Khutbah Jumaat: Masjid Al Qasimi 8-7-2011 - Islam sebagai Addin
Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dihormati sekelian
Sesuatu yang perlu disedari adalah terdapat masih ramai umat Islam yang belum jelas dengan Islam yang sebenar, ada dikalangan mereka orang yang memahami Islam mengikut selera dan latarbelakang masing masing. Oleh kerana selera dan latar belakang ini berlainan antara satu sama lain maka ia telah menyebabkan Islam itu difahami dengan cara yang berlainan pula antara satu sama lain.Mereka fahami Islam tak ubah seperti orang orang buta yang memegang gajah, kerana itu seringkali terdengar kata kata dan tuduhan yang dilemparkan ke satu golongan dan ke satu golongan yang lain. Ada yang dikatakan sebagai pelampau Islam, manakala yang lain pula mendakwa golongan mereka pula adalah yang sebenarnya yang mempertahankan Islam, memajukan Islam, membangunkan Negara Islam. Timbulnya tuduh menuduh antara sesama Islam ini adalah berpunca dari tidak jelasnya fahaman mereka terhadap hakikat dan intisari ajaran Islam yang sebenar. Mereka kabur dari mana bermula ruang yang mengikut Islam dan dimana pula berakhirnya. Sebanyak manakah bidang yang belum Islam masuk campur, apakah ada ruang ruang yang terpisah daripada Islam , dimanakah ruang ruang itu? Apakah ada ruang ruang yang perlu di isi dengan sesuatu yang tidak Islam. Atau pun ruang didalam hidup ini yang perlu di isi dengan Islam sahaja sehingga tidak ada ruang yang boleh di isi dengan yang lain.
Saudara kaum muslimin
Kerana fahaman yang tidak jelas terhadap hakikat Islam itulah maka kita dapati di kalangan orang Islam yang berpada pada dengan hanya mengucap dua kalimah syahadah sahaja, ada yang berpada dengan hanya bersembahyang seminggu sekali sahaja, ada yang telah merasa cukup bila telah bersembahyang 5 waktu, ada yang sudah cukup bila telah berpuasa Ramadan, ada yang berpada sekadar dapat membilang rukun Iman dan rukun Islam. Ada yang cukup sekadar mengaku adanya Islam, atau berasal dari keluarga Islam dan mempunyai nama-nama Islam.
Saudara kaum muslimin,
Jelaslah bahawa agama untuk orang seperti ini adalah semata mata urusan peribadi antara seseorang dengan Tuhannya, lalu mereka memisahkan kehidupan beragama dengan urusan duniawi. Mereka sanggup berbicara soal bersembahyang, mereka sanggup berbicara soal puasa, zakat dan haji, tetapi apabila di ajak untuk memahami politik Islam dan ekonomi Islam, maka mereka merasakan hal ini tak ada kena mengena dengan Islam.Itulah beberapa gejala yang menimpa umat Islam yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini iaiti sikap beragama secara di pinggiran tidak dengan keyakinan yang penuh terhadap kemampuan Islam itu sendiri. Keadaan dan gejala yang melanda terhadap sebilangan orang Islam seperti ini sebenarnya telah digambarkan didalam kitab al quran sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud, Dan sebahagian manusia ada yang menyembah Allah ditepi tepi atau di pinggir pinggir, maka kita mengenai padanya sesuatu yang baik maka tenteramlah dia dengan agama itu, tetapi jika menimpa padanya sesuatu percubaan atau bencana maka berpalinglah dia kebelakang, maka rugilah dia di dunia dan akhirat. yang demikian adalah kerugian yang nyata.
Saudara kaum muslimin,
Supaya kita mendapat gambaran yang jelas maka Islam itu perlulah di lihat oleh gambarnya yang berwarna warni dan jangan melihat Islam dalam bentuk hitam putih yang terketar ketar gambarnya . Untuk itu marilah kita dekati Islam, kita fahami Islam secara menyeluruh, bukan cara serpihan serpihan bukan di tepi tepi, bukan di pinggir pinggir. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud wahai orang orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu ikuti langkah langkah syaitan, sesungguhnya syaitaitu musuh yang nyata bagi kamu. Ayat tadi dengan jelas memerintahkan kita supaya beragama secara menyeluruh tidak setengah setengah, tidak di pinggir pinggir, tidak hanya menerima pandangan yang dirasakan sesuai dengan nafsu kita tetapi sebaliknya menolak mana mana pandangan yang bercanggah dengan kehendak nafsu kita.
