Khutbah Jumaat Masjid Mukim Binjai 10 -2-2012: Islam Agama Tauhid


Sesungguhnya sebaik baik bekalan di dalam ujian menghadapi ujian dan fitnah di akhir zaman adalah agama Islam. Tidak ada satu jalan pun yang boleh menyampaikan manusia kepada kesejahteraan hidup di akhirat selain daripada Islam. Oleh kerana itu setiap orang daripada kita hendaklah berpegang teguh dengan ajaran Islam serta menghayatinya dengan sempurna dan hendaklah berpesan kepada anak anak, keluarga dan orang orang Islam supaya sentiasa menjaga, memelihara dan berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Agama Islam adalah agama yang dianuti oleh para nabi dan rasul sepanjang zaman semenjak Nabi Adam as sampailah kepada Nabi kita Muhammad saw. Semua para nabi dan Rasul berada pada jalan yang lurus, di atas jalan inilah mereka menyeru dan mengajak manusia beriman dan mentauhidkan Allah dan beribadat kepadanya.

Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Wahai kaumku, beribadatlah kepada Allah, tidak ada bagi kamu Tuhan selain Nya.

Ikhwanil muslimin
Nabi Allah Ibrahim as adalah sebagai bapa atau datuk kepada nabi nabi dan rasul rasul daripada keturunan dua orang daripada anaknya iaitu Nabi Ismail dan Nabi Ishak. Nabi Ibrahim berada di atas agama tauhid yang bersih dan lurus di atas agama Islam yang di kenali dengan agama Hanifiah. Nabi Muhammad saw sebelum diangkat menjadi nabi dan Rasul pernah beribadat kepada Allah mengikuti ajaran ibadat nabi Allah Ibrahim as. Nabi Allah Ibrahim as telah pun mewasiatkan kepada anak anaknya, begitu juga cucunya Nabi Yaakob as turut memberi wasiat dan berpesan dengan pesanan yang sama kepada anak anaknya supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam sampai akhir hayat.

Sepertimana firman Allah swt di dalam surah Al Baqarah yang bermaksud Dan Ibrahim telah berpesan kepada anak anaknya supaya berpegang dengan agama Islam iaitu agama Hanifiah dan berserah kepada Allah. Demikian pula Nabi Yaakob telah berpesan kepada anak cucunya dengan berkata wahai anak anakku sesengguhnya Allah telah memilih agama ini yakni Islam bagi kamu, maka janganlah kamu mati hendaknya kecuali kamu dalam keadaan memeluk agama Islam.

Orang orang Yahudi cuba memesongkan wasiat dan pesanan yang besar ini sebagaimana ia memesongkan kebenaran ajaran Nabi Muhammad saw. Mereka, Yahudi Madinah mendakwa dan berkata kepada Nabi Muhammad saw apakah kamu tidak mengatahui wahai Muhammad bahawa Nabi Yaakob di hari wafatnya telah berpesan kepada anak anaknya supaya berpegang teguh dengan Agama yahudi. Allah swt menolak dan menyangkal dakwaan yahudi itu dengan menurunkan ayat dalam surah Al Baqarah yang bermaksud Adakah kamu wahai orang orang yahudi hadir ketika Nabi Yaakob hampir hendak mati, yakni setelah ada tanda tanda hendak mati ketika dia berkata kepada anak anaknya.Wahai anak anakku apakah yang kamu sembah sepeninggalanku? Anak anaknya menjawab kami akan menyembah kepada Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu Ibrahim, Ismail dan Ishak iaitu Tuhan Yang Maha Esa dan kami semua hanya tunduk kepadanya.

Orang orang yahudi dan nasrani masing masing mendakwa bahawa Nabi Ibrahim adalah bersama dengan agama mereka. Dakwaan ini disangkal dan ditolak oleh Allah swt dengan firmannya yang bermaksud Ibrahim bukanlah seorang yahudi dan bukanlah seorang nasrani akan tetapi dia adalah seorang yang lurus, muslim dan sudah tentulah dia bukan dari kalangan orang orang kafir musrik.

