Sidang Jumaat sekelian,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah swt. Satu kenyataan yang sangat menyedihkan kita umat Islam di hari ini ialah semakin ramainya orang Islam yang memalingkan diri dari agama dan urusan dunia dengan cara yang terang-terang dan dapat kita buktikan dengan mata kepala kita sendiri. Bahkan ramai orang yang kelihatan taat dan warak dalam menjalankan ibadah tetapi telah meninggalkan agama ketika berhadapan dengan urusan dunia seperti urusan sosial, ekonomi dan juga politik. Sebahagian umat Islam berpandukan kepada ajaran dan aliran yang bertentangan dengan agama padahal perintah Allah swt adalah terang dan nyata serta tak ada lagi keraguan keatasnya.
Saudara hadirin sidang Jumaat sekelian,
Mengapa berlaku sedemikian? Mengapa sebahagian umat berpendapat bahawa untuk memperolehi kedudukan yang baik, kedudukan yang terhormat di dunia mesti bermula dengan satu falsafah kebendaan hasil ciptaan manusia yang tidak benar? Mengapa hamba Allah swt yang telah mengaku kesempurnaan ajaran Allah swt dan mengaku bahawa petunjuk Allah sahajalah yang benar tetapi telah berpatah balik kepada panduan manusia yang tidak ada jaminan tentang kebenarannya?
Saudara kaum muslimin
Persoalan dari masalah itu telah lahir dari beberapa sebab sebagaimana berikut:
- Umat Islam telah keliru sekurang-kurangnya tersalah faham terhadap hakikat agama atau salah dalam pengertian addin sebagai agama.
- Pengaruh dan falsafah idealogi barat yang sangat memberi kepentingan duniawi
- Ketidak sedaran dengan ancaman Allah swt dikalangan orang-orang yang berpaling dari agamanya.
Saudara kaum muslimin
Demikianlah menurut pendapat dari ahli-ahli fikir islam yang selalu memerhatikan perkembangan masyarakat Islam yang kian hari kian banyak menghadapi permasalahan dan halangan hingga mundur kebelakang. Dari jawapan yang pertama kerana addin atau agama adalah tuntutan hidup yang merangkumi segala bidang kehidupan untuk memperolehi kebahagian dunia dan akhirat tetapi pada abad yang terakhir ini ada yang telah salah faham terhadap agama, Agama dianggap sebagai aturan ibadat sahaja yang mesti dipisahkan dari pekerjaan dunia dalam mencapai tujuan duniawi sehingga agama terpisah dari masyarakat. Ini adalah pandangan yang keliru dan telah dikelirukan.
Saudara kaum muslimin
Inilah pandangan yang dikelirukan oleh pemikiran barat yang disukai oleh sebahagian dari umat islam itu sendiri bahkan kebanyakkan umat Islam hanya mengatahui bahawa yang disebut agama itu adalah sembahyang, puasa, zakat dan juga haji sahaja, sedangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan dunia mestilah dipisahkan darinya.
Dari alasan yang kedua ialah kekaguman yang tertarik orang-orang Islam terhadap pemikiran barat dengan tanpa berfikir dan merenung catatan sejarah yang telah diterangi dengan cahaya agama pada beberapa abad yang lalu. Hingga apa sahaja yang berasal dari dunia barat ditelan mentah-mentah serta dianggap dan dinilai dengan nilaian yang paling baik.
Dari sebab yang ketiga inilah kerana telah tidak ada lagi rasa takut dari ancaman dan siksaan Allah swt terhadap para penyelewengan agama dalam setiap bidang kehidupan yang bersesuian dengan maksud dan takrif agama itu sendiri .
Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dikasihi sekelian.
Marilah kita kembali kepada agama yang sebenarnya iaitu agama yang mempunyai susunan hidup yang lengkap dan sempurna bagi setiap kehidupan makhluk di dunia ini. Susunan Allah swt adalah benar semata-mata, bahkan sesiapa yang melarikan diri dari agama dalam urusan dunia akan ditimpa keatasnya akibat yang sangat buruk samada di dunia maupun di akhirat nanti. Jangan sesekali kita beranggapan dan mengikut fahaman yang mengatakan bahawa agama adalah ibadat semata-mata yang mana tidak ada hubungan dengan urusan-urusan hidup. Anggapan dan fahaman salah sebegini hendaklah kita ketepikan dan membuat kajian semula dengan akal dan hati yang bersih dari pencemaran dunia sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud " Barang siapa berpaling dari ingatan dan petunjukKu maka ia merasai penghidupan yang sempit dan kami kumpulkan akan dia di hari akhirat dalam keadaan buta.Dikala itu mereka berkata Tuhanku, mengapa Tuhanku mengumpulkan aku dalam keadaan buta padahal dahulu daku mempunyai penglihatan dan pandangan mata yang terang .
Saudara kaum muslimin
Ingatlah penjelasan Allah swt terhadap manusia terserahlah kepada sekelian insan untuk merenung kembali sebelum masa berakhir di alam dunia ini, samada mahu mengikut petunjuk Allah swt atau tidak. Tiap-tiap umat Islam mesti berfikir kembali dan mengkaji berulangkali mengenai kisah yang telah dan sedang berlalu untuk menetapkan hatinya bahawa hanya dengan petunjuk dan panduan dari Allah swt sahajalah yang dapat menyelamatkan hidup sekarang di hari ini dan seterusnya. Kepada Allah jualah kita memohon petunjuk dan pedoman kerana panduan darinya sahajalah benar dalam segala urusan.
Sekian, Wallahualam