Saudara kaum muslimin
Pada umumnya kita lebih mengenali Islam dari perkataan Addin, padahal Islam adalah nama bagi Addin. Firman Allah swt yang bermaksud Sesungguhnya Addin adalah agama yang diredhai di sisi Allah swt adalah agama Islam. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Sesiapa mencari "Din" selain Din Islam, maka tidaklah diterima daripadanya dan dia termasuk di antara orang orang yang rugi..
Saudara kaum muslimin,
Apakah makna Addin, kata Addin dalam Al Quran memberi makna dan pengertian yang lebih dari sepuluh macam. Ertinya yang menjelaskan isi dan muatan agama Islam itu sendiri, antara ayat ayat yang menjelaskan isi Addin ini adalah:
- Yang pertama "Sesungguhnya hari pembalasan itu pasti berlaku" menjadi kenyataan Addin dalam ayat ini bermakna Hari Pembalasan.
- Dan yang ke dua, "Katakanlah Tuhanku memerintahkan supaya menjalankan keadilan, uruskanlah kamu di setiap sembahyang dan sembahlah Allah dengan ikhlas dan ketaatan mu terhadapnya", makna Addin dalam ini bermakna ibadat dan penyembahan.
- Dan yang ketiga "Tiadalah patut Yusuf menghukum saudaranya mengikut undang undang rajanya kecuali jika Allah swt menghendakinya , kami tinggikan darjat orang yang kami kehendaki dan bagi setiap yang berilmu itu ada lagi yang maha mengatahui.". Addin dalam ayat ini bermakna undang undang atau hukum.
Saudara kaum muslimin
Menurut pengertian para ulamak kebanyakan Addin adalah pembalasan, penghitungan, ketaatan dan syariat. Dengan itu jelaslah bahawa pengertian yang Addin sebagai agama itu tidak hanya dibatasi atau terhad di antara hubungan seseorang dengan Allah yang maha kuasa sahaja. Dalam perkataan lain Addin juga bermakna agama yang mengatur hubungan antara manusia dengan sesama manusia. Bagi menjelaskan lagi kajian ini baik kita perhatikan kepada firman Allah swt yang bermaksud Katakanlah wahai orang kafir, aku tidak menyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak menyembah tuhan yang aku sembah dan aku tidak pernah menjadi penyembah bagi apa yang kamu sembah dan kamu pula tidak menjadi penyembah kepada tuhan yang aku sembah, bagimu "Din" ialah agama kamu bagi aku "Din" aku.
Saudara kaum muslimin
Addin dalam ayat ini merujuk kepada seruan ibadat , yakni hubungan manusia dengan Tuhannya . Marilah kita ikuti satu lagi kenyataan ini firman Allah swt yang bermaksud Tahukah kamu orang yang mendustakan agama yakni Addin, itulah orang orang yang memakan harta anak anak yatim dan tidak memberi makan kepada fakir miskin, maka celakalah orang orang yang bersembahyang tetapi lalai dengan tujuan sembahyangnya. Mereka hanya mempamirkan diri mereka dan enggan melakukan hal hal yang berguna.
Saudara kaum muslimin
Keseluruhan surah yang dibaca tadi menjelaskan konsep Addin yaitu apabila seseorang itu melakukan sembahyang baik secara perseorangan atau secara berjemaah adalah melakukan ibadah, yaitu perhubungan dengan Allah, tetapi orang orang yang bersembahyang itu boleh mendapat kecelakaan sekiranya mereka mengabaikan perbuatan yang baik terhadap sesama manusia, mereka tidak menangani hal hal kemasyarakatan.
Sekian
Wallahualam
0 comments:
Post a Comment