Khutbah Jumaat Masjid Mukim Binjai 30 -3 - 2012: Peranan Masyarakat Memerangi Penyalah Gunaan Dadah

Ikwanil muslimin,
Saya berseru kepada diri saya dan sidang jumaat sekelian, marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan penuk keyakinan dan penuh keikhlasan dengan melakukan suruhan suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Ikwanil muslimin,
Sukarelawan merupakan tulang belakang kepada pembangunan sesebuah organisasi atau negara. Tanpa semangat kesukarelawan yang tinggi dalam kalangan individu dan kumpulan dalam sesebuah organisasi, kejayaan tidak akan dapat dicapai dengan sempurna.

Di Malaysia semangat kesukarelawan sememangnya telah lama berakar umbi di kalangan masyarakat. Ini dapat di lihat daripada kata kata dan ungkapan yang sering diucapkan menggambarkan semangat kesukarelawan dan kerjasama. Sebagai contoh kata kata seperti yang buta meniup tepung, yang pekak membakar meriam dan yang cepek menghalau ayam.

Ia menggambarkan keperluan setiap anggota masyarakat memainkan peranan berdasarkan kemahiran masing masing ke arah pencapaian matlamat bersama. Islam amat menggalakkan dan menuntut kita untuk hidup saling tolong menolong, bantu membantu ke arah kebaikan secara ikhlas dan sukarela kerana perbuatan demikian boleh menimbulkan perasaan hormat menghormati, kasih mengasihi dan sayang menyayangi di antara satu sama lain.

Jika sifat sedemikian wujud di kalangan umat Islam, maka akan terbina lah kehidupan yang aman damai, sejahtera dan harmoni. Inilah faktor kekuatan komuniti umat Islam.

Firman Allah swt yang bermaksud Hendaklah kamu bertolong tolongan membuat kebaikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong tolongan dalam melakukan dosa dan maksiat serta pencerobohan dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat siksanya.

Sifat tolong menolong dan semangat sukarelawan, bantu membantu bukan hanya tertumpu kepada kekurangan harta benda semata mata, tetapi ia juga boleh dilaksanakan dengan sumbangan tenaga dan nasihat seperti bantu membantu dalam mencegah kemungkaran kerana masyarakat juga memainkan peranan penting bagi mewujudkan kesejahteraan dalam sesebuah negara.

Ikwanil muslimin,
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, Agensi Anti Dadah Kebangsaan merupakan agensi yang bertanggungjawab dalam menguruskan permasaalahan yang berkaitan dengan dadah. Peranan utama AADK adalah untuk menentukan segala usaha menangani ancaman dadah berjalan secara terancang, berarah dan selari  demi mewujudkan satu masyarakat yang bebas daripada dadah.

Tugas untuk membebaskan masyarakat dan negara dari ancaman dadah adalah sangat mencabar. Tanggungjawab ini tidak mampu di lakukan oleh AADK secara bersendirian, namun usaha ke arah itu akan  lebih berjaya dengan adanya sokongan dan bantuan daripada semua pihak.

Apa yang lebih penting ialah kerjasama daripada orang ramai membantu AADK dalam membenteras permasalahan dadah dan menggalakkan kesejahteraan dalam masyarakat.

Maka dalam hal ini pihak AADK mengharapkan agar masyarakat sama sama berganding bahu dan terlibat sama dalam menjaga permasalahan dadah yang ada dalam komuniti masyarakat masing masing. Tidak kiralah masyarakat yang tinggal di bandar atau di kampung. Mereka perlu membantu AADK dengan memberi nasihat kepada mereka yang terlibat dalam permasalahan dadah untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh AADK atau menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai permasalahan dadah yang berlaku ditempat masing masing.

Kewajipan membenteras dadah adalah merupakan kewajipan utama kerana dadah adalah sumber segala kesesatan dunia dan akhirat kepada manusia. Justeru setiap orang Islam adalah bertanggungjawab dalam memerangi dadah

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya iaitu mencegahnya dengan tangannya dan jika dia tidak berkuasa maka dengan lidahnya dan jika dia tidak berkuasa maka dengan hatinya yang sedemikian itu ialah yang selemah lemah iman.

Jika berlaku kemungkaran seperti penyalah gunaan dadah maka masyarakat juga tidak terlepas dari mengambil inisiatif mencegahnya mengikut kemampuan masing masing, sekurang kurangnya jika tidak berkemampuan mencegahnya, maka lapurkanlah kepada pihak berkuasa kerana ia juga merupakan satu pencegahan dan bantuan kepada pihak AADK.

