Khutbah Jumaat Masjid Mukim Binjai 22 -2-2012: Seruan Mencari Yang Halal

Ikhwanil muslimin
Marilah kita sama sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan penuh keyakinan. Kita hendaklah melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah mudahan kita tergolong ke dalam golongan yang mendapat rahmat Allah swt di dunia dan di akhirat.

Ikhwanil muslimin
Dalam menjalani kehidupan seharian, kita sering berhadapan dengan berbagai cabaran antaranya perkara yang melibatkan permakanan dan pekerjaan yang halal. Ajaran Islam memberi panduan kepada umatnya untuk menjalankan segala aktiviti kehidupan supaya sentiasa berada di landasan yang tepat serta dibenarkan oleh rukun syarak. Landasan tersebut dikenali sebagai halal dan haram dalam kehidupan khususnya dalam yang melibatkan permakanan.

Halal bermaksud melakukan sesuatu yang dibenarkan oleh Allah dan Rasul serta beroleh pahala dan keberkatan bagi orang yang melakukannnya.Haram pula adalah sesuatu yang dilarang oleh Allah dan Rasulnya daripada melakukannya dan barangsiapa melakukannya ia akan mendapat dosa dan kemurkaan Allah.

Ikhwanil muslimin
Makanan merupakan asas penting dalam pembentukan rohani dan jasmani seseorang manusia. Setiap manusia di mukabumi ini memerlukan makanan untuk hidup dan membesar. Oleh kerana itulah Agama Islam menitikberatkan hal pemilihan makanan kita dan memastika agar makanan dan minuman yang diambil adalah benar benar halal dan baik.

Sedarlah, bahawa mencari makanan yang halal dan baik untuk dimakan itu adalah tuntutan di dalam Islam sebagaimana firman Allah swt  yang bermaksud Wahai sekelian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang  halal lagi baik dan janganlah kamu ikut langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang dan nyata bagi kamu.

Ikhwanil muslimin
Dalam ayat tadi jelas kepada kita bahawa perkara utama yang perlu diperhatikan apabila hendak mendapatkan makanan atau minuman ialah dengan memastikan ianya halal dan baik. Maksud makanan dan minuman yang halal mengikut hukum syarak ialah:

  1. Makanan dan minuman hendaklah tidak bercampur dengan bahan bahan yang diharamkan oleh syarak seperti arak, racun perosak,  najis, najis binatang, bahan bahan dari unsur khinzir dan lain lain.
  2. Binatang yang hendak dimakan dagingnya mestilah yang dihalal oleh syarak seperti lembu, unta, rusa, ayam dan lain lain lagi. Ia juga hendaklah disembelih mengikut hukum syarak 
  3. Kita hendaklah menyuci bahan makanan yang hendak dimakan menggunakan sumber air yang bersih lagi suci. Jika bercampur air basuhan dengan najis dan terus dimakan maka akan menyebabkan makanan tersebut dihukumkan najis dan haram dimakan.
  4. Manakala maksud tayyib adalah bahan makanan dan minuman yang berkualiti, berzat dan tidak lah luput tarikh penggunaannya, ianya diproses di tempat yang bersih dan bermenafaat jika dimakan
Ikhwanil muslimin
Jesteru itu makanan yang halal bukanlah dilihat indah pada rupa dan enak pada rasa, bahkan lebih daripada itu. Manakala yang lebih baik pula adalah suatu yang mendatangkan faedah kepada keperluan tubuh badan, akal dan emosi. Sebaliknya apa jua bahan makanan yang boleh merosakkan perubahan fizikal, kesihatan mental, akal serta yang menjejaskan emosi adalah sesuatu yang diharamkan. 

Sesungguhnya makanan yang halal dan baik itu memberi kesan yang mendalam kepada keperibadian seseorang, mencergaskan anggota tubuh badan untuk beribadat kepada Allah, zuhud kepada dunia dan juga akhirat, menimbulkan rasa syukur dan ketaqwaan kepada Allah swt, menambah cahaya pada hati serta melembutkannya dan akan menimbulkan akan kegerunan terhadap kebesaran Allah swt. 

Sebaliknya makanan yang tidak halal dan shubahat itu akan menjauhkan seseorang dari berbuat kebajikan, mengeras dan memberatkan hati untuk melakukan kebajikan dan menjadikannya lupa akan akhirat dan mencintai dunia sahaja. 

Kita hendaklah mengambil berat dan berhati hati dalam pemilihan makanan, periksa dan telitilah terlebih dahulu sebelum membeli, janganlah termakan benda benda yang tidak halal dan diharamkan oleh syarak. 
Umat Islam hendaklah berwaspada terhadap premis premis yang menjual makanan dengan mempamirkan ayat ayat al Quran atau kalimat ayat suci Islam kerana ianya bukan jaminan terhadap makanan yang dijual.

Ikhwanil muslimin
Langkah penguat kuasa menguat kuasakan pensijilan halal dan logo halal di premis premis makanan, hotel, pesat pusat penyembelihan adalah bertujuan untuk memelihara hak pengguna untuk mendapatkan bekalan makanan yang halal lagi baik dan terjamin.

Sungguhpun begitu masih ramai lagi masyarakat pengguna dan pengusaha muslim tidak memahami tentang kepentingan pensijilan halal dalam kehidupan mereka. Mereka beranggapan bahawa yang halal itu ialah tiada babi dan arak sahaja. Mereka merasakan tidak perlu dijelas dan diteliti untuk mencari yang halal. Mereka tidak peduli samada produk tersebut ada tanda halal atau pun tidak.  Logo halal yang diiktiraf atau tidak, tetapi apa yang penting adalah ikut kata hati dan selera sahaja. 

Bagi menyahut seruan mencari sesuatu yang halal, khutbah pada hari ini menyarankan para hadirin supaya memilih, membeli dan mengguna produk produk yang mempunyai logo halal malaysia. Marilah kita menginsafi bahawa usaha usaha yang dibuat oleh agensi agensi kerajaan yang dipertanggung jawabkan itu adalah semata mata untuk menjamin keselamatan orang Islam dari perkara yang tidak halal dan shubahat dan sepatutnya disahut dan disokong dengan hati yang terbuka. Bukan menganggapnya sebagai perkara yang membebankan dan menyusahkan umat Islam di negara ini.

Ikhwanil muslimin
Memakan makanan janganlah sekadar memastikannya dan jenis jenis makanan yang dihalalkan oleh syarak sahaja  tetap juga mesti dipastikan sumber kewangan yang digunakan untuk mendapatkan makanan tersebut bukan dari sumber yang tidak halal seperti wang curi, tipu, judi, riba, rasuah dan lain lain yang tidak halal. 

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud Akan ada satu zaman pada umat manusia yang seseorang itu tidak lagi mempedulikan apa yang diambilnya, rezeki yang diterimanya apakah dari yang halal ataupun dari yang haram. Riwarat Iman Bukhari. 

Sesungguhnya makanan memainkan peranan yang penting dalam melahirkan insan yang berkualiti, baik dairi segi akademik, rohani maupun jasmani. Biarlah orang mengatakan kita orang orang yang terlampau berhati hati dalam memilih makanan, yang penting ibadat kita diterima oleh Allah swt dan selamat di dunia dan di akhirat.

Firman Allah swt yang bermaksud Wahai orang orang yang beriman, makanlah dari benda benda yang baik yang halal dari apa yang telah kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika kamu benar benar hanya beribadat kepadanya. 

wassalam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week