Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 14 -9-2012: Ibadat Haji
Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dihormati lagi dikasihi sekelian
Saya berpesan kepada tuan tuan dan juga diri saya sendiri agar sentiasa bertaqwa kepada Allah swt supaya semasa kita dipanggil mengadap Allah dan dibangkitkan di akhirat nanti, kita dalam keadaan Islam yang sebenar dan membawa hati yang bersih dari kesan kesan dosa dan sifat sifat mazmumah yang melayakkan kita menjadi penghuni syurga yang kita sentiasa berusaha dan berjuang untuk mendapatkannya.
Maka tujuan hidup kita adalah jelas iaitu untuk beribadat, untuk mengabdikan diri kita kepada Allah swt dan dan kitab Allah, sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud
Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat mengabdikan diri kepada Aku .
Saudara kaum muslimin
Hasil daripada taat mengerjakan suruhan dan meninggalkan larangan Allah, hati seseorang itu menjadi bersih dan baik dan daripada hati yang bersih dan baik inilah menyebabkan seseorang itu sentiasa mengerjakan kebaikan dan amal amal soleh yang menyebabkan Allah merelainya dan mengasihinya.
Sebaliknya sesiapa yang tidak taat dan tidak mengerjakan suruhan Allah dan tidak meninggalkan larangan Allah, hatinya menjadi kotor gelap diselaputi titik titik hitam dan sesiapa yang berhati kotor akan lahirlah perbuatan jahat yang rosak dan merosakkan orang lain yang menyebabkan murka Allah dan kebenciannya dan seterusnya akan diazab di dalam nerakanya.
Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Saya ingin menarik perhatian sidang Jumaat sekelian bahawa sesungguhnya Allah swt yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani memerintah dan mewajibkan kita mengerjakan amalan amalan dan kerja kerja yang boleh membersihkan hati kita dan melarang kita dari melakukan kerja kerja maksiat yang merosakkan dan mengotorkan hati kita dan mendatangkan azab kepada kita sendiri.
Allah swt mewajibkan kita beriman supaya akidah dan hala tuju hidup kita ini betul, benar dan tidak sesat. Allah swt mewajibkan kita solat 5 waktu supaya kita sentiasa ingat kepada Allah swt dan mencegahkan kita dari melakukan perbuatan dan perkara perkara yang keji dan mungkar. Seterusnya Allah swt mewajibkan kita mengerjakan ibadat puasa sebulan Ramadhan supaya kita menjadi orang yang bertaqwa yang sanggup menahan diri dari melakukan maksiat dan sabar dalam mengerjakannya. Seterusnya kita difardhukan untuk mengeluarkan zakat yang boleh merapatkan hubungan sesama manusia yang mendatangkan kasih sayang sesama Islam dan membersihkan hati dari hasad dengki dan bakhil, kedekut serta tamak haloba. demikianlah rahmat Allah kepada kita. Ditugaskan kita mengerjakan amalan amalan yang mendatangkan kebaikan kepada kita di dunia ini dan juga di akhirat.
Saudara kaum muslimin
Selain dari kewajipan yang tersebut Allah swt dengan Ar Rahman dan Ar Rahimnya memfardhukan kepada kita semua suatu lagi amalan yang sangat hebat yang memerlukan kewangan yang banyak, masa yang lama, tenaga yang kuat untuk melaksanakannya dan faedah serta hikmatnya tentulah lebih besar, lebih banyak dan lebih hebat. Ibadat tersebut ialah mengerjakan haji di Baitullah yang diwajibkan sekali seumur hidup bagi yang mampu.
Allah swt berfirman yang bermaksud
Bagi Allah wajib ke atas manusia mengerjakan haji di baitullah bagi orang yang mampu
Firman Allah swt lagi yang bermaksud
Serulah kepada semua manusia agar melaksanakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang kepadanya dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus, datang dari segenap penjuru yang jauh untuk menyaksikan berbagai faedah untuk mereka.
Saudara kaum muslimin
Untuk menunaikan ibadat haji bermula dari niat kemudian mengumpulkan kewangan yang banyak yang memerlukan sifat pengorbanan, kemudian menunggu giliran, menghadiri kursus kursus, seterusnya bermusafir ke Mekah Al Mukarramah dan ke Madinah Al Munarwarrah yang begitu jauh dengan perjalanan darat dan udara dan seterusnya berkampung di Mekah selama beberapa minggu dan di Madinah kira kira seminggu dan amalan tawaf di Kaabah, bersyair antara Safa dan Marwah, berwukuf di Arafah, bermalam di Muzzalifah, bermalam di Mina dan melontar batu di Jumrah. Semua ini adalah kerja kerja yang besar lagi hebat yang tiap tiap satu mempunyai rahsia dan hikmat yang begitu banyak dan begitu tinggi. Pengalaman yang dilalui oleh setiap Jemaah haji adalah tidak ternilai harganya.
Allah swt menjelaskan antara hikmatnya
Supaya mereka menyaksikan sendiri beberapa munafaat untuk mereka.