Ikwanil muslimin,
Dalam usaha untuk memastikan semua pihak merasa bertanggungjawab untuk membenteras permasalahan dadah maka AADK telah menubuhkan sukarelawan anti dadah 1 Malaysia. Matlamat utama penubuhan sukarelawan anti dadah ini ialah supaya sukarelawan ini bertindak dan bergerak sebagai satu pasukan yang membantu pihak kerajaan khususnya AADK dalam menangani masalah dan ancaman dadah

Objektif utama sukarelawan anti dadah 1 Malaysia adalah seperti berikut:

  1. Membantu pihak kerajaan khususnya AADK dalam membenteras penyalahan penggunaan dadah.
  2. Menggerakkan program program dan aktiviti pencegahan dadah dalam komuniti
  3. Memberi sokongan dan membantu bekas bekas penagih dadah bagi mengekalkan keputihan kekal.
  4. Memastikan penglibatan anggota masyarakat dalam merialisasikan masyarakat bebas dadah
AADK mengambil kesempatan melalui mimbar pada hari ini menyeru seluruh masyarakat Malaysia untuk menyertai serta memberi sokongan dan kerjasama kepada sukarelawan anti dadah 1 Malaysia dalam menyelesaikan permasalahan dadah. 


Dengan penyertaan sokongan dan kerjasama kepada sukarelawan anti dadah ini di harapkan akan dapat membantu AADK melaksanakan tugas mengatasi permasalahan dadah negara. Semangat sukarelawan ini perlu diberi perhatian oleh semua masyarakat untuk membantu kerajaan memerangi permasalahan dadah.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud Sesungguhnya Allah tidak mengazabkan orang orang ramai dengan perbuatan orang orang yang sedikit sehingga orang ramai tadi melihat kemungkaran, sehingga orang ramai tadi melihat kemungkaran di hadapan mata mereka dan mereka berkuasa untuk mencegahnya, tetapi mereka tidak mencegahnya. Sekiranya mereka berbuat demikian maka Allah akan menurunkan azabnya kepada orang orang yang sedikit tadi  dan juga orang ramai / orang awam.

Daripada hadis tadi jelaslah kepada kita bahawa setiap individu adalah bertanggungjawab dalam mencegah kemungkaran dan menyuruh berbuat kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat mengikut kemampuan dan usaha masing masing.

Oleh itu marilah kita sama sama berganding bahu berusaha menjaga kesejahteraan dan keharmonian negara kita daripada masalah dadah. Mudah mudahan kehidupan kita aman sejahtera dan  mendapat perlindungan daripada Allah swt.

Firman Allah swt yang bermaksud Kamu adalah sebaik baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia kerana kamu menyuruh berbuat kepada perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, buruk dan keji serta kamu pula beriman kepada Allah dengan sebenar benar iman dan kalaulah ahli kitab Yahudi dan Nasrani itu beriman sebagaimana yang semestinya, tentulah iman itu menjadi baik bagi mereka. Tetapi di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang orang yang fasik.


Wassalam

MRI3T: Cardiac Application Training

Training untuk aplikasi kardiak telah dijalankan selama seminggu dari 26 hingga 29 Mac 2016.

Application specialist telah dibawa khas dari Singapura dan juga Thailand.

Tanpa di duga salah seorang pesakit semasa training tersebut adalah anak saudara saya.

Beliau telah mengalami komplikasi jantung sejak kecil lagi.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pemeriksaan ini.

Kuliah Maghrib 28 Mac 2012

Iman shaakbi berkata antara intelek dari kalangan orang Arab adalah Muawiyah bin Abu Sufian, Amru Bin Aus, Mughirah bin Syukbah.

Mughirah bin Syukbah
Beliau telah memeluk Islam tahun ke 5 Hijrah. Beliau suka berpakaian kemas dan cantik. Di riwayatkan beliau pernah beristeri seramai 70 orang perempuan.
Sebanyak 136 hadis telah di riwayatkan olehnya.

Beliau adalah bijak dalam bidang pentadbiran dan pernah dilantik sebagai gabenor. Beliau juga adalah salah seorang panglima Islam yang masyhur. Matanya telah buta sebelah akibat terkena panah didalam satu peperangan.

Beliau telah meninggal dalam bulan Ramadhan kerana penyakit taun ketika berusia 72 tahun

Sesungguhnya Allah swt adalah cantik dan menyukai yang cantik.

Nabi saw tidak melarang sahabatnya berpakaian kemas dan cantik dan tiada larangan dari Nabi saw untuk para sahabatnya untuk memilih kehidupan yang zuhud atau kehidupan yang selesa.

Mughirah meriwayatkan Nabi saw telah berwuduk dengan menyapu di ubun ubunnya dan selebihnya menyapu di atas serban dan ke atas kedua kasutnya.

Bagi iman Shafie adalah tidak memadai menyapu pada serban sahaja. Ia perlu menyapu sedikit rambut di kepalanya.

Syarat syarat kasut atau khuf yang dipakai yang membolehkan wuduk diambil dengan hanya menyapu pada atas hujung kasut tersebut.

