Khutbah Jumaat: Masjid AlQasimi - 10 Jun 2011


Saudara kaum muslimin,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekelian, marilah kita mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan sebenar-benar taqwa dengan melaksanakan segala perintah-perintahnya dan meninggalkan segala tegahannya, mudah mudahan kita termasuk ke dalam golongan orang orang yang berjaya di dunia dan juga di akhirat nanti.

Saudara kaum muslimin
Solah atau sembahyang merupakan antara ibadat terpenting dalam kehidupan seseorang individu yang mengaku dirinya sebagai beragama Islam. Dalam ibadat yang di institusikan dalam agama Islam, solah hadir sebagai rukun Islam yang kedua. Sekali gus menjadi tonggak dan asas terbinanya Islam di dalam diri seseorang. Kedudukan solah sebagai rukun Islam yang kedua selepas kita mengucap dua kalimah syahadat dengan jelas membayangkan status solah sebagai sesuatu ibadah yang sangat penting di dalam agama Islam. Rasulullah saw sendiri menjelaskan di dalam sebuah hadis yang mashur bahawa seseorang mendirikan solah itu seumpama mendirikan agama dan orang yang meninggalkannya seolah-olah meruntuhkan agama, sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggakannya dengan sengaja mengingkarinya dia telah memusnahkan agama.

Saudara kaum muslimin,
Sejak mula di fardhukan lagi, kepentingan solah telah menjadi satu perkara yang utama di kalangan masyarakat Islam di dunia amnya, maka dalam Al Quran perkataan solah telah disebut secara berulang ulang lebih dari 70 kali sehingga menjadi peringatan kepada setiap pembaca Al Quran akan kepentingan menjaga solah. Tetapi dalam membicarakan soal amalan yang mulia ini timbul beberapa persoalan kepada kita, antaranya kenapakah umat Islam pada masa ini tidak memberikan perhatian yang serius kepada ibadah solah walaupun mereka mengetahui kepentingan melaksanakannya. Jika mereka menunaikan solah 5 waktu dan solah sunat sekalipun, ,mengapakah kualiti kehidupan mereka berada pada paras sederhana sahaja.Kita melihat betapa ramai anggota masyarakat yang bersolah, namun mengapakah individu tersebut tetap melakukan maksiat kepada Allah swt. Jawapan kepada persoalan ini tersimpul di sebalik tasbiah dan hikmat pensyariatan ibadah solah itu sendiri. Ramai dikalangan umat Islam pada hari ini melihat ibadah solah dari sudut fekah sahaja dalam ertikata lain mereka hanya mengambil berat kepada hukum sah dan batal sahaja tetapi tidak menghayati maksud disebalik setiap ucapan dan gerak geri yang dilakukan didalam solah.

Saudara kaum muslimin,
Pada dasarnya perlaksanaan ibadah solah melibatkan dua aspek iaitu pergerakan fizikal yakni badaniah dan aktiviti dalaman yakni rohaniah. Pergerakan badaniah ialah setiap pergerakan zahir anggota badan seperti takbirraturirham, qiam, rukuk, iktidal, sujud, bacaan dan sebagainya. Manakala aktiviti rohaniah ialah pemusatan pemikiran, jiwa dan emosi kepada Allah swt sehingga melahirkan sifat khusuk, tawadduk dan ikhlas semasa menunaikan solah. Oleh itu solah yang mampu menentukan cara hidup membimbing gerak laku dan mengubah kialiti kehidupan seseorang ialah solah yang sempurna aktiviti fizikal dan rohani. Pada hakikatnya kedua dua aspek ini saling berhubung antara satu sama lain dan menjadi pembantu kejayaan kepada seseorang manusia, namun demikian harus di ingat bahawa orang yang tidak langsung mengerjakan kewajipan solah lima waktu adalah jauh lebih teruk dan hina di sisi Allah swt sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Apakah yang menyebabkan kamu masuk kedalam neraka Sabaa, orang yang tidak bersolah itu menjawab, kami tidak termasuk kedalam golongan orang orang yang mengerjakan solah.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang di hormati dan di kasihi sekelian,
Sebagai mengakhiri khutbah jumaat pada hari yang mulia ini, ingin diingatkan bahawa terdapat perkaitan yang kuat kepada mereka yang sempurna mengerjakan ibadah solah biasanya mereka juga sempurna melakukan ibadah dan amalan kebajikan yang lain, oleh itu marilah kita mempelihara solah yang di fardhukan keatas kita semua dengan memenuhi aspek jasmani dan rohani. Sebegitu anak anak juga mesti dibesarkan dengan pendidikan solah yang berkualiti dalam usaha kearah meningkatkan kesempurnaan amalan solah. Khutbah ini ingin mengemukakan pandangan Iman Ghazali tentang beberapa kaedah solah yang sempurna iaitu.
  1. Sentiasa mengerjakan solah lima waktu tanpa sebarang alasan untuk meninggalkannya melainkan ada sebab syarie
  2. Sentiasa memperkemas bacaan di dalam solah dan memahami maknanya bagi memperolehi khusuk
  3. Sentiasa mendidik dan memastikan ahli keluarga sentiasa mengerjakan solah secara berjemaah
  4. Sentiasa menghadirkan kebesaran Allah swt seolah-olah kita sedang berhadapan dengan Allah swt
  5. Sentiasa malu kepada Alllah swt dalam kelemahan semasa beribadah
  6. Sentiasa mengharapkan rahmat Allah swt serta mengharapkan solah yang dilakukan diterima oleh Allah swt.
Saudara kaum muslimin.
Kesimpulannya  kekuatan ibadah solah yang kita lakukan akan menentukan kualiti pegangan agama dan menunjukkan kecintaan kita terhadap Allah swt serta mengukur kepatuhan kita terhadap syariat agama Islam. Sebaliknya kelemahan kita dalam menjaga kualiti solah akan menjerumuskan diri kita sebagai manusia yang rugi .Firman Allah swt yang bermaksud sessungguhnya kami telah mengurniakan kepada mu wahai Muhammad saw kebaikkan yang banyak di dunia dan di akhirat oleh itu kerjakanlah sembahyang dengan tuhanmu semata-mata  dan sembelihlah korban sebagai bersyukur, sesungguhnya  orang yang bencikan engkau dialah yang tidak mendapat sebarang kejayaan di dunia,

Sekian

Wassalam

    0 comments:

    Post a Comment

    Listen to Quran
    Powered by Blogger.
     

    Popular Posts All time

    Popular Posts this month

    Popular Posts this week