Khutbah Jumaat Masjid Mukim Binjai 23 -3 - 2012: Al Quran SebagaiPedoman Kehidupan

Ikhwanil muslimin
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekelian. Marilah kita sama sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melaksanakan perintah perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Semoga ketaqwaan itu membentuk kita menjadi insan soleh dan mulia dalam kehidupan dunia sebagai tempat persinggahan menuju destinasi akhirat.

Ikhwanil muslimin
Al Quran adalah merupakan mukjizat, kitab suci, kalamullah yang diturunkan kepada junjungan kita nabi Muhammad saw melalui perantaraan malaikat Jibrail as secara berperingkat peringkat selama lebih kurang 23 tahun. Di dalamnya mengandungi peristiwa peristiwa umat umat terdahulu yang menyentuh berbagai kehidupan umat manusia termasuk mengatur cara hidup berkeluarga, bermasyarakat, beribadat, urusan pentadbiran, ekonomi, pendidikan, pembangunan dan sebagainya.

Ia juga dipenuhi dengan mukjizat dan keagungan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab kitab lain. Kandungannya penuh ajaran dalam memandu kita menjadi umat bertamaddun meliputi segala aspek bidang pekerjaan samada bersifat duniawi atau ukhrawi.

Firman Allah swt dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud Alif, Lam, Raa, Ini adalah kitab alQuran yang kami turunkannya kepada mu wahai Muhammad supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah yang maha kuasa lagi maha terpuji.

Al Quran diturunkan bukan sahaja untuk dijadikan sebagai simbol pengiktirafan Allah kepada nabi Muhammad saw dan umatnya semata mata, tetapi ia mempunyai maksud yang lebih penting setiap kandungannya membawa rahmat dan keberkatan untuk umat sejagat. Justeru Rasulullah saw menggesa umatnya agar membaca, memahami dan mengamalkan kandungan Ala Quran dan keseluruhannya serta mendalami serta meneroka segala isi kandungan yang ada dalam Al Quran.

Mereka yang menjadikan Al Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah swt. Setiap huruf yang dibaca akan diberi ganjaran 10 pahala sebagaimana yang di sabdakan oleh Baginda Rasulullah saw yang bermaksud Sesiapa yang membaca satu huruf dari Al Quran, maka baginya diberi 10  pahala dan di tambah 10 lagi kebajikan seumpamanya. Tidak aku katakan Alif, Lam, Min, itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf dan Min satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Min satu huruf. Riwayat Tarmizi.

Sejarah membuktikan bahawa para sahabat ra seperti Uthman, Zaid bin Sabit, Ibni Massoud dan lain lain lagi, mereka ini sentiasa membaca Al Quran  dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat.Begitu juga amalan tradisi orang orang tua kita dahulu yang sangat menitik beratkan pendidikan Al Quran kepada anak anak.

Anak anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca Al Quran, dan mereka mengamalkan pembacaan Al Quran setiap malam selepas waktu Maghrib secara beramai ramai. Walaupun perkara ini tiada di dalam syariat tetapi membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan Al Quran.  Namun persoalan tetap timbul pada hari ini berapa ramaikah umat Islam yang membaca Al Quran serta mengambil Al Quran sebagai asas panduan hidup dan menjadikan Al Quran sebagai asas pemikiran atau berfikir secara Qiraati. Inilah persoalan yang perlu direnungi dan difikir bersama sebagai umat Islam.

Ikhwanil muslimin
Berfikir secara Qiraati bermaksud bagaimana sumber sumber Al Quran dijadikan pedoman berfikit tentang sesuatu kejadian dan kehidupan. Dengan berfikit menerusi jendela Al Quran menjadikan seseorang itu memiliki jiwa tadbir iaitu jiwa yang mengkaji dan menyelidik.

Ayat ayat Allah adalah sesuatu yang bersifat semasa dan sesuai dengan semua kehidupan, kisah kisah yang dirakamkan oleh Al Quran ribuan tahun lalu bukan hanya merakamkan apa yang pernah berlaku pada masa yang lalu tetapi berulang kembali pada masa kini dan boleh terjadi semula di masa depan.

