Khutbah Jumaat Masjid Mukim Binjai 9 -12-2011: Kesengsaraan di Padang Mahsyar

Di kesempatan berada di hari Jumaat dan berada di atas masjid yang mulia ini, saya ingin berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekelian. Marilah kita sama sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan bersungguh sungguh melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah mudahan kita memperolehi keberkatan, kekuatan, keredaan dan perlindungan Allah swt di dunia dan di akhirat.

Ikhwanul muslimin
Makhluk dan segala ciptaan Allah swt akan tiba masanya menempuh saat kemusnahan dan kehancuran. Lihatlah tumbuh tumbuhan yang hijau disekeliling kita akhirnya kuning layu. Besi yang keras akan berkarat dan akan reput. Makanan dan lauk pauk akan menjadi basi. Anak anak remaja akan pudar kejelitaan dan ketampanannya dimamah oleh usia tua. Akhirnya menemui ajal. Dunia yang kita duduki dan diami ini pun juga semakin tua. Suasana yang berlaku ini bukanlah terjadi secara kebetulan tetapi suatu perkhabaran dan petanda petanda pada awal bahawa seluruh ciptaan Allah swt akan menemui kemusnahan pada satu detik yang di namakan KIAMAT.

Tiupan sangkakala yang pertama menandakan bermulanya kiamat manakala tiupan sangkakala yang kedua menandakan kebangkitan manusia yang mati sejak nabi Adam as sehingga manusia yang terakhir ketika berlakunya kiamat. Roh dan tubuh badan manusia yang terpisah ketika di alam barzah bercantum semula hingga lengkap seperti tubuh kita sebelum mati untuk menghadapi hari pengadilan,.

Kedahsyatan hari kiamat ini dijelaskan oleh Allah swt dalam Al Quran yang bermaksud Apabila matahari dilingkari cahayanya dan hilang lenyap dan apabila bintang bintang gugur berselerakan dan apabila gunung ganang diterbangkan keangkasa setelah dihancurkan menjadi debu. Kebangkitan semula manusia selepas kiamat akan dihimpunkan di suatu tempat yang dinamakan Padang Mahsyar untuk menghadapi perbicaraan atau timbangan amalan yang dikerjakan semasa hidup di dunia.

Setiap sudut Padang Mahsyar penuh sesak dengan manusia dan jin untuk sama sama mengharungi hari hisab. Menurut Iman Ghazali Padang Mahsyar itu satu dataran bumi yang maha luas saujana mata memandang yang keluasannya tidak dapat dihitung dengan ilmu manusia. Keadaan bumi yang putih dan rata tiada gunung ganang dan pokok kayu untuk dijadikan tempat berteduh. Pada dataran putih yang maha luas itulah manusia yang dibangkitkan semula dihalau ke sana seperti binatang ternakan yang keluar dari kandangnya atau seperti kanak kanak yang baru lahir dengan keadaan berkaki ayam dan bertelanjang bulat tanpa berpakaian.

Dalam keadaan terlalu gawat menghadapi dugaan di Padang Mahsyar itu manusia terlupa dirinya tidak berpakaian kerana memikirkan bagaimana hendak menyelamatkan diri masinmg masing. Abu Hurairah ra berkata beliau mendengar Baginda Rasulullah saw berpidatu dihadapan para sahabat Bahawa manusia di padang Mahsyar akan dibangkitkan kelak dalam 3 bentuk:
  1. Manusia yang dibangkitkan dengan keadaan kenderaan telah tersedia untuk membawa mereka.
  2. Manusia yang berjalan kaki
  3. Manusia yang berjalan dengan keadaan mukanya tertonggeng ke tanah
Digambarkan juga suasana hiruk pikuk dan kucar kacir yang menyelubungi manusia yang berada di atas bumi Mahsyar, masing masing sibuk dengan hal sendiri. Ada yang berjalan, ada yang merangkak rangkak dan bermacam macam lagi dalam suasana panas bahang matahari yang berada hanya sejengkal di atas kepala manusia pada masa itu. Ada sesetengah manusia yang ditenggelami dengan peluh yang banyak dan berbau busuk, bergantung kepada tahap amalan semasa di dunia.

