang diucapkan dengan lidah perlu dibuktikan dan diterjemahkan dalam bentuk amal perbuatan kita.
Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang berbahagia
Kita sekarang ini berada di bulan Rejab, bulan yang mulia, bulan yang Nabi kita Muhammad saw Israk dan di Mikrajkan oleh Allah swt. Baginda di Israk dari Masjidil Haram ke Masjidil Aksa, kemudian diMikrajkan ke Siddiratul Muntaha hingga ke Mustawa.
Saudara kaum muslimin
Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku kepada junjungan besar kita Muhammad saw pada tahun yang dikenali dengan Tahun Dukacita iaitu tahun Baginda Rasulullah saw mengalami berbagai cubaan dan ujian yang cukup berat iaitu di antaranya: Bapa saudara Nabi Abu Talib yang mengasuh dan membantu Nabi telah meninggal dunia selepas kematian Abu Talib disusuli pula dengan kematian isteri Baginda yang sangat disayangi Saiyaditina Khadijah ra, seorang isteri solehah, wanita pertama memeluk Islam yang telah berkorban apa sahaja untuk kepentingan agama Islam, seorang isteri yang sentiasa memberi dorongan, rangsangan, penghibur hati Rasulullah saw dalam menghadapi liku liku perjuangan untuk menyebar dakwah dan risalah Islam.
Berikutan kematian Abu Talib dan Saiyaditina Khadijah ra itu maka gerakan dan serangan yang dilancarkan oleh kafir Quraish terhadap Rasulullah semakin ganas dan dahsyat ningga Rasulullah saw terpaksa berhijrah ke Taif. Di Taif, Baginda Rasulullah saw diusir keluar dan dilontar dengan batu, dihina, dimaki hamun sehingga kepala Baginda berdarah.
Saudara kaum muslimin
Dalam suasana yang diwarnai perasaan dukacita itu pula, Allah swt menjemput Rasulullah saw Israk dan Mikraj untuk memberi kekuatan kepada Baginda Rasulullah saw dengan memperlihatkan tanda tanda kebesaran dan kekuasaan Allah swt.
Sebagaimana Firman Allah swt dalam Al Israk
بسم الله الرحمن الرحيم
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Saudara kaum muslimin
Dengan peristiwa Israk dan Mikraj sememangnya telah menyuntik semangat ketabahan dan kekuatan untuk
Baginda Rasulullah saw terus berjuang, terus berjihat, terus berdakwah menyebarkan agama Islam. Keimanan Rasulullah saw semakin teguh dan mantap. Rintangan dan halangan yang menjadi hambatan perjuangan Rasulullah saw merasa kecil dan kerdil berbanding dengan kebesaran dan kekuasaan Allah swt.
Saudara kaum muslimin
Sesungguhnya peristiwa agung Israk dan Mikraj memang melakar hikmah yang sangat besar untuk kita semua. Antara yang dapat dikesan ialah sikap dan perilaku umat Islam dalam menerima dan menolah peristiwa Israk dan Mikraj yang mana pada ketika itu ada diantara umat Islam yang menerima dengan penuh keyakinan dan ada yang menolak mentah mentah. Malah mengistiharkan keluar dari Islam.
Kelompok yang menolak mentah mentah bahkan sanggup keluar dari Islam kerana melihat peristiwa Israk dan Mikraj sebagai kejadian yang tidak masuk akal, tidak mungkin terjadi, tidak rational. Manakala kelompok yang menerima dengan penuh keyakinan, malah semakin yakin dan menebal keimanan mereka kerana melihat peristiwa Israk dan Mikraj sebagai kudrat, iradat dan kehendak Allah swt yang maha berkuasa, seci dari segala kekurangan dan kelemahan.
Saudara kaum muslimin,
Dua kelompok manusia yang terjadi semasa peristiwa Israk dan Mikraj itu sebenarnya terus wujud dalam kehidupan manusia di abad moden ini. Bahkan mana mana zaman pun, mungkin bentuk sahaja yang berbeza. Ada kelompok manusia yang hanya boleh percaya kepada hal hal yang logik kepada akal atau yang dapat mengjangkau oleh fikiran dan akal sahaja.
Hal hal yang diluar jangkaan mereka tidak akan mempercayai, tidak menerimanya, mereka hanya memiliki bentuk pemikiran yang mudah mudah untuk jangka pendek sahaja. Hal hal yang bersifat jangka panjang atau diluar jangkauan pemikiran mereka tidak pedulikan.
Kita boleh mengambil contoh sebagai bukti, yakni mereka tidak begitu ambil peduli terhadap kehidupan yang abadi yakni kehidupan di akhirat kelak. Mereka hanya terkurung di dalam telaga sempit menghabiskan masa dan berfikir untuk kehidupan dunia ini semata mata. Adapun kehidupan Akhirat tidak dipersiapkan kerana hal tersebut tidak dapat dijangkau, dilihat oleh mata kepada dan tidak dapat difikirkan oleh akal.