1 Khuf tersebut tidak koyak atau berlubang sehingga menampakkan kulit kaki.

2. Hendaklah mengambil wuduk dengan wuduk yang sempurna sebelum pakai khuf. Apabila batal wuduk tadi, apabila mengambil wuduk yang baru ketika hendak membasuh kaki memadai dengan hanya membasuh pada bahagian atas khuf sahaja.

3. Khuf yang dipakai hendaklah menutupi buku lali.

Harus solat dengan memakai stokin

Wassalam.
Tulisan ini adalah mengikut kefahaman saya dan tidak boleh dijadikan rujukan.

Masjid Cina Di Rantau Panjang

Masjid yang dibuat menyerupai reka bentuk Cina di Rantau Panjang

Khidmat masyarakat PS1 Di Jeli

Program khidmat masyarakat PS1 HUSM di Sekolah Kebangsaan Gemang Jeli Kelantan. Program ini di anjurkan oleh PPD Jeli.

Program ini bermula dari jam 8 pagi hingga 2 petang.

Penceramah jemputan dari HUSM adalah Dr Nik Munirah Nik Mahdi, Pakar Radiologi HUSM, Puan Faridah Zakaria dan juga Puan Roslaini.

Antara tajuk ceramah yang di sampaikan adalah
1. Kanser Payudaya dan Gaya Hidup Sihat.
2. Pengesanan Awal Kanser Payudara Dengan Pemeriksaan Mammografi.
3. Kehidupan Servivor Kanser Payudara
4. Teknik teknik Pemeriksaan Sendiri Payudara.

Gelagat 3 Angiografer

Tiga orang angiografer Jabatan Radiologi HUSM sedang mencuba untuk menyesuaikan diri dengan menggunakan peralatan biplane angiografi yang baru.

Walaupun training bagi peralatan tersebut masih lagi belum dijalankan namun mereka telah menunjukkan sikap proaktif untuk mempelajarinya.


Wassalam

Pameran FeskI

Pameran ini sedang di adakan di Dataran Pelajar USM Kampus Kesihatan. Berbagai kisah para sahabat, negarawan, ilmuan Islam di pamerkan.

Antara yang dipamerkan adalah:



Wassalam

Kejadian Tembak Di Depan HUSM


 Gambar hiasan

Petikan dari Harian Metro
Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

KOTA BHARU: “Bukan seorang, tetapi dua orang melepaskan beberapa das tembakan ke arah pemandu van itu,” kata seorang lelaki yang melihat seorang peniaga pasar malam dan adik perempuannya ditembak empat das di lampu isyarat di hadapan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari itu, mangsa, Mohd Hassan Mohd Ali, 40, cedera di paha dan betis kiri dan kini dirawat di HUSM, manakala adik perempuannya, Norsiah Mohd Ali, 34, cedera di pergelangan tangan kanan dan pipi kanan akibat terkena serpihan kaca, turut dirawat di hospital sama.

Saksi yang enggan dikenali itu mendakwa, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Menurutnya, dia melihat sebuah motosikal ditunggang dua lelaki menghampiri sebuah van yang dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa ke Kota Bharu berhenti di lampu isyarat.

“Seorang daripada mereka kemudian melepaskan beberapa das tembakan dan terus beredar. Penunggang motosikal itu membuat aksi ‘zig zag’ ketika melarikan diri. “Selepas ditembak, pemandu van cuba keluar daripada kenderaannya tetapi muncul sebuah kereta dari arah belakang menghampiri van itu. Saya terkejut pemandu van itu sekali lagi ditembak beberapa das oleh penumpang kereta berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan adik perempuannya yang menaiki van dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kedai Bharu, Banggol, Binjai selepas berniaga di Kota Jembal, Kubang Kerian.
“Mangsa berhenti di lampu isyarat sebelum secara tiba-tiba sebuah motosikal dinaiki dua orang menghampiri van itu. Pembonceng turun daripada motosikal dan melepaskan empat das tembakan terhadap pemandu van sebelum beredar meninggalkan tempat kejadian.

“Kemudian, kereta Satria Neo di belakang van itu menghampiri van dan penumpang kereta itu turut melepaskan tembakan,” katanya.
Menurut Jalaluddin, pemandu van itu cedera di paha dan betis kiri akibat terkena tembakan, manakala adiknya cedera di pergelangan tangan kanan dan pipi kanan terkena serpihan kaca.

“Mangsa dikejarkan ke HUSM untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

Anggota polis wanita ditahan

KOTA BHARU: Seorang anggota polis wanita yang kini digantung tugas 
kerana kes khalwat ditahan beberapa jam selepas kejadian tembak ala 
gengster di lampu isyarat di hadapan Hospital Universiti 
Sains Malaysia (HUSM), di sini semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, wanita 
berusia 36 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan ketika polis menyerbu 
sebuah rumah di Kampung Seterpa, Peringat, di sini, selepas menerima 
maklumat berkaitan sebuah kereta jenis Satria Neo digunakan suspek yang 
melepaskan tembakan. Katanya, suspek wanita itu dibawa ke Balai Polis Binjai, 
di sini, untuk disoal siasat.