Ketika sedang dalam keadaan terlalu dahaga datang malaikat zabaniah yang membawa air untuk ahli mahsyar. Pada mulanya ahli mahsyar amat gembira tetapi malangnya air itu tersangat panas sehingga apabila mangkuk air itu didekatkan ke bibir maka daging bibir itu luruh berguguran kerana air itu terlalu panas.

Persoalan timbul dikalangan ahli mahsyar adalah berapa lama mereka akan berada di dataran mahsyar itu tidak sesiapa pun yang tahu. Ada pendapat mengatakan berada di padang mahsyar itu selama 300 tahun mengikut tahun akhirat. Perit derita di alam mahsyar itu mereka telah merasa selama mereka berada di situ dalam tangis dan keluhan yang tidak terhenti henti namum mereka dalam keadaan membisu tanpa sepatah kata. Tidak tahu hendak mengadu kepada siapa.

Dalam keletihan yang tidak dapat digambar serta keadaan yang sangat lapar dan dahaga yang menghiris kerana sengsara ratusan tahun di padang mahsyar tanpa ada sebutir makanan atau setitik air, maka kedengaran di kalangan mereka yang berkata tidak adakah di kalangan kita yang boleh momohon dengan Allah agar di segerakan hukuman. Ada cadangan supaya mendapatkan syafaat atau pertolongan daripada Nabi Muhammad saw. Ketika dalam keadaan gawat inilah baru teringat kepada Nabi Muhammmad saw sedangkan semasa di dunia langsung tidak mempedulikan ajaran Rasulullah saw. Malah memperlekehkan suruhan Rasulullah saw.
`
Walaupun tiada sebarang pohon yang dapat memberi perlindungan dari bahang panas terik tetapi Allah swt menyediakan baying arash yang redup. Mereka yang mendapat naungan arash itu antaranya ialah golongan al muqarrabbun, iaitu orang yang dekat dengan Allah swt. Golongan al muqarrabbun itu adalah merujuk kepada mereka yang semasa hidupnya di dunia ini sentiasa patuh kepada arahan Allah swt serta meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah swt samada dalam soal akidah atau syariah.

Yakinlah, bahawa setiap manusia di padang mahsyar nanti akan disoal dan diperiksa satu persatu tidak akan terkecuali satu saat dalam hidupnya di dunia sekalipun yang terjadi secara tersembunyi. Bahkan semua anggota dan bahagian tubuh yang kecil pun ditanya akan apa yang telah dilakukan. Rasulullah saw bersabda Tidak berganjak kedua kaki seseorang itu dari tempat berdirinya sehingga dia di soal 4 perkara:
  1.  Tentang umurnya kepada perkara apakah dihabiskan
  2. Tentang usia mudanya untuk apakan digunakan
  3. Tentang harta bendanya dari manakah di dapati dan dibelanjakan
  4.  Tentang amalan yang dilakukan sesuai dengan apa yang telah diketahuinya
Ikhwanulmuslimin
Insaflah dan sedarlah bahawa segala kesenggaraan di padang mahsyar adalah amat dahsyat yang memakan masa ratusan tahun. Semasa kita sihat dan bertenaga serta dengan peluang yang masih terbuka ini untuk kita bermusahabah diri, sentiasa bertaubat kepada Allah swt dan membuat penilaian prestasi amalan setiap hari apakah amalan dan tingkah laku kita dengan Allah swt dan hubungan sesama manusia selari dengan Al Quran dan Al Sunnah.

Muhasabah ini penting supaya buku rekod catatan amalan kita akan menunjukkan amalan yang cemerlang di padang mahsyar dan digolongkan kepada kumpulan al muqarrabbun. Buku rekod amalan yang baik akan diberi melalui tangan kanan manakala mereka yang mempunyai buku rekod yang penuh dengan dosa maka buku rekod diberi dengan tangan kiri.

Firman Allah swt dalam surah Ibrahim ayat 42 dan 43 yang bermaksud Dan janganlah engkau menyangka Allah lalai dengan apa yang dilakukan oleh orang yang zalim sesungguhnya ia melambatkan akan balasan mereka hingga pada suatu  hari yang padanya  terbeliak kaku pandangan mereka, maka mereka terburu buru sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip dan hati mereka tidak bersemangat kerana bengong dan cemas.

Wallahhualam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week