Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 7-10-11:Bekalan ke Akhirat & Al Quran Sebagai Petunjuk
Firman Allah swt yang bermaksud Wahai orang orang yang beriman takutlah kamu kepada Allah swt dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk bekalan hari Akhirat dan takutlah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian
Ayat ini menyuruh kita mengukur dan mengira apa bekalan kita. sebanyak manakah bekalan kita untuk dibawa ke akhirat, oleh yang demikian hendaklah setiap kita mengira dan menyemak segala tindakan kita bermula dari niat kita perkataan dan perbuatan kita, adakah ianya sesuai dan kena dengan kehendak kehendak syarak atau ianya bertentangan dengan syarak kerana segala segalanya akan didedah dan dikira kelak. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Dan setelah diberikan surat amalan di akhirat, lalu kamu akan melihat orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya, dan mereka berkata Aduhai Tuhan kami, surat apakah ini yang tidak tertinggal sedikit pun samada kecil ataupun besar semuanya tertulis dan mereka dapati apa yang mereka kerjakan ada tertulis semuanya dan Tuhanmu tidak menzalimi seorang jua pun.
Saudara kaum muslimin
Amatlah salah dan silap bila seorang itu memahami bahawa ada sesuatu yang terpisah daripada pengetahuan Allah swt yang tertinggal dari catatan Malaikat terkeluar dari agama sedangkan semua kerja kerja dan tindakan kita tertakluk kepada hukum agama dimana ianya jika betul dengan hukum ianya halal dan sebaliknya jika bercanggah dengan hukum maka ianya adalah haram. Sebagai contoh jual beli hukumnya halal, tetapi riba' hukumnya haram. Melaksanakan hukum syarak denganisteri adalah halal manakala zina pula haram. Minum minuman biasa adalah halal tetapi minuman keras adalah haram. Begitulah seterusnya segala tindakan dan perbuatan itu samada politik, ekonomi, undang undang dan sosial semuanya adalah tertakluk kepada hukum hukum agama. Ertinya jika ianya mengikuti hukum Allah maka ianya halal dan akan mendapat balasan baik di Akhirat, sebaliknya juka bercanggah dengan hukum Allah maka ianya adalah haram.
Saudara kaum muslimin
Sudah tentulah tidak sama antara halal dan haram, antara buruk dengan yang baik sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al Maedah ayat 100 yang bermaksud Katakanlah wahai Muhammad tidak sama antara yang keji dengan yang baik walaupun yang keji itu menarik perhatian kamu oleh bilangan yang banyak maka hendaklah kamu takutkan Allah wahai orang yang mempunyai akal moga moga kamu mendapat kejayaan.
Saudara kaum muslimin
Ketahuilah tuan tuan semua, Nabi kita Muhammad saw diutuskan membawa Al Quran untuk diterima pakai oleh manusia ada pun haiwan lembu kerbau tidak tertakluk kepada hukum agama tetapi tuannya yang memeliharanya tertakluk kepada hukum agama. Sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al Maedah ayat 49 yang bermaksud Hendaklah kamu menjalankan hukuman dan pemerintahan dikalangan manusia mengikut hukum Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka yakni Yahudi dan Kristian supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sebahagian apa yang diturunkan Allah kepada kamu. Jika mereka berpaling dari apa yang telah diturunkan oleh Allah maka ketahuilah sesungguhnya Allah akan menimpa pembalasan ke atas mereka di sebabkan sebahagian dari dosa dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang yang fasik.
Saudara kaum muslimin sidang Jaumaat yang berbahagia
Tidak ada sebab umat Islam mencari petunjuk lain daripada Al Quran, apabila sahabat tertarik dengan kisah kisah yang dibawa oleh kitab kitab mereka para sahabat meminta kebenaran dari Rasulullah saw untuk menyalin dan membukukan kisah kisah tersebut. Rasulullah saw memarahi mereka dengan sabdanya yang bermaksud Adakah kamu mahu mengada adakan, sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu Al Quran, perkara yang terang dan nyata, sekiranya Nabi Musa masih hidup maka wajiblah bagi beliau beriman dengan Al Quran.
Saudara kaum muslimin
Umat Islam adalah jelas dalam perkara ini, ini menunjukkan betapa wajibnya umat Islam berpegang dengan kitab Allah swt dan meninggalkan semua yang bercanggah dengan Al Quran. Rasulullah saw memerintahkan supaya menentang golongan yang cuba menyeleweng dari ajaran Al Quran sebagaimana sabdanya yang bermaksud Akan zahir di akhir zaman golongan manusia yang mudah bercakap, berpandangan rendah serta manis dalam berkata kata, akan keluar dari Islam dengan mudah, laksana panah yang keluar daripada busurnya, iman mereka yang amat lemah . Apabila kamu bertemu dengannya maka perangilah mereka kerana sesungguhnya memerangi mereka akan memberi ganjaran yang besar di sisi Allah swt pada hari kiamat
Saudara kaum muslimin
Saya menyeru kepada diri saya dan juga kepada saudara saudara sidang Jumaat sekelian, marilah kita sekelian memilih Islam sebagai cara hidup dan mengamalkannya dalam rumahtangga kita, dalam masyarakat kita dan dalam negara kita supaya kita semua tidak cepat musnah dan rosak di dunia dan di timpa bencana besar di akhirat nanti. Firman Allah swt yang bermaksud Wahai orang orang yang beriman masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan mengikuti segala hukum hukumnya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu yang terang lagi nyata.
Wassalam
0 comments:
Post a Comment