Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 30-9-11: Kehidupan Di Dunia Dan Di Akhirat


Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dihormati lagi di kasihi sekelian
Setiap manusia mengakui beriman kepada Allah swt sedar bahawa tempoh hidup di muka bumi ini akan berakhir pada bila bila masa sahaja, dan selepas itu manusia akan hidup di alam lain pula iaitu alam akhirat. Kepercayaan bahawa manusia akan dibangkitkan di akhirat nanti ada pada semua ajaran ajaran agama langit. Sesungguhnya kita semua maklum bahawa manusia berada di muka bumi ini tidak lebih sekadar mencari bekalan bagi kegunaan di alam baqa'. Jika baik amalan yang dikerjakan di dunia ini baka baiklah pula balasan yang akan diterima di akhirat kelak. Sebaliknya jika jahat amalan di dunia ini maka seksalah balasannya di akhirat kelak.

Saudara kaum muslimin,
Manusia selalu lupa dan kita selalu lalai terhadap masa depan kita di akhirat yang penuh dengan teka teki dan tanda tanya itu. Memang manusia sering mengerjakan sesuatu yang boleh membinasakan diri mereka sendiri, walaupun mereka tahu yang perbuatan mereka itu buruk padahnya. Meski pun mereka berada di tengah tengah ujian kematian yang tidak putus putus berlaku atas diri manusia silih berganti. Tetapi hati mereka tidak mahu insaf bahawa mungkin esok ataupun lusa giliran mereka pula akan pergi dijemput maut. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Ingatlah, sesungguhnya jenis manusia tetap melampau batas yang sepatutnya atau yang sewajarnya dengan sebab dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. Ingatlah, sesungguhnya kepada tuhanlah tempat kembali untuk menerima balasan.

Saudara kaum muslimin
Kenapa begini berlaku sikap manusia? Apakah yang menghalang atau yang menyebabkan mereka lalai dan lupa begitu jauh terhadap terhadap masa depan mereka di akhirat, sedangkan pada setiap saat kaki mereka semakin hampir menuju maut? Jawapannya ialah kerana hati mereka sendiri, hatilah yang selalu membawa tuannya menempah bahaya dan hati jugalah kadang kala membawa tuah dan bahagia. Orang yang hatinya dibiarkan menjadi sarang syaitan akan terposona dengan keindahan dunia yang semata mata yang bersifat sementara ini. Mereka memuja dan menyanjung dunia seolah olah mereka tidak akan meninggalkannya buat selama lamanya. Mereka terus menerus mengejar kenikmatan tanpa jemu dan jerih walaupun apa yang di kejar itu tidak pernah memberi kepuasan kepada nafsu mereka. Mereka sanggup melakukan sesuatu yang keji demi untuk memenuhi tuntutan perasaan semata mata kerana berpegang kepada falsafah bahawa hidup hanya sekali sahaja dan inilah peluang untuk berbuat sesuatu. Demikianlah gambaran atau contoh orang orang yang hatinya menjadi tahta pemerintahan syaitan .


Saudara kaum muslimin
Kita sebagai umat Islam yang mengakui wujudnya hari akhirat yang menjadi tempat tinggal abadi harus tahu menggunakan peluang hidup didunia ini dengan sebaik baik mungkin supaya tidak merosak dan mengecewakan kehidupan kita di akhirat kelak. Inilah yang mesti diutamakan. Menyentuh kehidupan di akhirat mungkin juga agak sukar bagi hati kita untuk menerima kenyataan ini kerana semenjak kecil hingga kini kita telah sebati dengan hal ehwal dunia sehingga kadang kala kita tenggelam dalam keseronokannya yang mempesonakan. Untuk panduan bersama, marilah kita merenung kepada firman Allah swt yang bermaksud Ketahuilah bahawa yang dikatakan kehidupan dunia itu tidak lain melainkan bawaan hidup yang merupakan permainan semata mata dan hiburan yang melalaikan serta perhiasan yang mempesonakan juga bawaan hidup yang merupakan kemegahan kemegahan di antara kamu dengan berbagai bagai kelebihan. Kekuatan bangsa dan keturunan serta berlumba lumba membanyakkan harta dan anak pinak samalah seperti hujan yang turun dan menumbuhkan tanaman tanaman yang menghijau subur menyebabkan tanaman itu suka dan tertarik hati kepada kesuburannya. Kemudian tanaman tanaman itu telah melihatnya berupa kekuning kuningan dan akhirnyaia menjadi hancur lebur dan ketahuilah bahawa di akhirat nanti ada azab disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia semata mata. dan di sana ada pula keampunan yang besar serta rahmat daripada Allah swt disediakan bagi orang orang yang mengutamakan akhirat dan juga dunia. Dan ingatlah bahawa kehidupan didunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang orang yang terpedaya .


