Khutbah Jumaat Masjid Mukim Binjai 9 -3 - 2012: Tanggung Jawab Mendidik Anak Anak

Ikhwanil muslimin
Di kesempatan yang mulia ini saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekelian, marilah kita sama sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan melaksanakan segala perintah perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah swt di dunia dan di akhirat.

Ikhwanil muslimin
Anak merupakan nikmat dan anugerah yang terbesar daripada Allah swt kepada hambanya. Ia akan menjadi saham dan mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda kepada ibu bapa sekiranya mereka dididik dan dibentuk dengan baik serta menjadi anak yang soleh.

Sebaliknya jika mereka di abaikan, tidak mustahil akan menjadi anak yang terbiar dan akan menjadi sampah kepada masyarakat dan Negara. Justeru memiliki anak yang soleh serta baik budi pekertinya menjadi impian setiap ibubapa dan keluarga.

Sebagaimana kisah Nabi Allah Zakaria yang telah lanjut usia tetapi belum dikurniakan anak untuk menjadi waris keturunannya. Lalu Nabi Allah Zakaria memohon dengan berdoa kepada Allah swt agar dikurniakan anak anak yang soleh.

Firman Allah swt dalam Surah Al Imran ayat 38 yang bermaksud Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya, wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik Engkau sentiasa mendengar menerima doa dan permohonan.

Anak anak kita sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat kain putih yang suci lagi bersih dari sebarang kekotoran samada zahir ataupun batin, maka menjadi tanggungjawab kepada ibubapa untuk mencorakkan samada untuk membentuknya menjadi insan yang Berjaya atau pun tidak.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali 3 perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang bermunafaat dan anak yang soleh yang mendoakan. Riwayat Imam Muslim.

Ikhwanil muslimin
Menurut Islam memberikan pendidikan kepada anak anak hendaklah dimulakan sejak awal lagi kerana pada usia sebegini segala nilai nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam hati sanubari mereka.

Ibnu Sina pernah berpesan, katanya, ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab adab Islam sebelum dia di serang oleh nilai nilai yang buruk.

Terdapat 4 tahap pendidikan kepada anak anak iaitu:
  1. Tahap Pertama, Anak yang baru lahir sehingga mummayiz lebih kurang 6 tahun, hendaklah kita banyak bergurau dan membela mereka dengan penuh kasih sayang.
  2. Tahap ke dua, Anak berumur 7 tahun sehingga baligh 14 tahun, hendaklah kita mendidik mereka dengan  arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab kepada mereka.
  3. Tahap ke tiga, Anak berumur 15 tahun hingga dewasa 21 tahun, hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat .
  4. Tahap ke empat, Anak berumur lebih 21 tahun, hendaklah para ibubapa memberikan kebebasan untuk bertindakselagi tidak bertentangan dengan syariat . Ibubapa hendaklah bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.

Ibni Khaldum telah membahagikan tujuan pendidikan kepada anak anak dalam 3 bentuk:
  1. Pertama, mempersiapkan anak anak dari segi keugamaan iaitu mengajar anak anak mengikut syiar syiar agama menurut Al Quran dan sunnah Rasulullah saw. Ini akan membina akidahnya, membentuk keperibadian dan keimanannya.
  2. Ke dua, mempersiapkan dari segi akhlak
  3. Ke tiga, mempersiapkannya dari segi pemikiran. Ini termasuk ilmu ilmu umum duniawi, kerana dengan memiliki pemikiran dan ilmu yang baik dan tepat, seseorang itu akan mampu berdikari dan memiliki keterampilan untuk melaksanakan tugas dengan baik.

Anak anak hendaklah dididik dengan pesanan pesanan yang baik, nasihat nasihat dan teguran teguran dalam hal yang berkaitan dengan akidah, ibadat, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, kehidupan agar mereka mengenal erti yang sebenarnya.

Berilah pesanan, nasihat, teguran setiap masa, walaupun kadang kala anak anak kita merasa jemu dan bosan. Contohilah apa yang dilakukan oleh Lukman Nur Hakim di dalam mendidik anak anaknya.

