Khutbah Aidil Adha 6-11-2011 Masjid Pulau Belanga: Ibadat Korban dan Pengorbanan



Allah hu Akbar, Allah hu Akbar, Allah hu Akbar

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah sekelian,

Hari ini adalah Hari Raya Aidil Adha atau dipanggil juga Hari raya Korban, seperti yang kita maklum bersama hari raya umat Islam hanya 2 sahaja iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Kedua dua hari raya ini mempunyai kaitan dan hubungan yang sangat erat, semasa Aidil Fitri ibadat puasa disempurnakan menerusi zakat fitrah. Manakala Aidil Adha pula disempurnakan dengan melakukan ibadat korban dengan menyembelih haiwan ternakan. Pengeluaran zakat fitrah adalah satu isyarat kepada pembangunan fizikal, material termasuk kecukupan makanan asasi. Sesudah pembangunan fizikal, material maka kita berkewajipan untuk menegakkan kebenaran, berjuang dan berkorban untuk menegakkan kebenaran Islam dengan mempertahankan daripada dipermain mainkan, dipersenda sendakan, apalagi diperkotak katikkan . Kita wajib berkorban hingga ketitisan darah yang terakhir. tanpa sedikit pun perasaan ragu ragu kerana kebenaran Islam itu adalah milik Allah.

Firman Allah swt yang bermaksud Kebenaran itu adalah datangnya dari Tuhanmu, oleh itu jangan sekali kali kamu termasuk dalam golongan orang yang ragu ragu.

Semasa kita merayakan Aidil Fitri pengorbanan kita tertumpu kepada pegorbanan jasmaniah iatu menahan diri dari perasaan lapar dahaga serta nafsu kelamin dan nafsu nafsu lain untuk meningkatkan nilai kerohanian kita. Semasa kita merayakan aidil Adha pula perjuangan kita telah memasuki tahap yang lebih mencabar iaitu kita mengorbankan kesenangan diri, keselesaan hidup, kita tinggalkan keluarga tercinta, kampung halaman, tanah air untuk menunaikan ibadat haji di Mekah. Menunaikan ibadat haji adalah satu pengorbanan yang melibatkan diri perasaan, harta, tenaga dan jiwa raga semuanya dilakukan untuk meningkatkan mutu kerohanian kita kepada Allah swt.

Muslimin muslimat yang di rahmati Allah sekelian

Dalam merayakan Aidil Adha ini marilah kita kenangkan beberapa peristiwa penting peristiwa besar yang berlaku yang menggambarkan keagungan dan kebesaran Islam. Sekaligus menunjukkan kesatuan dan perpaduan umat Islam.

Antara peristiwa besar pertama yang dimaksudkan ialah di Makkatul mukarramah, di mana berjuta juta umat Islam terdiri dari lelaki dan perempuan, tua dan muda yang datang dari pelbagai pelusuk dunia. Mereka datang dari jalan darat, laut dan udara bergelut dengan berbagai bagai kesukaran, berhadapan dengan berbagai halangan dan rintangan, semuanya dihadapi dengan penuh kesabaran dengan hati yang ikhlas semata mata mengharapkan keredhaan Allah swt. Mereka berkumpul di Padang Arafah, bermalam di Mina sebagai perhimpunan Raksaksa. Inilah peristiwa atau agenda besar yang diharapkan dapat memberi kesan dan pengaruh dalam diri dan jiwa masyarakat Islam. Daripada peristiwa besar ini setiap orang Islam perlu merasakan dan menyedari bahawa kewajipan secara beragama untuk terus memupuk semangat perpaduan dan kesatuan kerana perpaduan merupakan satu aspek yang sangat penting dalam menentukan jatuh bangun masyarakat dan umat dalam sesebuah negara. Islam bukan sahaja mementingkan wujudnya perpaduan  dan keharmonian masyarakat dan umat, malah mewajibkan setiap orang Islam supaya berusaha dan mengatur langkah bagi mengekal perpaduan serta keharmonian supaya tidak hilang. Kerana apabila hilang perpaduan hilanglah kekuatan umat Islam itu sendiri.


