Khutbah Jumaat Masjid Al Qasimi 31 Ogos 2012: Amanah Kepimpinan

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dihormati lagi dikasihi sekelian
Marilah sama sama kita bertaqwa kepada Allah swt dengan sebenar benar taqwa. Sesungguhnya sifat taqwa adalah sebaik bekalan dalam menjalani kehidupan di dunia ini dan untuk mendapat keredhaan di akhirat kelak.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang berbahagia
Untuk mempertingkatkan sifat taqwa dalam diri kita, marilah kita menumpukan perhatian pada hari ini dengan firman Allah swt
A026
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(A-li'Imraan 3:26)

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dihormati lagi dikasihi sekelian
Untuk mengikuti huraian yang selanjutnya kita perlu memahami isi kandungan ayat ini dengan penuh ketelitian, memberi perhatian dengan perasaan yang insaf dan dipandu oleh sifat taqwa supaya tidak dicemari oleh kefahaman yang boleh membawa kepad disalah erti disebabkan telah dipengaruhi oleh sesuatu kepentingan emosi.

Saudara kaum muslimin
Pada ayat tadi Allah swt telah memerintahkan RasulNya Nabi Muhammad saw dan umat Islam seluruhnya agar sentiasa berdoa kepada Allah dan selalu menyatakan dengan ikhlas pengakuan yang penuh keimanan dan keyakinan bahawa Allah swt sahajalah Tuhan yang berkuasa, Tuhan yang memegang teraju pemerintahan yang bersifat dengan sifat yang mutlak.

Memohon doa kepada Allah swt akan apa sahaja yang kita hajatkan dari perkara kebaikan samada untuk diri sendiri, anak anak, ahli keluarga, untuk negeri, negara, untuk kehidupan didunia ini hinggalah membawa kepada kehidupan diakhirat. 

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud Doa itu adalah satu ibadat. Riwayat At Tirmizi.

Saudara kaum muslimin
Setiap orang yang beriman berdoa kerana menyedari dirinya mempunyai sifat sifat kelemahan tak berdaya, tak mampu untuk menunaikan hajatnya. Dia sedar bahawa Allah swt yang menjadi tuan punya seluruh alam ini mempunyai sifat sifat kesempurnaan dan kekuasaan yang bersedia memberi dan mengabulkan setiap permintaan kita. 

Diatas kesedaran dan keinsafan itulah seseorang itu akan mencari jalan untuk mengatakan kebaikan dan kesejahteraan. 

Sebaliknya orang yang lemah iman, dia tidak mahu berdoa, sekaligus menggambarkan bahawa dia tidak insaf tentang kelemahan dirinya. Dia tidak ingat akan kekuasaan Allah swt .

Saudara kaum muslimin
Pada ayat tadi Allah swt mengingatkan kita tentang hakikat kekuasaan yang sebenar Allah yang maha besar adalah pemilik kerajaan dan kekuasaan yang maha agong, Dialah yang mengurniakan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakinya sebahagian dari kekuasaannya diberi sebagai suatu pinjaman yang boleh ditarik balik pada bila bila masa yang dikehendakinya.

Tiada seseorang pemimpin atau pemerintah yang mempunyai hak milik yang tulen yang boleh berbuat sekehendak hatinya. Malah pemerintahan yang dipegangnya itu hanyalah milik sementara, hak milik pinjaman yang tunduk di bawah kekuasaan Allah swt.

Dalam lipatan sejarah telah banyak berlaku dan dirakamkan perbuatan yang tamak kepada kuasa politik dan kekuasaan seseorang pemimpin boleh naik dan tak lama lagi akan dijatuhkan pula. Seseorang pemimpin yang berkuasa ketika ini tak lama lama lagi akan digulingkan.

Oleh kerana kuasa pemerintahan dipinjamkan oleh Allah swt maka para pemimpin baik peringkat manapun samada tertinggi ataupun bawahan perlu sentiasa sedar terhadap kepimpinannya jangan sampai terbuat sesuatu yang mengkianati amanah 

Firman Allah swt 
A058
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
(An-Nisaa' 4:58)

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud Manusia yang paling berat menanggung kesiksaan dihari kiamat adalah pemimpin yang melakukan kezaliman.

Saudara kaum muslimin
Diantara amanah yang dipertanggungjawabkan kepada pemimpin ialah mewujudkan suasana aman, suasana tenteram, tidak berlaku kekacauan dan huru hara. Di antara tugas yang perlu dilaksanakan oleh seseorang pemimpin adalah melahirkan perasaan saling hormat menghormati antara pemimpin dan rakyat. Pemimpin hendaklah berusaha sedaya upaya agar wujud perasaan saling sayang menyayangi, kasih mengasihi bukan perasaan saling benci membenci bahkan perasaan saling cinta menyintai di antara pemimpin dan orang bahawahannya. 

Perlu diwujudkan sikap saling bantu membantu bukan sikap curiga mengcurigai, saling ingat mengingati dan bukan saling salah menyalahi orang lain. 

Seperti kata pepatah melayu Kerana tak tahu menari, lalu dikatakan tanah tinggi rendah

Sudara kaum muslimin
Perhatikan kepada sabda Rasulullah saw diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud Sebaik sebaik pemimpin adalah mereka yang kamu cintai dan dia mencintai kamu, dan kamu berdoa terhadap mereka dan mereka pula mendoakan untuk kamu. Dan seburuk buruk pemimpin kamu adalah mereka yang kamu bencinya dan mereka pula membenci kamu. dan kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu. 

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dihormati lagi dikasihi sekelian
Di dalam ayat tadi juga ada menyebutkan tentang kemuliaan dan kehebatan iaitu dua perkara yang berlawanan silih berganti dalam kehidupan seseorang terutama di kalangan pemimpin. Kemuliaan dan kehormatan diri memang dicari dan dikehendaki, manakala kehinaan pula memang dibenci dan sering seseorang cuba melarikan diri dari kehinaan.

Lantaran itu seseorang memang berusaha habis habisan daya dan tenaga untuk memperolehi kemuliakan dan mengekalkan kehormatan dan kemuliaan diri. Pada masa yang sama berusaha mengelakkan diri dari kehinaan.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang berbahagia.
Sebagai seseorang muslim mukmin, kita perlu sedar bahawa kita adalah makhluk yang terbaik yang pernah dicintai oleh Allah swt sebagai makhluk terbaik, sudah tentu kita mempunyai kehebatan dan kemuliaan diri. Lantaran itu kita perlu tahu bagaimana untuk memelihara kehormatan dan kemuliaan diri. Untauak menjaga kehormatan  dan kemuliaan diri ialah dengan menjaga hubungan dengan Allah dan juga menjaga hubungan dengan sesama manusia. Tidak cukup kalau hanya tahu berhubungan dengan Allah tetapi tidak pandai menjaga hubungan sesama manusia begitu juga sebaliknya. 

Firman Allah swt yang bermaksud, Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada kecuali jika mereka berpegang dengan tali Allah dan berbaik baik dengan sesama manusia.

Saudara kaum muslimin
Untuk melepaskan diri dari kehinaan kita dikehendaki untuk berpegang dengan ajaran Allah swt dengan hanya sebutan di mulut sahaja dan tidak sampai di hati. Ayat ayat Allah, hukum hukum Allah, ajaran ajaran agama Allah  dan seluruhnya jangan sampai dipermainkan kerana mempermainkan agama dan ajarannya kelak akan ditimpa kehinaan.

Wassalam

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.
Loading...

Follow by Email

 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week