Pengalaman mereka dalam perjalanan melihat keajaiban kejadian Allah swt. Keadaan Awan dan Gunung di langit tinggi, keadaan padang pasir dengan bukit bukit dan batu batunya. Perihal manusia dengan pelbagai bangsa dan warna kulitnya terdapat berada di samping Kaabah.
Pengalaman semasa di Arafah, Muzzalifah, Mina dan tempat yang bersejarah yang lain, semuanya menambah ilmu, menambah keinsafan, menambah kesedaran dan menambah keyakinan dan keimanan terhadap kebenaran Islam dan kebesaran Allah swt.
Semua Amalan yang dilakukan di tanah suci boleh menyucikan jiwa dari kesan kesan dosa yang melayakkan seseorang Jemaah haji mendapat haji yang mabrur, mendapat kedudukan tinggi di akhirat.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud
Sesiapa yang mengerjakan Haji dan tidak bercakap kotor dan tidak melakukan kefasikan keluarlah dia daripada dosa dosanya menjadi bersih seperti pada hari dia dilahirkan oleh ibunya.
Saudara kaum muslimin
Ibadat haji mempunyai kaitan yang rapat dengan sejarah Nabi Ibrahim as dan puteranya Nabi Ismail as, mereka berdualah yang membina Kaabah. Terdapat ditepinya Makam Ibrahim iatu kesan tapak kakinya semasa membina Kaabah. terdapat disampingnya Hijir Ismail, Telaga Zam Zam yang juga anugerah Allah swt kepada Nabi Ismail as semasa masih bayi, hasil usaha ibunya berlari lari mencari air antara bukit Safa dan Marwah.
Bila disebutkan tentang Nabi Allah Ibrahim dan puteranya Nabi Allah Ismail as mengingatkan kita kepada sifat sifat dan sebab sebab utama menyebabkan Nabi Allah Ibrahim as mampu dan sanggup melakukan kerja kerja besar lagi berat yang telah diarahkan oleh Allah swt.
- Keimanan Nabi Ibrahim terhadap Allah swt cukup tinggi sehingga sanggup meninggalkan anaknya yang masih bayi bersama Isterinya Hajar di tempat yang kering kontang pada masa itu tanpa sebarang bekalan yang sekarang ini menjadi bandar besar yang menjadi tumpuan umat manusia seluruh dunia iaitu Mekah Al Mukarramah
- Ikhlas Nabi Allah Ibrahim dalam menunaikan segala perintah Allah swt. Dikerjakan semata mata kerana Allah swt tidak kerana yang lain. Sanggup melakukan apa sahaja demi keredhaan Allah swt hingga sanggup mengorbankan anak kesayangan sendiri apabila diperintah oleh Allah swt supaya berbuat demikian. Disebabkan keikhlasannya mengerjakan perintah Allah swt di masa itu, amalan berkorban menjadi sunat ikutan sepanjang zaman
- Kesabaran Nabi Allah Ibrahim as melaksanakan segala perintah Allah, meninggalkan segala larangannnya dan kesabarannya menghadapi segala dugaan menyebabkan dia berjaya mengerjakan segala yang diperintahkan oleh Allah swt dengan cara hidupnya menjadi ikutan dan namanya disebut berkali kali dengan nama Nabi Muhammad saw dalam solat. Dalam tahiyyat akhir setiap kali umat Islam mengerjakan sembahyang.
Saudara kaum muslimin
Kesimpulan dari apa yang telah dihuraikan tadi adalah seperti berikut
- Tujuan dan matlamat hidup kita sebagai manusia adalah jelas iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah swt dengan melaksanakan semua suruhannya dan meninggalkan semua larangannya.
- Hati kita menjadi bersih dan taat dan menjadi kotor dengan maksiat
- Mereka yang berhati bersih dikasihi Allah layak untuk memasuki syurga, manakala yang berhati kotor akan dibenci oleh Allah swt dan layak ke neraka.
- Ajaran agama adalah nikmat dan rahmat daripada Allah swt, Allah menjamin kebaikan di dunia dan di akhirat yang perlu dihargai dan disyukuri dan diamalkan sungguh sungguh
- Ibadat haji sangat hebat kesannya pada rohani dan jasmani untuk kebaikan dunia dan Akhirat sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud Haji Mabrur yakni haji yang diterima oleh Allah swt itu tiada balasan baginya melainkan syurga.
- Agama Islam adalah agama sejagat untuk seluruh umat manusia tanpa batas bangsa dan negara, realitinya dapat dilihat di musim haji. Mereka dari seluruh pelusuk dunia berkumpul dalam suasana persaudaraan bersatu hati dan satu matlamat.
- Iman, Ikhlas dan sabar adalah asas dan asbab kejayaan dalam semua cabaran hidup.
Saudara kaum muslimin
Sebelum mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita berdoa supaya bakal haji berada dalam keadaan selamat sihat walafiat serta dikurniakan haji yang mabrur.
(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).
(Al-Baqarah 2:197)
Wassalam
0 comments:
Post a Comment