Khutbah Jumaat Masjid AlQasimi: 19-8-11 : Nuzul Al Quran


Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah swt dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada Allah swt dengan sentiasa melakukan ketaatan dan meninggalkan segala kemaksiatan serta kemungkaran. Semoga dengan amalan yang diredhai Allah swt dapat diberkati kehidupan kita di dunia dan juga di akhirat nanti.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Sekali lagi kita diberi kesempatan oleh Allah swt untuk hidup di bulan Ramadhan setelah sejumlah bulan Ramadhan telah berlalu, Ramadhan hanya sekali sahaja dalam setahun, orang yang hidup di dalam dunia ini selama 63 tahun bererti dia hanya sempat hidup dalam bulan Ramadhan sebanyak 63 Ramadhan sahaja. Sebagaimana yang sedia maklum bahawa bulan Ramadhan adalah bulan ibadat dan sekali gus ianya adalah bulan tarbiah yakni bulan pendidikan. Allah swt berfirman yang bermaksud Wahai orang orang yang beriman difardhukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya difardhukan ke atas orang orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertaqwa, Surah Al Baqarah ayat 183. Di riwayatkan bahawa Nabi Allah Nuh as memegang rekod pendahwah dan pejuang Islam yang panjang di dunia iatu selama 950 tahun dan berpuasa setiap hari hingga ke akhir hayatnya kecuali pada hari raya puasa dan hari raya haji sahaja. Nabi Allah Daud as seorang nabi besar, pemerintah dunia dan pemegang kuasa besar pada masa itu berpuasa selang sehari. Nabi Muhammad saw dan umatnya pula di fardhukan puasa Ramadhan selama sebulan. Puasa adalah ibadat besar yang di fardhukan oleh Allah swt yang maha agong, yang mengandungi matlamat dan perjuangan besar di dalam kehidupan di dunia ini, dan di akhirat nanti di janjikan bayaran pahala atau ganjaran yang sangat besar serta pengampunan dosa secara besar besaran.


Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Kebetulan pula dalam bulan yang mulia inilah  Al Quran ini telah di turunkan sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud Haa Min, demi kitab Al Quran yang menjelaskan sesungguhnya kami menurunkannya pada malam yang diberkati dan sesungguhnya kamilah yang diberi peringatan. Pada malam itu di jelaskan segala urusan yang penuh hikmah, Firman Allah swt lagi yang bermaksud Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan menerangkan daripada petunjuk serta membezakan daripada yang haq dan yang bathil.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Peristiwa Nuzul Quran yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun yang ke 41 daripada kelahiran Rasulullah saw, di turunkan daripada Loh Mahfuz kepada Baitu Izzah dan seterusnya diturunkan secara beransur ansur kepada Nabi Muhammad saw dalam masa 23 tahun, agar dapat dihafal, dapat dihayati serta diamalkan seluruhnya. Seterusnya Al Quran telah ditulis olah para penulis wahyu semasa era penurunannya dan dikumpulkan serta disusun di zaman Saiyidina Usman Ibni Affan. Susunannya adalah secara taukifi iaitu berdasarkan penentuan oleh nabi dan cara penyampaiannya pula adalah mutawwatir sekali gus tertolaklah segala syak dan tuduhan tuduhan jahat tentang kesucian Al Quran.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Demikianlan kita mendengar istilah Nuzul Al Quran dan bahkan negara dan negeri kita telah menjadikan ianya sebagai hari cuti umum sebagai memartabatkan Al Quran .

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Bersempena dengan bulan yang mulia ini dan bulan yang padanya diturunkan Al Quran, marilah kita sama sama mengiktiraf bahawa Al Quran yang diturunkan kepada Rasulullah saw juga diturunkan kepada kita dan kita wajib menjaganya kerana ia adalah nasrah hadiah dari Pencipta Alam. Ketidaksediaan untuk menjaga hadiah ini menyebabkan kita akan dimurkai oleh Allah swt di akhirat nanti. Mencintai Al Quran bererti kita sepatutnya menganggap ia adalah keperluan utama seperti makan minum setiap hari. Tidak membacanya bererti kita merasa kehausan dan keraparan sudah cukup baik bagi seorang awam individu menghabiskan sehelai sehari membaca Al Quran dengan berterusan pada bila bila masa yang sesuai. Tidak perlu ada alasan lagi kerana pada masa ini berbagai jenis Al Quran dengan pelbagai saiz ada di pasaran dan harganya boleh dijangkau oleh semua golongan masyarakat.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Pada mereka yang menyesal kerana baru sedar tentang kepentingan  Al Quran yang sebelum ini tidak pernah atau hanya kadang kadang menyentuh Al Quran, janganlah merasa berputus asa sebelum nyawa berada di halkum kita masih diberi peluang berusaha semampu mungkin untuk mempelajarinya. Tidak perlu malu untuk belajar Al Quran daripada sesiapa pun kerana yang sepatutnya perlu dimalukan adalah ketika kita disoal oleh Allah swt di akrat kelak. Kenapa semasa kita hidup di dunia ini kita tidak pernah menyentuh Al Quran dan kita tidak pernah mempelajari Al Quran.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Dikalangan masyarakat kita pada hari ini masih ada yang memulaukan Al Quran, iaitu tidak belajar, tidak membaca, tidak menghafal, tidak memahami dan tidak beramal dengan hukum hukum Al Quran. Mulai sekarang marilah kita sama sama mengambil berkat bulan Ramadhan ini kita perlu kembali kepada nasrah Al Quran di rumah kita masing masing. Tidak ada gunanya jika Al Quran di simpan di dalam almari sebagai perhiasan. Kempen memasyarakatkan Al Quran perlu dimulai dengan diri kita sendiri dengan keluarga kita, masyarakat kita, negeri kita dan seterusnya negara kita.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Alangkah bahagianya sekiranya kita berada di pembaringan ada surah surah yang telah dihafal dapat dibaca sementara kita menunggu masa nyawa akan diambil oleh malaikat Izrail

Sekian
Wassalam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week