Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 28-10-11:Kehidupan Yang Sementara


Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dikasihi dan di hormati sekelian
Marilah kita sama sama berusaha untuk mempertingkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangannya. Allah swt berfirman yang bermaksud Ketahuilah bahawa kehidupan di dunia ini adalah permainan, sandiwara, senda gurau, perhiasan, bermegah megah antara sesama kamu, berlumba memiliki kekayaan dan anak anak; perumpamaannya adalah seperti hujan   yang menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati pada kesuburan tanamannya, kemudian tanaman itu menjadi kering dan menjadi kuning warnanya lalu menjadi hancur dan di hari akhirat siksa yang amat keras bagi orang yang bersalah. Keampunan dan keredhaan dari Allah swt bagi mereka yang mengerjakan kebaikan dan melihat dunia ini sebagai kesenangan tipuan semata mata.

Saudara kaum muslimin
Allah swt telah menjelaskan kepada kita melalui ayat ini bahawa bandingan kehidupan di dunia ini adalah sangat rendah dengan kehidupan di akhirat, bukan bermakna kehidupan dunia yang kita lalui ini perlu disia siakan tetapi hendaklah dimanafaatkan dan tidak pula dilalaikan oleh segala kemewahan dunia yang ada ini.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dikasihi dan di hormati sekelian
Sebagaimana yang diterangkan oleh Allah swt bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah satu permainan dan sifatnya adalah sementara, maka sesuatu yang wujud di atas dunia ini tidak akan kekal. Apa sahaja yang kita miliki satu hari nanti akan rosak binasa. Sekalipun apa yang kita miliki itu satu perkara yang paling kita cintai dan sayangi, namun sifat dunia yang sementara ini tidak akan mengekalkan segala isi dan penduduk penduduknya. Tetapi yang menyedihkan kita apabila ada di kalangan kita yang sanggup meninggalkan Tuhan kita yakni Allah swt dengan mengerjakan segala larangannya demi untuk mengejar kehudupan dunia yang fana ini. Ada juga orang yang melakukan pekerjaan yang haram demi untuk memiliki segala kemewahan dunia semata mata. Dan yang lebih menyedihkan lagi apabila ada di kalangan umat islam yang sanggup bermusuh musuh, sanggup berbunuh bunuh sesama sendiri kerana kepentingan dunia. Kalaulah sampai ketahap ini maka terlalu hinanya kehidupan kita dan akhirnya tidak ada lagi kehidupan yang aman, damai dan ketenangan akibat manusia yang hilang panduan dan petunjuk Allah swt.

Marilah kita sama sama merenung dan menghayati firman Allah swt yang bermaksud Katakanlah wahai Muhammad jika bapa bapa kamu, anak anak kamu, saudara saudara kamu, isteri isteri kamu atau suami kamu dan kaum keluarga kamu segala harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan ruginya dan rumah kediaman yang kamu sukai, jika semuanya itu menjadi perkara perkara yang lebih kamu cintai daripada Allah swt dan daripada berjihat untuk agamanya maka tunggulah sehingga Allah swt mendatangkan keputusaannya iaitu azab siksaan kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang orang yang fasik.








Wallahhualam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week