Sikap sekelompok manusia seperti yang dinyatakan tadi dijelaskan oleh Allah swt dalam surah Al Jaziah
"Dan apabila dikatakan (kepada kamu): ` Sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar, dan hari kiamat tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya ', kamu berkata: ` Kami tidak mengetahui apa dia hari kiamat itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali meyakininya '."
Saudara kaum muslimin
Itulah bentuk pemikiran manusia akibat sikap menolak sesuatu yang tidak boleh dijangka oleh pemikiran hingga hanya kekuatan dan kemampuan dijadikan kayu pengukur kepada kebenaran sesuatu. Padahal apa yang dimaklumkan oleh Al Quran baik pada perkara yang ghaib mau pun perkara yang nyata adalah benar sebagaimana firman Allah swt
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
Saudara kaum muslimin
Semasa kita memperingati peristiwa Israk dan Mikraj, kita sebaik baiknya mampu merenungi corak pemikiran kita dalam menilai sesuatu kebenaran. Perkara ini sangat penting bagi menjaga keimanan kita. Di samping itu peristiwa israk dan mikraj bertujuan melihatkan tanda tanda kebesaran dan kekuasaan Allah swt.
Ia mengajar kita supaya kita harus yakin dengan penuh kesedaran tentang mahakuasa Allah swt. Manakala kita adalah makhluk yang lemah. Hal ini menjadi penting sebab seringkali menusia suka menyembong diri kerana keilmuannya merasa serba tahu.
Saudara Kaum muslimin
Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud
"Bergegaslah kamu sekelian untuk beramal soleh sebab nanti akan terjadi pelbagai fitnah Bagaikan potongan potongan malam yang gelap gelita di saat ada orang yang di sebelah pagi beriman manakala di sebelah petang bertukar menjadi kafir. Di sebelah petang dia beriman manakala di sebelah pagi berubah menjadi kafir. Dia sanggup jual agamanya dengan harta benda dan kemewahan dunia". Riwayat Muslim
Dalam hadis tersebut mengatakan bahawa kita akan diuji dengan fitnah berupa pengaruh harta benda dan kemewahan dunia. Bagi mereka yang nipis imannya rela menukar agama, rela menjual agama dengan kemewahan, rela menjual agama dengan kemegahan pangkat, menjual agama kerana perebutan kuasa. Mereka tidak peduli ajaran agama kerana mengejar keuntungan duniawi semata mata. Hinggalah memekai kaedah 'Matlamat Menghalalkan Cara' dalam segala hal.
Saudara kaum muslimin
Kegilaan manusia muslim kepada kedudukan, pangkat dan kuasa hingga digambarkan dalam hadis mudah sekali menukar agama pagi beriman petang kafir. Petang beriman pagi kafir. Memang proses gerakan memuncak menggoncang tiang keimanan seseorang muslim itu berlatar belakangkan pengaruh pengaruh duniawi. Agama dijadikan topeng untuk merebut kesenangan dan kemewahan.
Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud
"Sesungguhnya di antara yang paling aku bimbang akan berlaku keatas kamu semua selepas peninggalan aku adalah terbuka luas kemewahan dunia dan keindahannya".
Untuk menghadapi fitnah yang datang dari sumber kemewahan dunia Rasulullah saw memerintahkan kita semua agar bersegera berlumba lumba merebut peluang membanyakkan amal yang soleh. Amal soleh adalah benteng iman. Semakin banyak amal soleh semakin teguh keimanan kita.
Punca amal soleh yang dapat membangunkan agama adalah berjihat dan bersembahyang seperti yang diperintahkan dalam Israk dan Mikraj.
Rasulullah saw bersabda
" Sembahyang itu adalah tiang seri agama, sesiapa yang menegakkannya bererti menegakkan agama, sesiapa yang meninggalkannya bererti meruntuhkan agama".
Rasulullah saw menyatakan bahawa Tali tali Islam akan putus satu demi satu, tali Islam yang pertama akan putus adalah hukum hukumnya yang tidak dipedulikan dan yang terakhir akan putus adalah sembahyang, sembahyang di sia siakan sembahyang ditinggalkan begitu sahaja.
Perlu kita sedar bahawa menurut hawa nafsu adalah berbuatan mungkar, gejala jahat. Puncak perbuatan mungkar bagi gejala jahat itu adalah mensia-siakan sembahyang, meninggalkan sembahyang.
Kita memeng sedar betapa jahatnya orang orang yang menurut hawa nafsunya, namun mensia-siakan dan mininggalkan sembahyang lebih tinggi kejahatan, kerosakan. Ini menunjukkan betapa parahnya kehidupan ini kalau ianya dilakukan menurut hawa nafsu dan meninggalkan sembahyang.
Wassalam
0 comments:
Post a Comment