Firman Allah swt dalam surah Luqman ayat 13 yang bermaksud Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya semasa dia memberi nasihat kepadanya, wahai anakku janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.

Ikhwanil muslimin
Sebagai ibubapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan, jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak anak apabila mereka telah dihantar ke sekolah. Ingatlah bahawa tanggung jawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang di dunia, tetapi tanggung jawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai perinsip yang teguh dan jati diri yang kuat agar mereka juga selamat di Akhirat.

Dari itu amat penting bagi kita untuk memberi pendidikan agama serta menyemai akhlak yang mulia kepada mereka kerana dengan pendidikan agama, iman mereka akan teguh, jati diri mereka akan kuat dengan ini akan membantu mereka berdepan dengan masalah masalah dalam menghadapi cabaran yang akan datang.
Tanpa perinsip ini, ditakuti anak anak kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pemikiran sehinggakan ada sebahagian dari mereka sanggup menggadaikan perinsip agama mereka.

Khutbah ingin mengingatkan bahawa memelihara anggota keluarga dari ancaman neraka, tidak bererti kita hanya mencegah mereka dari berbagai perbuatan maksiat, tetapi kita juga mesti bersikap aktif dalam mendidik dan menerapkan nilai nilai murni dalam diri mereka agar dia berperanan sebagai kubu dan mempunyai daya tahan  mantap yang dapat menapis dan menepis pengaruh sekitar yang sangat mencabar ini.

Tanggung jawab ibubapa bukan hanya memberi arahan tetapi perlu meluntur, membimbing, mengasuh dan menunjukkan contoh yang baik untuk dijadikan teladan, barulah pendidikan kita akan memberikan kesan untuk mencapai matlamat pembentukan nilai murni serta perinsip yang kukuh dalam diri anak anak.

Ikhwanil muslimin
Sebagaimana yang kita maklum, sebahagian dari anak anak kita merasa letih semasa melalui sesi persekolahan, menyebabkan mereka ingin melarikan diri dari alam persekolahan, bebas daripada belenggu belenggu buku buku sekolah.

Mereka mahu berseronok, namun mereka tidak tahu apa aktiviti aktiviti yang wajar dilakukan. Dalam pemikiran mereka hanya hiburan dan keseronokan yang dicari. Tidak hairan apabila ibubapa mereka marah apabila mereka menghabiskan masa dengan perkara perkara yang tidak berfaedah seperti melepak, melayari perkara perkata yang tidak berfaedah di dalam internet dan sebagainya.

Berdasarkan lapuran terdapat pula jenis gejala sosial yang mencetuskan kebimbangan terhadap anak anak kita antaranya meragut, merempit, menonton video lucah, putus cinta, mencuri jenayah bunuh dan lain lain lagi.
Terkini ada di kalangan anak anak kita yang diambil kesempatan oleh pihak penjenayah untuk dijadikan keldai dadah dan terlibat dalam sendiket pelacuran.

Khutbah ingin berpesan kepada para ibubapa agar mengajar anak anak supaya menggunakan masa dengan bijak, perlu mengatur program program yang bermunafaat buat anak anak. Jadilah ibubapa yang perihatin dan mengambil berat terhadap anak anak. Rancanglah sesuatu agar dapat dimunafaatkan oleh anak anak dengan sebaik baiknya. Jangan biarkan mereka sendiri yang menguruskan kehidupan tanpa sebarang pemantauan atau panduan daripada ibubapa.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah kita sama sama menjaga dan mendidik anak anak yang diamanahkan oleh Allah swt kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama agar mereka dapat berbakti kepeda keluarga, masyarakat dan Negara.

Isilah kehidupan mereka dengan perkara perkara yang boleh memberi munafaat, ingatlah wahai muslimin sidang  Jumaat sekelian bahawa mutiara hati ini merupakan sebahagian daripada amanah daripada Allah swt  yang akan dipersoalkan di Akhirat nanti.

Marilah kita sama sama merenung firman Allah swt yang bermaksud Sesungguhnya kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung ganang maka mereka enggan memikulnya kerana bimbang tidak dapat menyempurnakannya dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week