Khutbah Jumaat: Masjid Al Qasimi 1-7-2011 - Israq Mikraj


Marilah kita bertaqwa kepada Allah swt dengan sebenar-benar taqwa dan hendaknya jangan kita mati melainkan sebagai seorang muslim.

Saudara kaum muslimin sidang jumaat yang dikasihi lagi dihormati sekelian
Kita hari ini berada 29 hb Rejab 1432 hijrah ia adalah antara bulan bulan yang teristimewa khususnya bagi umat Islam. Kerana pada bulan ini terkandung satu peristiwa agong yang telah di tempuhi oleh Rasulullah saw iaitu peristiwa Israq dan mikraj. Israq dan mikraj bererti perjalanan Rasulullah saw pada suatu malam dari Masjiddil haram di Mekkah ke Masjiddil Aqsa di Palestin. Dalam tempoh waktu yang sangat singkat dan kemudian naik ke alam langit hingga ke siddaratul muntaha.


Saudara kaum muslimin
Menurut jamaah ulamak peristiwa ini berlaku pada 27hb Rejab iaitu setahun daripada peristiwa hijrah Rasulullah saw yang berlaku ketika Islam telah tersebar ke seluruh pelusuk tanah arab, dan ketika baginda di rundung duka kerana kematian seorang isteri yang tercinta iaitu Saidatina Khadijah. Di dalam al quran Allah swt telah menceritakan peristiwa ini sebagaimana firmannya yang bermaksud Mahasuci Allah yang menjalankan seorang Hambanya pada suatu malam dari masjiddil haram ke masjiddil aqsa yang kami telah berkati sekelilingnya untuk kami memperlihatkan tanda tanda kebesaran kami sesungguhnya dialah yang maha mendengar lagi maha melihat.

Saudara kaum muslimin yang dirahmati Allah sekelian
Antara tujuan Allah swt memperjalankan seorang Hambanya yakni Nabi Muhammah saw ialah untuk memperlihatkan tanda tanda kekuasaannya sebagaimana yang termaktub dalam ayat sebelum ini disamping untuk menyampaikan satu perintah yang agong dalam Islam iaitu kefardhuan sembahyang. Peristiwa ini juga bertujuan untuk menguji iman sekelian manusia sebagaimana firmannya yang bermaksud Dan tidak kami jadikan pengalaman yang kami tunjukkan kepada mu wahai Muhammad kecuali untuk menguji manusia.

Saudara kaum muslimin
Maka sebab itulah apabila peristiwa ini heboh di perkatakan orang orang mukmin menghadapi satu ujian yang cukup getir antara menerimanya serta beriman kepada Allah dan Rasulnya atau menolaknya lantas memilih jalan kekufuran. Bagi mereka yang teguh imannya peristiwa ini tidak sedikitpun melunturkan iman mereka malah ianya telah memberikan satu suntikan semangat untuk mereka terus memperkasakan serta memperteguhkan lagi iman mereka yang telah mereka bina selama ini.kerana mereka tahu bahawa ia akan merupakan satu perkara yang perlu diimani dengan setulus hati. Namun bagi mereka yang lemah imannya mereka tersengkur tewas dan memilih kekufuran sebagai jalan yang disangkakan benar.

Saudara kaum muslimin
Kenapa dengan peristiwa ini iman para muslimin goyah, mengapa keimanan yang menjanjikan syurga harus ditukar dengan jalan kekufuran yang menjanjikan neraka, bukankah Allah swt adalah maha perkasa yang mampu untuk mengatur setiap pergerakan hambanya tidakkah mereka mengetahui bahawa kemampuan Allah swt melangkaui keseluruhan makhluknya tanpa ada batasan dan sempadan. Menyedari hakikat ini maka jelaslah bahawa peristiwa israq dan mikraj bukanlah sesuatu yang boleh di fikir dengan logik dan akal yang terbatas dengan kemampuan semata mata tetapi ia lebih merupakan urusan agama yang penerimaannya harus berlandaskan keimanan yang tinggi, sebab itulah apabila akal dijadikan sebagai asas pertimbangan dengan mengenepikan keimanan maka ramai dikalangan orang islam menjadi murtad dan golongan yang telah sedia kafir bertambah kebal kekufuran mereka. Selayaknya peristiwa ini harus ditatapi oleh orang orang mukmin dengan rasa keimanan yang utuh serta berusaha meneroka hikmah dan pengajaran yang tersirat di sebaliknya.

