Khutbah Jumaat Masjid Al Amri Kampung Telaga Bata 26-8-11: Amalan Berzakat


Ikwanul muslimin
Marilah kita sama sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt kerana dengan taqwa itu kita akan beroleh kejayaan yang hakiki di dunia dan di akhirat nanti. Antaranya dengan menjadi insan yang bertaqwa ialah kesediaan untuk melaksanakan suruhan dan perintah daripada Allah swt. Walaupun menjadikan jiwa dan harta sebagai gadaian, sesungguhnya Allah swt akan membalas segala gadaian nyawa dan harta benda dengan keredhaan dan nikmat syurga yang tak ternilai harganya. Antara bentuk ibadah dan sumbangan harta yang dituntut oleh Allah swt adalah menunaikan solat fardhu dan mengeluarkan zakat. Firman Allah swt yang bermaksud Sesungguhnya berjayalah orang orang yang beriman iaitu mereka yang khusuk dalam sembahyangnya dan mereka menjauhkan diri dari perkara yang sia sia dan mereka menunaikan zakat.

Ikwanul muslimin
Disyariatkan membayar zakat adalah untuk mendidik diri kita supaya diri kita bersifat pemurah serta menginsafi diri. Allah swt juga menfardhukan zakat kepada hamba hambanya adalah untuk mensucikan harta dan dosa dosa daripada orang yang kaya serta memberi peluang sara hidup bagi yang miskin. Amalan berzakat itu dapat mengukuhkan hubungan silaturrahim di antara sesama manusia. Orang orang fakir miskin akan mendoakan kebaikan kepada orang orang yang pemurah, ia akan menghilangkan perasaan benci, cemburu dan marah si miskin kepada yang kaya. Rasulullah swt menceritakan tentang kelebihan orang yang menunaikan zakat serta menghulurkan bantuan kepada yang fakir miskin. Baginda bersabda yang bermaksud Perbanyakkan lah sumbangan kepada golongan fakir dan miskin dan berbudilah kepada mereka kerana mereka kelak akan mendapat kekuasaan. Sahabat bertanya Apakah kekuasaan mereka itu ya Rasulullah?. Nabi Muhammad saw menjawab, Bila tiba hari kiamat maka disuruh kepada mereka perhatikan siapakah yang dahulu pernah memberi kamu makanan, atau minuman atau pakaian, maka peganglah tangan tangan mereka dan pimpinlah mereka ke syurga. Riwayat Bhukhari.

Oleh itu jangan berasa rugi apabila kita bersedekah, janganlah berkira kira untuk berzakat. Yakinlah harta yang kita zakatkan sebenarnya dirahmati Allah dan bermanafaatkan kepada diri kita di dunia dan di Akhirat. Sebaliknya sekiranya kita bersikap bakhil, mementingkan diri sendiri, ingatlah, peringatan dari Allah swt adalah seperti mana firmannya yang bermaksud Lalu diperintahkan kepada Malaikat penjaga neraka tangkaplah mereka yang berdosa itu serta belenggulah dia, kemudian masukkanlah mereka ke dalam neraka jahannam, kemudian ikatlah mereka dengan rantai besi yang panjangnya 70 hasta. sesungguhnya dia tidak beriman kepada Allah yang maha besar dan dia tidak menggalakkan dirinya dan orang lain untuk memberi makan kepada orang orang yang fakir dan miskin. Betapa dasyatnya azab yang dijanjikan oleh Allah swt. kepada mereka yang mengingkari perintahnya, pastilah kita insan yang kerdil yang tiada upaya untuk menanggung azab siksaan neraka yang tak terperi sakitnya. Takutlah dengan Azab Allah swt, semoga Allah menjauhkan kita semua daripada azab neraka.Marilah kita pastikan harta harta kita seperti emas, perak, hasil pendapatan seperti gaji, wang simpanan, perniagaan, pertanian dan penternakan. Semua harta harta ini akan suci apabila kita mengeluarkan zakat. Sebagai bukti ketaatan, tanggung jawab dan amalan kita terhadap rezeki kurniaan daripada Allah swt.