Saudara kaum muslimin sidang jumaat yang dihormati.
Demikianlah hakikat sebenar apa yang dinamakan kehidupan di dunia ini, iaitu suatu kehidupan yang ringkas dan cepat. Tetapi sayang ramai penghuni di bumi ini yang terpesona lalu rebah tersungkur di dalamnya dan mereka terpaksa kembali ke alam akhirat dalam keadaan menyesal dan penuh dengan kekufuran akibat dosa yang tidak terampun lagi. Ingatlah, kita umat Islam yang mendapat petunjuk dari Al Quran dan sunnah, harus bijak meniti pentas dunia ini dan perlu mengetahui semua rahsia dari nikmat nikmat yang di terima di dunia ini, supaya dengan niknat yang kita terima itu kita tidak termasuk kedalam golongan orang orang yang berbuat zalim kepada diri sendiri. Walaubagaimanapun umat Islam tidak di halang untuk merebut segala peluang dan kemewahan dan nikmat nikmat yang disediakan di dunia ini, bahkan mereka digesa supaya berbuat demikian. Namun mereka dilarang keras menyalahgunakan nikmat dan kemudahan Allah swt itu tanpa batas dan sempadan. Apalagi kalau untuk memuaskan hawa nafsu semata mata, kerana di sebalik nikmat yang dikurniakan dan disediakan oleh Allah swt itu, di dalamnya mengandungi ujian ujian dari Allah swt. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Sesungguhnya kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan bagi kamu, maka kami hendak menguji mereka siapakah diantaranya yang lebih baik amalnya.

Saudara kaum mislimin
Ini bermakna, bahawa setiap yang indah dipandang mata, setiap yang enak dirasa, setiap yang merdu didengar dan sebagainya yang ada di dunia ini adalahyang ada padanya mengandungi percubaan dan ujian ujian dari Allah swt semuanya. Sesiapa yang terpesona kepada nikmat semata mata tentu akan lalai sehingga akan melewati batas batas larangan Allah swt, dan di akhirat kelak termasuklah mereka ke dalam golongan orang orang yang rugi. Sebaliknya orang orang yang tahu menggunakan nikmat nikmat Allah dengan tidak melampaui batas larangan Allah akan beroleh keuntungan yang besar.. Bukan sahaja mereka berjaya menyelongkar segala rahsia di sebalik segala nikmat kemudahan di dunia, di akhirat mereka pula akan mendapat balasan dan pahala yang berganda ganda.

Saudara kaum muslimin
Cubaan dan ujian Allah swt itu adalah kepada manusia bukan sekadar penghiasan dan keindahan dunia semata mata bahkan harta dan anak pinak juga merupakan ujian ujian yang besar, oleh itu marilah kita mengawasi setiap gerak geri kita di dunia ini agar tidak tersasul jauh ke jalan yang dimurkai Allah swt. Dalam mengatur langkah menuju ke depan janganlah kita lupa untuk menghitung sebanyak mana modal yang telah kita kumpulkan untuk bekalan di alam akhirat nanti,

Selian
Wassalam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week