Sejurus menerima maklumat kejadian itu (kejadian tembak), kita menyerbu 
sebuah rumah di Kampung Seterpa, Peringat. Seorang wanita yang juga 
anggota polis yang kini digantung tugas kerana kes khalwat ditahan ketika 
berada di hadapan rumah itu.

Polis menemui satu motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna hitam dipercayai 
digunakan suspek dalam kejadian itu. Dua suspek lelaki melarikan diri dengan 
Perodua Kenari milik wanita itu ke Gunung Bachok,” katanya.

Wassalam
Saya telah melalui jalan tempat kejadian tersebut jam 2:45 petang dan melihat 
ramai anggota polis sedang bertugas untuk menyiasat kes tersebut.

Khutbah Jumaat Masjid Mukim Binjai 23 -3 - 2012: Al Quran SebagaiPedoman Kehidupan

Ikhwanil muslimin
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekelian. Marilah kita sama sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melaksanakan perintah perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Semoga ketaqwaan itu membentuk kita menjadi insan soleh dan mulia dalam kehidupan dunia sebagai tempat persinggahan menuju destinasi akhirat.

Ikhwanil muslimin
Al Quran adalah merupakan mukjizat, kitab suci, kalamullah yang diturunkan kepada junjungan kita nabi Muhammad saw melalui perantaraan malaikat Jibrail as secara berperingkat peringkat selama lebih kurang 23 tahun. Di dalamnya mengandungi peristiwa peristiwa umat umat terdahulu yang menyentuh berbagai kehidupan umat manusia termasuk mengatur cara hidup berkeluarga, bermasyarakat, beribadat, urusan pentadbiran, ekonomi, pendidikan, pembangunan dan sebagainya.

Ia juga dipenuhi dengan mukjizat dan keagungan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab kitab lain. Kandungannya penuh ajaran dalam memandu kita menjadi umat bertamaddun meliputi segala aspek bidang pekerjaan samada bersifat duniawi atau ukhrawi.

Firman Allah swt dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud Alif, Lam, Raa, Ini adalah kitab alQuran yang kami turunkannya kepada mu wahai Muhammad supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah yang maha kuasa lagi maha terpuji.

Al Quran diturunkan bukan sahaja untuk dijadikan sebagai simbol pengiktirafan Allah kepada nabi Muhammad saw dan umatnya semata mata, tetapi ia mempunyai maksud yang lebih penting setiap kandungannya membawa rahmat dan keberkatan untuk umat sejagat. Justeru Rasulullah saw menggesa umatnya agar membaca, memahami dan mengamalkan kandungan Ala Quran dan keseluruhannya serta mendalami serta meneroka segala isi kandungan yang ada dalam Al Quran.

Mereka yang menjadikan Al Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah swt. Setiap huruf yang dibaca akan diberi ganjaran 10 pahala sebagaimana yang di sabdakan oleh Baginda Rasulullah saw yang bermaksud Sesiapa yang membaca satu huruf dari Al Quran, maka baginya diberi 10  pahala dan di tambah 10 lagi kebajikan seumpamanya. Tidak aku katakan Alif, Lam, Min, itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf dan Min satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Min satu huruf. Riwayat Tarmizi.

Sejarah membuktikan bahawa para sahabat ra seperti Uthman, Zaid bin Sabit, Ibni Massoud dan lain lain lagi, mereka ini sentiasa membaca Al Quran  dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat.Begitu juga amalan tradisi orang orang tua kita dahulu yang sangat menitik beratkan pendidikan Al Quran kepada anak anak.

Anak anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca Al Quran, dan mereka mengamalkan pembacaan Al Quran setiap malam selepas waktu Maghrib secara beramai ramai. Walaupun perkara ini tiada di dalam syariat tetapi membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan Al Quran.  Namun persoalan tetap timbul pada hari ini berapa ramaikah umat Islam yang membaca Al Quran serta mengambil Al Quran sebagai asas panduan hidup dan menjadikan Al Quran sebagai asas pemikiran atau berfikir secara Qiraati. Inilah persoalan yang perlu direnungi dan difikir bersama sebagai umat Islam.

Ikhwanil muslimin
Berfikir secara Qiraati bermaksud bagaimana sumber sumber Al Quran dijadikan pedoman berfikit tentang sesuatu kejadian dan kehidupan. Dengan berfikit menerusi jendela Al Quran menjadikan seseorang itu memiliki jiwa tadbir iaitu jiwa yang mengkaji dan menyelidik.

Ayat ayat Allah adalah sesuatu yang bersifat semasa dan sesuai dengan semua kehidupan, kisah kisah yang dirakamkan oleh Al Quran ribuan tahun lalu bukan hanya merakamkan apa yang pernah berlaku pada masa yang lalu tetapi berulang kembali pada masa kini dan boleh terjadi semula di masa depan.