Ikwanil muslimin
Apa lagi kebenaran yang masih ada pada agama Yahudi dan Kristian setelah Allah swt sendiri membongkar segala pembohongan, penyelewengan, mengubah dan menyembunyikan segala fakta kebenaran tentang akidah dan ajaran Allah swt yang sebenar.

Sebagaimana yang dijelaskan didalam Al Quran, malah telah diceritakan sendiri oleh ulamak ulamak mereka yang telah memeluk Agama Islam. Sebenarnya agama yahudi dan nasrani kristian hari ini sudah terpesung jauh daripada bentuk asalnya. Akidah dan pegangan mereka telah bercampur syirik kerana mereka percaya kepada banyak Tuhan dan membuat syariat sendiri. Di antara Tuhan Yahudi adalah tuhan yang bernama Yahwin. Orang orang Nasrani pula mengatakan pula Isa as adalah anak Tuhan sedangkan orang Yahudi mengatakan Uzzai adalah anak Allah.

Lebih dari itu orang orang Kristian percaya kepada 3 tuhan iaitu tuhan bapa, tuhan anak dan tuhan roh kudus. 3 dalam 1 dan 1 dalam 3 iaitu konsep trinity. Kemudian mereka memasukkan ke dalam agama mereka khurafat seperti konsep penebusan dosa yang diambil daripada falsafah yunani dan ajaran keberhalaan. Penembusan dosa ini melalui satu majlis yang dinamakan baptis.

Allah swt menolak akidah syirik mereka dengan firmannya yang bermaksud Orang yahudi berkata Uzzai itu anak lelaki Allah dan orang nasrani pula berkata al Masih Isa itu anak lelaki Allah. Demikian itulah ucapan mereka dengan mulut mulut mereka, mereka menyeru perkataan orang orang kafir terdahulu. Allah melaknat mereka bagaimana mereka sampai berpaling.

Allah berfirman lagi dalam surah al maidah ayat 72 yang bermaksud Sesungguhnya kafirlah orang orang yang mengatakan bahawa Allah swt adalah salah satu dari yang tiga. Padahal tidak ada sekali sekali Tuhan yang berhak disembah selain daripada Tuhan yang Esa. Jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan itu pasti orang orang kafir dari dari kalangan mereka akan dikenakan azab yang pedih.

Nabi Isa as sendiri berlepas diri dari fitnah dan tuduhan syirik ke atasnya . Pada ayat 116 serah Al maidah Allah berfirman yang bermaksud Dan ingatlah ketika Allah berfirman yakni di hari berkumpul di Akhirat wahai Isa putra Mariam , adakah engkau mengatakan kepada manusia jadikanlah aku dan ibuku dua tuhan selain Allah. Isa menjawab Maha suci engkau ya Allah tidaklah patut bagi ku mengata apa yang bukan hakku berkata demikian.

Ikhwanil muslimin
Begitulah sebuah agama tauhid, Agama Islam yang dibawa oleh nabi Musa as dan Isa as apabila diwarisi oleh pengikut pengikut yang berdengki dengan nabi Muhammad saw dan juga pengikutnya. Mereka sanggup menyembunyikan kebenaran dan mengubah ajaran nabi mereka yang sebenar dan sampai ke hari ini mereka tidak puas puas memburuk burukkan Islam dan menjadikan Nabi Muhammad saw, Al Quranul karim, sunnah rasulullah, para sahabat dan umat Islam sebagai sasaran fitnah dan tuduhan mereka.

Tuduhan demi tuduhan supaya Islam tidak mengambil tempat di hati manusia dan di dalam pembangunan tamadun dunia. Mereka mengelirukan manusia dengan berbagai kajian ilmiah dan mengubah fakta fakta sejarah serta menyebar teori, fahaman dan ajaran palsu bagi menjauhkan orang orang Islam daripada menghayati ajaran Islam yang sebenar serta leka dengan hiburan, keseronokan dan kemewahan hidup.
Orang orang yahudi dan nasrani kristian telah cuba memadamkan cahaya Allah yakni agamanya tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayanya sekalipun dibenci oleh orang orang kafir.

Firman Allah swt yang bermaksud Mereka hendak memadamkan cahaya agama Allah dengan mulut mulut yakni ucapan mereka tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayanya sekalipun dibenci oleh orang orang kafir. 


Wassalam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week