Ikwanul muslimin
Berdasarkan kepada perkembangan semasa ,  Bilangan pembayar zakat kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Negeri Kelantan semakin meningkat setiap tahun.Ini telah dibuktikan dengan jumlah kutipan dan bilangan pembayar zakat yang sentiasa bertambah dari setahun ke setahun. Walaubagaimanapun jumlah pembayar di negeri ini masih berada di tahap yang rendah. Bilangan pembayar zakat yang membayar zakat di Majlis Agama Islam negeri Kelantan sepanjang tahun 2010 adalah seramai 28,500 orang sahaja. sedangkan jumlah umat islah di Kelantan yang layak menunaikan zakat adalah di anggarkan melebihi dari 100 000 orang. Persoalannya, mengapakah masih ramai umat Islam di negeri ini masih tidak menunaikan zakat kepada pemerintah. Adakah mereka masih belum mengetahui tentang kewajipan ini atau pun mereka tidak pasti dengan cara cara pengeluaran zakat yang sebenar. Oleh itu usaha usaha dakwah dan kempen kempen pengeluaran zakat oleh pihak berkuasa wajar disokong dan dibantu dengan penglibatan semua pihak untuk meningkatkan tahap kesedaran umat Islam tentang kewajipan berzakat. Badan badan dakwah, media massa harus memainkan peranan dalam usaha ini untuk meningkatkan jumlah pembayar zakat bagi menjana ekonomi umat Islam serta membantu umat Islam yang dalam kesusahan akan dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Majlis agama Islam negeri Kelantan selaku badan yang dipertanggung jawab untuk memungut wang zakat daripada penduduk negeri telah mengagihkan hasil pendapatan tersebut kepada golongan golongan yang layak menerima zakat , Mereka telah berusaha sedaya upaya melaksanakan tanggung jawab tersebut. Sehingga bulan Jun 2011 MAIK telah memungut sebanyak 30 juta ringgit dalam tempoh yang sama sebanyak 35 juta ringgit telah di belanjakan untuk untuk golongan yang berhak menerima zakat tersebut. Antara bantuan yang diberikan kepada golongan fakir miskin untuk kebajikan mereka ialah
  1. Bantuan tetap bulanan kepada lebih 7500 orang dengan bayaran 200 ringgit sebulan setiap seorang.. 
  2. Bantuan membina rumah yang bernilai 35,000 ringgit sebuah, sehingga kini sebanyak 500 buah rumah telah dibina untuk memberi tempat tinggal  yang sempurna kepada golongan yang daif. 
  3. Bantuan kepada anak anak fakir mskin yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti di dalam dan di luar negara. Setiap orang bantuan sebanyak 2500 ringgit. 
  4. Bantuan untuk mereka berdikari dangan mengajar kemahiran dalam bidang jahitan dan pembaikian kenderaan . 
  5. Bantuan lain untuk keperluan hidup seperti bantuan hari raya, bantuan kecemasan, bantuan perubatan, bantuan sara hidup dan sebagainya. 

Bantuan ini semua boleh dipohon pada setiap masa oleh golongan yang layak di MAIK melalui imam imam masjid mukim, penggawa penggawa, pejabat pejabat ketua jajahan . Marilah kita sama sama membantu saaudara kita yang memerlukan dengan menyumbangkan harta benda secara menunaikan zakat harta benda kepada MAIK dan tolonglah golongan fakir miskin yang anda kenali untuk mendapatkan bantuan daripada pungutan hasil zakat tersebut. Mudah mudahan amalan kebajikan yang kita laksanakan di dunia ini akan menjadi penyelamat kepada kita di akhirat nanti.

Ikwanul muslimin
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat hari raya aidil fitri kepada semua muslimin dan muslimat , jadikanlah hari raya ini sebagai hari menyambut kemenangan kita dalam peperangan melawan hawa nafsu. Kita berjaya mengawal nafsu syahwat dan menjauhkan diri dari kemaksiatan dan kemungkaran . Kita juga berjaya membentu ketaatan kepada Allah swt dengan penuh kejujuran. Oleh yang demikian marilah kita menyambut perayaan sebagaimana yang dianjurkan oleh agama Islam, kita mulakan dengan mengeluarkan zakat fitarh yang matlamatnya menyucikan orang orang yang berpuasa daripada tingkah laku, tutur kata yang buruk serta memberi kegembiraan kepada fakir fakir miskin. Pada hari yang milia ini juga kita disunatkan membersihkan diri dengan memakai wangi wangian dan pakaian yang elok, perbanyakkkan takbir di malam dan di pagi raya serta tunaikanlah sembahyang sunat hariraya beramai ramai secara berjemaah. Ambillah peluang di hari raya ini dengan kunjung mengunjungi ke rumah kaum keluarga , jiran tetangga, sahabat handai dengan bermaaf maafan serta mengeratkan hubungan silaturrahim . Mudah mudahan hari ini menjadi hari kesyukuran kita kepada nikmat yang telah di kurniakan oleh Allah swt kepada hamba hambanya.Firman Allah swt yang bermaksud Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu serta menyuruh kamu bersyukur nescaya Aku akan menambah nikmatKu kepadamu dan jika kamu khufur akan nikmat nikmat itu maka sesungguhnya azabKu adalah sangat keras

Sekian
Wallahualam

0 comments:

Post a Comment

Listen to Quran
Powered by Blogger.
 

Popular Posts All time

Popular Posts this month

Popular Posts this week