Umat Islam yang mencari pedoman untuk hidup, maju dan berubah tentu memerlukan pedoman tentang gelagat manusia pada masa yang lalu dan dijadikan pedoman untuk kehidupan di masa kini.Al Quran bukan sahaja mengesa umatnya supaya menggunakan kekuatan akan dalam melakukan penelitian dan penyelidikan  terhadap alam dunia ini, malah mengajar umatnya menginsafi berasaskan peristiwa peristiwa yang terjadi  dan merenung mengenai hakikat kejadian dan hubungan dengan diri manusia

Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya Al Quran di jadikan asas pemikiran dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa jua kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak khususnya dalam menangani berbagai permasalahan.Cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

Persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi  berat bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat ayat Allah swt dan beku fikirannya untuk mendalami Al Quran. Mereka lebih gemar menurut hawa nafsu dengan melakukan perkara perkara yang melalaikan dan merosakkan imej dan murtabat umat Islam itu sendiri.

Rasulullah saw pernah melahirkan kebimbangan bahawa umat Islam ramai tetapi berkeadaan seperti buih di lautan kerana tidak mempunyai daya saing. Seorang tokoh Islam pernah berkata kemunduran yang dideritai oleh umat Islam pada hari ini bukan sebab Islam seperti yang digambarkan dan diwawarkan itu, Ini adalah satu hukuman dari Islam ke atas umatnya  yang cuba meninggalkan Islam, bukan kerana mereka berpegang dengan Islam.

Jesteru, marilah kita sama sama menjadikan budaya Qiraati sebagai budaya hidup, oleh itu kita mesti yakin bahawa Al Quran mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis pesakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masakini. Ubahlah gaya kehidupan dengan menjadikan Al Quran sebagai asas pemikiran dan rujukan kehidupan. Janganlah kita hanya merujuk kepada Al Quran hanya pada masa masa tertentu sahaja seperti  ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu sahaja.

 Ibubapa perlulah memprogramkan pernghayatan Al Quran dalam keluarga terutama kepada anak anak dengan memperuntukan masa seperti selepas setiap waktu solat untuk sama sama membaca, mempelajari dan mentadarus Al Quran.

Ibubapa juga perlu berusaha dengan menghantar anak anak ke kelas pengajian Al Quran samada di surau, di masjid atau di kelas yang telah di sediakan. Di samping itu mengulangkaji bacaan Al Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan media media elektronik dan sebagainya.

Mengambil kesempatan sempena dengan majlis hafazan Al Quran yang diadakan pada setiap tahun, saya menyeru para jumaah sekelian, marilah kita sama sama menjadikan  Al Quran sebagai panduan kehidupan dengan mendalami ilmu yang terkandung di dalamnya serta mengkaji dan mengambil segala ikhtibar daripada kisah kisah sebagai pengajaran.

Ingatlah bahawa kisah kisah terdahulu seperti kisah umat nabi Lut, nabi Musa, nabi Isa dan lain lain lagi, sebenarnya banyak memberi kesan dan pedoman untuk kehidupan kita masa kini. Sesungguhnya penghayatan dan pemikiran yang berasaskan Al Quran dengan lengkap dan sempurna mampu mengubah keadaan dan taraf kehidupan seseorang muslim dan juga umat Islam keseluruhannya serta dapat meningkatkan iman dan ketakwaan kepada Allah swt.

Penghayatan dan pemikiran berasaskan Al Quran juga akan mendorong kita bertindak berasaskan kepada pertimbangan yang waras, tidak golojoh dan kukuh dalam melaksanakan sesuatu urusan. Sebaliknya dengannya mengajar kita supaya sentiasa berdoa dan bertawakal kepada Allah swt.

Khutbah menyeru sekali lagi khususnya kepada ibu bapa, marilah kita sama sama mendidik anak anak dengan didikan Al Quran. Ajarlah mereka dengan ajaran Al Quran, mudah mudahan dengan cara ini hidup yang bakal di lalui oleh mereka akan diterangi oleh cahaya kebenaran dan keinsafan.

Ingatlah bahawa Rasulullah saw sentiasa mengutamakan umatnya yang mana hatinya terpaut dan terdidik dengan AlQuran.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah kira sama sama merenung firman Allah swt yang bermaksud Dan sesungguhnya kami telah mudahkan Al Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan 


Wassalam


Pertandingan Burung Cantik

Penduduk Taman Desa Wangi sekarang ini berpeluang untuk menyaksikan pertandingan burung cantik yang diadakan pada setiap hari Selasa dan Jumaat.

Berbagai hadiah menarik disediakan kepada peserta yang bertuah dan juga pemenang.

Dengan adanya pertandingan ini telah memberi peluang bagi setengah masyarakat tempatan untuk meningkatkan pendapatan dengan menjual makanan dan minuman.