Umat Islam yang mencari pedoman untuk hidup, maju dan berubah tentu memerlukan pedoman tentang gelagat manusia pada masa yang lalu dan dijadikan pedoman untuk kehidupan di masa kini.Al Quran bukan sahaja mengesa umatnya supaya menggunakan kekuatan akan dalam melakukan penelitian dan penyelidikan  terhadap alam dunia ini, malah mengajar umatnya menginsafi berasaskan peristiwa peristiwa yang terjadi  dan merenung mengenai hakikat kejadian dan hubungan dengan diri manusia

Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya Al Quran di jadikan asas pemikiran dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa jua kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak khususnya dalam menangani berbagai permasalahan.Cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

Persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi  berat bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat ayat Allah swt dan beku fikirannya untuk mendalami Al Quran. Mereka lebih gemar menurut hawa nafsu dengan melakukan perkara perkara yang melalaikan dan merosakkan imej dan murtabat umat Islam itu sendiri.

Rasulullah saw pernah melahirkan kebimbangan bahawa umat Islam ramai tetapi berkeadaan seperti buih di lautan kerana tidak mempunyai daya saing. Seorang tokoh Islam pernah berkata kemunduran yang dideritai oleh umat Islam pada hari ini bukan sebab Islam seperti yang digambarkan dan diwawarkan itu, Ini adalah satu hukuman dari Islam ke atas umatnya  yang cuba meninggalkan Islam, bukan kerana mereka berpegang dengan Islam.

Jesteru, marilah kita sama sama menjadikan budaya Qiraati sebagai budaya hidup, oleh itu kita mesti yakin bahawa Al Quran mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis pesakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masakini. Ubahlah gaya kehidupan dengan menjadikan Al Quran sebagai asas pemikiran dan rujukan kehidupan. Janganlah kita hanya merujuk kepada Al Quran hanya pada masa masa tertentu sahaja seperti  ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu sahaja.

 Ibubapa perlulah memprogramkan pernghayatan Al Quran dalam keluarga terutama kepada anak anak dengan memperuntukan masa seperti selepas setiap waktu solat untuk sama sama membaca, mempelajari dan mentadarus Al Quran.

Ibubapa juga perlu berusaha dengan menghantar anak anak ke kelas pengajian Al Quran samada di surau, di masjid atau di kelas yang telah di sediakan. Di samping itu mengulangkaji bacaan Al Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan media media elektronik dan sebagainya.

Mengambil kesempatan sempena dengan majlis hafazan Al Quran yang diadakan pada setiap tahun, saya menyeru para jumaah sekelian, marilah kita sama sama menjadikan  Al Quran sebagai panduan kehidupan dengan mendalami ilmu yang terkandung di dalamnya serta mengkaji dan mengambil segala ikhtibar daripada kisah kisah sebagai pengajaran.

Ingatlah bahawa kisah kisah terdahulu seperti kisah umat nabi Lut, nabi Musa, nabi Isa dan lain lain lagi, sebenarnya banyak memberi kesan dan pedoman untuk kehidupan kita masa kini. Sesungguhnya penghayatan dan pemikiran yang berasaskan Al Quran dengan lengkap dan sempurna mampu mengubah keadaan dan taraf kehidupan seseorang muslim dan juga umat Islam keseluruhannya serta dapat meningkatkan iman dan ketakwaan kepada Allah swt.

Penghayatan dan pemikiran berasaskan Al Quran juga akan mendorong kita bertindak berasaskan kepada pertimbangan yang waras, tidak golojoh dan kukuh dalam melaksanakan sesuatu urusan. Sebaliknya dengannya mengajar kita supaya sentiasa berdoa dan bertawakal kepada Allah swt.

Khutbah menyeru sekali lagi khususnya kepada ibu bapa, marilah kita sama sama mendidik anak anak dengan didikan Al Quran. Ajarlah mereka dengan ajaran Al Quran, mudah mudahan dengan cara ini hidup yang bakal di lalui oleh mereka akan diterangi oleh cahaya kebenaran dan keinsafan.

Ingatlah bahawa Rasulullah saw sentiasa mengutamakan umatnya yang mana hatinya terpaut dan terdidik dengan AlQuran.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah kira sama sama merenung firman Allah swt yang bermaksud Dan sesungguhnya kami telah mudahkan Al Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan 


Wassalam


0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week