Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 24-8-2012: Pasca Ramadhan

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati dan dikasihi sekelian
Sudah sebulan kita bersama Ramadhan, kini ia telah berpisah dan meninggalkan kita sekali lagi. Dengan berlalunya Ramadhan maka beruntunglah mereka yang untung dan rugilah mereka yang rugi. Bagi mereka yang tidak berjaya dalam kerahmatan bulan Ramadhan yang lepas, mereka yang hidupnya dikuasai oleh tekanan nafsu liar, mereka yang terus melakukan perbuatan perbuatan maksiat, mereka yang tidak berjaya memperolehi rahmat daripada Allah swt dan keampunannya serta gagal melepaskan diri daripada azab Allah swt di akhirat nanti, itulah mereka yang paling rugi dalam menjalani kehidupan ini.

Saudara kaum muslimin
Walaubagaimanapun bagi mereka itu masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan ini, mereka yang tidak berjaya itu janganlah berputus asa kerana peluang masih lagi dibuka untuk kita di masa masa yang akan datang.

Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Katakanlah wahai hambaku yang melakukan sesuatu yang melampai batas dengan diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa untuk mendapat rahmat daripada Allah, sesungguhnya Allah mengampuni dosa dosa kesemuanya dan dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang.

Saudara kaum muslimin
Manakala mereka yang telah berjaya dalam ujian bulan Ramadhan yang lepas iaitu mereka yang telah dapat menyempurnakan ibadat puasa menurut apa yang semestinya disyariatkan, mereka berpuasa zahir dan batin, mereka berjaya mengekang hawa nafsu, mereka dapat memeliharakan anggota zahir dari melakukan perbuatan perbuatan yang dibenci oleh Allah swt, mereka itulah yang berjaya, mereka beroleh kemenangan yang sebenar benarnya.

Mereka yang beruntung dan beroleh kejayaan dalam bulan Ramadhan yang baru sahaja berlalu ialah mereka yang berjaya meletakkan diri dalam golongan orang orang yang bertaqwa.

Firman Allah swt Sesungguhnya orang yang paling mulia dikalangan kamu di sisi Allah ialah orang orang yang paling bertaqwa diantara kamu.

Saudara kaum muslimin
Apakah tanda tanda yang menunjukkan bahawa seseorang itu telah berjaya memperolehi sifat taqwa? Seorang ilmuan agama telah metik kata kata Saiyidina Ali di dalam bukunya telah menghuraikan seseorang yang mempunyai sifat taqwa dalam dirinya:

  1. Takut dan gerun kepada Allah swt Tuhan tah tuan punya pemilik semua alam semesta dan segala isi kandungannya.
  2. Melakukan segala pekerjaan atau urusan menurut apa yang telah digariskan oleh Al Quran dalam kehidupan, dalam rumah tangga, dalam keluarga, dalam pemerintahan negara, dalam kegiatan ekonomi untuk mencari harta. Mereka yang bertaqwa tidak sanggup mengenepikan apa sahaja ajaran yang terkandung dalam Al Quran.
  3. Mencukupi yakni sikap berpadan dengan yang halal dan tidak ingin atau berkehendak kepada perkara perkara yang diharamkan oleh Allah swt, tidak sanggup dirinya menjadi hamba abdi kepada harta benda, tidak rela menjual maruah agama untuk mendapat keuntungan peribadi berupa harta dan lain lain lagi. Tidak melakukan penipuan dalam apa bentuk sekalipun dan juga tidak melakukan rasuah atau menerimanya.
  4. Sentiasa bersedia untuk menghadapi mati, tidak takut mati, malah bila bila masa ada persediaan untuk kembali ke alam akhirat. Dengan itu dirinya dan hartanya telah disumbangkan untuk dijadikan modal di akhirat kelak.
Saudara kaum muslimin
Sungguhpun kita baru sahaja keluar dari bulan Ramadhan janganlah kita berperangai seperti orang yang baru keluar dari penjara, segala dalanya mahu dilakukan. Ingatlah kepada pesanan Rasulullah saw yang bermaksud Bertaqwalah kepada Allah dii mana mana jua kamu berada, ikutilah perintahnya dengan kebaikan agar Dia menghapuskan kesalahan itu serta bergaulah sesama manusia dengan budi pekerti yang mulia .

Saudara kaum muslimin
Dalam pesanan Rasulullah saw tadi dapat diringkaskan bahawa untuk menjadi manusia yang bertaqwa itu ada 3 perkara asas yang perlu dilakukan oleh seseorang:
  1. Perlu mengadakan hubungan yang rapat dengan Allah swt di mana sahaja dan di dalam suasana mana pun kita berada, samada kita berada di dalam masjid, di luar masjid, di dalam rumah tangga, di luar rumah tangga dan sebagainya. Baik kita sebagai pemimpin ataupun sebagai rakyat , baik kita sebagai pegawai atasan ataupun pekerja bawahan, kita mesti merasakan bahawa diri kita sentiasa berada dalam pemerintahan dan pengawalan Allah swt. Kesedaran yang sedemikian itulah puncak keimanan.
  2. Orang yang bertaqwa selalu memeriksa diri sendiri iaitu berusaha bersungguh sungguh untuk memperbaiki mana mana kelemahan dan mengatasi mana mana kekurangan yang ada bukan mencari kelemahan serta mencari kekurangan orang lain. Diri sendiri dahulu perlu diperbaiki dengan meningkatkan amal amal yang soleh.
  3. Bersopan santun, berbudi bahasa ketika bergaul dan berbicara denagn sesiapa sahaja tanpa mengira orang Islam atau pun tidak
Saudara kaum muslimin

Hari raya yang lepas melambangkan persaudaraan dan ukhwah maka hendaklah kita berpegang teguh kepada peraturan peraturan yang terkandung dalam hari raya tersebut maka menjadi kewajipan kepada setiap orang Islam untuk membina persatuan yang kuat dan kukuh manakala orang yang mempunyai sifat yang suka mencela, suka bermusuh, suka mencari musuh dan suka mencipta musuh sesama sendiri kita tidak akan untung.

Oleh itu marilah kita berusaha dengan bersungguh sungguh untuk membina kesatuan dan perpaduan yang kukuh, persaudaraan yang erat melalui peraturan peraturan yang telah ditunjukkan oleh Allah swt, yang telah ditunjukkan oleh agama kita. Hapuskanlah rasa dendam, sangkaan buruk yang bukan bukan, iri hati, hasad dengki, suka jatuh menjatuh, laga mempelagai, suka memfitnah dan sebagainya.

Saudara kaum muslimin
Perkara perkara sampingan yang telah dijadikan sebab untuk kita saling bermusuh musuhan dan pergaduhan dalam segala urusan kehidupan di masa kini biarlah kita pendamkan dalam diri kita dan jangan sampai kita meniru perangai orang orang munafik seperti yang digambarkan oleh Al Quran yang bermaksud Mereka menyebut di mulut mereka apa yang tidak ada di dalam hari mereka.

Wassalam



0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week