Saudara kaum muslimin
Dalam peristiwa israq dan mikraj terlalu banyak paparan yang boleh di ungkaikan untuk menjadi renungan bersama, ia merupakan paparan paparan yang berkait langsung dengan kehidupan manusia di alam fana ini. Allah swt telah menunjukkan beberapa contoh golongan manusia yang telah mendapat ganjaran dan mendapat kedudukan yang teristimewa di sisinya. mereka adalah orang orang yang suka membelanjakan harta bendanya  kepada jalan Allah dan orang yang rela berkorban sehingga sanggup melakukan apa saja hatta dibunuh sekalipun semata mata kerana mempertahankan agamanya. Dalam kontek ini Allah swt berfirman yang bermaksud Wahai orang orang yang beriman adakah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azap yang pedih iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya kemudian kamu berjihad kepada jalan Allah dengan mengorbankan harta benda dan jiwa raga kamu  yang demikian itu bauk bagi kamu sekiranya kamu mengetahui.

Saudara Kaum Muslimin
Dalam mengharungi kehidupan di dunia ini terlalu banyak rintangan dan halangan yang terpaksa di tempuhi oleh kita semua, ia atas sebagai dugaan dan ujian kepada kita manusia samada mereka berjaya atau tertewas dalam menghadapinya, meniti jalan kebenaran tidak semudah yang disangkakan tanpa mujahaddah dan istiqamah yang berterusan. mustahil seseorang itu mampu melepasi sesuatu ujian maka sebab itulah Allah swt sentiasa menguji hambanya untuk mengatahui sejauh manakah ketebalan keimanan mereka. Dalam peristiwa Israq dan mikraj diperlihatkan kepada manusia cabaran cabaran dan rintangan rintangan yang terpaksa ditempuhi oleh mereka antaranya adalah cabaran dalam mengharungi pesona dunia.Namun perlu di ingat bahawa keseronokan dunia adalah bersifat sementara yang kekal abadi adalah kehidupan di akhirat. Maka sebagai orang yang beriman kepada Allah swt, janganlah sekali kali kita terpesona dan terjerat dengan keindahan dan keseoronokan dunia yang penuh tipu daya ini sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada main main dan senda gurau belaka dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang orang yang bertaqwa maka tidakkah kamu memahaminya.

Saudara kaum muslimin
Cabaran seterusnya adalah Iblis laknattullah yang merupakan musuh yang nyata kepada kita manusia keseluruhannya. Telah menjadi agenda Iblis untuk menyesatkan kita manusia setelah mereka dihalau keluar daripada syurga kerana ingkar akan perintah Allah swt. Semenjak dari itu mereka memohon kepada Allah swt agar dipanjangkan usia mereka sehingga kehari kiamat dengan tujuan untuk menyesatkan manusia daripada jalan kebenaran. Tetapi tidak semua manusia yang berjaya disesatkan oleh Iblis kerana Allah swt sentiasa menjaga hamba hambanya yang ikhlas kepadanya yang menjadi ikutan mereka hanyalah golongan yang telah tersesat jauh daripada Nya. Golongan inilah yang akan di perkudakan oleh Iblis dan akan dicucuk hihungnya untuk diheret ke mana sahaja mengikut kemahuannya. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Iblis berkata ya Tuhanku oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik  perbuatan maksiat di mukabumi dan pasti aku akan menyesekatkan mereka kesemuanya kecuali hamba hamba Engkau yang ikhlas di antara mereka yakni orang yang telah diberi taufik.

Saudara kaum muslimin yang diredhai Allah sekelian
Cabaran yang tidak kurang hebatnya adalah datang daripada musuh musuh Islam yang tidak senang melihat umat islam bersatu di bawah satu naungan akidah kerana bagi mereka kekuatan umat Islam bermula dari sini dan apabila umat Islam kuat ia sudah pasti akan memberi ancaman kepada mereka. Jesteru mereka akan mencari apa jua jalan bagi melonggarkan ikatan ini supaya umat Islam berpecah dan tidak bersatu, supaya mereka terus leka dan alpa dengan perkara perkara yang melalaikan, supaya mereka meninggalkan ajaran Islam seterusnya mengikuti jejak langkah mereka satu demi satu. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Orang orang yahudi dan nasrani tidak akan sama sekali redha dengan kamu sehinggalah kamu mengikuti jejak langkah mereka.