Firman Allah swt yang bermaksud Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berbantah bantahan, kalau tidak nescaya kamu akan menjadi lemah dah hilang kekuatan dalaman kamu dan bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama sama dengan orang orang yang sabar. 

Pengaruh ibadat haji hendaknya dapat menghilangkan perbezaan yang wujud disebabkan tahap ukuran  ekonomi yang berbeza dan janganlah orang orang kaya memandang rendah, hina terhadap orang orang miskin dengan memperlakukan sewenang wenangnya terhadap golongan yang miskin. Para pemimpin yang diamanahkan memegang kuasa janganlah bertindak melakukan penindasan dengan merampas hak hak rakyat yang tidak mampu. Para majikan atau pengarah, janganlah memperlakukan ke atas para pekerja bawahannya, buruh kasar, warga kerja sebagai hamba suruhannya diarah bekerja melebihi batas dan diberi bebanan tugas yang diluar peri kemaknusiaan sedangkan upah yang diberi tidak sepadan dengan kerja yang diberi itu.

Para ilmuan janganlah memperlekeh dan memandang rendah mereka yang tidak berilmu, mereka dianggap bodoh dan apa lagi cuba memperbodohkan oleh orang lain. Ilmu yang dimiliki bukan untuk dimegah megahkan, tetapi ilmu dikurniakan Allah adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah untuk mempertabatkan agama, bangsa dan negara. Ilmu bukan untuk mengharapkan kedudukan, kemashyuran dan keuntungan peribadi dalam masyarakat. Ingatlah tujuan hidup adalah lebih penting dari alat untuk hidup. Darjah dan ketinggian kita di sisi Allah swt adalah sifat ketaqwaan yang ada dalam diri kita iaitu hati kita yang bersih dan amal kita yang soleh.

Firman Allah swt yang bermaksud Wahai manusia sesungguhnya kami telah menciptakan kamu terdiri daripada lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku kaum supaya kamu berkenal kenalan di antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. sesungguhnya Allah amat mengatahui dan sangat mendalam pengatahuannya. 

Rasulullah saw bersabda Sesungguhnya Allah swt tidak memandang kepada bentuk tubuh badan kamu dan tidak juga kepada rupa paras kamu tetapi Allah melihat kepada hati kamu dan amalan amalan kamu. 

Kesan dan pengaruh ibadat haji sesungguhnya benar benar meresap ke dalam diri dan jiwa maka sudah tentulah dapat menghilangkan perbalahan dan permusuhan di antara sesama sendiri. Di sebabnya wujudnya perbezaan dan pendekatan  aliran pemikiran sepatutnya dapat memberi nikmat dan menafaat kepada sesama umat Islam tapi bukannya mudharat dan kecelakaan sebagaimana banyaknya Yayasan Islam atau Institusi institusi Islam yang terbukti menyumbang kepada kebaikan membawa kemuslihatan terhadap kematian umat bukan untuk meruntuhkan umat, menghancurkan bangsa dan memusnahkan negara.

Kesan dan pengaruh ibadat haji dapat menghilangkan peri laku kotor yang ditimbulkan yang ditunjukkan oleh wujudnya perbezaan aliran pemikiran dan pendapat untuk mendapat kuasa mencari pengaruh hingga sanggup menghalal apa sahaja cara. Perilaku yang sanggup menyinggung hati orang lain dengan kata kata keji, caci maki, umpatan, perilaku sanggup menipu menabur fitnah hingga menanggung kerugian adalah orang orang Islam yang musnah adalah perpaduan umat Islam yang hilang kewibawaan dan kekuatan adalah bangsa dan negara. 

