Khutbah Jumaat Masjid Mukim Binjai 30 -3 - 2012: Peranan Masyarakat Memerangi Penyalah Gunaan Dadah

Ikwanil muslimin,
Saya berseru kepada diri saya dan sidang jumaat sekelian, marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan penuk keyakinan dan penuh keikhlasan dengan melakukan suruhan suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Ikwanil muslimin,
Sukarelawan merupakan tulang belakang kepada pembangunan sesebuah organisasi atau negara. Tanpa semangat kesukarelawan yang tinggi dalam kalangan individu dan kumpulan dalam sesebuah organisasi, kejayaan tidak akan dapat dicapai dengan sempurna.

Di Malaysia semangat kesukarelawan sememangnya telah lama berakar umbi di kalangan masyarakat. Ini dapat di lihat daripada kata kata dan ungkapan yang sering diucapkan menggambarkan semangat kesukarelawan dan kerjasama. Sebagai contoh kata kata seperti yang buta meniup tepung, yang pekak membakar meriam dan yang cepek menghalau ayam.

Ia menggambarkan keperluan setiap anggota masyarakat memainkan peranan berdasarkan kemahiran masing masing ke arah pencapaian matlamat bersama. Islam amat menggalakkan dan menuntut kita untuk hidup saling tolong menolong, bantu membantu ke arah kebaikan secara ikhlas dan sukarela kerana perbuatan demikian boleh menimbulkan perasaan hormat menghormati, kasih mengasihi dan sayang menyayangi di antara satu sama lain.

Jika sifat sedemikian wujud di kalangan umat Islam, maka akan terbina lah kehidupan yang aman damai, sejahtera dan harmoni. Inilah faktor kekuatan komuniti umat Islam.

Firman Allah swt yang bermaksud Hendaklah kamu bertolong tolongan membuat kebaikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong tolongan dalam melakukan dosa dan maksiat serta pencerobohan dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat siksanya.

Sifat tolong menolong dan semangat sukarelawan, bantu membantu bukan hanya tertumpu kepada kekurangan harta benda semata mata, tetapi ia juga boleh dilaksanakan dengan sumbangan tenaga dan nasihat seperti bantu membantu dalam mencegah kemungkaran kerana masyarakat juga memainkan peranan penting bagi mewujudkan kesejahteraan dalam sesebuah negara.

Ikwanil muslimin,
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, Agensi Anti Dadah Kebangsaan merupakan agensi yang bertanggungjawab dalam menguruskan permasaalahan yang berkaitan dengan dadah. Peranan utama AADK adalah untuk menentukan segala usaha menangani ancaman dadah berjalan secara terancang, berarah dan selari  demi mewujudkan satu masyarakat yang bebas daripada dadah.

Tugas untuk membebaskan masyarakat dan negara dari ancaman dadah adalah sangat mencabar. Tanggungjawab ini tidak mampu di lakukan oleh AADK secara bersendirian, namun usaha ke arah itu akan  lebih berjaya dengan adanya sokongan dan bantuan daripada semua pihak.

Apa yang lebih penting ialah kerjasama daripada orang ramai membantu AADK dalam membenteras permasalahan dadah dan menggalakkan kesejahteraan dalam masyarakat.

Maka dalam hal ini pihak AADK mengharapkan agar masyarakat sama sama berganding bahu dan terlibat sama dalam menjaga permasalahan dadah yang ada dalam komuniti masyarakat masing masing. Tidak kiralah masyarakat yang tinggal di bandar atau di kampung. Mereka perlu membantu AADK dengan memberi nasihat kepada mereka yang terlibat dalam permasalahan dadah untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh AADK atau menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai permasalahan dadah yang berlaku ditempat masing masing.

Kewajipan membenteras dadah adalah merupakan kewajipan utama kerana dadah adalah sumber segala kesesatan dunia dan akhirat kepada manusia. Justeru setiap orang Islam adalah bertanggungjawab dalam memerangi dadah

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya iaitu mencegahnya dengan tangannya dan jika dia tidak berkuasa maka dengan lidahnya dan jika dia tidak berkuasa maka dengan hatinya yang sedemikian itu ialah yang selemah lemah iman.

Jika berlaku kemungkaran seperti penyalah gunaan dadah maka masyarakat juga tidak terlepas dari mengambil inisiatif mencegahnya mengikut kemampuan masing masing, sekurang kurangnya jika tidak berkemampuan mencegahnya, maka lapurkanlah kepada pihak berkuasa kerana ia juga merupakan satu pencegahan dan bantuan kepada pihak AADK.

Ikwanil muslimin,
Dalam usaha untuk memastikan semua pihak merasa bertanggungjawab untuk membenteras permasalahan dadah maka AADK telah menubuhkan sukarelawan anti dadah 1 Malaysia. Matlamat utama penubuhan sukarelawan anti dadah ini ialah supaya sukarelawan ini bertindak dan bergerak sebagai satu pasukan yang membantu pihak kerajaan khususnya AADK dalam menangani masalah dan ancaman dadah

Objektif utama sukarelawan anti dadah 1 Malaysia adalah seperti berikut:

  1. Membantu pihak kerajaan khususnya AADK dalam membenteras penyalahan penggunaan dadah.
  2. Menggerakkan program program dan aktiviti pencegahan dadah dalam komuniti
  3. Memberi sokongan dan membantu bekas bekas penagih dadah bagi mengekalkan keputihan kekal.
  4. Memastikan penglibatan anggota masyarakat dalam merialisasikan masyarakat bebas dadah
AADK mengambil kesempatan melalui mimbar pada hari ini menyeru seluruh masyarakat Malaysia untuk menyertai serta memberi sokongan dan kerjasama kepada sukarelawan anti dadah 1 Malaysia dalam menyelesaikan permasalahan dadah. 


Dengan penyertaan sokongan dan kerjasama kepada sukarelawan anti dadah ini di harapkan akan dapat membantu AADK melaksanakan tugas mengatasi permasalahan dadah negara. Semangat sukarelawan ini perlu diberi perhatian oleh semua masyarakat untuk membantu kerajaan memerangi permasalahan dadah.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud Sesungguhnya Allah tidak mengazabkan orang orang ramai dengan perbuatan orang orang yang sedikit sehingga orang ramai tadi melihat kemungkaran, sehingga orang ramai tadi melihat kemungkaran di hadapan mata mereka dan mereka berkuasa untuk mencegahnya, tetapi mereka tidak mencegahnya. Sekiranya mereka berbuat demikian maka Allah akan menurunkan azabnya kepada orang orang yang sedikit tadi  dan juga orang ramai / orang awam.

Daripada hadis tadi jelaslah kepada kita bahawa setiap individu adalah bertanggungjawab dalam mencegah kemungkaran dan menyuruh berbuat kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat mengikut kemampuan dan usaha masing masing.

Oleh itu marilah kita sama sama berganding bahu berusaha menjaga kesejahteraan dan keharmonian negara kita daripada masalah dadah. Mudah mudahan kehidupan kita aman sejahtera dan  mendapat perlindungan daripada Allah swt.

Firman Allah swt yang bermaksud Kamu adalah sebaik baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia kerana kamu menyuruh berbuat kepada perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, buruk dan keji serta kamu pula beriman kepada Allah dengan sebenar benar iman dan kalaulah ahli kitab Yahudi dan Nasrani itu beriman sebagaimana yang semestinya, tentulah iman itu menjadi baik bagi mereka. Tetapi di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang orang yang fasik.


Wassalam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week