Khutbah Jumaat: Masjid Mukim Pulau Belanga. 12-8-11 - Adat adat Berpuasa Di Bulan Ramadhan


Masjid Mukim Pulau Belanga.

Ikwanul muslimin,
Saya berpesan kepada pada jemaah sekelian terutama kepada saya sendiri, marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dalam erti taqwa yang sebenar-benarnya kerana hidup tanpa iman dan taqwa kepada Allah swt adalah hidup dalam kesesatan dan diakhiri dengan kesudahan yang buruk kerana syurga itu disediakan kepada orang orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt. Kehidupan kita di dunia ini adalah sementara sahaja, umur dan ajal kita telah ditentukan tempohnya, hidup di dunia ini sangat sekejap hanya dalam tempoh beberapa tahun sahaja iaitu kurang lebih 70tahun, tetapi kita kena ingat ramai di antara kita yang mati muda. Hari ini kita menghantar saudara kita ke kubur besok orang lain pula akan menghantar kita ke kubur pula. Itulah undang undang dan aturan Allah kepada makhluknya yang pasti kita tempuhi tanpa pilihan. Daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Umur kita yang pendek itu apabila tidak digunakan dengan sebaik mungkin untuk mentaati Allah sudah tentu akan membawa kepada penyesalan yang berpanjangan di akhirat kelak. Oleh itu hendaklah kita menjadi orang yang bijak mengurus diri dan menjaga masa, Sebenarnya kita ada peluang untuk mengisi umur kita yang masih berbaki dengan bertaubat mengubah cara hidup dan melakukan kerja kerja besar yang berfaedah dan berganda pahalanya. Janganlah kita habiskan masa dan umur kita dengan melakukan perbuatan yang sia sia. Bersiaplah diri dengan amalan yang cukup sebelum di jemput Allah ke alam baqa. Hendaklah kita sentiasa ingat untuk siapa kita bekerja keras siang dan malam. Adakah harta yang ditinggalkan untuk waris kita yang kita yakini harta itu akan memberi manafaat kepada kita apabila kita mati.ataupun harta itu habis begitu sahaja. Orang yang bijak ialah orang yang memandang jauh kehadapan, ada matlamat hidup, ada pendirian, pandai bertindak dan berkerja berdasarkan keutamaan dan kepentingan hidup yang abadi selepas mati. Ramai orang yang kaya raya berpangkat dan memiliki kuasa pergi meninggal dunia tanpa berbuat apa apa untuk diri, anak anak dan masyarakat.


Ikwanul muslimin
Allah maha pengasih dan maha penyayang kepada hambanya yang beriman, lalu disediakan kepada mereka beberapa waktu yang cukup istemewa dan berharga dalam setahun untuk dianugerahkan kepada mereka pahala dan amal kebajikan yang berganda dan menghapuskan dosa dosa yang telah dilakukan apabila mereka beramal dengan sempurna dan ikhlas. Bulan ramadhan adalah bulan yang mulia dan rahmat. Ia merupakan bulan yang sangat berharga dan bernilai kepada kaum muslimin untuk menambah bekalan di akhirat untuk bertaubat dan memohon ampun kepada Allah swt kerana di bulan ini Allah mengganda pahala amal ibadat para hambanya. Allah mengampun dosa dosa mereka dari tersiksa di dalam neraka.Rasulullah saw bersabda yang bermaksud setiap amal kebaikan yang dilakukan oleh anak Adam digandakan pahalanya 10 kali ganda dan digandakan lagi sampai 700 kali ganda. Allah berfirman yang bermaksud, Maka sesungguhnya puasa itu untukku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, ini kerana hambaku telah bertindak melawan hawa nafsu dan makanan keranaKu.

Ikwanul muslimin
Sambutlah ramadhan dengan penuh kehormatan dengan melakukan kerja kerja amal soleh dan kebajikan, berpuasalah dengan keimanan, keyakinan dan keikhlasan di hati serta mengharapkan pahala ganjaran daripada Allah swt. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud sesungguhnya Allah swt telah memfardhukan puasa ramadhan ke atas kamu dan aku mensyariatkan kepada kamu sekelian agar mendirikan ramadhan, yakni dengan mendirikan sembahyang sunat terawih dan sebagainya. Oleh itu sesiapa yang berpuasa dengan mendirikannya kerana iman dan mengharapkan ganjaran pahala disisi Allah nescaya Allah akan mengampunkan segala dosa dosanya seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.