Kuliah Maghrib: 21 Mac 2012

Siti Aishah ra adalah isteri ketiga Nabi, beliau digelar Umairah - perempuan yang mempunyai muka kemerahan.

Ambillah atau pelajarilah separuh dari agama kamu dari Aishah. Sahabat Nabi banyak belajar ilmu agama dari Aishah.Kita harus belajar atau menuntut ilmu dari guru wanita.

Ada setengah riwayat berkata ketika Nabi wafat Aishah baru berumur 18 tahun. Pada usia 7 atau 8 tahun beliau berkahwin dengan Nabi. Manakala pada usia 9 tahun beliau tinggal bersama dengan Rasulullah.

Ada yang berkata usia Aishah semasa berkahwin dengan Rasulullah adalah pada usia 15 tahun. Kerana pada usia itu beliau telah dilihat ketika peperangan Uhud. Beliau bertugas sebagai jururawat. Had umur yang dibenarkan oleh Rasulullah untuk menyertai baginda dalam peperangan adalah lebih dari 15 tahun.

Hadis ini disepakati oleh Bukhari dan Muslim. Berkata Aishah ra, apabila Rasulullah memulakan mana mana perbuatan yang baik seperti pakai kasut, sikat rambut dan lain lain, baginda akan memulakan dengan bahagian kanan dahulu. Kecuali semasa nak masuk tandas langkah kaki kiri dahulu. Manakala untuk beristinja guna tangan kiri.

Ada amalan orang alim apabila nak bersetubuh dengan isteri, Naik dari kanan dan turun sebelah kiri apabila selesai.

Salman al Farisi meriwayatkan Nabi melarang seseorang membuang air dengan mengadap ke arah kiblat di kawasan lapang.( iman Shafie menghukumnya sebagai makruh ), Apabila meludah, jangan ludah ke sebelah kanan atau mengadap kiblat.

Nabi mencukur rambut sebanyak 4 kali sepanjang hayatnya. Di kebanyakannya masanya baginda berambut panjang hingga mencecah bahu, walau bagaimanapun sunnah untuk memakai serban.

Amalan sahabat, di waktu subuh mereka membawa bekas yang berisi air ke masjid. Apabila selesai solat subuh, Nabi mencelupkan tangannya ke dalam semua bekas yang diletak itu untuk diambil keberkatan.

Abi hurairah meriwayatkan, Rasulullah bersabda Apabila kamu berwuduk maka mulai dengan sebelah kanan iaitu basuh tangan hingga siku dan juga basuh kaki.

Sunat dahulukan yang kanan dan kiri pada tangan hingga siku dan juga kaki.
Yang lain seperti kedua belah tangan, muka, dan telinga, hendaklah dibasuh kedua dua sekali, serentak kiri dan kanan.

Wassalam

Tulisan ini adalah mengikut apa yang saya fahami dari apa yang diajar. Oleh itu ia tidak boleh dijadikan rujukan.



Ustaz Don di Jabatan Radiologi HUSM?

Seseorang yang mempunyai iras wajah personaliti TV Alhijrah telah menjadi tumpuan kakitangan Jabatan Radiologi terutama di kalangan kakitangan perempuan.
Mereka bercerita tentang kepetahan Ustaz Don semasa menjawab segala pertanyaan yang diajukan penonton.

Wow! Masuk Paper

Pertandingan futsal antara kakitangan Jabatan Radilogi yang di adakan di Desa Rahmat pada bulan lepas telah mendapat liputan dari sebuah akhbar tempatan.

Tahniah kepada semua AJK yang terlibat dengan aktiviti ini

Simulator Angiografi

Proses pemasangan simulator angiografi sedang dijalankan. Simulator ini akan digunakan sebagai satu cara pembelajaran dan latihan bagi radiografi intervensi.

Khutbah Jumaat 18-3-2012: Masjid Mukim Pulau Belanga:

Ikhwanil muslimin
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat yang dikasihi sekelian, marilah kita sama sama bertaqwa kepada Allah swt dengan sebenar benar taqwa dengan melaksanakan segala perintah perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Semoga ketaqwaan itu membentuk kita menjadi insan soleh dan mulia

Ikwanil muslimin
Setiap yang bernyawa pasti akan mati, begitu jugalah dengan manusia, tiada seseorangpun yang boleh lari dari ajal yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Apabila ajal seseorang itu telah sampai, malaikat Izrail tetap akan mencabut nyawanya, tidak kira di mana seseorang itu berada.

Firman Allah swt yang bermaksud Katakanlah ya Muhammad sebenarnya maut yang kamu larikan daripadanya  itu tetaplah akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu dia beritahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan serta membalasnya 

Begilulah apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya maka tinggallah segala apa yang dimiliki kepada ahli keluarga anak anak dan saudara mara, pangkat, harta benda dan sebagainya. Jasad yang terbujur kaku akan diurus dan akan dihantar ke kubur untuk dikebumikan. Pada saat itu terpisahlah ia ke alam lain iaitu alam kubur ataupun alam barzah, sementara menunggu hari hisab dan pembalasan di akhirat kelak.

