Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi: 15-7-2011 - Alam Barzah

 Van Jenazah hadiah dari Hamba Allah untuk kegunaan penduduk Mukim Parit

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dihormati dan dikasihi sekelian
Saya berpesan kepada diri saya dan juga saya menyeru kepada sidang Jumaat sekelian marilah sama sama kita bertaqwa kepada Allah swt dengan sebenar sebenar taqwa serta melaksanakan perintah perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Setiap yang bernyawa pasti akan mati begitu jugalah dengan manusia, tiada seorang pun boleh lari dari ajalnya yang telah ditetapkan pleh Allah swt. Apabila ajal seseorang itu telah sampai Malaikat Izrail tetap akan mencabut nyawanya tidak kira dimana seseorang itu berada. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Katakanlah sebenarnya maut yang kamu larikan diri itu, tetaplah ia akan menemui kamu kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan serta membalasnya.

Saudara kaum muslimin
Begitulah apabila nyawa seseorang telah berpisah dari jasadnya, maka tinggallah segala apa yang dimiliki samada ahli keluarga, anak anak, saudara mara, pangkat, harta benda dan sebagainya. Jasad yang terbujur kaku akan diurus dan dihantar ke kubur untuk di kebumikan. Pada saat itu terpisahlah ia ke alam lain iaitu alam kubur atau alam barzah, sementara menunggu hari hisab dan pembalasan di akhirat kelak.

Saudara kaum muslimin
Alam kubur ialah suatu tempat diantara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pemisah antara dua alam sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia memasuki alam barzah atau alam kubur. Alam kubur juga merupakan tempat permulaan seseorang manusia itu dihukum berdasarkan amalannya sewaktu hidup didunia ini. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah pengawas mereka yang sebenar, ketahuilah bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum dan dialah secepat cepat penghukum.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dihormati dan dikasihi sekelian
Ketika berada di Alam Kubur seseorang itu dapat menjangkakan samada dia akan mendapat kenikmatan atau kesangsaraan di Akhirat kelak. Perkara ini telah disebut dalam sebuah hadis yang telah diriwaratkan oleh Iman At Tirmizi, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka seseorang itu terlepas dari siksaannya maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas yakni terkandas daripada siksaannya maka akan datang sesudahnya akan lebih sukar lagi.

Saudara kaum muslimin
Bagi orang yang beriman, penghidupan mereka di alam kubur di penuhi dengan segala macam kenikmatan kurnian daripada Allah swt, sebaliknya bagi orang yang syirik, bagi orang yang kufur dan ingkar terhadap suruhan Allah swt sudah pasti siksaan dan azab kubur diterima sebagai tanda hukuman yang bakal diterima di akhirat kelak.

Saudara kaum muslimin
Sahabat nabi bernama Aib ibni Ayub berkata setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahat dimana dia di kubur memanggilnya Akulah rumah yang gelap gelita sunyi dan sendiri, jika waktu hidupmu sentiasa taat kepada Allah swt maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu, jika engkau durhaka maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Sesiapa memasukinya dengan taat akan keluar dengan bahagia dan sesiapa masuk dengan durhaka dia akan keluar dengan penuh penyesalan.. Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita percayai dan yakini kewujudannya kerana ia dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dihormati dan dikasihi sekelian
Berdasarkan kepada pemerhatian ramai umat manusia pada hari ini melupai tentang hakikat sebenar kehidupan dengan gagal mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian dan melupai bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur, ramai daripada kita leka dengan kehidupan dunia. jika ada di kalangan kita yang mengingati kematian itu pun hanya dilakukan dengan sambil lewa tanpa merasa takut dan gerun akan kedasyatan azab di alam kubur ini.

Saudara kaum muslimin
Mengapakah ini berlaku? Hal ini berpunca disebabkan hati kita yang terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hari kita menjadi keras dan gelap dari cahaya.

Saudara kaum muslimin
Ingatlah bahawa jalan Allah swt tidak dapat kita tempuhi dengan tapak kaki, tetapi ia dapat ditempuhi dengan kekuatan dan kesucian hati. Jika kita merasakan hati kita keras dan beku, rawatilah ia dengan melakukan beberapa perkara seperti berikut:
  1. Gunakanlah masa dengan berkualiti dengan sentiasa membaca Al Quran dan berzikir
  2. Bersikap tawadduk dan sentiasa merendah diri kepada Allah swt.
  3. Menghadiri majlis majlis ilmu, sedarilah semakin tinggi ilmu agama seseorang itu, semakin takut dia kepada Allah swt. Disamping itu juga elaklah diri dari menghadiri majlis majlis yang tidak berfaedah dan membuang masa.
  4. Mengingati mati, seseorang yang sentiasa ingat akan kematian menyebabkan hatinya bertumpu kepada alam akhirat sekali gus meringankan dunia dan tidak panjang angan angannya.
  5. Menggali kubur, Jika hati kita tidak dapat disembuhkan dengaan cara sebelum ini, maka inilah cara yang paling berkesan dalam membaiki hati yang keras.
Saudara kaum muslimin
Marilah sama sama kita menghitung diri kita bagaimana nasib kita di alam kubur nanti, adakah kita sebahagian dari umat yang akan dihormati atau akan di azab oleh Allah swt. Renungilah kehidupan kita selama ini adakah kita telah bersedia untuk meninggalkan alam dunia ini, macamana dengan amalan kita, adakah sudah mencukupi untuk dibawa bertemu dengan Allah swt di akhirat kelak. Ingatlah segala amalan kita akan di perhitungkan samada ia berpahala atau berdosa. Kesemuanya terserah kepada proses keadilan yang telah ditentukan oleh Allah swt. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Maka barang sesiapa yang membuat kebajikan sebesar zarah nescaya ia akan dilihatnya akan surat amalnya dan sesiapa yang membuat kejahatan walaupun sebesar zarah, nescaya akan dilihatnya dalam surat amalannya.

Sekian
Wallahualam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week