Muslimin muslimat yang di rahmati Allah sekelian

Peristiwa besar yang ke dua dalam sambutan aidil Adha ini adalah penyembelihan haiwan korban. Kita sedia maklum disyariatkan penyembelihan korban pada hari raya haji ini adalah untuk mengenang kembali peristiwa yang berlaku kepada Nabi Ibrahim as dan putranya Nabi Ismail as. Peristiwa besar ini adalah satu gambaran perjudian sikap yang paling agung dan unik dalam sejarah umat manusia seluruhnya. Peristiwa agung ini dipaparkan di hadapan kita untuk dijadikan contoh teladan yang cukup menarik. Nabi Ibrahim as dan putranya Nabi Ismail as menerima satu perintah dari Allah swt, ianya bukanlah satu perintah supaya si ayah mengirim anaknya yang tunggal itu ke medan peperangan, ia bukan perintah supaya anaknya menamatkan riwayat hidupnya tetapi perintah supaya si ayah sendiri menamatkan riwayat anaknya itu melalui sembelihan yang dilakukan oleh tangannya sendiri. Kita dapat merasakan betapa luhurnya ketaatan, agungnya keimanan dan terangnya hati, redhanya perasaan yang tinggi mengatasi darjah yang biasa dicapai oleh umat manusia. Nabi Ibrahim as melaksanakan perintah Allah swt dengan merebahkan anaknya untuk disembelih manakala Nabi Ismail as pula redha menerima dan berseru untuk disembelih. Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail menyerah diri bulat bulat kepada takdir Allah swt. Inilah yang dikatakan hakikat Islam, percaya, yakin, patuh, taat, tenang, redha dan menyerah diri kepada Allah swt. Inilah perasaan yang dihayati didalam hati mereka berdua  perasaan yang diterjemahkan dicetuskan daripada keimanan yang agung keimanan yang kuat inilah ketaatan sebenar akidah Islam iaitu menyerah kepada takdir Allah dengan penuh kepatuhan kerelaan kepercayaan yang menjunjung tinggi perintah Allah tanpa dolak dalih tanpa mempersoal kenapa dan mengapa.

Muslimin muslimat yang di rahmati Allah sekelian

Pengorbanan yang dituntut untuk kita laksanakan dizaman ini bukan sahaja terbatas kepada penyembelihan haiwan setahun sekali tetapi perlu difahami secara lebih menyeluruh. Semangat korban ditujukan dan di peruntukkan bukan sahaja dibidang sosial malah di bidang bidang lain seperti di bidang pembangunan untuk membangun tempat tempat ibadat, masjid masjid pondok pondok pengajian hospital dan tempat pendidikan pula seperti sekolah sekolah perpustakaan awam perbelanjaan kepada pelajar pelajar yang memasuki pusat pusat pengajian tinggi dan sebagainya. Lantaran itu bagi mereka yang diberi kelebihan rezeki adalah berkewajipan untuk berkorban apa sahaja bagi membantu saudara saudara kuta yang dilanda kesusahan kekurangan kewangan permasalahan ekonomi dan sebagaimananya. Ingatlah kita semua sekarang ini sedang menerima ujian daripada Allah swt. Bagi mereka yang menderita melarat, hidup dalam serba kekurangan sedang diuji tahap kesabaran dan keimanan. Bagi mereka yang kaya raya dan berada sedang di uji kedermawan kemurahan keiman dan kesanggupan dalam membela agama bangsa dan negara. Bagi mereka yang memegang tampuk kepimpinan sedang di uji keadilan kebijaksanaan dan kejujuran. Kesemua kita di uji untuk menilai tahap keimanan dan ke islaman kita. jujur atau keperpura puraan. Ingatlah setiap orang dari kita perlu menyedari betapa besar tuntutan ini untuk berkorban. Sekecil mana pengorbanan kita atau sedikit mana harta yang kita korban adalah mempunai nilai yang besar bagi mengatasi masalah umat bagi memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti umat.

Firman Allah swt yang bermaksud Pergilah beramai ramai untuk berjuang ke jalan Allah samada dalam keadaan ringan atau pun keadaan berat dan berjihatlah dengan harta benda dan jiwa raga kamu kepada jalan Allah untuk membela Islam yang demikian adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengatahui.

Hj Abdul Hamid Hj Ali
Iman Muda Masjid Mukim Pulau Belanga

Wassalam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week