Makna kubur adalah satu tempat di antara dunia dan akhirat, sebelum dihimpunkan di padang mahsyar, daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan. Ia juga bermakna dinding pemisah antara dua alam sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki ke alam kubur atau alam barzah.

Alam kubur juga merupakan tempat permulaan seseorang manusia itu dihukum sekali segala amalannya semasa hidup di dunia ini. Firman Allah swt yang bermaksud Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah, pengawas mereka yang sebenar, ketahuilah bagi Allah jualah kuasa untuk menetapkan hukum dan dialah tempat menghitung.

Ketika berada di alam kubur, seseorang itu akan dapat menjangkakan samada beliau akan mendapat kenikmatan ataupun kesengsaraan di akhirat kelak. Perkara ini telah disebutkan dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda Sesungguhnya kubur itu adalah penginapan yang pertama antara penginapan akhirat, sekiranya seseorang itu terlepas dari siksaannya maka apa yang akan datang kemudiannya adalah lebih mudah lagi. Seandainya seseorang itu tidak terlepas daripada siksaannya, maka yang akan mendatang adalah lebih sukar.

Bagi orang yang beriman, kehidupan mereka di alam kubur dipenuhi dengan bermacam kenikmatan dari kurnian Allah swt, sebaliknya bagi orang yang syirik, kufur dan ingkar terhadap suruhan dan perintah Allah, sudah pasti azab kubur akan diterima sebagai tanda hukuman yang akan diterima di akhirat nanti.

Sahabat nabi berkata Setiap mayat yang sedang dimandikan pasti liang lahat di mana mayat itu akan dikebumikan memanggilnya, akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sepi, jika di kala hidupmu kamu taat kepada Allah swt maka aku akan menjadi rahmat bagimu, jika engkau duhaka maka aku akan menjadi seksa bagimu. Sesiapa yang memasuki ku dengan taat akan keluar dengan bahagia, sesiapa yang memasukiku dengan durhaka dia akan keluar dengan penuh penyesalan.

Ikhwanil muslimin
Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita percayai dan yakin kewujudannya kerana ianya dapat meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt. Rasulullah swt memerintahkan kita agar sentiasa memohon perlindungan dari Allah swt daripada azab kubur. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku pohon perlindungan daripada azab api neraka dan aku mohon perlindungan daripada azab kubur. Riwayat Muslim.

Sekiranya ingin berlindung daripada azab kubur kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda kita akan mendapat kemudahan dan kebahagian di alam akhirat nanti. Sebaliknya apabila mendapat azab kubur, itulah petanda seseorang itu akan mendapat kesulitan di akhirat. Rasulullah saw bersabda Sesungguhnya kubur itu adalah persinggahan pertama sebelum ke akhirat, sekiranya tempat persinggahan itu adalah selamat maka perjalanan seterusnya adalah lebih mudah lagi, dan sekiranya tidak selamat maka perjalanan selepas itu adalah lebih sukar lagi. 

Ikhwanil muslimin
Berdasarkan kepada pemerhatian kepada umat manusia pada hari ini, mereka belum mengerti tentang hakikat sebenar kehidupan dan gagal untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi kematian semasa di dunia dimana kita pasti akan menjadi penghuni kubur. Ramai di antara kita leka dengan kehidupan dunia, jika ada di kalanga kita yang mengingati kematian itupun dilakukan hanya dengan sambil lewa tanpa merasa takut dan gentar tentang kedasyatan azab di alam kubur nanti.

Mengapa ini berlaku?, Hal ini berpunca di sebabkan oleh hati kita yang terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia, sehingga membakar hari kita sepaya sentiasa menjadi riak dan keras. Ingatlah bahawa jalan dan rezeki dari Allah swt akan dapat dipenuhi dengan kesucian hati. Jika kita merasakan hati kita keras dan beku, rawatilah hati kita dengan beberapa perkara seperti berikut.

Pertama. Gunakalah masa yang ada ini dengan amal yang soleh, sentiasa membaca Al Quran dan berzikir.

Kedua. Bersikap tawadduk dan sentiasa merendah diri di hadapan Allah swt.

Ketiga. Menghadiri majlis majlis majlis ilmu, percayalah semakin tinggi ilmu agama seseorang, semakin takut akan Allah swt di samping itu juga elakkan diri dari menghadirkan diri dalam majlis majlis yang tidak berfaedah dan membuang masa.

Keempat. Mengingati mati, seseorang yang sentiasa mengingatkan kematian akan menyebabkan hatinya akan tertumpu kepada alam akhirat sekaligus meremehkan dunia dan tidak panjang angan angannya.

