Perutusan Perdana Menteri Sempena Awal Muharam

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Saudara dan saudari sekalian,

Hari ini, kita sedang menyambut Maal Hijrah 1433H bersamaan 2011M. Bagi kita, sambutan ini merupakan kesinambungan dalam memperingati dan menghayati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang telah mengubah senario dan lanskap dunia. Umat Islam pada ketika itu telah berubah daripada umat yang ditindas kepada umat yang kuat dan gagah dan mampu memerintah dan mentadbir Madinah sekaligus memiliki kerajaan sendiri. Makanya umat Islam telah bebas bergerak menyampaikan dan mengembangkan dakwah Islam ke mana sahaja.

Begitulah juga kita. Jika kita tidak berani melakukan penghijrahan dan transformasi di dalam negara, maka bangsa kita akan ketinggalan. Sebab itulah kita berhijrah dengan melaksanakan Agenda Transformasi Negara menerusi beberapa pelan tindakan yang kukuh meletakkan Malaysia di landasan tepat dalam pelbagai bidang terutama ekonomi.

Penghijrahan besar yang kita lakukan apabila memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) menjadikan negara terus aktif dan berdaya saing walaupun berdepan dengan krisis ekonomi global yang semakin mencabar. Bagi tahun ini, sejak Januari sehingga September, kadar pertumbuhan purata dicatatkan negara ialah 5.1 peratus manakala kadar pertumbuhan bagi suku ketiga tahun ini ialah sekitar 5.8 peratus.

Samada di peringkat Asia mahupun dunia, kita juga konsisten menyarankan pembentukan pergerakan kesederhanaan di peringkat global, hakikatnya kita telah merujuk kepada semangat ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Agenda penghijrahan ekonomi dan pembangunan negara selama ini telah membuktikan falsafah kesederhanaan dan keseimbangan ini adalah satu pencapaian hebat dan mesej dakwah Islamiah yang besar di tahap global.

Sesungguhnya roh dan perjalanan hijrah Rasulullah SAW begitu strategik hingga tercapainya al-falah dan tertegaknya Daulah Islamiah kerana ianya didukungi oleh kepaduan iman dan takwa. Kejayaan hijrah ini juga telah mengubah lanskap akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup ummah ketika itu sehingga ke hari ini. 

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 100 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Mengakhiri perutusan, saya dan seisi keluarga merakamkan ucapan selamat menyambut Maal Hijrah 1433H kepada seluruh umat Islam Malaysia walau di mana jua berada. Marilah kita menyambutnya dalam suasana penuh kesyukuran dan keharmonian melalui kepelbagaian bangsa demi “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” yang menjadi tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini.

Wabillahit-Taufiik wal-Hidayah, Wassalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wabarakaatuh.


Wassalam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week