Ikwanul muslimin
Sesungguhnya puasa disyariatkan dalam Islam untuk mencapai matlamat yang agak tinggi dan murni iaitu mendidik diri dan jiwa manusia supaya bertaqwa dan mentaati Allah swt. Sebaliknya insan yang soleh dan sempurna akhlaknya puasa adalah jalan untuk meraih kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Ingatlah orang yang berpuasa adalah orang yang sedang berada dalam ujian Allah, berada dalam proses penyucian jiwa yang mesti menjauhi perkara yang diharamkan oleh Allah dan daripada pantang larang serta mengisi dengan amal kebajikan. Oleh itu melakukan perkara perkara yang ditegah dan di haramkan oleh syarak di bulan ramadhan adalah merupakan percabulan terhadap kemuliaan ramadhan dan bercanggah dengan tujuan di syariatkan berpuasa. Oleh kerana itu diharapkan kepada kaum muslimin dan muslimat menjauhkan diri dari melakukan maksiat agar tidak melanggar perintah Allah swt. Sebaliknya mesti mengerjakan ibadat dan berakhlak mulia. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud Sesiapa yang tidak mahu yang meninggalkan perkataan dusta dan mengamalkanya maka tidak ada peluang bagi Allah untuk dia meninggalkan makan minumnya. Nilai puasa dilihat sejauh mana kita berjaya mendidik diri kita menjadi seseorang yang baik, taat kepada Allah dan bertaqwa adalah tujuan berpuasa untuk menjadi seorang hamba Allah yang bersih, bertaqwa padanya, berakhlak mulia dan menjadi bekal di akhirat. maka tidak ada makna bagi seseorang yang berpuasa melakukan maksiat dan perangai buruk, apalagi meninggalkan solat 5 waktu dan mengabaikan kewajipannya. Apa erti berpuasa kalau menzalimi orang lain, tidak menjaga amanah, menipu, makan harta haram, dan tidak bersedia berkhidmat membantu orang yang memerlukan bantuan.Apa ertinya berpuasa baga seseorang perempuan yang mendedahkan auratnya, dengan memakai pakaian yang tidak menutup aurat dan memakai pakaian yang menampakkan bentuk badan yang boleh menimbulkan fitnah. Apa erti berpuasa bagi mereka yang berkata boleh pandang pandang kepada wanita yang halal nikah tanpa berusaha menundukkan pandangannya.

Ikhwanil muslimin
Suasana di rumah didalam bulan ramadhan hendaklah menggambarkan kehidupan secara Islam, pergaulan adalah pergaulan secara Islam, orang susah, fakir miskin dan anak anak yatim hendaklah disimpati. Bulan Ramadhan adalah bulan kebajikan dan silaturrahim, bulan menyayangi kaum muslimin, bersyukurlah kepada Allah atas segala nikmatnya dan jauhkanlah segala pembaziran kerana orang yang membazir itu adalah saudara syaitan . Bantulah orang berpuasa dengan menyediakan makanan untuk mereka berbuka sekiranya mampu. Juadah hidangan kepada mereka di pasar pasar Ramadhan adalah makanan yang halal, bersih, berkualiti dan dijual dengan harga yang berpatutan, semoga diberkati Allah dan Ramadhan disempurnakan dengan ganjarannya.


Ikhwanil muslimin
Berpuasalah dengan sempurna, hayatilah adat adat berpuasa yang zahir dan batin, jauhkan diri dari perkara yang membatalkan puasa dan perkara perkara yang mengurangkan atau menghapuskan pahala berpuasa dan pahala ibadat yang telah dilakukannya dengan amalan yang sebanyak mungkin, Hidupkan malam Ramadhan dengan sembahyang terawih, witir, tahajjud, berzikir,beristirfar memohon ampun, berdoa, membaca al quran dan selawat ke atas junjungan Rasulullah saw dan perbanyakkan sedekah kepada fakir miskin kerana sedekah didalam bulan Ramadhan mendapat ganjaran yang besar. Pastikan ibadat fardhu di lakukan didalam waktunya secara berjemaah, khususnya sembahyang Isyak dan Subuh. Pastikan segala pekerjaan dan tugas dilakukan dengan sempurna dan amanah tanpa sebarang penipuan dan didalam bulan Ramadhan ini ambillah kesempatan untuk meninggalkan tabiat merokok, membazirkan waktu di tempat yang tidak berfaedah, mengumpat, mencaci dan menghina orang. Akhir sekali apabila telah dikumpulkan pahala yang besar dan ibadat yang banyak ibadat puasa dan ibadat ibadat yang lain yang saudara saudara lakukan sepanjang bulan Ramadhan yang pada masa yang sama di lakukan untuk menjagapahala dan amalan yang seperti itu jangan sampai terhapus. Oleh itu pastikan diri anda sentiasa berada didalam ibadat terhadap Allah swt.

Sekian
Wallahhualam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week