Kelima. Menziarahi kubur, jika hati kita tidak dapat disembuhkan dengan cara sebelum ini maka cara ini adalah yang paling berkesan untuk mengubati hati yang keras. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud Ziarahilah kubur, kerana ia akan mengingatimu kepada kematian.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah kita sama sama menghitung diri kita, bagaimana nasib kita di alam kubur nanti. Adakah kita dari kalangan umat yang dirahmati atau yang akan diazab oleh Allah swt. Renungilah khutbah ini, adakah kita telah bersedia untuk meninggalkah alam dunia ini, bagaimana dengan amalan kita adakah sudah mencukupi untuk kita menemui Allah swt di akhirat nanti.

Ingatlah, segala amalan kita akan dihitungkan samada ia berpahala atau berdosa, semuanya terserak kepada neraca keadilah yang telah ditentukan oleh Allah swt. Ingatlah wahai muslimin sekelian bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqid dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa, termasuk dalam melakukan tuduhan yang tidak berasas, bersangka buruk dan bercakap bohong.

Marilah kita sama sama merenung firman Allah swt yang bermaksud Sesiapa yang berbuat kebajikan walaupun sebesar zarah necaya akan dilihat pada surat amalannya dan barang siapa yang berbuat kejahatan walaupun sebesar zarah pasti juga akan dilihat pada surat amalannya. 

Wassalam

Asap Tebal

Apakah asap tebal ini adalah petanda satu kebakaran besar sedang berlaku?

Pandangan dari dalam HUSM menunjukkan asap tebal berpunca dari satu kebakaran yang berlaku di sebuah rumah lebih kurang 100 meter dari luar pagar HUSM.

Punca kebakaran tidak diketahui.

Wassalam


Kuliah Maghrib 14 Mac 2012

Abdullah bin zaid adalah seorang Ansar iaitu kaum yang paling dicintai oleh Nabi selain dari keluarga dan sahabatnya. Oleh itu kita kena terima hadis yang di riwayatkan oleh orang Ansar dengan baik. Beliau mati dalam peperangan menentang tentera Rom. Beliau juga menyertai peperangan Uhud. Beliau telah meriwayatkan 48 buah hadis. Beliau adalah guru kepada 3 tokoh ulamak dikalangan tabie.
Beliau meriwayatkan Bahawasanya Rasulullah saw telah mengambil wuduk dengan 2/3 cupak air.

Pengajaran yang kita boleh ambil dari hadis ini ialah baginda tidak membazir.

Nabi saw telah melihat Saad Abi Waqas mengambil wuduk dengan caya yang membazir. Baginda menegurnya. Saad bertanya, Adakah dengan mengambil wuduk juga boleh berlaku pembaziran? Ya, jawab Rasulullah sekalipun mengambil wuduk di sungai atau laut.

Oleh itu bila kita mengambil wuduk jangan melebih dari 3 kali basuhan.

Gosok kedua tangan hingga siku supaya yakin air diratakan. Sebaik baiknya dilebihkan hingga ke bahu, kaki lebihkan hingga betis. Ini tidak dikira membazir malah disunatkan.

Hadis diriwayatkan oleh Abdullah zaid, beliau melihat Nabi saw menyapu telinga dengan air yang bukan digunakan untuk basuh kepalanya.

Iman Baihaki kata lebih 60 sahabat bersetuju dan mengatakan sedemikian. Ia diriwayatkan juga oleh Iman Abu Muslim.

Dari Abi hurairah diriwaratkan oleh Iman Bukhari dan Muslim, Nabi saw bersabda Bahasanya umatku akan datang di hari kiamat dengan bercermerlang wajahnya dengan bekas wuduk. Kerana melalui air wuduk Nabi saw akan mengecam wajah kita di akhirat kelak.

Ilmu Feqah ini adalah sangat luas seperti lautan yang tidak berpantai, oleh itu kita kena berlapang dada dengan menghormati pandangan orang lain.

Salman Al Farisi meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda dengan mengambil wuduk akan gugurlah segala dosa dosa kecil sebagaimana gugur daun daun di pokok ini. Baginda merujuk kepada daun daun pokok tempat beliau duduk bersama para sahabatnya.

Istiqamah dalam perkara agama adalah lebih baik dari 1000 keramat.

Kita kena berhati hati kerana fahaman Syiah yang cuba masuk ke dalam masyarakat kita. Jangan jadi seperti yang berlaku di Iraq, Syria, Pakistan dan lain lain negara Arab yang mengamalkan fahaman syiah.

Wallahualam

Tulisan ini adalah mengikut fahaman saya dan tidak boleh dijadikan rujukan

Angiography Biplane

Proses pemasangan peralatan angiografi biplane telah siap. Hari ini proses commisioning injector dilakukan oleh pihak pembekal, staf radiologi, pentadbiran dan juga biomedic. Proses percubaan sistem audio visual yang akan digunakan semasa video conference juga dilakukan.

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week