Saudara kaum muslimin.
Selain daripada itu Allah swt telah mempertontonkan paparan paparan yang memperlihatkan golongan manusia yang ingkar akan perintah allah swt dan melakukan maksiat kepadanya. Golongan yang tidak dapat menilai antara yang baik dan yang buruk antara keduanya yang buruk juga menjadi pilihan kepada mereka yang baik dan elok dipandang sepi malah dicemuh dan dipandang serong . Mereka begitu rela menjadi orang jahat dari orang baik beginilah realiti kehidupan manusia ketika ini yang telah menyimpang dan tersesat jauh dari jalan kebenaran. Sembahyang sudah tidak diambil peduli lagi dan jika dilakukan pun dalam keadaan malas dan berat. Seruan berzakat tidak dihiraukan kerana bagi mereka mengeluarkan zakat hanya akan menghabiskan wang sahaja sedangkan sebenarnya dengan berzakat harta akan menjadi subur dan berkat. Kemungkaran zina sudah tidak terbatas lagi malah secara terang terang berlaku di hadapan mata kita tanpa ada rasa segan dan silu. Amalan amalan yang mempunyai unsur unsur riba pula mendapat sambutan kerana bagi mereka sistem Islam hanya membebankan dan dianggap sama sahaja dengan sistem riba sedangkan Allah swt telah mengharamkan riba dan menghalalkan jual beli. Lantaran perbuatan perbuatan derhaka inilah mereka dipertontonkan dalam keadaan azab dan siksa. Di samping perlakuan perlakuan tesebut Allah swt juga memperlihatkan perilaku perilaku aneh yang terhasil dari kemungkaran lidah untuk dijadikan peringatan kepada manusia. Peringatan yang diberikan adalah supaya jangan sekali sekali hanya pandai menasihati orang lain tetapi lupa akan kepincangan diri kita sendiri. Jangan sekali sekali bercakap besar kerana ia boleh mendatangkan mudharat kepada diri kita sendiri. Dan jangan sekali sekali mengumpat kerana ia ibarat makan daging saudara kita sendiri.

Saudara kaum muslimin
Perkara pokok yang ingin disampaikan dalam peristiwa israq dan mikraj ialah kefardhuan sembahyang. sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa sembahyang adalah tiang agama. Sesiapa yang mendirikannya maka dia telah mendirikan agamanya dan sesiapa yang meninggalkannya maka dia telah meruntuhkan agamanya.

Saudara kaum muslimin
Sembahyang adalah umpama simpulan ikatan antara orang muslim dengan Allah swt sepanjang hari. Ikatan inilah yang dapat mencegah dan dapat mengawal ibadah solat itu daripada kebinasaan dan azab neraka . Maka dari sini fahamlah kita bahawa Allah swt ingin mengistiharkan kepada kita bahawa apabila sembahyang itu dilakukan dengan sempurna maka segala bentuk maksiat yang telah dipertontonkan dalam peristiwa ini sebenarnya dapat dihindarkan sama sekali. Ini bertepatan dengan firman Allah swt yang bermaksud Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Saudara kaum muslimin
Apakah selepas kita mendengar peringatan ini maka ada lagi di kalangan kita yang ingin menceroboh larangan larangan Allah tidakkah merasa takut akan azab siksanya yang terlalu pedih dan menyakitkan kita. Amat malang bagi kita sekiranya kisah Israq dan mikraj ini dipandang enteng dan tidak diambil peduli serta tidak dijadikan pengajaran. Maka sebelum kita berpindah ke alam sana jadikanlah apa yang diperlihatkan ini sebagai satu renungan buat kita semua, agar sentiasa melakukan segala perintah Allah swt dan menjauhi segala larangannya semoga kita terselamat daripada tipu daya Syaitan yang sememangnya ingin mengajak manusia tersesat bersama sama mereka dan akhirnya membawa kita ke pintu neraka .

Sekian

Wallahhualam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week